Ruang tamu rumah banglo dua tingkat itu sunyi. Tidak ada sesiapa di situ melainkan Azmi dan seekor kucing parsi berwarna putih yang sedang nyenyak tidur tidak jauh darinya. Sudah terlalu lama dia tidak ke situ, jika bertemu Pak Andak Kahar dan Mak Andak Nani pun hanya jika terserempak di bandar. Akan tetapi, hari itu dia melangkah ke situ dengan reda. Ada sesuatu yang ingin diselesaikan.
“Azmi…,” tegur Pak Andak Kahar di muka pintu. Pada wajahnya terbayang riak kehairanan apabila melihat Azmi ada di situ.
Azmi bangun daripada kerusi dan tersenyum. Dia menghulurkan salam. “Pak andak…”
“Duduklah. Dah lama sampai? Mak andak kamu mana?” Bertalu-talu Pak Andak Kahar menyoal. Dia menjenguk ke dapur sekilas sebelum memerhati cawan Azmi yang hampir kosong.
Azmi tersenyum tenang. Dia memerhati gelagat Pak Andak Kahar yang seolah kelam-kabut dengan kehadirannya ke situ. “Tak apalah. Mak andak sibuk di dapur. Saya pun baru saja sampai. Maaflah kalau kedatangan saya mengganggu pak andak.”
Barulah Pak Andak Kahar tersenyum. “Tak mengapa. Aku cuma ke belakang rumah menjenguk kebun pisang aje. Kamu nak ke mana ni?”
“Tak ke mana pak andak. Saya datang ni nak jumpa pak andaklah.”
“Jumpa aku? Kenapa?” Dahi Pak Andak Kahar berkerut.
“Saya nak bertunang pada bulan depan.”
“Bertunang?” Tubuh Pak Andak Kahar tertarik ke depan. Dia merenung Azmi. “Dengan siapa? Dengan orang di pulau tu?”
Azmi menggeleng. “Dengan orang jauh, pak andak. Orang KL.”
Pak Andak Kahar terangguk-angguk. “Baguslah.” Dia mengusap pehanya lambat-lambat seolah sedang berfikir keras. “Kamu datang ni nak ajak pak andak pergi meminang ke?”
Azmi ketawa kecil. Pertanyaan itu ada benarnya juga. Walaupun dia dan Abang Osman kurang mesra dengan Pak Andak Kahar, orang tua itu tetap saudara dekat dengan mereka terutamanya dia. “Kalau pak andak lapang pada hari tu, jemputlah ke sana sekali.”
“Nanti beri tahu pak andak tarikhnya. Sudah ditetapkan ke?”
Azmi menggeleng. Dia tunduk seketika. Sesak dadanya untuk memberitahu hal yang sebenar maksud kedatangannya ke situ. Lalu dia menghela nafas dalam-dalam, dia serahkan kepada yang Esa. “Pak andak, tentang tanah tu… pak andak masih mahu lagi tak?”
Pak Andak Kahar tersentak. Besar matanya merenung Azmi. Setelah hilang terkejutnya dia bersuara. “Azmi nak jual ke? Semua?”
Azmi tidak terus menjawab. “Yang tanah tepi jalan tu saya nak lepaskan. Yang tapak rumah tu tidak.”
“Begitu?” Pak Andak Kahar termenung. “Kalau Azmi mahu lepaskan, pak andak suka sangat. Dah lama pak andak nak majukan tanah tu. Kalau boleh tapak rumah lama tu pun pak andak mahu. Pak andak nak buka stesen minyak.”
Azmi menarik nafas pendek. “Saya sayang tapak rumah tu. Manalah tahu kalau esok lusa saya nak tinggal di sini pula?”
“Alah, lebih baik kamu beli rumah baru dengan duit jual tanah tu. Sekarang dah banyak taman perumahan baru. Cantik-cantik rumahnya.”
Azmi mula berasa serba-salah. Dia sayangkan tapak rumah lama itu. Walaupun rumah lama yang dibina arwah ayahnya sudah runtuh tetapi kenangan yang terpahat di situ tidak pupus. “Sayanglah, pak andak.”
