Monday, February 10, 2014

Amat Rindu Kamu - Bab 1


AMAT RINDU KAMU ~ merupakan sebuah kisah semi-realiti masyarakat. Ia mengisahkan bagaimana seorang gadis bernama Hana telah kehilangan anak patung kesayangannya yang bernama Mr. Teddy. Dalam tempoh pencarian ini, Hana akan bertemu dengan pelbagai pengalaman baharu. Mr. Teddy pula menjadi saksi kepada satu demi satu pengalaman apabila jatuh ke tangan orang lain. Apakah Hana dan Mr. Teddy akan bertemu di akhir cerita? Mari kita ikuti kisah ini.

******************************************************
BAB 1
SEDAPNYA! Bau yang menyerbak ke hidungnya membuatkan Hana tersenyum panjang ketika masuk ke Restoran Janji Sayang. Perutnya yang sudah sedia lapar menjadi bertambah lapar. Sudah terbayang-bayang roti banjir Abang Mat kegemarannya mencecah lidah. Tanpa menghiraukan pandangan mata pelanggan yang memerhati, dia terus ke belakang untuk mencari tempat duduk.
 “Kenapa lambat?” tegur Puan Khalidah, ibu Hana di kaunter. Tangannya ligat menekan mesin pengira untuk mengira bayaran makanan pelanggan.
“Selepas kelas habis ada perbincangan.”
“Di kolej?”
“Haah.” Hana tersenyum tawar. Dia tahu ibunya bukan marah tetapi mengambil berat. Dia kembali membelek beg galasnya kerana ingin mencari beg dompet. Tiba-tiba, dia tersedar sesuatu.
“Alamak!”
Dia bingkas bangun dan membuka beg galasnya besar-besar. Menyelongkar satu-persatu apa yang ada di dalam beg itu. Makin lama, makin yakin. Makin juga jantungnya berdegup pantas. Dan air matanya sudah bersedia untuk menderu keluar.
“Kenapa?” Puan Khalidah yang sejak tadi memerhati jadi cemas.
“Mak… Mr Teddy Hana hilang!”
“Takkanlah hilang. Ada dalam tu kut? Cuba cari betul-betul.”
Hana mencebik. Air matanya sudah bergenang-genang di tubir mata. Dia sendiri tidak mengharapkan sangkaannya itu berlaku.
“Cuba cari dalam kereta. Mungkin tercicir.”
Tanpa menunggu, Hana terus meluru keluar. Dia berjalan pantas ke arah keretanya yang terletak di kotak parkir. Setibanya di situ dia mula menyelongkar keretanya. Puas dia menjenguk ke serata tempat namun bayang Mr Teddy masih belum kelihatan.
Air mata Hana mula keluar. Dia tidak sangka perkara itu akan berlaku. Setelah puas menangis sendiri, dia kembali melangkah balik ke restoran ibunya semula. Mungkin ibunya boleh memikirkan sesuatu.
“Ada?” Dari jauh lagi ibunya sudah bertanya.
Dia menggeleng lesu.
“Hisy! Tercicir di mana pula?” Puan Khalidah berkerut dahi seraya melihat sahaja Hana melabuhkan punggung di kerusi semula.
Hana tidak larat lagi untuk bersuara. Dia terlalu sedih.
Melihatkan Hana begitu, Puan Khalidah mengeluh panjang. Dia tahu Hana sangat sayangkan anak patung beruang sebesar bola kecil itu. Itulah hadiah terakhir yang diberikan oleh arwah suaminya semasa Hana berumur 10 tahun.
Sejak itu Hana dan anak patung beruang yang diberi nama Mr Teddy itu tidak pernah berpisah jauh. Ke mana-mana Hana pergi, Hana akan membawa Mr Teddy bersama. Seolah-olah Hana membawa semangat dan kasih ayahnya sentiasa. Dan kalau benar Mr Teddy hilang, dia percaya hati Hana akan benar-benar terluka. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu memujuk Hana.
“Hana nak pergi cari.” Selepas puas berfikir, Hana tidak boleh menunggu lagi. Bagaimanapun dia mesti mencari Mr. Teddy sampai jumpa. Dia tidak boleh kehilangan Mr. Teddy.
“Dah petang, Hana. Hana nak cari ke mana?”
“Tak kira, Hana nak pergi cari juga.” Hana tarik beg sandangnya dan lantas melangkah ke pintu restoran.


