Thursday, June 3, 2010

SBSC : Bab 2


Pukul 10 malam. Suara dari kaca televisyen masih jelas kedengaran.Namun fikiran Azira tidak mampu mentafsir apa-apa. Semuanya kelihatan seperti patung-patung bercakap yang tidak tentu ulas butirnya.Bukan juga dia tidak faham Bahasa Inggeris namun fikirannya sudah tepu untuk menghayati soal orang lain.Soalnya sendiri sedang berbelit-belit.

“Mami,bila ayah nak balik?”tanya seorang gadis kecil yang leka mengulit hujung rambutnya.

“Ayah takkan balik lagi,Aira.Berapa kali mami nak ingatkan?”tanya Azira dengan lembut.
Pelukannya dieratkan.Tubuh Umaira yang kurus itu tenggelam dalam rangkulannya.

Mata Umara semakin galak merenung wajah ibunya. Mata itu terkebil-kebil tidak mengerti. “Kenapa ayah takkan balik?Bila kerja ayah nak siap?”

Azira menoleh ke wajah Umaira. Rambut anak gadisnya diusap-usap.Dia mengeluh perlahan. Sarat namun biar tidak terasa oleh Umaira. “Aira, ayah takkan balik ke sini lagi.Walaupun kerja-kerja dia di Johor tu siap.”

“Kenapa?”

“Sebab ayah tak mahu baliklah.”

“Kenapa?”

“Mami tak tahu.Nanti kalau Aira dah besar,Aira tanyalah sendiri pada ayah.”

Umaira mengangguk.Riak wajah gadis kecil berusia 7 tahun itu kelihatan masih keliru.Dia mengalihkan pula pandangannya ke arah televisyen. Dengan perlahan matanya menjadi kuyu.

Azira mengalihkan kepala Umaira yang telah terlelap ke atas bantal.Tangannya masih terasa kebas. Dia tergesa-gesa menyambut panggilan telefon di atas meja. “Ya,Kak Jah,”katanya.

“Esok,kau buka kedai dulu.Kak Jah ada hal nak pergi bank terus.Boleh tak?” Sayup-sayup suara Kak Jah,majikannya kedengaran.

“Baiklah,kak,”jawabnya perlahan.

Azira menutup lampu bilik. Ruang itu serta-merta menjadi gelap. Nafasnya sesak. Begitulah hidupnya kini. Gelap tanpa cahaya,apa yang mampu dibuat adalah untuk terus hidup demi Umaira dan anak sulungnya Uzair. Kepedihan itu dibawa hingga ke mimpi.Air matanya kering sendiri.

******
Pagi datang dengan tenang. Azira membuka kedai seperti biasa setelah menghantar Umaira ke sekolah yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya.Payung biru diletakkan ke tepi dinding kedai.Dia tercari-cari kunci dalam beg tangannya.

“Lambatnya buka kedai,”sungut satu suara dari belakang.

Azira menoleh.Dia tergamam melihat seorang wanita berwajah masam. Tambah terkejut melihat siapa yang berdiri di sebelahnya pula. Dia kelu, tidak tahu untuk menjawap apa kerana setahu dia jam di tangannya belum pun pukul 8 pagi!Akhirnya dia hanya tersenyum serba salah.

Pintu kedai dibuka.Lampu segera dinyalakan. Wanita dan lelaki itu masuk mengekorinya ke dalam. Mata wanita itu memandang ke sekeliling,wajahnya tidak senang sekali. “Biar betul kau,Mi. Siaplah baju mak nanti ni.Tak pasal-pasal,tak dapat mak pergi rumah kenduri anak Datuk tu,”dia terus merungut.

Pemuda itu hanya buat muka selamba. Dia tersenyum ke arah Azira. “Boleh tolong jahitkan baju untuk mak saya? Dia nak guna lagi dua minggu.Ada kenduri kahwin saudara.”

