Wednesday, October 19, 2011

CERPEN: Ucapkan sekali lagi.

Ucapkan Sekali Lagi

W
AD bernombor 7A kelihatan sama sahaja dengan wad-wad yang lain. Dauh pintunya kelabu. Cadarnya putih berbau bahan kimia anti-kuman. Dindingnya berwarna putih kekuningan berpalit daki sejarah bertahun-tahun. Apa yang      berbeza hanyalah penghuni-penghuninya yang asyik silih berganti setiap hari kecuali aku dan ibuku yang sudah seminggu di situ.
Waktu melawat tengah hari tiba lagi. Aku melihat pintu masuk ke wad itu dibuka lebar. Tidak seperti pada waktu yang lain, pintu itu ditutup dan  dikawal rapi. Namun apalah ertinya buat kami berdua. Kami tidak mengharapkan keajaiban akan membawa sesiapa ke situ untuk kami.
Masa berganti masa, semakin ramai pelawat yang tiba. Tua muda dan daripada pelbagai bangsa. Wad mula terasa hingar. Hidup terasa masih punya warna. 
Sesekali aku membalas senyuman penuh    simpati yang dilemparkan buat aku yang setia di sisi ibu. Sesekali aku cuba juga berlagak seperti menanti kehadiran seseorang. Sesekali aku tidak dapat menahan mata daripada melirik ke katil sebelah yang dipenuhi sanak-saudara. Cuma katil yang dihuni ibu tetap sunyi.
Penat memerhati, aku alihkan pandangan mata ke arah seraut wajah yang sedang tertidur tenang di hadapanku. Setelah kepayahan mengatur nafas di sepanjang malam, kini ibuku tidur pulas. Mungkin ibu kelelahan. Mungkin tubuh ibu sedang bersiap  siaga untuk sembuh, fikirku. Lalu aku duduk menunggu di sisinya diam-diam. Moga-moga apabila ibu bangun kelak, ibu sudah semakin sihat.
Setiap saat di situ, tidak pernah membuatku jemu. Setiap detik begitu berharga. Setiap waktu mungkin memisahkan antara hidup dan mati ibu kerana aku kerap melihat nafas-nafas terakhir dihembus di hadapan mata kecilku. Aku jadi peka. Aku jadi takut meninggalkan ibu walau sesaat. Aku takut tinggal keseorangan.
Lalu, jauh di sudut hatiku berdoa. Agar apa yang kami berdua tempuhi di sini hanyalah  seumpama mimpi. Apabila terjaga nanti, semuanya bukan begini. Ibuku sihat, aku ke sekolah semula dan abah ada di sisi. Sedang aku termenung, bahuku     disentuh lembut. Apabila aku menoleh, aku tergamam melihat siapa yang berdiri di sisiku. Abah?