PUAN KHALIDAH pantas mengejar. Sikap Hana yang kelam-kabut menakutkan dia. Dia bimbang Hana cuai dan terleka.
“Hana, ajaklah Abang Mat temankan,” katanya apabila sempat mencapai tangan Hana.
“Tak payahlah mak, semua orang sibuk. Waktu ni kan ramai pelanggan?” bantah Hana. Dia tidak perlukan sesiapa pada waktu itu. Dia hanya perlukan Mr. Teddy.
“Hana… mak takut tengok Hana macam ni. Tergesa-gesa bawa kereta tu nanti entah apa jadi. Kalau tak,  jangan pergi langsung, Esok ajelah Hana cari di kolej.”
“Tak boleh, mak.” Hana menggeleng keras. “Hana kena cari sekarang juga.”
Puan Khalidah rasa hendak menangis. “Kalau macam tu biar mak ikut Hana.”
“Tak payahlah, mak. Hana boleh pergi sorang.”
“Biar saya temankan dia, mak cik.” Semena-mena satu suara lelaki mencelah perbincangan mereka di kaki lima.
Hana dan Puan Khalidah sama-sama menoleh. Berdiri berdekatan mereka, seorang pekerja mereka bernama Badrul.
“Betul ke ni, Bad?” Akhirnya Puan Khalidah bersuara. Dalam sedih tersirat rasa lega apabila Badrul mahu membantu. Walaupun Badrul pekerja baharu di situ, dia percaya Badrul seorang yang boleh dipercayai.
“Waktu kerja saya dah habis,” jawab Badrul.
“Kalau macam tu, pergilah ikut Hana sekejap. Dah petang ni, kolej pun dah tak ada orang agaknya. Mak cik bimbang.”
“Saya boleh temankan.”
Puan Khalidah tersenyum lega. Dia menoleh ke arah Hana. “Pergilah cepat. Jangan balik lambat sangat. Apa-apa hal telefon mak.”
Hana tidak berdaya untuk membantah. Dia tidak suka Badrul mengikutnya ke kolej. Dalam masa yang sama dia juga takut sekiranya tidak dibenarkan langsung ke sana. Nampaknya terpaksa jugalah dia membawa Badrul bersama.
“Pergi dulu, mak cik,” kata Badrul seraya tergesa-gesa mengejar Hana yang sudah berjalan laju ke kereta.
Dari tempatnya berdiri, Puan Khalidah hanya dapat menggelengkan kepala. Kasihan dia melihat Badrul dipermainkan Hana.


