Thursday, March 7, 2013

CERPEN- IMPIAN



*Sudah lama akak tak tulis cerpen untuk pembaca di blog, kan? 
Anggap sahaja ini cerpen untuk melepaskan stress kerja, okey?
Selamat Membaca

**********


Hawa tidak pernah menyangka, hari itu akan menjadi satu hari yang berbeza. Dia meninggalkan bilik hotel untuk ke Pantai Chenang dengan niat untuk menyertai aktiviti ‘Island hopping’. Namun, walaupun bot sudah lama pergi meninggalkan pantai dia masih tersangkut di sebuah kedai cenderamata. Berdepan pula dengan seorang lelaki yang telah hilang dalam hidupnya selama 10 tahun. Adam.
Untuk beberapa minit-lidahnya kelu. Fikirannya jadi buntu. Benarkah itu Adam? Atau pelanduk dua serupa? Dia teragak-agak untuk menegur seorang lelaki yang hanya berseluar pendek paras betis yang sedang sibuk melayan pelancong asing membeli peta. Namun senyuman lelaki itu meyakinkan dia yang dia tidak tersilap orang.
“Hawa?” tegur Adam terlebih dahulu.
Hawa angguk, kemudian tersenyum.
Adam juga sudah tidak bersuara-hanya tersenyum dan sesekali meraup rambutnya yang tidak banyak berubah fesyennya.
“What a surprise!” katanya selepas rasa gugupnya hilang.
Hawa juga kehilangan kata-kata. Walaupun sudah nyata yang di hadapannya itu Adam namun... di antara mereka sudah terbina jurang masa yang lama. Mungkin Adam yang berdiri di hadapannya sekarang, hanya nama dan wajah sahaja yang sama tetapi.... hati mungkin tidak. Adam yang ditinggalkan dahulu adalah seorang lelaki remaja-Adam yang berdiri di hadapannya kini adalah seorang lelaki dewasa.
“Datang bercuti? Mana family?” Adam tersenyum sambil terpandang-pandang kiri dan kanan Hawa.
“Saya datang sorang,” jawab Hawa. Memang dia datang seorang diri ke Pulau Langkawi itu untuk menenangkan fikiran. Dia mahu melarikan diri seketika daripada semua tekanan yang di hadapinya saban hari. Dia cuma tidak sangka, rupa-rupanya di situ sudah menunggu seseorang untuk dia jumpa.
Adam angguk lagi.
“Apa kata kalau kita pergi minum sekejap?”
“Tak apa ke? Kedai ni....”
“It’s okey. Ada kawan saya jaga,” balas Adam. Dia sudah menarik pintu kedai dan mempersilakan Hawa keluar.
Hawa tidak ada pilihan, dia ikut sahaja langkah Adam ke kedai makan –di sebelah kedai cenderamatanya. Di sebuah meja, mereka dua duduk sementara menanti minuman yang dipesan tiba.
“Hawa sihat?” tanya Adam.
Hawa angguk. Entah kenapa, di hadapan Adam mulutnya jadi berat.
“Kerja di mana sekarang?”
“Di Kuantan,” jawab Hawa.
“Doktor?”
Hawa angguk lagi bersama senyuman nipis. Dikelipkan mata beberapa kali untuk menghalang air matanya keluar. Sesungguhnya setiap pertanyaan Adam itu, seperti membuka semula setiap kenangan lama mereka.
“Well, congratulations,” kata Adam sambil tersenyum. “Jemput minum.”
Air teh dalam cawan, diteguk dengan berhati-hati. Ucapan tahniah Adam, ditelan sahaja bersama rasa sedikit kekok.
“Awak... memang tinggal di sini?” tanyanya pula. Rasanya agak janggal jika dia tidak menunjukkan minat terhadap kehidupan Adam.
Adam angguk. “Sudah dekat lima tahun. Selepas graduate, saya terus ke sini tolong kawan uruskan kedai tu.”
“Macam mana bisnes? Bagus?”
“Macam air laut juga. Ada pasang surut tapi setakat ini cukuplah makan pakai. Kami ada empat buah kedai –sebuah lagi di Jetty Point,” balas Adam sejujurnya. “Awak pula macam mana? Dah berapa orang anak? Kenapa tak bawa mereka sekali?”
Hawa menelan air liur. Terasa pahit. Sindiran Adam terpaksa dihadapinya dengan tenang. “Tak ada anak,” jawabnya perlahan.
Mata Adam terkelip-kelip. Wajahnya tenang sahaja.
“Saya...divorced. Tak ada anak pun,” sambung Hawa. Mungkin itu yang hendak sangat didengari oleh Adam, biarlah. Dia tidak rasa malu pun. Itu kenyataan. Disebabkan itulah dia ke sini.
“But why?”
Hawa angkat bahu. Dia tidak bersedia untuk bercerita apa-apa walau dia punya kisah sedih yang panjang lebar jika mahu dibentangkan kepada Adam. Namun bagi dia, itu sudah tinggal sejarah. Dia ke situ untuk menutup segala kisah sedih itu sebelum memulakan kehidupan baharu yang lebih baik.
Adam terdiam apabila Hawa tidak mahu menjawab pertanyaannya.
Kemudian Hawa tersenyum –dia juga bukan ke situ mahu memeningkan kepala Adam. Sepatutnya pertemuan semula itu menjadi pertemuan dua orang sahabat lama yang menggembirakan, bukan?
“Hey! Saya ke sini bukan nak bercerita soal tu,” tegurnya untuk memulihkan keadaan yang terbawa-bawa. “Awak pula macam mana? Dah ada berapa orang anak?”
Adam menggeleng lemah dan lantas merenung jauh ke laut.
Hawa ikut sama memandang laut biru yang terbentang luas. Mereka sama-sama hanyut dalam kenangan masing-masing.
******
10 tahun dahulu....

