Friday, October 12, 2012

CERPEN: Kopi dan Red Velvet



“Apa khabar sekarang?” tanyaku seikhlasnya walaupun di hujung pertanyaan itu hatiku kelesah.
“Baik.” Fira menjawab perlahan, sekali dengan anggukan. Kemudian menoleh ke arah lain lalu beredar.
Aku yang tercegat di tepi meja hidangan bufet hanya mampu memandang dan melihat dia pergi. Sukar sekali untuk kutafsirkan apakah perasaannya kerana terserempak dengan aku di situ. Tapi yang pastinya, tidak ada lagi garis-garis gembira dan bahagia seperti yang pernah ada dua tahun yang lalu. Aku rasa kehilangan.
“Razi, you nak air apa? I ambilkan.” Laila menyapa aku yang masih tercegat bersama sepiring kek Red Velvet.
“Tak apa, I boleh ambil.” Aku meninggalkan Laila lalu mencari tempat duduk di satu sudut. Namun sebaik sahaja aku meletakkan punggung, aku rasa bertambah hampa. Di situ aku gagal melihat kelibat Fira. Entah di mana dia duduk, aku tidak tahu.
Laila yang baru tiba bersama semangkuk bubur, turut terpandang-pandang sekeliling. Sama-sama mencari apa yang aku cari.
“You cari apa?” tanyanya.
Aku geleng. Kini mataku tunduk memerhati dua potongan kecil kek Red Velvet di atas pingganku. Kek yang mempunyai sejarah aku dan Fira.
“You belum ambil air,” tegur Laila lagi sambil menjeling mejaku yang kosong.
Untuk tidak mengelakkan mulut Laila terus riuh, aku gamit seorang pelayan supaya datang kepadaku. Aku minta dihidangkan secawan kopi.
“You ni kan… suka sangat minum kopi. Dari pagi tadi sampai ke petang ni, I rasa you dah minum empat cawan kopi.”
Aku mengeluh perlahan-lahan. Nampaknya mulut Laila tetap riuh juga. Namun di sebalik itu semua aku tidak pula rasa terhibur. Aku rasa seperti berada di dunia lain. Fikiranku masih tertumpu kepada Fira yang nampak tenang dan matang. Adakah perpisahan itu benar-benar membahagiakan dia? Aku rasa terkilan.
*******
Dua tahun yang lalu….
“Kenapa? I cuma mahu tahu kenapa. Itu sahaja.”
Fira tetap memasamkan muka. Dia hanya merenung jauh kota Kuala Lumpur yang tampak dari balik kaca di sebelahnya. Waktu itu langit gelap, awan menanti masa untuk menangis.
“Sekurang-kurangnya beri satu sebab kenapa Fira nak putuskan hubungan kita. Jangan pergi tanpa sebarang alasan,” pintaku lagi pada waktu itu.
Tetapi Fira cuma menggeleng dan mengunci mulut.
Aku merenung lama wajah Fira, gadis yang aku benar-benar cinta seluruh jiwa dan raga. Rasanya tidak ada apa lagi yang tidak aku berikan kepadanya namun nampaknya semua itu masih tidak mencukupi buatnya.
“Cakaplah. I janji I takkan marah,” pujukku lagi. Walaupun aku tahu di saat itu aku sendiri meragui kemampuanku.
Fira tetap menggeleng.
Akhirnya aku mengalah dengan kemahuan Fira. Keputusan Fira itu aku terima walaupun aku tidak tahu apa puncanya Fira berubah arah. Buat apa aku memaksa Fira menerima diriku lagi sedangkan diriku sudah tidak ada makna dalam hidupnya. Namun terima dan rela itu dua perkara yang berbeza. Aku terpaksa melepaskan Fira dari hidupku namun aku tidak rela. Aku sengsara.
******
 “Bila you nak kahwin?”
Teguran Laila mengembalikan aku ke alam nyata. Namun aku tidak memberikan apa-apa reaksi atas pertanyaan itu. Fikiranku masih jauh terawang-awang mengingati saat-saat manisku bersama Fira. Kalaullah Fira datang kembali kepadaku… akan kusambut dia dengan penuh rindu dan kemaafan. Akan kubalut dia dengan cinta dan harapan. Ah! Kalaulah…
“You fikir apa?” tanya Laila lagi.
Aku geleng. Dua potongan kek Red Velvet tadi masih belum kusentuh. Rasanya seperti tidak sanggup pula menyentuhnya dan membawa ke mulut. Lalu aku capai kopi yang masih belum ditaruh gula dan susu, kuteguk hingga habis. Aku seolah-olah cuba membandingkan kepahitan kopi itu dengan segala rasa pahit yang ada di hati.