 SEBAIK sahaja Hana masuk ke dalam kereta, dia terus menghidupkan enjin. Kemudian memasang penghawa dingin dan radio. Serentak dengan itu, sebuah lagu Inggeris kedengaran lantang. Sehinggakan Badrul yang baru duduk di tempat duduk terus menutupnya.
“Janganlah tutup.” Hana menegur. Hampir lagi dia menepis tangan Badrul kalau tidak cepat menahan diri. 
“Perlahanlah sikit. Terkejut abang.”
“Ikut Hanalah nak pasang kuat mana pun.” Hana pulas volum radio itu sesuka hati.
Badrul hanya menarik nafas. Dia buka tingkap.
“Heh! Tutuplah tingkap tu.” Hana meninggikan suara. Dia tekan pula punat kawalan tingkap di sebelahnya. Tingkap di sebelah Badrul naik semula. Lalu dikunci.
“Boleh tolong perlahankan sikit radio ni? Sakit telinga.”
Hana malas mahu berbalah. Dia perlahankan sedikit bunyi radio. Sedikit sahaja asalkan Badrul duduk diam-diam.
“Apa benda yang hilang?” Badrul pandang Hana. Dia sedar sesuatu telah berlaku apabila terpandang Hana dan Puan Khalidah yang agak kelam-kabut di restoran tadi.
“Mr Teddy.” Hana menjawab acuh tidak acuh. Sejujurnya dia kurang suka sesiapa tahu mengenai Mr Teddy. Dia yakin orang yang tidak memahaminya akan mentertawakan dia.
Biar betul? Badrul sukar hendak percaya. Mungkinkah dia tersilap dengar. “Apa bendanya Mr Teddy ni? Macam anak patung beruang aje bunyinya?”
“Memang la anak patung beruang.”
“Laaa… yang kecoh-kecoh sampai nak nangis tu sebab anak patung hilanglah?” Badrul tersenyum.
Hana menjeling tajam. Kata-kata dan senyuman Badrul menyinggung perasaannya. Nampaknya Badrul pun seperti orang lain juga. Tidak memahami dan selalu mentertawakan dia. Walhal, Mr Teddy sangat penting kepada dia selain ibunya.
“Kalau nak ketawa, pergi balik.” Dia sudah menekan berek untuk memberhentikan kereta di tepi jalan. Pandai-pandailah Badrul cari jalan balik nanti.
“Eh! Janganlah macam ni. Abang dah janji dengan mak cik tadi. Nanti dia marah kalau abang tak temankan Hana ke kolej.” Badrul mula gabra. Dia tidak sangka Hana terlalu sensitif dan ambil hati dengan kata-katanya tadi. Cemas rasanya.
“Kalau nak ikut jangan ketawa. Tolong hormat sikit perasaan orang.” Hana teruskan semula pemanduan. Puas hatinya sekarang.
“Okey, maaf. Abang tak bermaksud nak sakitkan hati Hana.”
Hana diam sahaja. Walaupun Badrul sudah meminta maaf namun apa yang telah terluka akan tetap terluka.
“Maaf ya?” ulang Badrul. Wajah tegang Hana benar-benar membuat dia rasa bersalah. Dia sedar dia telah menyinggung perasaan gadis itu. Sesuatu yang tidak patut dilakukannya.
“Anak patung tu bukan sebarang anak patung. Jadi jangan berani-berani ketawakan dia.”
Badrul menelan air liur. Dia angguk perlahan. Walaupun masih tidak begitu faham namun dia yakin anak patung itu pasti sangat penting kepada Hana. Kalau tidak, tidaklah Hana kelam-kabut berpatah balik ke kolej. Mungkin anak patung itu pemberian daripada seorang yang istimewa. Kekasih mungkin…
“Abah Hana yang beri anak patung tu.” Hana menambah. Dia tidak suka kalau Badrul memikirkan yang bukan-bukan. Dia bukan gadis manis yang menerima anak patung daripada teman lelaki. “Sebelum abah Hana meninggal.”
Oh! Penjelasan Hana benar-benar membuatkan Badrul terdiam. Sekarang dia faham kenapa Hana benar-benar tersinggung. Rasa bersalahnya mula berganda-ganda. Menyesal kerana bercakap ikut sedap mulut.
Setibanya di hadapan kolej, Hana memutar stering keretanya membelok ke kanan. Keretanya menyusuri jalan kecil masuk ke sebuah kolej yang kelihatan sudah sunyi sepi. Dalam hatinya berdoa semoga Mr Teddy ada di situ.


