Saturday, October 11, 2014

Thriller LELAKI BERMATA ANEH : Prolog dan Bab 1


LELAKI BERMATA ANEH- sebuah karya SF Thriller kedua 
selepas novel Janji Julia
akan diterbitkan pada tahun 2015.
Jemput ikuti siri ini di sini dahulu ya.
Nantikan juga novel seram PUJA tidak lama lagi.


PROLOG
PULAU PINANG 15 Dis : Seorang lelaki warga Inggeris ditemui mati di atas katil di sebuah hotel lima bintang di Batu Feringghi pagi semalam.
Mangsa yang dikenali sebagai Neil Brunger, ditemui oleh isterinya sekitar jam 7.30 pagi.
Mangsa yang berusia 59 tahun dari Whalley Range, Manchester itu dipercayai sudah pun meninggal dunia beberapa jam sebelum dijumpai.
Pegawai penyiasat dan anggota forensik yang diketuai oleh Ketua Superitendan  Azli Fauzi berkejar ke tempat kejadian sejurus selepas dimaklumkan penemuan tersebut.
Polis tidak menemui apa-apa bukti jenayah di bilik hotel melainkan kesan darah di atas bantal.
Polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat.
“Siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah. Mendiang dipercayai mengalami serangan jantung. Kami akan menunggu laporan bedah siasat dahulu untuk menentukan punca kematian sebelum mengambil tindakan seterusnya,” kata Azli Fauzi ketika dihubungi.
Isteri mangsa enggan memberi sebarang ulasan.

Beratus kilometer dari Pulau Pinang, seorang lelaki tersenyum puas setelah membaca laporan akhbar dalam talian. Hatinya lega kerana tugas sudah berjaya dibereskan dengan baik. Sekarang, masih ada lagi tiga nama yang perlu dilenyapkan dari muka bumi. Seorang ahli perniagaan, seorang ahli politik dan seorang ahli agama. Dia tidak peduli siapa mereka- yang pentingnya duit.




BAB 1
Masa : Sekarang.
Lokasi: Institut Penyelidikan Betha (IPB)

