Wednesday, June 2, 2010

Prolog : Sehelai Benang Seutas Cinta



Tempat itu bukan tempat yang asing.Baik kepada Azira mahupun kepada Nazmi.Cuma apa yang asing adalah keadaan itu. Sama-sama terdiam,sama-sama terpaku. Tidak ada lagi senyum tawa.Tidak ada lagi bual bicara seperti selalu.Yang ada hanyalah sebuah keputusan.

“Kau dah fikir habis-habis, Zira? Tak ada jalan lain?” Nazmi melemparkan pandangan ke arah padang permainan. Sekumpulan kanak-kanak sedang berebut buaian.

Azira spontan mengangguk tanpa mengangkat muka. Wajahnya sebak menahan pilu di dada.Mungkin itulah yang terbaik untuk mereka berdua apalagi untuk Nazmi. Cinta itu tidak semestinya bersatu walaupun perpisahan bukanlah kebahagiaan yang didambakan saat itu.

“Kau pergilah.Anggap sahaja pertemuan kita seperti mimpi indah.Apabila terjaga,kita kembali ke alam realiti.Hidup perlu diteruskan.”

Nazmi mengeluh.Dia menggeleng. “Tidak semudah itu,Zira. Kerana aku bukan bermimpi. Cinta kita satu kenyataan.”

“Tidak mudah juga bagi aku,Nazmi.Tapi kau juga tahu segalanya tidak akan mungkin menjadi lebih baik.”

“Boleh,Zira.Mengapa tidak?”

Azira menggeleng. “Kita sudah puas berbincang tapi tidak ada penyelesaiannya.Buat apa lagi kau membuang masa.”

“Aku tidak pernah merasakan yang aku membuang masa. Malah aku hargai setiap saat setelah aku mengenalimu,Zira. Bagaimana lagi harus aku buktikan yang segala kata-kata aku adalah benar. Tidak dapatkah kau percaya walau sedikit pun?”

“Aku percaya kepada cinta kau.Aku sangat percaya tetapi apa gunanya jika kita tidak dapat bersatu?”

“Azira,mengapa kita tidak boleh bersatu? Aku bersedia tetapi kau yang tidak bersedia.Kau tidak percaya kepada kekuatan cinta aku?”

“Nazmi, hidup ini lebih dari sekadar cinta dan nafsu.”

“Sebab lebihlah aku tidak memikirkan segala kata-kata orang.Aku hanya mahu hidup dengan kau.”

Azira mengeluh panjang. Fikirannya semakin buntu. Perasaannya berkecamuk. Nyalaan cintanya untuk Nazmi tidak pernah padam dan dia yakin ia akan tetap menyala sehingga dia memejamkan mata.Namun untuk hidup bersama Nazmi bukan satu keputusan yang mudah. Bukan gunung yang harus didaki dan bukan lurah yang harus dituruni.Tetapi putaran hidup yang akan terhenti. Dia merenung jauh….keputusan apa yang harus dipilih?



* Jangan marah...prolog ini melintas semasa sedang mengedit manuskrip.Kalau tidak disiarkan dia menganggu fikiran. Ada yang nak baca cerita ini seterusnya? Ia kisah cinta dewasa.

1 comment:

  1. Akan dibaca ^_^
    Kagum! Kak Maria sangat rajin menulis. Banyaknya karya!

    ReplyDelete