OLEH kerana waktu kuliah sudah lama tamat, petak parkir banyak yang kosong. Hana memilih petak parkir yang paling dekat dengan pintu masuk utama Kolej Tun Teja. Selain keretanya terdapat sebuah kereta Naza Sutera dan sebuah kereta Honda Civic. Dia percaya masih ada yang berada di dalam kawasan kolej dan itu membuatkan rasa takutnya berkurangan.
“Nak ikut ke nak tinggal sini?” Hana serba-salah sama ada mahu mematikan enjin atau tidak.
“Ikut.” Badrul lantas membuka pintu.
“Tunggu ajelah dalam kereta.”
Badrul tidak jadi melangkah keluar. Dia menoleh ke arah Hana. “Tak apalah. Biar abang ikut.”
Hana angkat bahu. “Terpulanglah tapi kalau penat nanti, jangan bising pula.”
Kali ini Badrul tidak menjawab. Dia terus menolak pintu dan berdiri di luar kereta. Itulah kali pertama dia menjejakkan kaki ke Kolej Tun Teja, sebuah sekolah swasta di pinggir Bandar Melaka. Boleh tahan juga besarnya walau tidak sebesar sebuah universiti awam.
Melihatkan Badrul ingin mengikut juga, Hana matikan enjin dan mengunci kereta. Tanpa mempedulikan Badrul, dia terus berjalan ke bangunan utama. Dia harap pintu hadapan belum berkunci.Mujurlah sangkaannya tepat.
Badrul pula tergesa-gesa mengejar Hana yang bergerak amat pantas bagaikan lipas kudung. Mentang-mentanglah badan kecil molek, kata hati Badrul. Sejujurnya ada rasa sedih yang menjalar ke lubuk hati. Dia sedar tubuh badannya yang besar menyusahkan sedikit pergerakannya. Mungkin disebabkan itu Hana kelihatan tidak selesa berdekatan dengannya.
Setelah masuk ke dalam bangunan, Hana terus menuju ke arah café di sebelah kanan bangunan. Di situ hanya ada dua orang pelajar berbangsa Cina sedang berbincang. Meja yang lain semuanya kosong. Café juga sudah ditutup.
“Excuse me,” Hana menegur pelajar perempuan Cina itu. “Ada nampak anak patung warna coklat tak? Saya tertinggal dekat sini.”
Pelajar itu langsung menggeleng.
Hana rasa hampa. Setelah mengucapkan terima kasih, dia mula mencari di sekitar café, sayangnya apa yang dicari terus tidak kelihatan. Kemudian, Hana menuju ke arah tangga pula. Dia mahu mencari di kelas tutorial.
“Nak naik atas ke?” tegur Badrul. Nafasnya sedikit tercungap.
“Kalau tak nak ikut, tunggulah sini.” Hana terus menaiki tangga. Dia tidak mahu menyusahkan Badrul. Tetapi Badrul tetap ikut juga. Setibanya di Tingkat 2, Hana berhenti di hadapan bilik yang bernombor 211.
Dia terus memulas tombol pintu, sayangnya berkunci. Ah! Tanpa dapat menahan dia menendang pintu itu sekuat hati. Dia mencuba lagi dan lagi. Tetapi pintu itu tetap tidak terbuka.
Badrul yang baru tiba di situ terkejut melihat kelakuan Hana yang bagaikan orang mengamuk.Dengan nafas yang putus-putus dia menegur.
“Sudahlah, nanti sakit tangan tu,” pujuk Badrul. Kasihan pula dia melihat sikap Hana.
“Biarlah sakit, tangan Hana. Bukan tangan abang,” jawab Hana sesuka hati. Badrul tidak tahu apa yang dia rasa.
“Memang tangan Hana. Tapi kalau tangan tu sakit nanti… macam mana nak bawa kereta cari Mr Teddy?” tanya Badrul menggunakan logik akal. Gadis sebesar Hana bukan boleh dilawan dengan kekerasan.  
Kata-kata Badrul membuatkan Hana terdiam. Tangan dan kakinya memang sakit tetapi hatinya lebih sakit. Bagaimana dia mahu meneruskan kehidupan tanpa Mr Teddy selepas ini? Dia belum bersedia.
“Huh!” Tanpa sebarang isyarat, Hana terus berpaling dan berlari menuruni tangga. Air matanya berderai di pipi. Di mana lagi dia harus mencari Mr. Teddy? Dia bingung.