Pak Andak Kahar menggeleng. “Buat apa dikenang apa yang telah berlaku? Azmi pun dah nak kahwin. Lagipun entah bila Azmi nak gunakan tanah tu. Sebelum jadi hutan belantara, lebih baiklah pak andak majukan. Kalau Azmi nak jadi rakan kongsi pak andak pun boleh.”
Azmi terkejut. Itu tidak pernah langsung ada di fikirannya selama ini. Soal harta benda dan kemewahan hidup bukan tumpuannya apalagi mahu membuka sebuah stesen minyak di pinggir bandar itu.
“Azmi, jangan risau. Biar pak andak uruskan. Mi cuma setuju saja. Macam mana?”
Azmi belum dapat membuat keputusan. “Tanah ladang tu… macam mana?”
“Yang itu pak andak beli. Kalau sempat, selepas makan nanti kita ke pejabat tanah. Mi ada bawa gerannya?”
Azmi angguk. Walaupun hatinya berat, dia terpaksa. Jika itu jalan yang ada, dia akan ikut.
“Bagus. Kita makan dulu. Selepas tu ke sana.” Pak Andak Kahar tersenyum lebar sambil menepuk bahu Azmi.
Azmi tersenyum kelat. Harta dunia hanyalah harta dunia. Tidak pernah memberikan ketenangan di hatinya. Dia pasrah melepaskan segalanya demi Sherry.
******
Pukul 6.00 petang, Azmi sudah berada semula di jeti. Bot terakhir yang menuju ke Pulau Damai belum tiba. Dia di situ berdiri menghadap laut lepas sambil memerhati kesibukan di jeti itu. Sudah banyak perubahan, sudah banyak pembaharuan. Segalanya tidak kekal.
“Mi, tahniah!” Satu suara menegur Azmi dari arah belakang.
Azmi menoleh. Debar di dadanya menyurut. “Nak balik ke pulau ke?” Dia bertanya sebaik menyedari siapa yang menegurnya. Namun senyuman di bibir Hasan membuatkan dia ikut tersenyum.
Hasan memaut bahu Azmi. Mereka sama-sama merenung laut lepas di hadapan mereka. “Ke mana lagi. Bila kendurinya?” Dia renung wajah Azmi.
Azmi tersenyum tenang. Dia menjenguk anak ikan di kaki jeti. Dia makin biasa dengan usikan dan pertanyaan tentang hal peribadinya. Di rumah Pak Andak Kahar tadi pun puas dia mendengar Mak Nani berleter panjang. Ternyata soal nikah kahwin bukan satu soal yang boleh disorok-sorok. Mungkin ada penduduk Pulau Damai yang telah menyampaikannya kepada Hasan. “Belum tetap lagi.”
“Eh! Aku dengar orang kata bulan depan?”
“Bulan depan bertunang, sebulan selepas tu kahwin,” balas Azmi. Baru dia sedar cerita yang tidak betul sudah tersebar jauh.
“Kenapa bertunang sekejap sangat? Baik kahwin saja terus.” Hasan ketawa kecil. Giginya nampak putih bersih berbanding kulit mukanya yang sawo matang.
“Itu permintaan keluarga Sherry. Aku cuma memenuhi permintaan mereka saja.” Dia menarik nafas panjang. Dia yakin tanpa diberitahu pun Hasan sudah tahu dengan siapa dia akan bertemu jodoh.
“Sampai juga jodoh kau dengan budak tu kan? Kawan dia yang tak senonoh tu macam mana? Apa khabar?”
Azmi tersenyum. Serta-merta dia memahami siapa yang dimaksudkan Hasan namun tidaklah dia tergamak untuk melabelkan manusia lain seperti itu. “Entahlah, sejak mereka balik ke sana aku belum pernah jumpa Tina. Sherry pun tak cakap apa-apa pasal dia.”
“Mungkin inilah yang dikatakan orang… asam di darat, ikan di laut. Di dalam periuk bertemu juga.”
“Jodoh pertemuan kan di tangan tuhan?” tanya Azmi.
“Mujurlah kau berkahwin dengan Sherry. Kalau dengan Tina, aku terjun ke laut,” balas Hasan.
“Tak baik kau cakap macam tu. Jika ditakdirkan jodoh kau dengan Tina, kau takkan berdaya mengelakkannya.”
