Tuesday, January 8, 2013

PERCAYALAH SAYANG: Bab 22



Bab 22
“KITA… nak ke mana ni, bang?” Anis sekadar mahu tahu. Tali pinggang keledar dipakai seperti biasa.
“Kita cari klinik yang paling dekatlah. Kalau ada dekat simpang depan tu, dekat situlah kita pergi dulu. Boleh?” Damien bertanya kepada Anis pula. Dengan keadaan Anis yang lemah dan pucat itu dia tidak berhajat untuk membawa Anis berjalan jauh. Dan dia yakin pasti ada klinik yang berdekatan.
Anis angguk sahaja. Di sepanjang perjalanan ke simpang, dia hanya mendiamkan diri sambil cuba menikmati lagu-lagu Maher Zain yang berkumandang di dalam kereta itu. Sejuk hatinya.
Seingat Damien, ada sebuah klinik di hujung Pekan Rastali. Dia pun lantas memutar stereng menuju ke arah klinik itu, sayangnya apabila tiba di situ, klinik itu pula tutup.
“Tutup?” kata Anis apabila Damien memberhentikan keretanya di hadapan klinik itu. Matanya lurus memandang pintu klinik yang berkunci rapat.
“Anis tunggu sekejap ya? Abang nak tanya orang.”
Damien terus membuka pintu kereta dan keluar. Daripada ke hulu ke hilir mencari tanpa arah, lebih baik dia meringankan mulut bertanya. Setelah memberi salam dia memberanikan diri bertanya kepada seorang pak cik tua yang baru sahaja keluar dari sebuah kedai runcit yang terletak bersebelahan dengan klinik tadi.
“Saya sebenarnya mencari klinik, pak cik. Dekat mana klinik yang paling dekat selain daripada klinik di sebelah ni?”
“Paling dekat di Masjid Tanah. Itu pun kalau buka. Hari ni kan hari Ahad? Tapi lebih baik ke Hospital Intan Hayati. Lebih dekat,” jawab pak cik tersebut.
Damien terdiam seketika. Setelah mengucapkan terima kasih, Dia masuk semula ke dalam keretanya. Dadanya masih berdebar dan fikirannya masih terawang-awang setelah bercakap dengan pak cik tersebut.
“Ada? Dekat mana?” tanya Anis sambil memandang wajah Damien yang seolah kebuntuan.
“Hospital adalah. Boleh?” tanya Damien pula. Dia mula mengundurkan keretanya perlahan-lahan. Dia tahu Anis tidak suka ke hospital, dan dia juga rasa berat hati mahu ke Hospital Intan Hayati sekali lagi.
“Hospital? Anis bukannya sakit teruk, bang. Anis cuma demam saja.” Anis mula bingung. Dia nampak teruk sangat ke? Berbanding klinik, hospital lagilah dia takut nak pergi. Dia takut kena tahan di wad. Sakit sikit jadi sakit banyak.
“Hari ni hari Ahad. Klinik tak buka. Lagi-lagi kalau dah petang macam ni.”
“Kalau macam tu, kita pergi esok sajalah,” kata Anis. “Anis pun dah rasa makin sihat selepas dapat angin luar ni.” Dia cuba tersenyum. Senyuman untuk menjual modal.
Damien tidak menjawab terus. Dia termenung jauh sambil terus memandu.
“Abang, Abang!” panggil Anis.
Damien baru tersedar. Dia menoleh ke arah Anis sambil mengangkat dagu untuk bertanya. Dia masih buntu, dia belum dapat membuat keputusan sama ada mahu bertegas membawa Anis ke hospital ataupun berpatah balik sahaja.
“Kita nak ke mana ni, bang?” Mata Anis lurus memandang jalan. Di kiri-kanan hutan ataupun paya yang dipenuhi semak-samun. Dengan keadaan petang yang semakin tua, jalan yang sunyi itu terasa menyeramkan.
“Betul Anis tak mahu ke hospital?” Damien memberhentikan keretanya di tepi jalan.
Anis angguk laju.
“Kalau macam tu…kita cari kedai makan. Boleh?”
“Boleh…”
Bersama satu tarikan nafas yang panjang, Damien membuat pusingan U untuk berpatah balik ke Pekan Rastali. Dalam hatinya, dia sendiri tidak pasti. Lega ataupun semakin rasa bersalah.
******
“BOLEHLAH kat sini,” kata Anis sebaik sahaja duduk di atas sebuah kerusi. Tangannya menarik lengan Damien supaya ikut duduk di sebelahnya. Dia tahu, Damien agak tidak biasa makan di kedai kecil seperti itu tetapi dia juga tidak larat untuk berjalan jauh ke kedai yang lain. Kedai itu sudah cukup bagus pada pandangan matanya. Bersih walaupun tidaklah secantik restoran besar.