SETIBANYA di luar bangunan, Badrul melihat Hana sudah pun termenung di dalam kereta. Tingkah laku Hana meyakinkan dia yang hal itu amat besar ertinya bagi gadis itu. Mungkin anak patung itu bukanlah setakat anak patung bagi Hana. Mungkin juga ada sesuatu yang dia tidak tahu lantaran baru dua minggu mengenali Hana sejak mula bekerja di Restoran Janji Sayang.
Dia jadi sedar. Dia perlu lebih menghormati perasaan orang lain. Cuma apabila dia masuk ke dalam kereta dan melihat pipi Hana yang basah, dia terus kehilangan kata-kata untuk memujuk.
“Nak balik kedai ke nak…” Hana menyapu pipinya yang basah. Apa-apa pun hidup perlu diteruskan. Dia akan terus mencari Mr Teddy walaupun hingga ke hujung dunia. Dia tidak mahu kehilangan Mr Teddy seperti dia kehilangan ayahnya.
“Kalau boleh turunkan abang dekat pasar. Nanti abang boleh jalan kaki aje balik ke flat.”
Dengan jawapan itu, Hana menggerakkan keretanya. Setahu dia, Badrul menumpang di rumah Abang Mat. Dan dia tahu di mana Abang Mat tinggal. Rasanya tidak mengapa kalau dia terus menghantar Badrul hingga ke kaki flat. Bukan jauh sangat dari pasar besar.
“Hana,” tegur Badrul perlahan. Selagi tidak diluahkan selagi itu ada kesal yang berbuku dalam hati.
“Ya,” balas Hana.
“Maafkan abang ya? Abang tak berniat nak ketawakan Hana tadi.”
Hana diam sahaja. Sama ada orang ketawakan dia ataupun tidak, dia sudah tidak peduli. Apa yang nyata sekarang, Mr Teddy sudah hilang.
“Esok kita cari lagi ya?” pujuk Badrul. “Nanti abang cari di kedai pula. Mana tahu kalau-kalau tercicir di kedai.”
Hana tahu Badrul cuba menebus kesalahannya. Dia tidak kata apa-apa kerana dia tahu Mr Teddy tidak mungkin berada di kedai. Dia yang bawa Mr Teddy ke kolej pagi tadi. Kalau dia tidak menemui Mr Teddy di kolej esok hari bermakna Mr Teddy boleh berada di mana-mana sahaja. Sesiapapun boleh mengambilnya.
“Insya-ALLAH kalau masih ada rezeki Hana dengan Mr. Teddy, lambat atau cepat Hana mesti jumpa semula,” kata Badrul lagi. Dia harap kata-katanya dapat membantu Hana melihat masalah itu dengan lebih luas. “Semua ni ketentuan ALLAH. Semua ni dugaan buat Hana. Kalau Hana bersabar, Insya-ALLAH Hana akan dapat sesuatu yang lebih baik.”
Hana tak nak yang lain, Hana nak Mr Teddy juga, balas Hana dalam hati. Air matanya mengalir lagi.

Melihatkan kesedihan Hana, Badrul kehilangan kata-kata. Dia faham bahawa Hana perlukan lebih masa untuk menerima kehilangan itu. Dan dia akan cuba membantu apa yang terdaya.

Monday, February 3, 2014

Sesi Temu Mesra 8 hb Feb 2014 (Sabtu)


Bersempena dengan Karnival Karangkraf 2014 yang akan berlangsung selama 3 hari 
bermula dari 7, 8 dan 9 Februari 2014 
di Kompleks Media Karangkraf, Sekyen 15, Shah Alam, Selangor
saya dijemput untuk sesi temu mesra
pada
8 hb Februari 2014
dari pukul 2-4 pm.

Jemputlah datang nanti ya.

Wednesday, January 22, 2014

Sejak Kita Bertemu boleh dibeli secara ONLINE


Buat masa ini novel Sejak Kita Bertemu 
boleh juga dibeli secara ONLINE
melalui halaman KARYASENI (tekan)

Harga semenanjung ialah RM 24/ RM 27 (Sabah/Serawak)
Bagaimanapun sekiranya membeli secara online di sana
akan diberi Diskaun RM 3 dan penghantaran
adalah secara percuma.

Buat ketika ini novel SKB belum masuk lagi
ke pasaran.

Kepada yang sudah mendapatkannya saya ucapkan terima kasih banyak
dan
kepada yang ingin membaca review mengenai SKB
boleh baca di sini  GOODREADS  (tekan)


Tuesday, January 14, 2014

Sesi sain novel Sejak Kita Bertemu

Alhamdulillah. Semalam, hari Isnin (13/1) saya telah ke pejabat Karyaseni di Bandar Tun Hussein Onn untuk satu sesi sain novel terbaharu saya iaitu novel Sejak Kita Bertemu yang baru sahaja siap dicetak dan diterbitkan. Malah ketika ini, buku ini belum pun masuk ke kedai-kedai buku lagi.


Jumlah buku yang saya sain semalam lebih kurang 350 buah kesemuanya dan mengambil masa beberapa jam. Untuk 100 orang pembeli ONLINE yang pertama sudah saya sediakan cenderamata.


Pembaca juga boleh dapatkan novel ERTI CINTA bersama novel SEJAK KITA BERTEMU melalui penerbitnya Karyaseni. Ini disebabkan novel Erti Cinta tidak ada di kedai buku lagi.