“BREK! BREK!” jerit seorang pemuda sambil tangan kanannya memegang stereng.
Ariel kelam-kabut menekan brek. Kereta yang dipandunya, mendadak berhenti di hadapan sebuah tembok batu yang kotor dan berlumut. Ruang kosong di antara kereta dan tembok itu cuma dua inci. Dia berpeluh sejuk. Sekujur tubuhnya menggigil dari kepala hingga ke hujung jari kaki. Jantung berdegup laju.
“Dari tadi aku kata tekan brek, kau tekan minyak buat apa?” tanya lelaki di sebelah Ariel dengan nafas yang sama tercungap-cungap. Dadanya turun naik apabila melihat keretanya hampir remuk menghentam tembok.
“Panik,” balas Ariel.
Kini barulah mereka berdua ketawa berderai-derai sambil menyapu peluh yang merenik-renik di dahi masing-masing.
“Kau dah boleh bawa kereta tapi… jangan panik. Pastikan kau ingat di mana brek, di mana minyak. Kalau tertukar susahlah,” balas Jeffri. “Lagipun kau yang bawa kereta bukan kereta yang bawa kau.” 
“Entahlah. Tiba-tiba saja fikiran aku melayang. Rasa hilang. Aku lupa nak pijak yang mana,” balas Ariel. Ketawanya masih bersisa. Geli hati pula apabila diingatkan insiden tadi. Tetapi itulah masalah yang dia tak dapat selesaikan dari dulu sampai sekarang. Mudah panik semasa memandu. Mudah hilang fokus.
“Dah. Undur cepat sebelum ayah aku nampak. Nanti dengan aku, aku sekali kena sembur.”
Jeffri toleh ke arah institut, kelihatan dari situ, beberapa orang petugas di institut sudah keluar menjenguk di koridor. Mungkin kerana terdengar bunyi tayar yang terseret ke tanah.
Ariel patuh kepada arahan Jeffri. Dia mengundurkan kereta Jeffri hingga memasuki jalan bertar semula. Menukar gear dan berpusing balik ke bangunan utama institut itu. Jaraknya kira-kira 300 meter. Sebaik sahaja tiba di situ, dia menarik nafas lega. Tidak ada apa-apa yang dilanggarnya kali ini. Kalau dulu, pasti ada pasu bunga yang pecah. Bosan betul.
“Kau kena yakin pada diri kau. Ingat, apa-apa hal, jangan panik. Kau kena sentiasa sedar yang kau sedang bawa kereta. Jangan berkhayal.” Jeffri bersuara semula sambil membuka tali pinggang keledarnya.
“Terima kasih,” balas Ariel. Dia tersenyum lebar. Mujurlah Jeffri seorang yang penyabar. Kalau orang lain, mungkin kepalanya sudah kena luku dua tiga kali. Dia sangat terhutang budi dengan Jeffri.
“Kau senyum ni kenapa?” tanya Jeffri. Dia masih belum keluar dari kereta.
“Sebab kau nak hadiahkan aku kereta ni, kan?” Ariel menjeling Jeffri sambil tersengih. Dia sekadar mengusik tetapi kalau itu menjadi kenyataan apa salahnya? Dialah yang paling gembira.
“Cantik muka kau?” Jeffri ketawa sekali. Tangannya menyeluk poket seluarnya lalu mengeluarkan sebentuk kunci.
“Aku cuma nak beri kau ni,” tambahnya sambil menghulurkan kunci itu.
“La… kunci saja?” Ariel buat-buat terperanjat walhal perasaannya sukar digambarkan. Dia sangat suka dan terharu. Walaupun hanya diberikan sebatang kunci namun maknanya sangat besar untuk orang seperti dia.
Jeffri tersenyum tenang.
“Aku tahu kau sukakan kereta ni tapi kau juga tahu apa kata ayah aku kalau aku beri pada kau. Tapi mulai hari ni, kereta ni kita kongsi dua. Bila-bila kau nak pandu, pandulah. Aku izinkan. Tapi dengan syarat.”
“Aku tahu.” Ariel angguk perlahan.
Dia cukup faham soal itu. Syaratnya ialah kena tunggu Dr. Sid dan Dr. Uzair tidak ada di institut. Kalau mereka berdua ada, memang cari nahas. Bagaimanapun, memiliki kunci itu, satu penghargaan yang besar buat dirinya. Satu tanda kepercayaan. Satu tanda penghargaan yang tidak pernah dimiliki.
