Friday, December 7, 2012

PERCAYALAH SAYANG : Bab 16



Bab 16
Di Vila Helena….
ANIS sudah lama terjaga namun dia tidak turun dari katilnya. Dia berbaring sahaja sambil menatap siling dan berfikir. Betulkah semua yang ditempuhinya malam tadi itu benar-benar berlaku? Betulkah yang dilihatnya itu Danny? Kenapa Danny datang semula dalam hidupnya? Kenapa?
“Sudah sampai masanya untuk Anis bina hidup baru,” kata Cik Pia beberapa tahun yang lalu sewaktu dia baru mengenali Damien.
“Bukan saya tak nak, Cik Pia. Tetapi dia….”
“Cubalah Anis kenali hati Damien betul-betul dulu. Saya yakin satu hari nanti, Anis akan mengakui walaupun mereka kembar seiras tapi mereka dua individu yang berbeza,” pujuk Cik Pia lagi. “Muka saja hampir sama tapi hati lain-lain. Berilah dia peluang.”
“Kenapa bukan Cik Pia sahaja yang beri dia peluang?”
Cik Pia menggeleng. “Sejak kecil lagi saya sudah menganggap Damien tu seperti adik saya saja. Tapi dengan Danny, lain. Sebab itulah Damien selesa memanggil saya Kak Pia. Antara kami tak wujud apa-apa perasaan lain selain perasaan sebagai kakak dan adik.”
Dia terdiam seketika. Dia masih ragu-ragu untuk menerima kehadiran Damien dalam hidupnya. Bukan kerana dia tidak nampak kesungguhan hati Damien tetapi dia sebenarnya meragui hatinya sendiri. Cukuplah sekali dia jatuh cinta dengan terburu-buru. Dia sudah serik.
“Dia cintakan Anis. Apa lagi yang Anis mahukan?” tanya Cik Pia. “Anis masih ingatkan Danny?”
Dia diam sahaja. Walaupun dia sedar, Danny sudah lama tidak ada. Malah pertemuan mereka pun satu keajaiban namun perasaan yang tertinggal dalam hatinya bukan sesuatu yang  dibuat-buat. Perasaan cinta dan rindu seolah-olah terpahat di situ. Sukar untuk dialihkan ke tempat lain.
“Inilah realiti, Anis. Yang telah pergi tetap pergi. Yang masih hidup perlu terus melangkah. Jika kita berhenti, kita juga akan mati sebelum masanya.”
“Bagaimana pula dengan Cik Pia?”
Cik Pia tersenyum tenang. “Sudah lama saya menerima hakikat yang Danny dah tak ada. Bukan bermakna saya lupakan dia tetapi rezeki dia sudah sampai di situ sahaja, sedangkan rezeki kita masih ada. Kalau kita tak menggunakan apa yang Tuhan berikan, bukankah itu seolah-olah kita tak bersyukur?”
Sejak itulah dia cuba belajar menerima Damien sebagai Damien. Tidak pernah sekali terlintas di hatinya untuk membayangkan Damien itu Danny. Tidak pernah terlintas di hatinya juga bahawa Damien menggantikan tempat Danny. Dia melihat Damien sebagai individu yang benar-benar berbeza. Sejak itulah  dia dapat menerima kehadiran Damien dalam hidupnya sehingga kini. Sayangnya… kehadiran Danny malam tadi seolah-olah mencabar kekuatan perasaannya sendiri.
“Anis masih ingatkan Danny?” tanya Damien semasa mereka baru bertunang.
Dia tersenyum. “Mestilah ingat. Dia juga keluarga kita, kan?”
“Kalau abang simpan misai dan janggut, macam mana?” tanya Damien lagi sambil tersenyum.
Dia berkerut dahi. Sukar untuknya menerima Damien dengan wajah yang sebegitu. Lagipun dia tidak suka lelaki yang bermisai.
“Tak payahlah. Tak hensem.”
Damien tersenyum lagi. “Abang cuma tak mahu Anis pandang abang tapi ingatkan Danny.”
Dia rasa amat terperanjat dengan pengakuan itu. Walaupun dia cuba menerima perbezaan di antara Damien dan Danny, adalah mustahil untuk dia memadamkan ingatannya terhadap arwah Danny seratus peratus kerana wajah mereka seiras.
“Apa yang nak dicemburukan? Orang dah tak ada.”
“Abang faham, dia cinta pertama Anis.” Kata-kata Damien termati seketika. Kelihatan susah benar untuk dia meluahkan isi hatinya pada waktu itu. “Tentulah dia ada ruang yang istimewa di hati Anis tapi… sekarang abang bakal suami Anis. Abang harap Anis tahu yang mana satu lebih penting.”
Dia rasa amat tersentuh. Tidak sedar air matanya bergenang pada waktu itu. Dia terharu dan pada yang sama rasa amat disayangi.