Hasan merenung muka Azmi. “Aku sebenarnya terperanjat mendengar cerita ni pagi tadi. Aku rasa tak percaya yang kau boleh serius dengan Sherry.”
Azmi tersenyum. “Kenapa pula? Semuanya dengan izin tuhan.”
Hasan menarik nafas lagi. “Tu sebab aku kata mujurlah. Sebab seingat aku semasa di pulau hari tu, Sherry ni baik budaknya walau kawannya tu pernah nak mengenakan dia.”
“Apa maksud kau?”
Hasan pun bercerita tentang rancangan Tina untuk mengenakan Sherry semasa menginap di Pulau Damai beberapa minggu yang lalu. “Tapi Sherry marah aku.” Dia menghabiskan ceritanya.
Azmi mendengar dengan teliti. Walau terasa kulit mukanya panas namun dia cuba bersabar dan memahami situasi itu dengan tenang. “Alhamdulillah, syukur kerana tuhan melindungi dia. Kau pun satu… kalau datang ajakan seperti itu lagi, ingatlah dosa pahala sikit.”
Hasan tersengih sambil terangguk-angguk. Mungkin terkena tepat ke batang hidungnya pula.
“Nanti, jadilah pengapit aku,” sambung Azmi sebelum melangkah masuk ke dalam bot yang baru tiba.
“Insya-Allah,” balas Hasan seraya mengangkat tangan.
Selepas memberi salam, Azmi menghilang ke dalam perut bot bersama penumpang-penumpang bot yang lain. Di tempat duduk, dia termenung lagi. Walaupun rasa cemburunya bergetar apabila mendengar apa yang diceritakan Hasan tadi, jauh di sudut hatinya bangga kerana Sherry masih tahu memilih apa yang betul dan apa yang salah. Dia berasa yakin Sherry masih boleh dibimbing menjadi seorang isteri yang solehah kelak.
*****
“Apa!?” Puan Mila terjerit. Matanya buntang tidak berkelip. Dia merenung wajah Sherry bagaikan sang helang merenung musuhnya.
“Kenapa mak terjerit?” tanya Sherry. Pandangan matanya berlari-lari di antara wajah ibunya dan wajah ayahnya. Reaksi kedua-duanya membuat dia berasa tidak sedap hati.
“Betul ke dia cakap macam tu?” Puan Mila bertanya lagi sambil duduk di sebelah Tuan Jamil dengan tergesa-gesa.
“Iyalah, mak. Dia yang telefon Sherry petang tadi. Dia cakap suruh kita tetapkan tarikh pertunangan tu supaya senang dia uruskan apa yang patut di sana.” Sherry menjawab dengan teratur dan terang. Dia berharap benar agar segalanya jelas dan tidak mengelirukan ibunya. Makin keliru makin sukar untuk diambil tindakan yang wajar.
Puan Mila memalingkan wajahnya ke arah Tuan Jamil. Lama mereka berdua bertentangan mata dalam diam. “Boleh ke dia tunaikan apa yang diminta papa tempoh hari? Nanti kata semua boleh, tapi semasa nak bertunang semuanya tak ada. Nanti mama dan papa juga yang malu…”
“Mama… dia dah kata boleh tu, bolehlah,” balas Sherry sambil menggeleng. Mudah benar ibunya membuat anggapan terhadap Azmi sedangkan dia sedikit pun tidak meragui kata-kata Azmi melalui telefon siang tadi. “Dia ada minta nombor akaun bank Sherry. Dia nak masukkan duit sebab beberapa barang untuk pertunangan tu tak ada jual di sana. Dia suruh Sherry beli di sini.”
Tuan Jamil menarik nafas. Dia menoleh ke arah Puan Mila sebentar sebelum bersuara. “Berapa dia nak beri? Setakat dua tiga ratus tu tak payahlah.”
“Dia tanya Sherry berapa yang Sherry perlukan. Sherry kata dalam sepuluh ribu. Tapi dia kata dia akan masukkan dua puluh ribu. Selebihnya dia suruh simpan untuk majlis perkahwinan nanti.”