Dia pun tahu, dia tidak mungkin memiliki lebih daripada itu. Dia siapa, Jeffri pula siapa. Dia bersyukur kerana selama ini Jeffri selalu mahu berkongsi pelbagai perkara dengan dia. Itu sudah cukup untuk dia yang tidak pernah memiliki apa-apa.
“Terima kasih, Jeff.”
Ucapannya berhenti setakat itu walau dia ingin mengatakan lebih banyak. Dia ingin mengatakan dia terharu dan sayang kepada Jeffri yang sudah dianggap sebagai abang. Namun kerana rasa segan, semuanya hanya terpendam dalam hati.
“Ariel, kau tahu tak yang kau ni istimewa?” tanya Jeffri sambil melepaskan keluhan yang dalam.
Dia tidak memandang Ariel tetapi sebaliknya merenung taman kecil di hadapan institut itu. Taman, di mana dia dan Ariel selalu bermain sorok-sorok semasa kecil dahulu.
“Apa yang istimewanya? Bawa kereta pun sampai nak langgar tembok,” balas Ariel. Dia juga memandang ke arah taman itu. Banyak kenangan mereka tersimpan di situ.
“Satu hari nanti kau akan tahu apa keistimewaan kau. Tapi aku harap, pada waktu itu kau tetap anggap aku sebagai kawan.” Jeffri tersenyum penuh makna.
Ariel garu kepala. Istimewa? Dia hanya anggap itu satu gurauan. Apalah yang istimewanya dia? Dia, yang tidak punya apa-apa. Namun untuk membantah, dia rasa tidak wajar. Mereka membesar bersama-sama malah hanya kepada Jeffri dia berkongsi segala rahsia dan rasa. Kalau dia menolak pujian itu, tentu Jeffri akan terasa hati.
“Kalau benar, kaulah orang pertama yang akan tahu,” balasnya kemudian.
“Aku dah lama tahu.” Jeffri pandang muka Ariel lama-lama. Di wajahnya tergambar pelbagai perasaan. Dalam senyuman seolah-olah ada tangisan yang tersembunyi. Dalam suka ada derita yang terselindung.
“Esok, kau nak ke bandar, kan?” Ariel cuba ubah topik.
Entah kenapa petang itu dirasakan sangat berbeza. Jeffri kelihatan sedih di matanya, dia tak suka. Dia tak senang dengan situasi itu. Jeffri adalah seumpama dirinya yang sempurna. Lelaki itu periang, kacak, bijak dan baik hati. Dia tak mahu lelaki yang menjadi idolanya itu berubah menjadi dirinya pula. Anak yatim piatu yang hidup menumpang di situ kerana tidak ada tempat lain untuk dituju. Alangkah seronoknya kalau hidupnya seperti hidup Jeffri. Tetapi dia sudah lama menerima kenyataan.
“Kau nak kirim apa-apa?”
“Belikan makanan Ugway. Dah tinggal sikit sangat,” balas Ariel sambil cuba tersenyum. Dia tahu, Jeffri juga sayangkan Ugway, kura-kura yang dibela oleh mereka berdua sejak setahun yang lalu.
“Okey.” Itu sahaja jawapan Jeffri sebelum membuka pintu kereta. Tetapi belum sempat kakinya mencecah tanah, dia menoleh semula ke arah Ariel. “Jangan beritahu ayah aku tentang kunci tu.”
“Aku tahu,” balasnya.
Dia simpan kunci itu baik-baik di dalam poket seluar. Di kepalanya sudah ada rancangan. Setibanya di bilik nanti, kunci itu akan dirantaikan bersama kunci biliknya supaya tidak hilang.
“Esok tahun baru. Anggap saja itu hadiah daripada aku,” balas Jeffri sebelum menutup pintu kereta.
Ariel hanya tersenyum. Entah kenapa perasaannya jadi berbaur, ada suka dan sedih yang terasa. Kali pertama, dia mendapat hadiah dalam hidupnya. Kali pertama dia terasa memiliki sesuatu yang benar-benar kepunyaannya. Walaupun hanya sebentuk kunci pendua.