“Sayang, dia adalah sejarah. Sejarah tak boleh diubah lagi tapi abang… adalah masa depan Anis. Tempatnya lebih luas dan jauh lebih istimewa di hati Anis.”
Ya, itulah pengakuannya dulu dan dengan mengingatinya kini… bebayang Danny seolah-olah menjauh dan memudar kembali. Dia lalu bangkit meninggalkan katil. Mungkin semua itu hanyalah mainan tidur.
******
SELESAI mandi dan menukar pakaian, Anis melangkah turun ke tingkat satu. Walaupun badannya masih lemah namun hatinya ingin sekali menatap wajah Damien. Entah mengapa ada rasa rindu yang membuak di jiwanya. Rindu kepada seorang suami.
“Awak ada nampak suami saya?” Dia bertanya kepada Maya yang sedang menyapu sampah di dapur. Dia sudah mencari di ruang tamu, di anjung belakang dan kini masuk semula ke dalam rumah tetapi Damien langsung tidak kelihatan.
Maya berpaling dan menghadap Anis.
“Suami puan? Dia dah keluar.”
“Keluar? Ke mana?”
Maya angkat bahu. “Dia tak cakap tapi….”
“Tapi apa?” Hati Anis mula berdebar-debar. Riak wajah Maya yang sedikit pucat itu membuat hatinya bertambah risau. Suaminya ke mana pula? Mencari ubat? Baru dia teringat.
“Muka dia macam bosan saja,” jawab Maya sambil menyimpan penyapu di dalam sebuah bilik kecil di tepi dapur. Kemudian, dia menarik sebuah kerusi di meja makan. Tudung saji dibuka. “Puan nak minum? Saya ada buatkan kopi. Kuih pun ada.”
Anis tidak menjawab. Kata-kata Maya masih berlegar-legar di fikirannya. Bosan? Muka Damien macam bosan? Dia mula rasa bersalah. Kenapalah dia harus demam sewaktu mereka sedang bercuti? Mungkinkah Damien berasa jengkel?
Maya hanya memerhati Anis yang sudah duduk di atas kerusi. Dia segera menuangkan kopi ke dalam cawan putih bercorak bunga ros. Cawan itu diletakkan di hadapan Anis dengan sopan.
“Minumlah, puan. Dah nak tengah hari.”
Anis menjeling cawan di tepi lengannya. Kopi. Dia lantas menolak cawan itu ke tengah meja.
“Tak apalah, saya tak minum kopi. Berikan saya air kosong saja.”
“Air kosong?” Maya tergamam. Matanya memerhati sahaja air kopi hitam pekat yang tidak diminum Anis.
“Ya, saya nak air suam,” balas Anis. Kepalanya mula berdenyut semula. Segala apa yang dipandang bagaikan teroleng-oleng.
“Puan makanlah sikit. Tak baik biarkan perut kosong, nanti melarat-larat demam tu,” kata Maya sambil meletakkan segelas air kosong di hadapan Anis.
Anis segera mencapai gelas itu. Diteguk air kosong itu sepuas hati. Namun hatinya merungut diam-diam… ni bukan air suam, ni air sejuk. Tetapi dia malas untuk meluahkannya kepada Maya. “Macam mana awak tahu saya demam?”
Maya tersenyum. “Pagi tadi tuan turun cari ubat demam tapi di rumah ni memang tak ada simpan ubat tu.”
“Jadi pagi tadi awak jumpalah suami saya? Ada dia pesan apa-apa?”
“Memang ada, dua tiga kali juga.” Maya tersenyum lagi seperti cuba mengingatkan sesuatu. “Tapi tak ada pula dia pesan apa-apa untuk puan. Mungkin dia terlupa.”
Dahi Anis spontan berkerut. Memang salah dia, dia terlupa yang Damien mahu mencarikan ubat untuknya. Tidak hairanlah jika Damien tidak ada tetapi lama betul suaminya pergi?
“Ala, puan. Lelaki memang macam tu… kadang-kadang kalau sedang asyik dengan sesuatu tu, isteri pun boleh lupa. Tapi dia tetap akan balik bila dia ingat.”
“Awak dah kahwin ke, Maya?” Anis bertanya pula. Kata-kata yang diluahkan Maya bagaikan lahir daripada pengalaman. Tidak sangka pula dia yang Maya sudah berkahwin, sekali pandang bagaikan anak dara lagi.
Maya menggeleng. “Masih menanti seseorang yang sanggup berkahwin dengan saya.”
“Jodoh tu di tangan Tuhan. Siapa jodoh kita, bila bertemu dan berkahwin… semua di tangan-Nya,” kata Anis pula. Hairan juga di hatinya, macam mana gadis secatik Maya itu masih belum berkahwin. Tetapi itulah namanya belum sampai rezeki. Tidak kira betapa cantik pun seseorang gadis, jika belum sampai jodohnya maka kekal begitulah ia. Dalam diam, dia mensyukuri jodohnya dengan Damien.