“Apa pula cakap macam tu? Dah kerja dia, kita yang bayar upah dia.Dia kenalah siapkan,” sampuk wanita tua itu dari belakang.

“Mereka banyak tempahan,mak.Musim kahwin ni,”jelas Nazmi.

Azira hanya terkebil-kebil memerhati pertelingkahan dua beranak itu. Dia tidak mahu masuk campur,itu bukan urusan dia. Dia hanya tersenyum tenang.

“Bolehkan? Tolonglah siapkan.Saya bayar extra,”kata pemuda itu lagi.Dia merenung Azira dalam-dalam. “Please.”

Azira menggeleng.

“Ha? Tolonglah.Kami dah cari tempat lain,semuanya tak boleh siapkan sebelum dua minggu,” katanya lagi.

“Huh! Buat apa cakap macam tu.Dia tak nak buat,sudah.Memang dia takkan mampu jahit baju mak tu.Bukan murah kain tu.Butik saja yang layak tau,”sampuk ibu Nazmi lagi.Sudah mula melenggang keluar bersama sebuah beg kertas.

“Tunggulah mak. Dia boleh tolong punya.Nanti kalau tak siap,mak juga yang monyok sampai sebulan tak dapat pergi kenduri tu.”balas Nazmi lagi.Dia kini berdiri di antara Azira dan ibunya. “Bolehkan? Saya bayar double.”Dia berkata kepada Azira pula.

Azira menelan liur.Dia mengeluh.Dan akhirnya mengangguk. “Bila nak? Jangan cepat sangat.” Dahinya pula yang berkerut.

Pemuda itu menoleh ke arah ibunya seketika lalu menoleh pula ke arah Azira. “Kenduri tu hari Ahad minggu ketiga bulan ini.Boleh tak siapkan?”

Azira mengangguk.Dia merenung ke wajah Nazmi pula.

Pemuda itu segera memahami. “Mak, marilah masuk.Dia nak ukur badan mak,”katanya seraya menjenguk ibunya di luar kedai.

Ibunya masuk sambil mengomel sesuatu.Dengan langkah terpaksa dia mendekati Azira yang sudah bersedia dengan tali pengukur.Beg kertas diletakkan di atas kaunter.

Azira meneruskan kerja-kerja tanpa banyak bersuara. Dia sudah faham benar kerenah pelanggan sebegitu.Tak perlu dibantah segala percakapan mereka.Biarlah ianya pudar bersama masa sahaja supaya tidak meninggalkan bekas di hati masing-masing. Setelah siap.Azira mengeluarkan kain yang hendak dijahit. Dia tergamam sebentar.

“Kenapa? Kau tak pernah tengok kain semahal ini?”bentak ibu Nazmi sebaik menyedari perubahan air muka Azira.

Azira serba-salah untuk menjawab,dia berpura-pura tidak mendengar. Kain itu digunting sedikit untuk dibuat contoh.

“Ha? Kau gunting kain aku? Siaplah kau kalau baju aku tak cantik nanti.”

Hampir terlepas pen di tangan Azira.

“Apalah, mak ni. Nak buat baju tentulah kena gunting,”tempelak Nazmi pula dari belakang.Dia tersenyum kepada Azira sambil menggeleng kepala.

“Bila nak siap ni?Kau jangan main-main,aku nak pakai nanti.”Ibu Nazmi masih merusuh di situ.

“Saya akan call anak mak cik bila siap,”jawab Azira dengan nada yang terkawal.

Wanita itu berpaling lalu melangkah keluar.

Nazmi mendekati Azira lalu mengambil resit yang dihulurkan. “Tolonglah siapkan ya.”

Azira cuma mengangguk walau kepalanya berserabut.Warna merah terang kain itu membuat matanya berpinar-pinar. Siapalah yang pilih kain macam ni? Tak sesuai betul.

*****
*Siapa yang belum habiskan Kisah Ainina..tolong cepat ya sebab saya kena padamkan cerita itu

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.