BERSEMPENA kedatangan tahun baharu, malam itu suasana di Institut Penyelidikan Betha (IPB) begitu meriah. Seluruh pelusuk institut bermandi cahaya. Dewan makan pula menyediakan makanan yang berbeza dan lebih istimewa. Semua pekerja dan penghuni di institut itu hadir kecuali Dr. Sid dan beberapa orang petugas yang sedang bercuti.
“Takkan dah nak tidur?” Jeffri mendongak apabila Ariel bangkit meninggalkan kerusi. Begitu juga Faruk yang duduk di sebelah Jeffri.
“Ngantuklah,” jawab Ariel.
Satu jawapan yang selamat. Padahal, dia sebenarnya kurang suka majlis keramaian seperti itu. Dia tidak rasa mahu bergembira atau meraikan apa-apa dalam hidupnya seperti orang lain. Pada dia, tahun baru atau tahun lama tidak ada bezanya selain tarikh. Hari ini dan esok hanya dipisahkan malam, selain itu hidupnya tidak berubah juga.
“Tunggulah sekejap,” sampuk Faruk dengan dahi yang berkerut.
Ariel mengerling. Faruk, salah seorang rakan rapat dia dan Jeffri malah sudah berada di institut itu sejak kecil juga. Bagaimanapun persahabatan mereka bertiga tetap kukuh walau ketiga-tiga mempunyai latar pendidikan yang berbeza. Faruk baru balik dari Britain, Jeffri pula bekerja di Kuala Lumpur dan dia, yang bersekolah pun tidak.
“Aku dengan Jeff baru nak pasang bunga api.”
Ariel tetap menggeleng. Dia bukan tak tahu apa aktiviti Jeffri dan Faruk pada setiap malam tahun baru. Mereka akan memasang bunga api yang sebesar dua genggam di taman sehingga menggegarkan bukan sahaja kawasan institut malah sehingga terlihat di sekitar kampung di situ. Sekali pandang memanglah cantik tetapi itu untuk orang seperti mereka, bukannya dia. Dia tetap tak suka.
Dengan itu dia tinggalkan dewan makan yang masih lagi kecoh dengan gelak ketawa dan lagu-lagu yang dipasang nyaring. Dia atur langkah dengan tenang balik ke Bangunan F bersendirian.
Bau bunga Muraya yang lembut dan harum menyambut kepulangannya. Dengan perlahan dia susuri pagar pokok separas pinggang itu sebelum sampai ke sebuah tangga yang diterangi lampu kalimantang. Dia pijak satu demi satu anak tangga yang membawanya ke tingkat dua bangunan itu. Di situ juga tempat dia belajar serba sedikit kemahiran seperti membaca, menulis dan bercakap. Di situlah juga dia perlahan-lahan menjadi dewasa.
 Institut itu adalah dunianya. Pagar batu setinggi 10 kaki itu adalah batasan hidup yang telah diatur oleh Dr. Sid sejak dia kecil. Dia tidak dibenarkan keluar. Juga tidak dibenarkan melihat dunia luar. Tidak dibenarkan berhubung dengan sesiapa kecuali yang dibenarkan. Tidak dibenarkan membaca akhbar. Tidak dibenarkan menonton televisyen. Dan tidak dibenarkan memiliki apa-apa.