“Selepas habis SPM awak nak buat apa?” tanya Adam dengan selamba sahaja. Wajahnya bersahaja bagaikan tidak ada beban yang tertanggung di bahunya.
“Berapa kali saya nak cakap?” balas Hawa. Dia tetap merenung jalan raya-bimbang jika bas sekolahnya sudah tiba.
Adam tersenyum senang. Giginya nampak semua. Matanya bercahaya. Gembira benar kerana dapat buat Hawa menarik muka masam.
“Cakaplah sekali lagi. Saya dah lupalah,” jawabnya main-main.
Hawa menoleh ke arah Adam. Rasa marahnya mula datang. Dia tahu Adam main-main, sengaja bertanya soalan yang entah berapa kali ditanya sebelum ini. Bukannya Adam tidak tahu cita-citanya. Adam sengaja mahu melihat dia marah.
“Saya nak masuk U. Saya nak jadi doktor,” balasnya perlahan. Walaupun sikap Adam begitu namun dia sayang Adam. Adam kawan baiknya, Adam ... ya dia sayang Adam lebih daripada itu cuma dia tidak pernah berani berterus-terang. Dia malu kalau Adam mentertawakan dia.
“Awak nak tahu apa impian saya selepas habis SPM?” Adam pula bertanya. Dia renung wajah Hawa lama-lama.
Hawa menggeleng. Memang dia tidak pernah tahu apa cita-cita atau impian Adam. Bagi dia, apa pun pilihan Adam dia yakin Adam sudah berfikir masak-masak. Dia sebagai kawan, akan menyokong apa sahaja.
“Apa dia? Awak nak masuk U mana?” tanyanya dengan polos.
Senyuman Adam makin lebar.
“Impian saya... saya nak kahwin dengan awak,” jawab Adam disusuli ketawa kecil.
Muka Hawa mula merah ranum. Cepat sahaja fail dalam dakapannya dihempuk ke bahu Adam. Entah apa-apa betullah Adam ni, kata hatinya. Dalam suka, dalam malu dia tidak fikir itu semua logik. Lagipun dia tidak mahu berkahwin selepas habis SPM- dia mahu masuk U, dia mahu belajar dahulu. Dia mahu jadi doktor!
“Tak naklah kahwin dengan awak,” katanya laju.
Air muka Adam berubah. Adam terdiam seketika. Hilang sudah senyum dan tawanya yang nakal tadi. Dahinya mula berkerut. Pandangan matanya jadi redup.
“Kenapa?”
“Saya nak masuk U! Saya nak jadi doktor,” kata Hawa dengan tegas.
Adam terangguk-angguk. Kemudian dia bangkit berdiri apabila sebuah bas sekolah meluncur laju ke arah pondok bas itu. Pelajar-pelajar yang lain juga sudah beratur sementara bas sekolah itu merapat ke pondok bas.
“Bas awak dah sampai,” katanya.
“Marilah naik sekali,” ajak Hawa. Sesekali memang Adam akan naik bas sekolahnya kerana laluan rumah mereka sama.
Adam menggeleng. Hari itu, dia tidak mahu naik satu bas dengan Hawa. Dia mahu Hawa pergi dulu, dia mahu bersendirian. Ketika Hawa melangkah pergi ke arah pintu bas, dia memanggil Hawa.
“Hawa,” panggilnya. “Impian saya ialah nak kahwin dengan awak!”
