Monday, January 28, 2013

PERCAYALAH SAYANG: Bab 24



Bab 24
 “ANIS!”
Damien meletakkan semula Al-Qur’an yang dipegang. Dia meluru ke arah Anis yang menggelisah di atas katil. Sakit Anis menyerang semula, sekurang-kurangnya itulah yang dilihatnya sekarang. Keadaan Anis telah kembali seperti tadi malah kali ini bertambah teruk lagi.
“Kenapa ni?” Maisara meluru masuk ke bilik Anis.
Damien tidak menjawab pertanyaan Maisara, dia hanya menumpukan perhatian kepada Anis.
Anis hanya mengerang. Suaranya garau walaupun matanya terpejam rapat sehinggakan kelopak matanya berkedut-kedut. Apa yang jelas, tubuh Anis kejang dan sesekali terangkat daripada katil. Jari-jemarinya yang bengkok dan keras mencakar-cakar cadar sehingga menghasilkan bunyi seperti kain tercari.
            Damien mula berpeluh. Tidak pernah dia berdepan dengan situasi serumit itu. Tidak pernah juga dia melihat Anis berkeadaan begitu. Malah dia rasa, Anis di hadapannya seolah-olah dalam kesakitan yang teramat sangat. Luluh jiwanya.
            “Apa kena  dengan Anis ni?” Maisara ikut kelam kabut memegang tubuh Anis yang kembali mengejang.
“Ayah! Ayah!” Damien terus memanggil ayahnya menerusi telefon. Badannya terus berpeluh walaupun bilik itu terasa amat dingin.
            “Kenapanya? Kenapa cemas sangat…”
            “Ayah…Anis.”
            “Kenapa dengan dia?”
            “Entahlah. Dia… kejang, keras. Mengerang-ngerang entah apa dia cakap,” balas Damien. Dia semakin cemas apabila Anis terus meronta-ronta seperti sedang berlawan dengan sesuatu. Anis menendang dan memaki sesuka hati. Sesekali terkeluar perkataan yang tidak difahami maknanya.
            “Astagfirullahalazim…tadi dia buat apa?”
            “Dia tengah tidur, saya baca Yassin. Tiba-tiba saja…”
            “Jangan tunggu lagi. Kamu azan dekat telinga dia kuat-kuat, dia kena ganggu tu…” balas Tan Sri Dzairil.
            Azan? Damien meletak telefon bimbitnya ke tepi. Dipegangnya kepala Anis lalu dirapatkan bibirnya ke telinga Anis. Dengan linangan air mata dia melaungkan azan sepenuh hati. Dipanjatkan segala doa kepada Tuhan, agar apa pun yang menganggu Anis segera pergi. Dia tidak sanggup melihat Anis kesakitan begitu…
*****
 SEBAIK sahaja bunyi azan dilaungkan, erangan Anis bertukar menjadi jeritan. Tubuh Anis menggeletar kuat sehinggakan katil bergoyang. Namun Damien terus melaungkan Azan sepenuh hati, dia hanya pasrah kerana itulah satu-satunya cara yang dia tahu untuk menyelamatkan Anis. Hanya pada Tuhan dia meminta pertolongan. Mujurlah di hujung laungan azan itu, jeritan Anis beransur hilang. Anis akhirnya teresak-esak dan tubuhnya longlai semula di pangkuan Damien.
            Menyedari Anis kembali tenang, Damien pantas merebahkan semula kepala Anis ke atas bantal. Air sejuk baki minuman Anis tadi, direnjiskan ke muka Anis lalu diraut rata. Dia menunggu Anis membuka mata.
            “Anis… mengucap, sayang,” pintanya apabila Anis mulai sedar semula. Tetapi Anis hanya memandang sayu ke arahnya.
            “Anis sedar tak ni?” Dia bertanya apabila air mata Anis berlinang dan meleleh ke atas bantal. Cepat-cepat disapunya. Dia masih tidak faham apa yang menyedihkan hati Anis.
            “Abang…” Anis memanggil.
            “Abang di sini,” balasnya.
            “ Anis takut… ada benda….”
            Damien geleng. “Abang tak tinggalkan Anis. Anis tidurlah dulu. Abang ada dekat Anis.”
            Anis tidak bersuara lagi. Dia hanya memandang wajah Damien seperti tidak mahu melepaskan Damien walaupun sekelip mata. Tetapi lama-kelamaan mata Anis tertutup juga.
Dengkuran halus yang terbit dari bibir Anis membuatkan hati Damien kembali lega. Ya, Allah! Lindungilah isteriku, pohonnya sesungguh hati sambil mengalirkan air mata. Setelah perasaannya dapat dikawal, dia kembali mencapai telefon bimbit yang dicampakkan tadi. Ayahnya dihubungi sekali lagi.