Harga novel Erti Cinta ialah RM 19.00 dan harga novel sejak Kita Bertemu ialah RM 24.00. Nanti kalau sudah ada di kedai-kedai buku, saya akan maklumkan ya.

Terima kasih.

Saturday, January 11, 2014

Cenderahati novel Sejak Kita Bertemu.


Kepada pembaca yang membuat pembelian secara ONLINE melalui penerbit Karyaseni, akan menerima buku nota kecil seperti di atas. Terhad untuk 100 orang pembeli yang pertama.

Kepada yang membeli melalui saya juga akan menerima cenderahati yang sama. 
Terhad kepada 50 orang pembeli.
Sebarang pesanan boleh dibuat kepada: 
pnmaria1@gmail.com

RM 24.00/ RM 26.00 (termasuk pos)

Monday, January 6, 2014

Novel SEJAK KITA BERTEMU sudah terbit !


Tajuk: Sejak Kita Bertemu
Penulis: Camelia
Penerbit: Karyaseni
ISBN: 978-967-0246-63-5
Harga: RM24 (Semenanjung) // RM27 (Sabah & Sarawak)

BLURB:

Sejak ANIS SARINA menerima lamaran DAMIEN, hatinya sudah nekad untuk melupakan masa lalu. Namun, dia tidak pernah menyangka itu tidak cukup untuk menjamin kebahagiaan. 


Kesangsian dan perasaan rendah diri menguji cinta terhadap Damien lebih-lebih lagi setelah kandungannya keguguran. Lantaran itu, Damien cuba mengubati hati Anis dengan membawa Anis bercuti di Vila Helena. Sebuah vila di tepi laut yang dihadiahkan oleh ayahnya, Tan Sri Dzairil. 

Vila yang mempunyai kisah sendiri selama ini dan tersergam indah menggamit penghuninya.

“Kalau Anis tak suka tinggal di situ macam mana?” - ANIS

“Abang akan buat sampai Anis suka.” - DAMIEN

“Anis cuma nak abang janji dekat Anis. Kalau Anis tak suka tinggal di situ, kalau Anis mahu balik ke sini, abang mesti bawa Anis balik bila-bila masa yang Anis nak.” - ANIS

Namun halangannya bukan sahaja setakat itu. Hadir pula seorang gadis cantik yang penuh misteri bernama Maya. 

Gadis yang tiba-tiba ada di dalam vila mereka dan mengundang rasa cemburu dalam hati Anis. 

Kemudian keadaan diterukkan lagi dengan kemunculan seorang gadis yang bernama Hanna. Siapa Maya dan siapa Hanna?

Namun Damien juga punya keraguan sendiri.

“Anis tak payah berbohong. Tak payah nafikan. Abang tahu, abang tak setanding dia.” - DAMIEN

Antara Anis, Damien, Hanna dan Maya, siapakah yang berkata benar? 

Mungkinkah cinta hilang nilainya tanpa rasa percaya? 

Adakah semua itu ada kena-mengena dengan misteri di vila itu? 

Mungkin benar kata ayah Damien, vila itu bukan lagi mahligai cinta tetapi lubuk segala petaka.


* Novel ini akan berada di kedai dalam sedikit masa lagi tetapi kepada yang mahu membeli terus daripada saya, boleh hubungi saya di :  pnmaria1@gmail.com




