Wednesday, August 24, 2011

Mencari Damai Abadi : Bab 17


MATA Tina membulat. Tidak berkelip dan tidak berkalih. Dia merenung tajam wajah Sherry yang tersenyum manis di hadapannya. “Dua puluh ribu?”
Sherry angguk sambil mengangkat kening. Dia tahu Tina pasti tidak pernah menyangka bahawa Azmi mempunyai duit sebanyak itu. Suasana di pejabatnya terasa tegang dan hangat.
“Banyak juga duit tauke ikan masin ni ya?” Tina tersenyum sinis sambil bersandar tenang.
Sherry angkat bahu. Malas membalas sindiran Tina. Biarlah Tina mahu berkata apa pun, yang pentingnya dia dan Azmi akan tetap disatukan tidak lama lagi. Hatinya terasa damai dan hangat.
“Jadi papa kau setujulah ya?”
“Papa sudah tetapkan tarikh untuk majlis pertunangan dan perkahwinan,” balas Sherry. Senyumannya belum surut. Kalau boleh dia ingin tersenyum sepanjang masa. Tiga hari lepas perkara itu sudah diputuskan setelah mengambil kira hari cuti dan semua perkara. Dia juga sudah menyampaikannya kepada Azmi yang kebetulan menelefonya.
Tina tersenyum lantas menggeleng. “Kerana dua puluh ribu papa kau sanggup bersetuju? Baru dua puluh ribulah… bukan dua ratus ribu.”
“Apa masalahnya?”
“Dua puluh ribu mungkin dia boleh cari tetapi selepas itu? Sedangkan rancangan papa kau aku kira akan mencecah kos ratusan ribu ringgit, bukan? Sanggup ke dia?”
Sherry terdiam seketika. Dia tidak menafikan kata-kata Tina itu benar tetapi dia yakin Azmi boleh melakukannya. “Azmi sudah kata dia boleh. Aku yakin dia boleh.”
“Selagi ada mulut, selagi itu boleh bercakap. Realitinya?” balas Tina.
Sherry mengeluh. Lemah semangatnya sekejap. Hilang perasaan yang berkobar-kobar tadi. “Dia boleh buat. Dia mesti boleh,” jawabnya lemah.
“Well, aku bukan nak lemahkan semangat kau. Eloklah kalau kau dapat berkahwin dengan orang yang alim macam tu tapi di dalam dunia sekarang ni, takut yang alim-alim kucing saja yang ramai.”
Sherry menjeling tajam. Hatinya mula panas. “Azmi  tak macam itulah. Kalau dia berniat jahat, dia tak tinggal di pulau terpencil tu. Lagipun dia bukan tak ada pelajaran. Dia ada degree tau.”
“Oh! Ada degree rupanya…” balas Tina. “Well… aku ucapkan tahniah sajalah. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam,” kata Tina sambil bangkit meninggalkan kerusi.
“Untung mutiara… walau terbenam di dasar laut, harganya lumayan,” balas Sherry. Puas hatinya.
Tina terkedu. Tanpa suara, dia melangkah meninggalkan pejabat itu.
******
SEDANG dia sibuk menyiapkan kerja-kerjanya, telefon bimbitnya berbunyi pula. Sebaris nombor asing tertera di situ. Sebaik sahaja dia menjawab salam, dia tersenyum. “Azmi!”
“Sherry apa khabar?” Suara Azmi tetap tenang seperti selalu.
“Sihat.” Sherry tersenyum lebar. Degupan jantungnya makin laju. Setiap kali dia mendengar suara itu, dia terasa begitu bahagia. “Nombor telefon siapa ni?” Daripada nombornya dia tahu itu nombor telefon bimbit.
“Saya punya, baru beli semalam,” balas Azmi.
“Baguslah macam tu. Tak payah pakai telefon awam lagi. Awak di mana ni?” Telinga Sherry dapat menangkap bunyi yang riuh-rendah di sebelah sana.
“Di rumah saudara. Ada kerja nak diuruskan sikit. Saya telefon ni cuma nak beritahu yang keluarga di sini sudah bersetuju untuk ke sana pada tarikh tersebut. Jadi rasanya tak ada apa-apa lagi yang perlu dibimbangkan,” jawab Azmi.
Sherry tersenyum lagi, debaran dadanya memuncak semula hingga pipinya terasa panas. Tentu Azmi ke tanah besar untuk menguruskan hal majlis itu. Kesian, dia. Namun serentak itu dia berasa amat bahagia, impiannya semakin menjadi nyata. “Okeylah, kalau macam tu, kita jumpa di majlis nanti. Jangan lupa pakai baju warna ungu muda tau. Barang-barang hantaran yang lain ada di butik yang saya cakapkan dulu. Semuanya mereka sediakan. Cuma bayar sahaja pada mereka.”
“Baiklah. Itu sahaja. Assalamualaikum.”