“Dah lama you single. You… tak nak cari pengganti ke?” Laila bertanya dengan cukup selamba.
Aku cuba tersenyum. Aku baru tersedar yang aku tidak berseorangan di situ. Di sisiku ada Laila yang cantik manis. Namun kemudiannya aku geleng. Pengganti? Itu tidak pernah kufikirkan kerana aku masih merasakan kehadiran Fira dalam hatiku. Fira yang membayangi diriku.
“Takkan tak ada perempuan lain dalam dunia ni yang boleh tarik hati you? Lagipun sampai bila you nak stay macam ni?”
“Kalau I tak kahwin pun, bukannya menyusahkan sesiapa,” balasku. Entah kenapa pertanyaan Laila mula membuatkan aku berasa jengkel. Kenapa hal peribadi aku yang disibukkan? Selama ini pun, aku hidup aman damai bersendirian, cuma sunyi setelah Fira pergi. Itu sahaja.
“Zaman sekarang ni, lelaki yang lambat kahwin pun sudah dipandang serong tau.” Laila tersenyum sinis.
“Why?”
“Yalah… kalau lelaki lambat kahwin, orang mesti fikir… dia tu gay. Tak minat perempuan.”
Aku ketawa kecil. “Soal aku gay atau bukan, itu soal aku. Biarlah orang nak fikir apa pun.”
Laila tarik nafas panjang.
“Apa yang you susahkan ni?” Aku bertanya pula. Aku tidak suka pula melihat kerisauan yang terpancar di wajah Laila.
“Tak adalah. Gosip pasal you dah heboh di pejabat. I cuma nak ingatkan you saja pasal ni.”
“Gosip?” Mataku terkebil-kebil tetapi aku tidak berasa terlalu terkejut. Pasti ada mulut-mulut yang gatal menghebahkan fitnah yang entah apa-apa di belakangku. Manusia.
Laila angguk. “Lebih baik you kahwin cepat atau… cari saja girlfriend baru.”
Aku tersenyum. “I perlu kahwin semata-mata untuk menutup gosip? I perlu cari girlfriend secepat mungkin semata-mata untuk menutup mulut orang?”
Laila angguk lagi.
Aku pula geleng.
Senyuman di wajah Laila pudar.
“I takkan kahwin semata-mata untuk tutup mulut orang. Lagipun…” Aku terdiam. Jawapan seterusnya terhenti apabila aku terpandang Fira sedang melangkah keluar bersama beberapa orang lelaki yang aku percaya majikannya.
Fira menoleh ke arahku sebentar. Sempat dilayangkan senyuman yang sukar sekali aku tafsirkan.
Aku termangu di situ. Rasanya jiwaku sudah terbang melayang mendekati dia.
“Siapa tu?” Laila menegur.
Baru aku sedar Fira sudah tiada di situ. Lalu aku menjawab dengan rasa bangga, “Ex-Girlfriend.”
Mulut Laila terlopong seketika sebelum dia mengangguk lemah. “You.. masih ingatkan dia?”
Aku angguk. “Bukan saja ingat, malah I masih harapkan dia balik pada I.”
“You tunggu dia?”
“Yeah. I masih tunggu dia.”
“But why? Selama mana you nak tunggu dia?”
Aku angkat bahu.
“Oh my god….” kata Laila sambil menggeleng keras. Bulat matanya merenung wajahku.
Aku selamba sahaja. Kek Red Velvet aku suapkan ke mulut. Rasanya masih sama seperti dulu, warna merahnya juga masih indah. Dan rasa Red Velvet yang lemak manis itu masih dapat menandingi rasa kopi yang pahit. Pantas menenggelamkan segala rasa sedih dan kecewa.
Lalu aku tahu cintaku pada Fira masih utuh walaupun Fira sudah jauh. Kopi dan Red Velvet…aku dan Fira.  Ternyata aku masih tewas pada rasa cinta seperti lidahku tewas kepada rasa Red Velvet.

TAMAT

6 comments:

  1. Nape fira mtk break?? Xmau smbg lg ke cik writer?? Huhu

    ReplyDelete
  2. Mungkin tidak kali ini. Terima kasih kerana membaca.

    ReplyDelete
  3. apa hubungan antara kek velvet dan kopi dengan 'aku' dan Fira?

    ReplyDelete
  4. Fira memang sangat mencintai pasangannya

    ReplyDelete
  5. *HOKIBET
    *BUKATOGEL.COM
    *DAFTAR
    *REFERRAL
    *BUKU MIMPI
    *PREDIKSI

    * Potongan/Discount Bukatogel.com :
    * 2D : 29% = Rp. 70.000
    * 3D : 56% = Rp. 400.000
    * 4D : 65% = Rp. 3.000.000

    * BBM : 7boc7177
    * HP/SMS : +639277025291

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.