Sunday, January 5, 2014

Cerita Seram/Misteri : NYANYUK

“Usu, bila nak balik kampung? Ubat mak dah habis.”
Aku dengar suara emak dengan teliti. Walaupun suara emak tenggelam timbul namun sudah cukup untuk mematikan kerinduan yang ada di hatiku. Suara emak bagaikan ubat penawar segala penyakit. Suara emak bagaikan ada keajaiban.
“Ubat mak dah habis? Dah habis langsung?”
“Entahlah. Mak pun tak tahu tapi dah dua hari mak rasa along tak beri mak makan ubat.”
Sesaat dua telah berlalu. Aku terdiam sambil memikirkan pertanyaan emak. Sungguhpun emak tidak meminta aku balik ke kampung tetapi pertanyaan itu tetap mengandungi dua maksud. Emak mahu aku balik dan mak mahu aku belikan ubatnya yang telah habis. Sungguh jelas.
“Along ada di rumah tak, mak? Kalau ada, mak berikan telefon ini pada along. Usu nak cakap dengan along.”
Aku beri arahan kepada emak dengan berhati-hati dan jelas sekali. Aku tahu, emak sudah tidak faham bahasa yang rumit-rumit lagi. Emak sudah mula nyanyuk, kadang-kadang emak tidak ingat apa yang dilakukan. Malah emak pernah lupa nama aku. Tidak lama selepas itu, aku terdengar suara along.
“Usu, along ni,” kata along.
“Betul ke ubat mak dah habis? Usu rasa macam belum saja.” Dahiku berkerut kerana aku pasti kiraanku tidak salah. Aku yang membeli, aku yang mengira keperluan emak dalam soal itu. Along cuma tolong jaga emak dan beri emak ubat.
“Belum…,” jawab along. “Tapi tahu sajalah emak tu… along dah beri pun, dia kata belum beri. Sekarang along terpaksa simpan ubat-ubat dia di tempat tinggi. Along takut, emak curi makan.”
Betullah apa yang aku fikirkan. Ubat emak sepatutnya ada separuh lagi, bukannya sudah habis.
“Tapi sejak malam tadi, dia asyik suruh along telefon Usu. Puas along pujuk kata usu kerja, tak boleh diganggu.”
“Tak apalah, along. Ikutkan sajalah perangai mak tu.”
“Tapi kan… along rasa mak sebenarnya rindu kat usu. Tu sebab dalam kepalanya kata ubat dia dah habis. Kalau kata macam tu nanti, usu kenalah balik hantar ubat dia.”
Aku tersenyum geli hati.
“Hujung minggu ni usu balik. Cakap pada mak.”
“Usu tak kerja ke hujung minggu ni?”
“Usu cuma boleh balik sekejap pada hari Ahad. Malam tu juga usu kena balik semula ke KL,” jawabku. Sudah terbayang di kepalaku satu perjalanan yang memenatkan badan untuk memandu balik dari KL ke Melaka kemudian berpatah balik pada hari yang sama.
“Kalau larat, baliklah. Ubat emak tu masih ada lagi.” Suara along sudah mengendur. Mungkin sudah terbayang juga di kepalanya kesusahan yang akan aku alami untuk balik ke kampung bersendirian.
“Tak apalah, along. Alang-alang dah balik nanti, usu belikan sekali ubat mak untuk tiga bulan lagi.”
“Eloklah tu,” jawab along.
Lantas aku mematikan panggilan. Penat atau tidak, aku akan balik juga. Aku hendak jumpa emak. Rindu.
******
Empat hari telah berlalu sejak aku menerima panggilan telefon daripada emak tempoh hari. Hari ini, aku balik ke kampung bersendirian dan sampai ke jalan masuk ke kampung kira-kira pada pukul 1.15 petang. Di pertengahan jalan, aku bertemu dengan seseorang yang aku rasa seperti pernah mengenalinya.
“Miza! Nak ke mana?”
Aku berhentikan kereta di tepi jalan masuk. Aku tegur gadis yang baru kuingat namanya itu. Ya, dia Miza! Kawan sekelasku semasa di sekolah rendah dahulu. Kami tidak bersekolah sama lagi apabila aku dapat memasuki asrama penuh selepas itu. Dengarnya Miza terus bersekolah di kampung itu sebelum bekerja entah di mana. Masa yang telah berlalu begitu pantas, seolah-olah memadam ingatanku terhadap Miza sehingga bertemu semula pada hari ini.
“Nak balik rumah,” jawab Miza. Riak wajahnya tidaklah seperti teruja melihat aku. Mungkin kerana aku bukanlah kawan baiknya. Sama ada aku ada ataupun tidak, bukanlah ada makna kepada Miza. Mungkin.
“Nak tumpang?” tanyaku walau sejujurnya aku sendiri sudah tidak berapa ingat rumah Miza di mana. Jika tidak silap aku, rumahnya di belakang sekolah rendah. Itu sahaja.
Miza angguk.

“Masuklah,” pelawaku. Aku bukakan pintu kereta dan Miza terus masuk.