Dua bulan yang lalu…

PADA suatu senja yang suram, sambil bertemankan cahaya lilin, aku termenung di hadapan pintu. Hujan yang baru berhenti menitis, tidak menghadirkan rasa suka di hatiku langsung. Hatiku masih runsing. Masih sedih.
“Kenapa, Jah?” Ibuku bertanya sambil melangkah ke arahku. Di tangannya ada kain yang mahu dijahit manik. Itulah usaha ibuku untuk mencari rezeki setelah abah pergi begitu sahaja.
“Sudah sebulan, mak. Sudah sebulan abah pergi,” jawabku. Akhirnya perasaan gundah yang   kupendam termuntah jua.
Ibu diam. Wajahnya tidak beriak. Dia tunduk bagaikan begitu asyik menyusun butiran manik,    seolah-olah hidupnya juga begitu indah bagaikan  manik yang diuntai. Hakikatnya bukan begitu.  “Biarlah, Jah. Kalau dia masih ingat pada kita, tahulah dia cari rumah ni.”
Aku menggeleng. Bagiku, ibu terlalu pasrah. Ibu terlalu beralah. “Mak, kenapa mak begitu tenang? Mungkin abah dalam kesusahan…”
Ibu mengangkat muka dan merenungku.  Tajam sekali. Aku hampir lemas.
“Cikgu di sekolah dah minta yuran, mak. Semua pelajar lain dah bayar. Apa dalih Jah nak beri lagi? Abah tak ada,” kataku sebak. Pandangan mata kualihkan ke sisi rumah. Aku melihat rumah-rumah jiran di kampung itu yang sudah diterangi elektrik   sedangkan rumahku diterangi lilin kerana elektrik sudah dipotong. Kini, aku dibelenggu masalah yuran sekolah yang masih tertunggak. Mustahil aku boleh tenang tanpa abah.
“Esok Jah cakap dengan cikgu, lusa mak beri duit,” jawab ibuku.
“Mak, dari mana mak nak cari duit? Lagipun itu tanggungjawab abah.”
“Jah tak payahlah tanya. Esok mak usahakan.” Ibuku tunduk semula menyusun manik-manik yang berwarna-warni. Sayangnya nasib ibuku tidak seindah itu.
Aku renung wajah ibu. Jawapan ibu tidak berjaya memujuk hatiku. Aku masih risau dan masih sukar untuk mempercayainya. Lalu, di hujung rasa itu terserlah kemarahanku terhadap abah yang melepaskan tanggungjawab terhadap kami begitu  sahaja. “Sebenarnya, abah ke mana, mak? Kenapa    abah tak balik-balik?”
Ibu menghela nafas tanpa mengangkat muka. Lama ibu terdiam sebelum menjawab, “Abah di     rumah isteri baru dia.”
“Apa?” Aku hampir menjerit tetapi ibu tetap  tenang menyulam manik. Aku keliru. “Abah kahwin lain? Mak! Kenapa mak biarkan abah kahwin lain?” Lengan ibu kugoncang-goncang. Betapa aku meng-harapkan kata-kata ibu hanyalah gurauan.
“Jah belum faham. Biarlah dia,” balas ibu   dengan tenang.
Aku menggeleng. Mataku sudah basah. Bukan khabar itu yang kuharapkan. “Kenapa mak tak beritahu Jah awal-awal?” Kini aku mula faham kenapa ibu tidak begitu runsing apabila abah tidak pulang-pulang ke situ.
“Mak tak nak perasaan Jah terganggu. Jah kan nak ambil SPM tahun ini? Mak harap, tak payahlah Jah fikirkan sangat soal kami berdua. Selagi hayat mak ada, mak akan bela Jah dengan tenaga mak.”
Air mataku makin lebat. Aku tidak sangka akan kehilangan abah begitu sahaja. Walaupun abah tidak pernah mesra dengan kami berdua tetapi aku tetap berasa tenang kerana masih punya seorang abah tetapi kini… perasaanku hancur. Jika begini caranya, kami telah kehilangannya. “Mak… kenapa abah buat macam ni? Abah sudah tak sayangkan kita?”
“Mak tetap sayangkan abah Jah tapi mak tak  boleh kawal apa yang dia rasa. Berdoalah semoga   terbuka hatinya untuk balik menjenguk kita.”
Aku termenung jauh. Sesungguhnya aku merasakan cinta itu mengelirukan. Dulu ibu dan abah berkahwin atas dasar cinta, atas dasar kasih dan sayang. Mengapakah cinta itu harus padam dan kasih sayang itu hilang di pertengahan usia? “Kenapa      semua ini harus terjadi, mak?”
Ibuku tersenyum. Pandangan matanya sayu. Di situ, aku terlihat kerinduan yang cuba disorokkan.


Seminggu yang lalu…
Harga RM 15.00 (untuk 300 pembeli pertama sahaja)
hubungi saya di : pnmaria1@gmail.com

atau pengedarnya:

aurorabookstore2@gmail.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.