Sherry segera menjawab salam. Walau hatinya belum puas mendengar suara Azmi tetapi apakan daya kerana begitulah sikap pemuda itu. Percakapannya hanya perkara yang perlu sahaja. Tidak ada basa-basi, tidak ada pujuk rayu. Belum pernah Azmi melontarkan kata-kata cinta mahupun angan-angan tentang masa depan mereka berdua. Secuit hatinya terusik.
*****
PADA sebelah malamnya, Azmi melangkah bersendirian ke hujung tanjung. Dia memanjat  batu-batu di situ lalu duduk merenung laut yang hitam pekat seperti kebiasaannya. Dia melihat bulan terang. Dia mengira bintang-bintang. Dia damai seketika dipeluk angin malam. Ingatannya terlontar jauh ke belakang.
“Kenapa kamu pilih budak tu? Kenapa bukan Khadijah anak tok imam?” tanya Pak Jusuh semasa selesai mereka mengadakan kenduri arwah untuk Tok Imam pada minggu lalu. Wajah Khadijah yang muram masih terbayang jelas di matanya.
Dia menghela nafas berat. Dia sedar itulah harapan orang-orang di situ. Ramai yang mahu dia mengambil Khadijah sebagai isteri dan seterusnya menggantikan tempat tok imam di pulau itu. Dia tahu tetapi soal ini adalah soal peribadinya. Biarlah dia memilih dan menanggung akibatnya. “Tidak ada apa yang salahnya dengan Khadijah itu, Pak Jusuh.” Dia diam seketika. Matanya merenung laut gelap seperti malam itu juga. “Cuma mungkin jodoh saya bukan dengan dia.”
Pak Jusuh mengeluh panjang. “Kasihan dia. Sedihnya berganda-ganda.” Matanya ralit memerhati Khadijah yang sibuk mengemas dulang selepas kenduri itu berakhir.
Azmi menelan liur. Dia faham apa yang dimaksudkan Pak Jusuh. Bukan dia tidak kasihan cuma tidak terfikir di benaknya untuk mengambil Khadijah sebagai isteri. Apalagi sewaktu sedang sibuk mahu bertunang dengan Sherry.
“Lelaki boleh pasang empat. Apa masalahnya?” Pak Jusuh tersenyum sehingga menampakkan sebaris gigi tua yang tinggi rendah.
“Pak Jusuh pun boleh,” jawab Azmi sambil tersenyum.
Pak Jusuh tergelak besar. Wajah riang Pak Jusuh apabila diusik begitu masih kekal jelas di ingatannya saat itu. Bukan soal boleh ataupun tidak boleh tetapi soal kemampuan yang mesti difikirkan.
“Mi, betul ke…” Khadijah berbisik ketika menyerahkan sepinggan kuih talam kepadanya di kaki tangga pada malam itu.
“Jah dah tahu?” tanyanya semula.
Khadijah mengangguk. Pandangan matanya tetap dilarikan ke arah laut. Matanya yang bengkak nampak berair.
“Betul, Jah. Sebulan lebih lagi, berlangsunglah kendurinya. Jika Jah ada cuti baliklah ke sini. Kenduri kecil saja.”
“Selepas kahwin tinggal di mana?”
“Di sini. Kenapa?” tanyanya pula.
“Pak Jusuh kata permohonan untuk mendapatkan pengganti arwah ayah belum diluluskan. Kalau awak tak ada, susahlah sikit penduduk di sini. Siapa yang nak memimpin mereka?”
Azmi tersenyum. Dia tidak pasti sama ada benar itu yang dirisaukan Khadijah ataupun bukan. Biarlah dia bersangka baik sahaja. “Sherry sudah setuju untuk tinggal di sini. Selagi saya boleh membantu, saya akan bantu dengan izin tuhan.”
Khadijah mengangguk laju. Wajah Azmi tetap tidak dipandang. “Selamat… Selamat berbahagia. Sampaikan salam ‘Assalamualaikum’ saya kepada bakal isteri awak. Saya tidak boleh berjanji yang saya akan balik semasa kenduri itu nanti.” Dia berpaling dan naik ke rumahnya semula.
Azmi hanya memandang. Buat kali pertamanya dia melihat wajah Khadijah yang begitu muram dan dingin. Dia tahu Khadijah kecewa dan kecewa itu hanyalah satu penyakit hati. Seandainya Khadijah sedar dia diperdaya nafsu, dia yakin Khadijah akan pulih.
Angin malam menderu-deru. Ingatannya kepada Khadijah terus hilang begitu sahaja. Bukan dia tidak mempedulikan Khadijah. Bukan dia memuja bintang di langit hingga lupa pasir di bumi cuma pada waktu itu hanya Sherry yang membuat siangnya gelisah dan malamnya resah. Dia hanya mencari kedamaian yang hilang tatkala kali pertama gadis itu memijak pulau itu. Fahamilah hatinya.








No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.