Friday, January 18, 2013

PERCAYALAH SAYANG : Bab 23


Bab 23
SETIBANYA di tingkat dua, Anis menuju ke bilik Maisara. Kesenyapan bilik itu, membuatkan dia berasa ragu-ragu untuk mengetuk.
“Maisara,” panggilnya perlahan. Pintu bilik itu dibuka dengan perlahan-lahan. Tidak berkunci.
Maisara yang sedang berselimut di atas katil menoleh.
“Aku ada belikan kau nasi goreng tadi. Kalau lapar, turunlah makan,” kata Anis. Terbit rasa bersalah pada Maisara kerana dia tidak dapat melayan tetamunya dengan baik. Apatah lagi Maisara adalah tetamu pertamanya di rumah itu.
“Kau keluar ke tadi? Kenapa tak ajak aku sekali?”
“Pada mulanya kami nak ke klinik tapi tak ada klinik yang buka waktu ni. Kami singgahlah makan. Kau lapar ke? Pergilah makan dulu.”
Maisara menggeleng. “Belum lapar sangat. Tadi tengah hari aku makan banyak di dapur. Sedap juga masakan pembantu rumah kau.”
Anis terdiam sesaat. “Kau makan tengah hari di bawah?”
“Haah, pembantu rumah kau ketuk pintu dan ajak turun makan. Aku makanlah.”
“Tak apalah kalau macm tu. Aku tak berapa sihat beberapa hari ni,” balas Anis. “Kalau nak makan apa-apa atau masak apa-apa, buatlah macam rumah sendiri.”
Maisara angguk sahaja.
******
SETIBANYA dia di biliknya, Anis terus duduk di birai katil. Kain tudungnya dibuka perlahan-lahan. Terasa tubuhnya lebih segar sedikit setelah dapat menyedut angin luar dan menjamah semangkuk mi sup yang enak. Sayangnya, sikap Damien kembali membuat perasaannya terganggu.
“Siapa telefon senja-senja ni?” 
Dia bertanya ketika Damien masuk ke dalam bilik tidur mereka. Seperti tidak dapat ditahan, hatinya berasa panas. Malah sejak menjejakkan kaki di kawasan Vila Helena tadi, perasaannya sangat tidak tenteram seperti ada gumpalan api yang terbakar dalam dadanya. Panas.
            “Staf.” Ringkas sahaja jawapan Damien yang sedang menuju ke arah bilik air.
            “Staf? Staf mana yang kerja sampai ke senja ni?”
Hendak menipu biarlah cerdik sikit, bisik hatinya. Matanya melotot tajam ke arah suaminya. Dia rasa panas hati dengan jawapan Damien. Dia yakin Damien sedang menyembunyikan sesuatu.
            “Ada… staf abang dekat site,” jawab Damien sebelum menutup pintu bilik air.
            Anis termangu seketika. Hatinya berbelah bahagi untuk mempercayainya ataupun tidak. Bagaikan didorong oleh sesuatu, dia melangkah mendekati meja solek di mana terletaknya telefon bimbit dan dompet milik suaminya. Telefon Damien diperiksa. Sayangnya… tiada catatan tentang panggilan yang baru masuk tadi. Semuanya kosong. Sudah dipadamkan. Hatinya makin panas. Rasa cemburunya bagai terbakar marak.
            Sebaik sahaja Damien melangkah keluar daripada bilik air, Anis memerhati gerak langkah suaminya yang begitu tenang bagaikan tidak ada apa-apa.     “Cakaplah betul-betul siapa yang telefon tadi,” katanya.
            Damien menoleh ke arah Anis. Lama matanya merenung seperti cuba memahami sikap Anis. “Betullah… staf abang yang telefon.”
            Anis terkebil-kebil.
“Kalau betul staf abang yang telefon, cuba abang telefon dia balik. Anis nak cakap dengan dia.” Dia hulurkan telefon Damien.
Air muka Damien berubah keruh. “Takkan sampai macam tu sekali? Kenapa Anis tak percaya cakap abang?”
Pertanyaan balas daripada Damien tidak mampu menggugat rasa marah Anis. Malah kini, dia rasa bertambah marah. Dadanya seperti terbakar malah kini merebak ke setiap inci kulitnya. Tanpa dapat dihalang, tubuhnya menjadi kejang.