Tugas dia hanya tinggal di situ dan mengikut jadual yang telah disusun oleh Dr. Sid. Dalam seminggu, tiga malam dia perlu tidur di katil makmal. Lima hari seminggu dia akan menghadiri kelas yang diajar sendiri oleh Dr. Sid selama dua jam. Selebihnya dia bebas melakukan apa yang dibenarkan di dalam institut itu, selagi tidak keluar dari batas pagar 10 kaki tinggi itu. Dan yang pastinya dia sentiasa diawasi dengan CCTV yang dipasang di merata ceruk bangunan kecuali di dalam bilik tidurnya. Itulah satu-satunya ruang  di mana dia diberi kebebasan yang terbatas.
Setibanya dia di hadapan sebuah pintu bercat biru, dia menanggalkan kasut. Pintu dikuak perlahan. Cahaya yang terang dalam bilik itu, menjadikan segalanya jelas dipandang. Sebuah bilik tidur yang sederhana besar. Lengkap dengan katil, almari, kerusi dan sebuah televisyen untuk memainkan cakera padat filem-filem aksi dari barat. Semuanya sudah diulang tonton sampai bosan.
“Ugway!” Dia mengetuk akuarium kecil yang menempatkan seekor anak kura-kura bercengkerang hijau lumut. Dia mencampakkan beberapa butir palet ke dalam akuarium itu dan menutupnya semula rapat-rapat.
 “Kau cepatlah besar. Bila kau besar, aku suruh Jeff hantar kau ke tasik. Kau mesti hidup bebas, berkawan dengan kura-kura lain. Kau mesti tengok dunia. Jangan jadi macam aku,” katanya sambil menahan perasaan sebak di dada. Terasa dia dan Ugway tak jauh bezanya. Terkurung dalam satu dunia yang sempit.
Selepas jemu melihat Ugway, dia mencapai sebuah buku cerita berbahasa Inggeris yang terletak di atas meja. Dia bawa ke katil. Sambil berbaring, dia menyelak halaman yang pertama. Buku itu dipinjamkan oleh Jeffri seperti barang-barang yang lain juga. Ingatannya terimbau jauh.
“Jangan sentuh! Itu Jeffri punya. Kalau Jeffri beri kau pinjam, baru kau boleh pinjam.”
Itulah kata-kata Dr. Sid sewaktu dia berumur tujuh tahun. Dia tidak akan lupa sampai bila-bila kerana dia tidak boleh lupa kepada sinar kebencian yang terpancar dari mata Dr. Sid sewaktu mengucapkan kata-kata itu. Sejak itu dia faham. Apa yang dilihat, didengar, dirasa dan disentuh itu adalah milik orang lain. Dia tidak berhak ke atas apa-apa pun di situ. Malah kadang-kadang dia rasa dia tidak memiliki apa-apa meskipun tubuh badan dia sendiri.
Dia pernah berasa hairan. Pernah juga mempersoalkan kenapa dia tidak seperti Jeffri ataupun Faruk yang hidup bebas. Kenapa dia tidak dibenarkan ke sekolah seperti orang lain? Kenapa dia begitu berbeza? Malah juga berbeza dari segi rupa, warna kulit malah warna mata.
Namun semua pertanyaan itu tinggal pertanyaan. Hari berganti hari, tahun berganti tahun. Pertanyaan itu makin lama makin terbenam jauh dalam hati. Makin lama makin tidak terucap di bibir dan dia hanya mengikut laluan hidup yang telah ditetapkan Dr. Sid walau entah sampai bila.
Buku tadi dipegang kemas dengan kedua belah tangan. Matanya segera menyorot baris demi baris ayat yang ditulis. Dia makin hilang dalam dunia baharu ciptaan penulis. Makin lama makin terheret dalam kancah konflik dan makin lama kelopak matanya makin berat.
Akhirnya dia tertidur dengan buku yang masih terbuka.