“Apa nak buat, puan? Orang tak tepati janji. Janji nak kahwin dengan kita tapi bila sampai masanya tak datang-datang.”
Anis menoleh ke arah Maya yang berdiri berdekatan dengan dapur. “Awak sudah ada kekasih? Kekasih awak tu pergi mana?”
Maya tunduk memandang lantai. Senyumannya tadi telah hilang diganti riak sedih yang mendalam.
“Saya pun tak tahu. Tapi dia kata dia akan balik ambil saya sebab tu saya tetap tunggu dia.”
Anis termenung seketika. Riak sedih di wajah Maya membuat hatinya ikut tersentuh. Begitulah hati seorang perempuan. Kasihnya… setianya… ada kala hingga dibawa mati. “Awak tunggu saja? Awak tak cuba cari dia?”
Maya menggeleng. “Saya dah janji dengan dia. Saya akan tunggu dia balik.”
Anis tidak bertanya lagi. Dia belum larat untuk bercerita panjang. Mungkin setelah dia sihat dan ada masa untuk bertanya itu dan ini, dia akan luangkan masa untuk mengenali gadis itu. Sekarang dia hanya mahu berehat sementara menantikan suaminya balik. Dia rasa seperti mahu demam semula.
Sebelum dia beredar dari situ, dia sempat memandang ke atas meja. Ada sepiring kuih yang tidak biasa dilihatnya di situ. Rupa kuih itu seperti karipap namun kulitnya putih pucat danlembik.
“Kuih apa tu?” Hatinya yang berasa pelik terus memaksanya bertanya juga.
“Kuih Sayang-Sayang, puan. Luarnya tepung pulut, intinya kelapa manis. Puan makanlah.”
Anis menggeleng lalu beredar. Entah kenapa tekaknya tidak berselera melihat kuih itu.
*****
DI RUANG TAMU, Anis berbaring di atas sofa. Malas rasanya untuk naik semula ke bilik, lagipun dia mula berasa jemu menatap siling bilik berseorangan. Sedang cuba memejamkan matanya, dengan tiba-tiba sesuatu melintas di ingatannya. Dia memandang ke arah Maya yang juga sedang membersihkan perabot tidak jauh dari tempatnya berbaring.
“Semasa awak datang tadi… ada tak awak jumpa apa-apa barang yang pecah?” Dia bertanya.
“Barang pecah?” tanya Maya semula. “Tak ada, puan. Kenapa?”
Tak ada? Tapi… dia dengar dengan jelas. Bukan sekali malah dua tiga kali dia mendengar barang kaca terhempas ke lantai. Jika tidak ada, bunyi apa pula yang didengarnya malam tadi?
“Malam tadi… saya dengar bunyi benda pecah di bawah ni tapi saya tak periksa pula,” balasnya.
Maya tersenyum. “Tak ada, puan. Mungkin puan salah dengar kut? Mungkin juga bunyi angin. Di sini kalau malam-malam, biasanya angin kuat.”
“Tapi saya dengar dengan jelas ada benda pecah. Mungkin barang kaca,” tegasnya lagi.
“Tak ada puan, kalau ada tentu saya dah jumpa,” balas Maya. Masih lagi dengan jawapannya.
“Awak dah periksa betul-betul? Cuba awak periksa dalam bilik lain. Entah-entah ada benda jatuh dalam bilik,” kata Anis lagi. Sukar untuknya menerima jawapan Maya. Dia yakin memang ada benda yang terhempas ke lantai malam tadi dan keyakinannya tidak berubah. 
Maya diam seketika sebelum berhenti mengemas dan menjawab, “Nanti saya periksa, puan.”
“Sebelum awak balik nanti, pastikan awak dah kunci semua pintu dan tingkap.” Pesannya sebelum Maya menaiki tangga ke tingkat atas.
Maya hanya mengangguk sebelum meneruskan langkahnya. Tidak lama kemudian, Maya turun semula ke ruang tamu. “Saya tak jumpa apa-apa yang pecah, puan. Semua bilik seperti biasa saja.”
Anis tidak berkata apa lagi. Mungkin benar yang dia sudah tersilap dengar. Sedang dia cuba menenangkan diri, dia terdengar bunyi hon kereta di hadapan rumah. Kuat sekali bunyinya dan dia tahu itu bukan bunyi hon kereta Damien.
“Tak apa, biar saya tengok,” katanya sewaktu Maya mahu membuka pintu hadapan.
Maya berundur ke dapur.
Anis melangkah perlahan-lahan ke pintu. Dan apabila pintu dibukanya, dia terlihat seorang gadis di hadapan pagar. Dia terkedu.

2 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.