“Maafkan abang sebab buat Anis…” Belum sempat Damien menamatkan kata-katanya, dia perasan sesuatu yang pelik sedang berlaku. “Anis?”
Dia mendekat. Matanya membesar apabila melihatkan Anis seperti berubah menjadi orang lain. Mata Anis buntang memandang ke siling bilik. Gigi Anis berlaga atas dan bawah. Kulit mukanya tegang dan kemerahan.
Suara Damien semakin sayup di telinga Anis. Makin lama makin hilang. Yang ada hanyalah suasana yang sunyi sepi. Dia berseorangan dan di hadapannya berdiri suatu makhluk yang sangat buruk rupanya. Makhluk itu menyentuh mukanya dengan tangan yang hampir tinggal tulang. Manakala daging yang sedang mereput bergantungan dan gugur sedikit demi sedikit. Tangan itu kemudiannya perlahan-lahan merayap ke batang lehernya. Nafas Anis semakin sesak.
 Spontan dia meronta. Dia menjerit meminta tolong. Sayangnya Damien seperti tidak mendengar, seperti tidak mahu menyelamatkannya. Dia menangis dan menendang makhluk itu sekuat hati. Akhirnya pandangan matanya menjadi gelap.
*****
“ANIS! ANIS!”
Damien terus memanggil apabila rontaan Anis semakin lemah. Tubuh Anis digoyang-goyang beberapa kali namun Anis terus tidak sedarkan diri. Tubuh Anis yang disentuh sejuk bagaikan air batu tetapi sekujur tubuh Anis bermandi peluh yang entah dari mana datangnya. Ya, Allah! Damien menggelabah. Baru sahaja dia ingin menelefon ayahnya, Anis terbangun.
            “Anis?!” Damien keliru.
            Anis cuma menggumam. Kini tubuh Anis tidak lagi keras dan mengejang. Wajah Anis juga tidak lagi garang dan menakutkan seperti tadi tetapi Anis seperti benar-benar kepenatan. Malah nafas Anis juga tercungap-cungap.
            “Anis demam?” Dia raba dahi Anis, tetapi dahi Anis tetap sejuk. Dia betul-betul tidak faham apa yang sedang berlaku. Wajah pucat Anis benar-benar membuat dia rasa buntu dan tidak berdaya.
            “Abang….”Anis menyebut perlahan. Mereka berpandangan beberapa saat. “Badan Anis rasa sakit-sakit….”
            “Anis makan ubat dulu ya.” Itu sahaja yang muncul dalam kepala Damien. Setahu dia ubat demam pun, ubat penahan sakit juga. Mungkin boleh membantu Anis.
            Anis angguk lemah. Dia tidak bersuara lagi.
            Damien kelam kabut turun ke tingkat bawah mengambil air suam dan berlari semula ke atas. Dua biji ubat dicapai segera lalu dia membantu Anis menelan ubat tersebut. Hanya selepas itu dia berasa sedikit lega. Mungkinkah Anis demam terlalu kuat sehinggakan menjadi kejang?
            “Anis baring dulu, abang nak solat. Dah tak banyak waktu ni.” Damien lap peluh yang membasahi wajah Anis. Anis dibaringkan semula elok-elok. Rasa cemasnya masih belum hilang. Dia perlu mencari sedikit ketenangan.
            Untuk beberapa saat, Damien masih di situ, memerhati Anis yang sudah kembali memejamkan matanya. Setelah diyakini Anis telah kembali tenang, baru dia segera ke bilik air semula kerana wuduknya telah terbatal.
Masa terus berlalu, Damien telah selesai menunaikan solat Maghrib sekhusyuk yang boleh. Melihatkan Anis seolah-olah tidur nyenyak, dia mencapai sebuah Al-Qur’an kecil yang selalu dibacanya saban malam lalu membuka Surah Yassin. Ketika dia mula membaca surah itu, Anis dengan tidak semena-mena bingkas bangkit dan menjerit sekali lagi. 

2 comments: