Wednesday, June 2, 2010

SBSC : Bab 1


Sesekali mata Azira merenung ke hadapan.Tidak ada apa yang menarik di situ. Hanya sebuah hutan yang terbiar dan sebuah longkang besar yang hanyir baunya. Kadang-kadang tersekat oleh sampah-sarap dan airnya melimpah apabila hujan lebat turun.Tidak ubah seperti air matanya yang akan tertumpah di pipi apabila dirasakan hidup ini begitu derita.

“Anak kecil kau sekolah hari ni,Zira?” tanya seorang wanita dalam lingkungan umur 50an.Dia berdiri memerhati baju kurung yang sedang dijahit oleh Azira.Tangannya menelek jahitan itu depan belakang.

“Sekolah, Kak Jah. Tengah periksa pertengahan tahun tu,”balas Azira tanpa menoleh.

“Bila kau nak bercuti? Kata nak ambil anak sulung kau di Seremban.”

“Hari Jumaat depanlah. Lepas tu mereka cuti sekolah dua minggu.”

Kak Jah mengangguk perlahan. “Kalau macam tu, biar Kak Jah ke bandarlah petang ni. Nak beli stok benang dengan renda.Dah habis pula. Eh! Baju kemeja tu dah siap tangannya?”

“Dah Kak Jah. Ada dalam beg plastik bawah meja.”

Kak Jah bangkit menuju ke arah sebuah meja besar tempat memotong kain.“Eloklah. Budak ni kata nak pakai cepat.Yang peliknya,kenapa tak beli saja yang di kedai? Ha,lagi cepat.Lepas bayar terus boleh pakai. Ni tempah kat kita,siap suruh cepat-cepat.Dia ingat baju dia seorang saja yang kita jahit?” Kak Jah terus mengomel sambil membuka beg plastik. Sehelai kemeja berwarna biru muda dikeluarkan.Dia lantas memilih beberapa butang kecil untuk dijahit di lengan dan baju.

“Bila dia nak ambil,Kak Jah?”tanya Azira pula. Matanya tidak lekang dari memerhati baju kurung yang sedang disiapkan itu. Sesekali dia terbatuk-batuk. Debu benang-benag di situ selalu membuat kerongkongnya gatal.

“Petang ni. Kalau Kak Jah tak ada,kau tolong beri dia ya.Upah dia kau masukkan dalam laci macam biasa.Tulis pada buku,”pesan Kak Jah lagi.Dia makin leka menjahit butang-butang itu.

Azira cuma mengangguk.Dia mengerling jam tua di tepi dinding. Baru pukul 11 pagi. Jarum mesin jahit terus meluncur laju. Dia tersenyum puas.Sehelai lagi baju kurung siap dijahit untuk pelanggan Kak Jah.Kainnya halus.Bunganya cantik.Walau jahitannya rumit namun dia berjaya juga menyiapkan tempahan itu.Sewaktu tangannya mengusapi baju itu,hatinya berdetik juga. Mengapa baju itu bukan miliknya?

******
Petang itu hujan turun mencurah-curah. Azira terkocoh-kocoh melangkah di bawah payung biru. Kedai Jahit Kak Jah cuma beberapa meter lagi. Dalam rintik hujan dia dapat melihat seseorang yang sedang menunggu di luar kedai. Ah! Pelanggan Kak Jah sudah datang. Dia semakin laju melangkah.Air hujan yang terpercik ke bajunya, tidak dihiraukan.

“Nak ambil baju?”tanyanya kepada pemuda yang sedang berdiri di hadapan pintu kedai.
Pemuda itu mengangguk.

Azira lantas menutup payungnya. Pintu kedai dibuka dengan segugus kunci yang diamanahkan oleh Kak Jah. Lampu kedai segera dinyalakan. “Encik yang tempah baju kemeja biru mudakan?” tanyanya.

Pemuda itu mengangguk lagi.Dia tersenyum.

Azira masuk ke bilik jahitan lalu mengambil baju yang ditempah. “Yang inikan?”tanyanya lagi.Buku tempahan segera dibuka dan diperiksa.

“Ya, betul. Saya nak tempah dua helai lagi.Bolehkan?” kata pemuda itu pula sambil menghulurkan sebuah beg plastik. Di dalamnya terletak dua helai kain kapas berpetak-petak halus.

“Boleh tu memang boleh tapi kalau nak cepat tu mungkin tak dapat.Sebab sekarang banyak tempahan untuk orang kahwin.” Azira menunggu jawapan.

“Tak apalah. Siapkan sahaja macam biasa. Kalau siap,boleh tolong call saya?” Pemuda itu lantas mengeluarkan sekeping kad nama berwarrna krim.Diletakkan di atas kaunter kaca.

“Baiklah. Ukurannya masih samakan? Atau nak ubah fesyen atau cutting?”

Pemuda itu menggeleng. “Ikut sahaja ukuran yang sedia ada. Badan ni tak pernah naik atau turun.Jadi saya tak bimbang.”Dia tersenyum.

“Okey,”balas Azira.Dia mengeluarkan buku tempahan.Segala data ukuran pemuda itu dipindahkan ke ruangan baru. Contoh kain juga dilekatkan di situ. “Saya rasa mungkin dalam masa tiga minggu lagi,boleh siap. Nanti saya call.”

“Nak deposit dulu?”

Azira menggeleng. “Tak payahlah,encik dah biasa di sinikan.”

Pemuda itu mengangguk.Sejumlah wang dihulurkan sebagai bayaran upah baju yang diambil hari itu.

Azira segera mengambil dan mencatatkan dalam buku akaun seperti yang diarahkan Kak Jah sebelum ini.

“Okey,saya pergi dulu.”kata pemuda seraya melangkah keluar. Pintu ditutup semula.

Azira menjeling kad tanda nama di atas kaunter. ‘Nazmi bin Muhammad’

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.