“Macam mana? Dah okey?” Suara Tan Sri Dzairil terus bergema.
“Dah agaknya. Dia nampak letih betul, terus tertidur selepas menjerit tadi.”
“Anis menjerit?”
Damien terus menceritakan semua yang dialaminya tadi. Satu pengalaman yang tidak pernah ditempuhnya selama ini. Dia bersyukur kerana keadaan seolah-olah telah kembali pulih. Cuma dia juga risau jika keadaan itu akan berulang lagi.
“Alhamdulillah. Kalau jadi lagi jangan lupa laungkan azan kuat-kuat. Selepas tu baca Ayatul Kursi dan segala surah yang kamu lazim baca seperti Al-Fatihah, Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas. Takkan itu pun Dami tak tahu?”
            Keluhan panjang terpacul daripada bibir Damien. Pertanyaan ayahnya cukup sukar untuk dijawab.
“Kita ni sudah namanya ketua keluarga. Bukan saja perlu memberi nafkah tapi juga mesti tahu menjaga keluarga dari sebarang gangguan. Keluarga mengharapkan kita,” sambung Tan Sri Dzairil lagi. “Berat tugas kita sebagai seorang suami ni.”
“Terima kasih, abah.” Itu saja balasnya.
Dia sendiri rasa teramat penat berdepan dengan situasi yang mencemaskan itu. Dengan tiba-tiba sahaja dia perlu berdepan dengan situasi yang membingungkan. Dia juga sedar tugas sebagai suami yang dipikul bukan sekadar untuk memberikan kasih sayang dan makan minum. Dia juga harus berikhtiar melindungi keluarganya.
            “Abah tahu Dami bingung. Dami tak pernah lihat benda-benda macam tu.”
            “Ya.”
Damien terpaksa mengakui. Kata-kata ayahnya benar belaka. Dia tidak berpengalaman dengan kejadian seumpama itu. Walaupun pernah melihatnya di dalam televisyen, filem atau membacanya di dalam novel tetapi semua itu tidak terbanding dengan apa yang telah dilaluinya sendiri tadi. Mungkin kerana kejadian itu melibatkan dia dan isterinya, bukan orang lain.
            “Abah cadangkan macam ni… abah nak Dami selalu mengaji di rumah tu.”
            “Abah fikir ada yang tak kena ke dengan rumah ni?”
            “Dami… mungkin salah abah juga kerana belikan rumah tu.”
            “Saya tak faham,” balas Dami.
            “Dalam keadaan Anis yang masih lemah semangatnya… abah hantar pula ke situ.”
            “Maksud abah?” Damien semakin ingin tahu.
            “Abah percaya tempat tu bukanlah tempat yang ‘sihat’ sangat. Benda-benda halus suka tempat macam tu…di tepi laut, rumah yanag lama orang tak duduk, jauh terasing pula.”
            “Abah…” Damien bersuara. Entah kenapa dia rasa ayahnya tidak banyak membantu. Makin menyusahkan hati.
            “Tak ada apa… cuma Dami dan Anis perlu kuatkan hati. Jangan tinggal solat, mengaji selalu. Insya-Allah, benda-banda tu akan lari.”
            “Perlu ke saya bawa Anis balik KL, abah?”
            “Kalau Dami rasa perlu. Tapi… hal di hospital tu macam mana pula?”
            Damien terdiam. Baru dia teringatkan hal di Hospital Intan Hayati yang belum selesai. “Nanti saya bincangkan dengan Anis dulu. Kalau dia nak balik KL, saya suruh driver jemput dia.”
            “Dami…”
            “Ya, abah.”
            “Kalau boleh janganlah tinggalkan Anis sorang-sorang di situ.”
        “Okey,” jawab Damien walaupun dia tidak tahu apa yang harus dilakukan nanti. Mungkin lebih baik jika Anis balik sahaja ke Kuala Lumpur. Semasa dia menamatkan panggilan, terasa angin laut menderu menampar pipinya. Apabila dia menoleh ke arah pintu gelongsor…pintu itu masih tertutup rapat. Berdiri bulu romanya.
Maisara yang menyaksikan kejadian itu terjelepuk di tepi dinding. tidak bercakap lagi.

**********

Selepas bab ini, saya akan siarkan bab yang terakhir ya. 
Selepas itu kita akan tunggu novel ini keluar bersama-sama. Jangan lupa baca nanti,
 kita akan menyelongkar misteri yang berada di Vila Helena, Maya dan Hanna.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.