Damien duduk perlahan-lahan. Dia ikutkan sahaja kehendak Anis. Yang pentingnya Anis dapat mengisi sesuatu dalam perutnya.
“Nak makan apa?” Dia bertanya kepada Anis sebaik sahaja pelayan tiba di meja mereka.
“Mi sup ada?” tanya Anis pula.
Setelah pelayan lelaki itu mengangguk, Anis terus membuat pesanannya. “Saya nak mi sup satu. Air limau ais satu.”
“Make it two,” kata Damien.
“Semalam abang yang tak sihat, hari ni Anis pula.” Anis memulakan bicara sementara menanti mi yang dipesan siap. Perlahan-lahan ada rasa sayu meresap di hatinya. “Pening kepala abang macam mana? Dah hilang?”
“Bangun pagi tadi dah tak rasa pening macam semalam. Dah okeylah tu.”
“Abang tak nak periksa tekanan darah? Mana tahu ada masalah?”
Damien menggeleng. “Abang sihat, Anis tu yang demam terkejut.”
Usikan Damien membuatkan Anis tersenyum. Dia demam terkejut? Terkejut kerana dapat rumah sendiri yang besar itu? Dia tidak menolak jika sememangnya itu yang menjadi sebabnya tetapi entah kenapa dia rasa bukan begitu. Rasa tidak sihat yang dirasakan kali ini bukan sahaja seperti demam biasa tetapi seolah-olah setiap urat dan inci tubuhnya juga kesakitan tetapi dia tidak mahu Damien berasa susah hati.
“Itu baru kahwin dengan abang. Kalau kahwin dengan anak raja, mungkin terus pengsan tiga hari tiga malam,” usik Damien lagi.
“Baguslah kalau macam tu,” katanya perlahan.
Sekurang-kurangnya dia bersyukur kerana Damien sudah kembali sihat seperti biasa. Jika dua-dua orang jatuh sakit, tentu keadaan bertambah sukar. Habislah percutian mereka ke situ.
“Esok, kita pergi klinik ya. Esok bukalah klinik tadi tu.”
“Anis harap esok Anis dah sihat. Kalau tak seratus peratus pun, semakin baik pun jadilah,” balas Anis.
“Jangan salahkan diri Anis. Sakit pening pun pemberian Tuhan. Sabar dan redha sajalah.”
Lembut suara Damien masuk ke telinga Anis. Anis angguk. Dia faham soal itu cuma sedikit sebanyak dia berasa bersalah juga kepada suaminya. “Tapi maafkan Anis sebab…percutian kita tak berjalan seperti sepatutnya.”
“Anis jangan risau soal tu. Kita lama lagi di sini. Kita buatlah apa yang terlarat, jangan paksa diri, kita cuma datang sini untuk berehat dan menghabiskan masa bersama-sama.”
Anis rasa terharu sangat. Ketika mi sup yang masih berasap itu menyentuh lidahnya, dia menanamkan azam agar tidak mengalah kepada kelelahan tubuh yang dirasakan sebelum ini. Dia ingin sihat, dia ingin Damien gembira semula. Kerana kemuraman di wajah Damien yang cuba diselindungkan itu, tetap mengejar rasa bersalahnya ke mana-mana. Siapa yang suka jika isteri asyik sakit sahaja? Fikirnya.
*****
MAISARA tersedar dari lenanya tidak lama selepas Anis dan Damien meninggalkan Vila Helena. Kesepian rumah itu membuatkan dia teringat kepada ibunya.
“Mummy,” panggilnya.
“Maisara di mana ni?”
“Di mana lagi? Di Vila Helenalah,” jawab Maisara sambil tersenyum. Dia tahu, pemergiannya ke situ tidak direstui ibunya tetapi dia juga tidak dapat menahan rasa ingin tahunya tentang rumah itu.
“Jumpa ke?”
“Jumpa. Tadi mummy beritahu uncle ya pasal saya nak ke sini?”
“Kenapa? Dia ada telefon Maisara ke?” balas Datin Zarina.
“Haah, uncle tak beri saya ke sini tapi saya buat tak dengar saja. Dia suruh tinggal di hotel.”
“Dia tak nak Maisara ganggu Anis dan Damien kut? Eloklah kalau Maisara tinggal di hotel saja. Mummy pun setuju.”
“Tak mahulah, mummy. Rugi. Vila ni cantik betul. Kalah resort.”