Hawa menelan air liur. Kata-kata Adam dibiarkan tidak dijawab sehinggalah sekarang.
*******
Sekarang...
Air teh dalam cawan masing-masing sudah lama habis. Kedua-duanya sudah puas termenung jauh, sudah puas dibungkus kenangan lama yang semakin menggemaskan.
“Awak masih ingat?” tanya Adam perlahan.
Ingat? Ingat apa? Hawa serba-salah untuk menjawab. Ada banyak perkara yang dia ingat tentang Adam. Banyak. Dia tidak pernah melupakan Adam-lelaki yang pernah bertakhta di hatinya. Tidak pernah.
“Awak masih ingat impian saya?”
Nafas Hawa tertahan. Dia biarkan sahaja pertanyaan itu tidak berjawab.
“Selepas SPM, saya cari awak tapi awak sudah pindah. Saya tanya kawan-kawan tapi tak ada siapa yang tahu alamat rumah awak yang baru,” sambung Adam. “Saya dengar awak masuk U, saya cuba minta tolong kawan-kawan cari awak tapi usaha saya tetap gagal.”
Hawa diam sahaja. Dia juga cuba mencari Adam tetapi setiap usahanya seperti bertemu jalan buntu. Lama-lama, dia biarkan sahaja. Kalau ada rezeki, Tuhan akan mempertemukan mereka semula walaupun mungkin dalam keadaan yang berbeza sama sekali.
“Tak apalah, Adam. Itu kisah lama. Awak pun dah berjaya sekarang, hidup bahagia,” kata Hawa. Sekali lagi dia cuba memulihkan keadaan yang janggal di situ. Dia takut jika pertemuan semula itu menyinggung perasan isteri atau anak-anak Adam. Itu bukan niatnya ke situ. Bukan.
“Hawa,” panggil Adam. Dia merenung seperti dia merenung Hawa sepuluh tahun yang lalu. “Saya belum berkahwin. Saya masih mencari awak, menanti awak setiap kali musim cuti tiba... dalam ribuan pengunjung yang datang ke sini. Saya tak pernah berhenti berharap untuk melihat wajah awak lagi.”
Untuk beberapa saat, Hawa kelu.
“Satu-satunya impian saya yang belum tercapai... ialah mengahwini awak. Dan impian itu akan terus hidup... selagi saya tak mencapainya.”
Hawa memandang Adam. Kesungguhan Adam meleburkan segala kepahitan di hatinya. Mungkin itulah sebabnya dia ditakdirkan di situ. Bertemu semula dengan Adam-mendapat kembali kemanisan hidup yang telah lama hilang. Dia bersyukur.
“Awak tahu tak... saya juga sudah lama mencari awak.”
“Awak cari saya? Kenapa?”
“Saya pun ada impian,” balas Hawa.
Kini, Adam tersenyum. “Bukankah impian awak nak masuk U dan jadi seorang doktor? Apa lagi yang awak nak?”
“Awaklah!” jawab Hawa sambil tersenyum....
Adam tersenyum manis. Sepanjang hari mereka menyusuri pantai yang landai –terlalu banyak cerita yang mahu diceritakan- tentang kenangan lama, tentang impian yang baru. Hari itu memang berbeza....

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.