Tuan Jamil menelan liur. “Biar dia masukkan duit dulu. Kalau betul dia masukkan dua puluh ribu ke dalam akaun Sherry baru kita tetapkan tarikh pertunangan.”
“Abang!” Puan Mila bersuara.
Tuan Jamil angkat bahu. “Kalau dia mampu, apa masalahnya?”
Puan Mila tidak menjawab sebaliknya menghentak kaki dan melangkah naik ke tingkat atas rumah itu.
Sherry hanya mengerling. Daripada nada suara ibunya dia tahu, ibunya tidak bersetuju dengan pertunangan itu. Dia sedar Azmi bukanlah lelaki yang menjadi impian ibunya untuk dibuat menantu tetapi dia yakin baik ibunya mahupun ayahnya belum mengenali hati budi Azmi lagi. Dia hanya mampu bersabar.
******
Angin dari arah laut menderu-deru. Adakalanya daun-daun nyiur bagaikan mahu sujud ke bumi. Di dalam rintik hujan, Azmi berlari anak ke rumah Abang Osman sambil menjinjing beg plastik di tangannya. Setibanya di tepi tangga rumah Abang Osman, dia melaungkan salam.
Pintu rumah Abang Osman dibuka lebar. Muncul wajah Abang Osman di muka pintu. “Naiklah, hujan tu,” pelawa Abang Osman setelah menjawab salam.
Azmi melangkah laju naik ke rumah Abang Osman. Tubuhnya menggeletar kesejukan. Tuala kering yang dihulurkan Kak Senah disambut segera. “Ni, saya ada beli buah sikit untuk kakak.” Beg plastik yang berisi pelbagai jenis buah-buahan dihulurkan kepada Kak Senah.
Kak Senah tersenyum menyambutnya. “Nak tukar baju? Pakailah dulu baju abang. Nanti demam, susah pula.”
“Tak apalah, kak.” Azmi menolak dnegan baik. Dia lantas duduk bersila di sebelah Abang Osman di atas lantai.
“Duduklah dulu. Biar kakak buatkan kopi panas untuk kamu.” Kak Senah pun terus berlalu ke dapur.
“Macam mana? Apa yang kamu buat di seberang tadi?” Abang Osman terus bertanya.
Azmi tersenyum. Sambil memandang muka Abang Osman dia menjawab, “Alhamdulillah, bang. Semuanya dah selesai.”
“Dah selesai? Apa yang dah selesai?” Mata Abang Osman membulat.
“Saya dah minta keluarga Sherry tetapkan tarikh majlis pertunangan tu,” balas Azmi dengan tenang. Dia faham Abang Osman belum tahu keputusan mana yang diambil.
Riak wajah Abang Osman berubah lega. “Oh! Abang fikir apa tadi. Kalau macam tu, eloklah. Tapi macam mana dengan…?”
“Tadi saya jumpa Pak Andak Kahar.” Azmi pandang muka Abang Osman.
Abang Osman tersentak. Mulutnya separuh terbuka. “Buat apa?” dahinya berkerut.
Azmi menelan liur. “Saya dah lepaskan tanah-tanah tu, bang.”
Mata Abang Osman terkelip-kelip. Lama dia terdiam sebelum bersuara semula, “Mi jual pada dia?”
Azmi angguk. “Tak apalah, bang. Jika disimpan pun bukannya ada hasil. Biarlah pak andak yang majukan tanah tu.”
Abang Osman menghela nafas panjang. “Tapak rumah pusaka?”
“Yang itu tidak. Tapi saya dah benarkan pak andak majukan juga tanah tu. Dia nak buat stesen minyak.”
Abang Osman termenung seketika. “Mi lepaskan kerana…”
“Pada saya untuk mendapatkan sesuatu kita perlu mengorbankan sesuatu,” balas Azmi. “Mungkin inilah harga ketenangan yang saya perlukan sekarang.” Azmi tersenyum nipis. Itulah sahaja jalan agar dia dapat menunaikan janjinya kepada Sherry. Dia percaya jodohnya dengan Sherry memang ada.
Abang Osman mengangguk faham. “Jadi… jadilah kita ke sana ya?” Dia tersenyum lebar. Matanya bercahaya.
Azmi angguk.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.