“Ya ke? Vila tu dah diubahsuai ke?”
“Nampaknya begitulah sebab semua perabot di rumah ni barang baru. Cuma ada sikit-sikit saja perhiasan lama yang dikekalkan.” Maisara merenung lukisan akrilik yang tergantung di hadapan matanya. Lukisan sebuah kapal yang sedang belayar di lautan. Cantik.
“Nampaknya beria-ia uncle kamu habiskan duit untuk menantu dia tu.”
“Menantu kesayangan. Mestilah,” balas Maisara. Rasa cemburu muncul di fikirannya. Sejak kehadiran Anis dalam keluarga itu, dia rasa seperti ada persaingan antara dia dan Anis. Kalau dulu dialah gadis kesayangan bapa saudaranya. Kini tidak lagi.
“Jadi Maisara nak tinggal di situ? Sampai bila?”
“Sampai puas,” jawabnya main-main. Tetapi dia memang tidak rasa mahu meninggalkan vila yang cantik itu dalam masa yang terdekat.
“Ikut Maisaralah. Tapi kalau rasa apa-apa, keluarlah dari situ,” balas Datin Zarina.
“Rasa apa pula?”
“Manalah mummy tahu?”
“Hisy! Mummy ni… janganlah cakap macam tu.” Maisara tutup semula telefonnya. Kesepian yang kian mencengkam, membuatkan dia tidak berani langsung turun daripada katilnya.
*******
PUKUL 7.30 malam. Damien dan Anis baru tiba semula di Vila Helena. Walaupun hari sudah menjengah malam namun di situ, cuaca belum gelap sepenuhnya. Sedang Damien membuka kunci pintu, telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Faiz di situ.
“Anis masuk dulu…,” kata Damien sebelum dia melangkah ke arah buaian yang tergantung di bawah sebatang pokok besar berdekatan dengan pagar. Dia duduk di situ.
Anis tidak membantah, dia terus sahaja melangkah masuk ke dalam rumah.
“Ada apa, Faiz?” Dada Damien berdebar-debar. Entah kenapa, sebaik sahaja terpandang nama Faiz di skrin telefon, dia jadi menggelabah dan berpeluh-peluh.
“Doktor Azim ada telefon kau tak?”
“Tak ada. Kenapa?”
“Doktor Azim telefon aku tadi. Dia tanya pasal kau.”
“Dia nak apa?”
“Perempuan tu tak stabil semula. Dia nak jumpa kau esok,” jawab Faiz.
“Buat apa jumpa aku? Cucuk sajalah ubat penenang ke… apa-apa ke kat perempuan tu.” Damien menyapu peluh di dahinya walaupun angin senja yang menampar pipinya terasa sangat dingin.
“Manalah aku tahu? Tapi kau datanglah jumpa dia esok. Tentu ada hal yang dia nak bincangkan pasal tu,” balas Faiz.
“Kau ada beri dia nombor telefon aku tak?”
“Tak. Aku lupa.”
“Jangan beri. Tolong jangan beri.”
“Kau belum beritahu isteri kau?”
Damien menelan air liur. Pertanyaan itu seakan-akan membuatkan lehernya tercekik.
“Aku dah telefon ayah aku. Aku akan bincang dengan ayah aku dulu nanti. Tengoklah macam mana. Kalau hal ni boleh selesai tanpa pengetahuan dia lagi baik.”
“Ikut kaulah tapi jangan lupa pergi ke hospital esok. Pukul 10.00 pagi di bilik yang sama,” pesan Faiz sebelum menamatkan panggilannya.
Sebaik sahaja telefon bimbitnya senyap semula, Damien termenung. Kenapa Dr. Azim nak jumpa dia pula? Jika mahu dia memberikan maklumat, rasanya pagi tadi dia sudah menceritakan segala-galanya yang dia tahu. Sudah tidak ada apa lagi yang boleh dibantunya. Sedang dia cuba mencari jawapan kepada persoalan itu, telefon bimbitnya berbunyi lagi…
“Helo sayang,” jawabnya.
“Naiklah cepat. Waktu Maghrib bukannya lama sangat,” celoteh Anis.
“Abang naiklah ni….” Damien mematikan panggilan Anis lalu mengangkat punggung dari buaian. Sebaik sahaja dia mahu melangkah… terasa bahunya ditolak. Dia terdorong ke hadapan beberapa langkah. Apabila dia menoleh ke belakang, dia tidak melihat sesiapa. Hanya buaian yang didudukinya tadi sedang terhayun laju.

1 comment:

Note: Only a member of this blog may post a comment.