Monday, December 5, 2011

Coretan: Salah ke aku menyukainya?


“Salah ke, aku menyukai dia?” Anis bertanya sendiri. Dia bertanya kepada dirinya, dia bertanya kepada angin yang sedang berhembus kuat. Namun, persoalan itu hanya tinggal sepi. Sesepi malam itu. Apa yang ada hanyalah kedinginan dan rasa bingung yang tidak bertepi.
Lalu perlahan-lahan, ada rasa aneh yang menyelinap di setiap urat jantungnya. Rasa sejuk, pedih dan jerih. Dia rasa rindu.
“Kau terlalu terburu-buru, Anis. Kau tak siasat latar belakangnya dulu. Kau terlalu ikutkan kata hati.” Terngiang-ngiang di telinganya, kata-kata Maria tempoh hari kepadanya.
“Terburu-buru? Aku rasa tak. Di saat aku menatap wajahnya, aku sudah tahu apa perasaan aku terhadap dia. Dan perasaan itu tak dapat kutukar ganti lagi.” Dia cuba menjelaskan kepada Maria.
“Itulah kau… Apa pun yang aku cakap, kau takkan dengar lagi,” balas Maria dengan wajah yang serius.
“Aku tak nampak apa rasionalnya kita mencurigai dia. Berikan aku satu sebab.” Anis merenung wajah Maria tanpa berkelip. Di saat itu, dia ingin sekali meyakinkan Maria bahawa pilihannya tidak pernah salah. Mencintai Danny bukan satu kesilapan.
“Sebab dia suka berahsia,” balas Maria. Nadanya amat tertekan.
Anis terdiam seketika. Dia tahu, perkara itu juga merunsingkan fikiran Maria, sahabat baik yang merangkap teman serumahnya. Selama ini pun, hanya Maria yang mengambil berat semua kisah hidupnya. Maka dia tidak mahu Maria berasa risau dengan persahabatannya dengan Danny yang baru sahaja bermula.
“Itu sahaja? Maria… aku rasa engkau terlalu bersangka buruk. Engkau merisaukan apa yang tak perlu dirisaukan, pun.”
“Ini untuk kebaikan engkau juga, Anis. Aku tak mahu engkau menyesal nanti,” balas Maria. Masih lagi berdiri di beranda flat itu. Masih lagi merenung keindahan kota yang nampak berbalam di hadapan mereka. Masih lagi tidak dapat mencari ketenangan yang cuba mereka gali sejak sejam yang lalu di situ.
“Aku tahu. Aku tahu engkau merisaukan aku. Tapi percayalah… gerak hatiku betul. Aku percayakan dia dan engkau mesti percayakan aku.” Anis memegang lengan Maria. Dia benar-benar mengharapkan restu Maria kali ini. Tanpanya, dia akan berasa resah. Dia akan berasa waswas.
Akhirnya Maria tersenyum hambar. Dia menelan liur sebelum bertanya, “Kau suka dia?”
Anis mengangguk laju.
“Kau percayakan dia?”
Anis mengangguk lagi.
“Mungkin sudah sampai masanya engkau harus bertanggungjawab dengan keputusan yang engkau ambil,” sambung Maria. Tatapan matanya masih menyeluruhi wajah Anis di hadapannya.  “Aku harus menyokong, engkau.”
Anis tersenyum. Terasa ringan pundaknya. “Tak salah aku menyukainya, kan?”
Maria menggeleng perlahan. “Apa yang engkau rasa terhadapnya adalah hak engkau. Tetapi berhati-hatilah. Setiap keputusan itu ada risikonya.”
Anis menundukkan kepalanya. Pandangan matanya kini terlontar ke atas sebatang jalan yang tampak kelam di bawah flat itu. Hatinya mula digayut sayu. “Hanya ada dua kemungkinan, kan?”
“Ada lebih daripada itu. Hidup ini bukan sekadar berwarna hitam dan putih,” balas Maria.
Air mata sudah menari-nari di pelupuk mata. Segala rasa sendu kini memenuhi relung hati yang kian renyah. “Tak bolehkah, aku memiliki kebahagiaan seperti orang lain?”
Maria mengusap lembut bahu Anis. Kini mereka sama-sama merenung kegelapan malam di hujung flat itu. “Segalanya mungkin, Anis. Segalanya berkemungkinan. Ada bahagia yang diakhiri derita. Ada derita yang diakhiri bahagia. Ada juga bahagia yang kekal hingga ke hujung nyawa.”
“Salah ke aku menyukai dia, Maria?” Anis mengulangi soalan yang sama.
Maria tidak menjawab lagi. Bersama angin malam yang berhembus, mereka tinggalkan soalan itu tidak berjawab. Dan kini dia masih di situ mencari sebuah jawapan yang pasti… salah ke dia menyukai, Danny? Salah ke?
    
 * nantikan novel ERTI CINTA di pasaran!

2 comments:

  1. betapa cinta itu buta..satu perasaan yang hadir tanpa disedar..hadirnya tiba2..syahdu betul kisah percintaan anis v danny..

    ReplyDelete
  2. Ya, begitulah. Adakalanya orang tak faham apa yang dirasakan mereka.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.