Friday, October 14, 2011

CERPEN: Ombak, pergilah ke Bayron Bay


Ombak, Pergilah ke
Byron Bay

D
I pantai ini, ciak-ciak burung camar yang menghantar salam rindu sang perantau sudah kurang kedengaran. Orang kata, pokok-pokok nyiur yang melambai-lambai dulu juga sudah tiada. Kerang-kerangan laut yang pelbagai warna dan rupa juga sudah jarang terdampar. Apa yang tinggal hanyalah sebuah pantai yang landai dan butiran-butiran pasir yang kosong. Sekosong hidupku.
Namun begitu, setiap relung di dadaku tahu. Setiap urat temurat darahku juga tahu. Ombak dan pantai dijadikan berpasangan. Aku juga akui tanpa ombak, pantai akan sunyi. Tanpa kedua-duanya, insan-insan yang bercinta akan hilang inspirasi. Semuanya mahu menjadi sesetia ombak yang tetap kembali ke pantai dan mahu menjadi sesetia pantai yang menanti ombak pulang ke kakinya. Namun di sini, pantaikah yang sudah berubah atau ombak yang sudah jemu menghantar salam?


15 tahun yang lalu di pantai itu…

“ABANG, tengok ni. Cantik tak?” Aku menghulurkan sebutir kerang kepada Abang Johan.
“Wah, cantik! Yang ini abang belum ada, abang masukkan ke dalam baldi dulu ya,” kata Abang Johan riang, bagaikan burung camar mendapat anak ikan lagaknya.
Senyuman merekah di bibir mungilku. Dari  kecil aku dan Abang Johan sering ke pantai itu yang jaraknya cuma 400 meter dari rumah kami yang  bersebelahan. Ya, kami anak nelayan yang riang.   Pantai adalah padang. Ombak adalah teman. Laut yang luas itu adalah ladang kami.
Ayah-ayah kami menangkap ikan dan sotong tidak ubah seperti petani yang menuai hasil di ladang. Namun kata ayahku, ladang kami jauh lebih luas   terbentang. Rezeki kami jauh lebih banyak, tidak    terselam dan tidak habis-habis asal rajin mencari. Aku tahu cinta ayah pada laut sekukuh cintaku pada pantai dan ombak.
Ibu kami pula sepasrah pantai menanti rezeki dengan reda. Seutuh karang yang menjadi tempat  berlindung anak-anak ikan dan semurni alam mendidik kami dengan kasih sayang. Itulah hidup kami.
“Uji, mari kita ke pantai,” ajak Abang Johan   pada setiap petang.
 Tanganku akan dipegang erat. Ditarik me-ngikut rentaknya. Dari pasir yang kering sehinggalah kakiku disentuh ombak, Abang Johan tetap  memimpin. Lalu pantai itu menjadi saksi tanpa jemu, perhubungan kami yang erat bagai isi dengan kuku.
Setiap kali kakiku tersentuh kerang-kerangan, aku akan menunduk dan meraba-raba mencarinya di dalam pasir yang cetek. Aku sentuh dengan jari-jemariku yang halus, aku tahu yang mana yang berbeza dan yang mana serupa. Yang mana berlekuk dua, yang mana berbintik tiga. Yang mana sudah  dimiliki oleh Abang Johan dan yang mana belum. Semuanya terhafal oleh akal kecilku waktu itu.
“Ombak sangat sayangkan Uji,” kata Abang   Johan lagi. Suaranya mersik dibawa angin Laut China Selatan.
“Ombak sayangkan Uji?” tanyaku sambil menyelit anak rambut ke belakang telinga. Angin pantai cukup suka membelai rambutku yang lurus men-cecah pinggang.
“Ya, ombak sangat sayang pada Uji, sebab itu ombak sering menghadiahkan Uji dengan kerang-kerangan yang cantik ini,” katanya makin sayu bagai ada yang tersekat dalam dadanya.
Aku tahu, Abang Johan terlalu mengkagumi hidupan laut terutama kerang-kerangan yang di-kumpul sejak dia kecil.
“Satu hari nanti, pasti kerang-kerangan ini  pupus dari pantai kita, Uji,” jawabnya apabila kutanya tentang keasyikkannya yang satu itu.
Aku hanya terkelip-kelip tidak mengerti.   “Pupus? Mengapa, bang?”
“Sebab pantai ini pasti berubah. Pencemaran  akan mengotorkan laut. Kerang tidak dapat hidup di persisiran pantai kita lagi. Mereka akan berpindah ke tempat lain,” jawab Abang Johan dengan tenang.
Aku tambah bingung. Pencemaran? Pindah? Hatiku berdebar. Kerang-kerangan itu akan   meninggalkan aku? Oh! Jangan…

...... Baca sambungan cerpen ini di dalam Antologi Cerpen TENTANG CINTA


Harga RM 15.00 (untuk 300 pembeli pertama sahaja)
hubungi saya di : pnmaria1@gmail.com

atau pengedarnya:

aurorabookstore2@gmail.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.