LANGIT berwarna ungu kebiruan. Tujuh bulan purnama berjajaran lurus ke timur. Bintang-bintang menyerpih lantas berguguran bagaikan hujan meteor Geminid. Ariel terpegun menyaksikan fenomena yang tidak pernah disaksikan selama ini. Dia terbelit antara rasa terkejut dan kagum. Namun keasyikan itu mendadak pudar.
Alam yang tenang dan mengasyikkan tadi, kini berubah laku. Deruan angin terasa panas dan menggila menerkam tubuh. Sebutir meteor seperti dibidik langit ke arahnya. Tanpa berfikir dia melompat ke sisi dan terus lari.
Sayangnya dia terjatuh ke atas tanah berumput yang basah dan sejuk. Dalam kekalutan itu, dia melihat meteor tadi jatuh melanggar sebuah bangunan batu sebelum bangunan itu terbakar dengan api yang marak menjulang. Cahayanya melimpah dan menerangi permukaan air di sekelilingnya.
Dia terpegun, tidak tahu apa yang harus dilakukan. Sedangkan api yang menjulang marak seakan cuba memanggang tubuhnya hidup-hidup. Dalam kekagetan itu, tubuhnya ditarik seseorang.
Ariel terkinjat. Dia terduduk di atas rumput sambil mendongak. Pandangan matanya terpaku ke seraut wajah seorang perempuan bermata aneh. Dia sekali lagi terkaku. Rahangnya jatuh. Lidahnya kelu.
“Ariel! Bangun!”
Sayup-sayup dia terdengar satu suara memanggilnya. Sayangnya dia bagaikan dipaku di situ. Tidak boleh bergerak biarpun untuk menggerakkan tangan. Dia rasa amat lemah dan sakit di segenap urat saraf.
 “Ariel! Bangun!”
Suara yang entah dari mana itu menyeru lagi. Kali ini lebih kuat dan mendesak. Dia seolah-olah tersepit di antara dua keadaan. Di sana ada yang memanggil. Di sini ada yang menahan. Dia bertambah sakit.
“Lepaskan aku,” rayunya meminta simpati kepada perempuan yang berdiri di hadapannya. Dia yakin disebabkan perempuan itu, dia terpaku di situ.
“Tunggu dulu. Kita baru saja berjumpa.”
“Aku akan datang lagi,” balas Ariel dengan yakin. Entah mengapa dia juga terasa ingin sekali bertemu lagi dengan perempuan itu. Ada banyak perkara yang ingin ditanya.
“Tapi kita mungkin takkan berjumpa lagi.”
“Aku janji aku akan datang. Kalau terus begini aku akan mati. Aku sakit.”
Perempuan itu tidak bercakap lagi. Wajahnya berubah muram. Dia hanya termenung dengan bibir yang terkatup rapat.
“Tolonglah. Lepaskan aku. Aku akan datang lagi.” Ariel ulang janjinya. Dia sudah tidak tahan. Terasa setiap sendi seperti akan putus dua. Dia harap salah satu pihak akan mengalah.
“Baiklah, aku akan lepaskan kau kali ini. Tapi aku tak pasti sama ada kita akan bertemu lagi atau tidak. Tapi kalau kau mahu mencari aku, kau carilah tempat ini.”
Sebaik sahaja perempuan itu habis berkata-kata, bangunan batu yang terbakar tadi kini menjadi terang-benderang semula dijulang api yang sungguh marak. Dia hanya dapat memandang bangunan aneh itu sehinggakan tidak sedar perempuan itu telah menghilangkan diri di dalam kegelapan malam. Dalam kebingungan, dia terasa bahunya digoyang keras.
“Ariel! Aku kata bangun, bangunlah!”
Suara itu makin jelas dan keras. Kini dia tahu suara itu suara siapa tetapi dia seperti tersesat di dalam kabus yang semakin tebal. Dia merayau-rayau sehinggalah terasa satu tamparan keras hinggap di pipinya. Matanya terus terbuka luas walau kewarasannya masih lagi tertinggal jauh entah di mana.
“Puas aku kejut. Kau tak bangun-bangun,” bebel Faruk sambil berkerut muka di hadapannya.
Ariel menyapu pipinya yang terasa perit. Mendengar suara Faruk yang bertubi-tubi, barulah perlahan-lahan dia sedar dia berada di mana.
“Kenapa kau orang kejut aku pagi-pagi ni? Hari ni kan cuti?” Dia mengecilkan matanya semula. Kepalanya terasa mata berat.
“Ariel! Dah dekat pukul 9.00 pagilah. Bangun!” Faruk tarik lengan Ariel sehingga kepala Ariel terpisah dari bantalnya.
“Apa ni…” Ariel menolak tangan Faruk. Dia tidak senang diganggu dalam keadaan kepalanya yang mula berubah bengang. Apatah lagi selepas didatangi mimpi yang aneh itu. Masih ternampak-nampak perempuan bermata aneh itu dan bangunan yang terbakar marak. Masih terasa urat-sarafnya sakit.
“Ariel, aku pun tak ingin nak ganggu kau tidur tapi…” Faruk biarkan kata-katanya tergantung.
Apa yang masuk ke telinganya membuatkan Ariel membuka mata semula. Dia merenung wajah Faruk lama-lama. Dilihatnya wajah itu muram. Tiada lagi wajah yang nakal. Tiada lagi wajah yang suka membuat kacau di institut itu. Dia segera tahu ada yang tidak kena.

“Jeff,” tokok Faruk.

No comments:

Post a Comment