Wednesday, April 17, 2013

Cerpen Cinta : Doa Untuk Kekasih


“Lelaki ni kalau kita tunjuk kita sayang sangat dekat dia, dia mulalah buat perangai.” Nana luahkan pendapatnya bersama hempasan punggung. Segelas susu sejuk dalam pegangannya langsung diletakkan di atas meja, bimbang tumpas di atas sofa yang didudukinya bersama Hawa.
“Entahlah, itu cuma pendapat engkau. Aku pun tak pasti sama ada dia sayang aku ataupun tidak.” Hawa membalas sambil menekan punat kawalan TV beberapa kali. Hatinya tertarik untuk menonton sebuah filem cinta yang berjudul ‘Return To Me’, sinopsisnya menarik. Macam cerita sedih sahaja.
“Kalau tahu dia tak sayangkan engkau, kenapa masih tertunggu-tunggu dia?”
“Aku kata aku tak pasti,” ulang Hawa. Kata-kata Nana semakin menyakitkan hati namun dia biarkan sahaja. Dia faham, Nana hanya cuba membuat dia berfikir lebih matang.
“Kalau tak pasti, carilah kepastian.”
Hawa langsung termenung. Cerita ‘Return To Me’ baru sahaja bermula, babak pertama dikejutkan dengan kematian isteri watak utamanya. Ah! Hatinya makin terasa sedih. Sudahlah dia sedang bersedih.
“Kenapa kau diam? Kau tak berani tanya dia?” Nana bertanya tanpa memandang Hawa. Dia juga menumpukan perhatian ke arah televisyen.
“Tak guna,” balas Hawa.
Jawapan Hawa membuatkan Nana menoleh. “Tak guna kau kata? Kau mesti tahu di mana tempat kau di hati dia, Hawa. Kau tak boleh biarkan dia mempermainkan engkau sekali lagi.”
“Mungkin dah nasib aku macam ni.” Hawa bersuara perlahan. Jauh di sudut hatinya sendiri menangisi jawapan itu. Nasib?
“Nasib kita takkan berubah kalau kita tidak mengubahnya, Hawa. Tuhan suruh kita berusaha, bukan duduk diam saja dan biar orang lain buat apa saja pada kita.”
Hawa membisu. Ada kalanya, dia sendiri marah dan jemu dengan sikapnya sendiri. Dia tidak tahu kenapa dengan mudah sahaja, dia jatuh hati kepada Adam sekali lagi. Padahal pernah suatu ketika dahulu, dia kecewa apabila hubungannya dengan Adam berakhir begitu sahaja. Kini, sekali lagi Adam muncul dalam hidupnya, dan dia... tidak dapat menolak rasa cinta yang seolah-olah tidak pernah mati untuk Adam.
“Kau sudah lupa ke? Bertahun-tahun kau cuba lupakan Adam, kan? Bahkan kau terima Hafiz semata-mata kerana kau sudah berputus asa mencari dia?”
“Dan kau juga tahu yang akhirnya Hafiz tak boleh menggantikan tempat Adam? Malah aku rasa tak ada sesiapa pun yang boleh menggantikan tempat Adam dalam hati aku.” Hawa membalas setelah sekian lama berdiam diri.
“Jadi? Kau nak biarkan Adam mempermainkan perasaan kau sekali lagi? Hey, girl. Wake up. He’s married. Dia ada isteri yang dia peluk setiap malam sedangkan kau di sini asyik bersedih mengingatkan dia. Come on!Open your eyes!”
Hawa terdiam cuma air matanya sahaja yang melebat.
“Sorry, Hawa. Kau berhak dapatkan yang lebih baik.” Nana gosok bahu Hawa.
Hawa menggeleng. “Kau tak faham, Nana. Kau tak faham.”
******
  Dua hari selepas itu semasa mereka berdua sedang menikmati makan malam di sebuah medan selera...
“Apa yang menarik sangat tu?” tegur Nana. Dia baru kembali ke meja bersama sepinggan nasi beriani dan segelas air tembikai.
Hawa alihkan pandangan matanya. Dia tunduk menyedut air tembikai di dalam gelasnya. Apa yang dilihat, hampir lagi membuat dia menitiskan air mata.
“Cakaplah. Kenapa kau sedih sangat ni?” Nana pegang tangan Hawa sebelum terjenguk-jenguk ke arah yang dipandang Hawa seketika tadi. Namun dia tidak melihat apa-apa yang pelik di situ selain orang ramai yang lalu-lalang.
“Adam,” jawab Hawa. Dia cuba menguatkan diri dengan bersikap seperti biasa sahaja. Mi goreng dalam pinggannya disuap ke mulut perlahan-lahan namun rasa laparnya telah hilang.
“Adam? Kenapa tak panggil dia makan sekali? Aku pun dah lama tak berbual dengan dia.” Nana teruskan suapannya.
“Dia datang dengan isteri dan anak-anaknya.” Hawa pandang Nana.
Nana tergamam.
“Kau tak pernah jumpa isterinya?”
Hawa menggeleng. “Aku... tak tahu macam mana nak berdepan dengan isteri dia.”
“Kau rasa bersalah?”
Hawa terus menggeleng, kemudian mengeluh. Dia terpaksa mengakui hakikat itu. “Ya, sedikit. Sebagai seorang perempuan tentulah aku rasa amat bersalah kerana mencintai suaminya. Tetapi dalam sudut yang lain, aku rasa marah pada dia.”
“Kenapa pula?” Nana tersenyum sinis. “Kerana bagi kau, Adam tu kau punya?”
“Kau silap, Nana. Apakah kau fikir, aku ni seteruk itu?”
“Sorry.”
“Aku cuma marah kerana, dia telah membuat Adam bersedih. Bukankah sepatutnya, dia menghargai apa yang dia ada?”
 “Dari mana kau tahu?” Nana letakkan sudu dan garfunya di sisi pinggan. Perbualan itu semakin menarik minatnya.
“Aku tahulah. Aku dah lama kenal Adam, sejak kecil lagi. Adam, kalau dia suka seseorang, dia akan jaga baik-baik. Dia akan sayang, dia akan berkorban apa saja. Ini kan pula isteri dia? Keluarga dia?”
Nana mengeluh perlahan.
“Jadi kau cintakan Adam dan Adam?”
Hawa menggeleng lagi. Memang dia cintakan Adam seperti dahulu namun dalam masa yang sama dia juga sedar Adam bukan lagi Adam yang pernah dikenalinya. Adam kini, suami seorang perempuan lain. Perempuan seperti dia juga, yang ada perasaan. Dan ayah kepada anak-anak yang mengharapkan ibu bapa mereka kekal bersama hingga ke akhir hayat. Kesemuanya mengharapkan sebuah keluarga yang ideal dan bahagia.
Lalu, apa fungsinya dia?
*****

Sebulan selepas itu...
“Dia takkan datang, Adam.” Nana melangkah mendekati Adam yang duduk termenung di hadapan Laut Cina Selatan yang terbentang luas.
Adam tergamam lama.
“Hawa sudah pergi...” tambah Nana. Dia hulurkan sepucuk surat kepada Adam. “Hawa minta aku sampaikan surat ini kepada kau.”
“Surat?” Adam ambil sepucuk surat yang dihulurkan oleh Nana.
“Kau tahu sajalah Hawa tu, dia old-fashion sikit. Orang lain dah guna Webchat, dia masih suka tulis surat macam orang dulu-dulu.” Nana ketawa sumbang.
“Tapi dia ke mana? Kenapa dia tak datang?” Adam renung muka Nana.
“Mungkin dalam surat tu dia ada beritahu,” balas Nana sambil mengangguk beberapa kali. Setelah Adam mula membuka surat bersampul biru itu, baru Nana bergerak pergi meninggalkan Adam.
Perlahan-lahan, Adam membukanya.

Ke hadapan Adam,
Lelaki yang aku cintai, dulu, sekarang dan selama Tuhan menghadirkan rasa cinta ini dalam hati aku.
Adam,
Tentu kau sudah tahu daripada Nana yang aku tidak akan datang hari ini. Tidak juga esok, dan mungkin tidak juga selama-lamanya kecuali Tuhan mengaturkan pertemuan kita sekali lagi.
Adam sayang,
Terlebih dahulu, aku ingin kau tahu betapa aku menyayangi dan mencintai kau dalam apa pun situasi. Aku juga tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan daripada kau walaupun sepatah pun kata sayang dan rindu kerana apa yang aku rasa terhadap engkau cukup ikhlas. Dan kerana cinta dan sayang itulah, aku mengambil keputusan ini, Adam.
Adam,
Dulu, aku menangisi perpisahan kita. Aku kecewa bertahun-tahun sehingga hati aku sudah terasa lali untuk mengingatimu dan merinduimu waktu itu. Dalam setiap diri lelaki yang aku jumpa, aku tercari-cari bayangmu. Sungguh, aku tidak dapat melupakanmu walaupun pada waktu itu, kau sudah melupakan aku. Tanpa engkau di sisi, aku lemah. Kau kekuatan aku selain mama dan papa. Namun, aku sedar... ketentuan Tuhan sudah begitu. Tuhan pisahkan kita, Tuhan ambil mama dan kemudian Tuhan ambil papa. Tidak ada apa yang tinggal lagi, Adam. Aku lemah selemah-lemahnya waktu itu.
 Aku merangkak sendiri untuk meneruskan kehidupan dan menjadi seperti aku yang kau lihat kini.
Kemudian... Tuhan temukan kita semula. Dan kali ini, kau hadir bukan lagi sebagai Adam yang pernah aku kenal. Kau sudah lain, kau sudah punya isteri dan anak-anak. Kau sudah punya kehidupan yang baik. Namun, maafkan aku Adam. Maafkan aku kerana... jauh di sudut hatiku masih mencintaimu.
Adam,
Sudah puas aku berfikir. Sudah puas aku selami apa yang aku rasa dan akhirnya aku sedar, rasa cinta dan sayang ini bukan sengaja aku ada-adakan. Ia nikmat Allah SWT untuk aku merasai kembali rasa cinta yang aku fikirkan sudah tidak wujud lagi dalam hati aku. Namun, aku bersyukur kerana Tuhan juga berikan aku iman dan akal. Maka, izinkan aku terus menyayangimu hingga perasaan ini dihilangkan dari hatiku. Kau sepatutnya rasa bertuah kerana selain isteri dan anak-anakmu, ada insan lain yang menyayangi dan selalu mendoakan dirimu. Bukankah lebih baik diri kita disayangi daripada dibenci sesiapa?
Adam,
Satu perkara yang kau perlu tahu ialah, kau selalu tidak pandai menghargai aku. Betapa aku mengharapkan kau sudah berubah namun akhirnya aku sedar, kau tetap juga begitu. Kau selalu fikir, aku akan selalu ada di sisimu. Kau selalu fikir, masa itu masih panjang, sedangkan sepatutnya sudah tahu, masa itu selalu ada tempohnya. Dan hidup ini bukan kita yang mengaturnya. Kau harus merebut peluang yang datang, namun kau seperti dahulu juga. Membiarkan aku lemas dalam perasaan aku sendiri. Maka tidak hairan jika sekali lagi, aku membawa diri aku jauh darimu. Kerana hati aku mentafsirkan bahawa, 
kau sebenarnya tidak mencintai aku, Adam.
Adam sayang,
Betapa aku mengharapkan engkau menghargai peluang kali kedua ini, sayangnya kau masih seperti dahulu dan akibatnya... kau juga akan kehilangan aku sekali lagi. Kau tak kisah, kan?
Bersama pemergianku ini, aku titipkan doa semoga kau bahagia di sisi Ana dan anak-anakmu. Seikhlasnya aku mendoakan kebahagiaanmu kerana aku tahu, di hujung usia nanti, semua sudah tidak bererti lagi selain kehidupan yang bahagia menanti masa tua.
Biarlah aku bawa diri aku jauh-jauh, Adam. Tidak ada gunanya aku hadir lagi dalam hidup kau. Mungkin sekarang kau masih sudi mendekati aku, tetapi nanti apabila hidup kau sudah bahagia semula, aku tidak berguna lagi. Aku sedar di mana kedudukan aku dalam hidup kau. Tidak pernah ada tempat, kan?
Dan Adam, biarpun nanti semasa tua aku hidup keseorangan dan kau juga hidup berseorangan... tak perlulah kau cari aku lagi selagi kau tak pandai menghargai aku dalam hidupmu. Apa yang engkau perlu tahu ialah, cinta aku terhadapmu ikhlas. Kau akan tetap ada dalam doaku selagi aku masih bernafas. Dengan itu, aku sudahi surat ini.
Selamat tinggal, sayang. Semoga kau bahagia setiap masa.
Yang benar,
Hawa.
Adam termangu. Surat itu pun diterbangkan angin ke tengah laut...


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.