Wednesday, December 19, 2012

PERCAYALAH SAYANG : Bab 18 dan Bab 19



Bab 18
Di Kuala Lumpur…
TAN SRI DZAIRIL gelisah. Dia berasa tidak sedap hati dengan berita yang disampaikan Damien sebentar tadi. Kenapa pula boleh sampai terlanggar orang? Setahu dia, Damien adalah seorang pemandu yang berhemah. Berpuluh tahun memandu, sebelum sekali pun anaknya disaman atas apa-apa kesalahan lalu lintas tetapi baru sehari ke Melaka, sudah sampai kemalangan. Dia mengeluh berat.
“Qira, contact Datuk Mustapha.” Dia menoleh ke arah Qira, setiausahanya. Waktu itu dia dan Qira sedang berehat di lobi Hotel Marriot, Putrajaya sementara seminar yang dihadirinya hari itu disambung semula.
“Baik, Tan Sri,” jawab Qira.
Dia menggamit pula Khairul supaya datang kepadanya. Dia tidak boleh menunggu sahaja. Konsentrasinya hilang sebaik sahaja mendengar cerita Damien. Satu perkara yang cukup disedarinya adalah dia sangat mementingkan soal keluarganya melebihi apa sahaja di dunia ini. Apa sahaja yang dirasai oleh mereka, dia akan turut sama merasainya sebagai seorang ayah. Danny dan Damien adalah kehidupannya. Cukuplah sekali dia menderita setelah kehilangan Danny, dia akan selalu ada untuk Damien.
“Tan Sri….” Khairul berdiri bersebelahan Tan Sri Dzairil.
Tan Sri Dzairil lalu menarik sedikit lengan Khairul, mereka berdua melangkah ke suatu sudut lobi itu. Jauh sedikit daripada semua peserta seminar itu yang sedang berbual dan berbincang.
“Lapangkan sehari dua untuk saya ke Melaka,” kata Tan Sri Dzairil tanpa bertangguh. Dia sendiri menyemak catatannya di dalam organizer yang dipegangnya. Sesak nafasnya apabila melihat temu janji yang bersusun di situ.
“Tan Sri nak ke Melaka? Tapi dulu Tan Sri kata… hujung minggu nanti baru nak ke sana.” Khairul bersuara. Riak wajahnya jelas terkejut.
“Kalau boleh saya nak ke sana esok. Awak aturkan dengan Qira. Mana temu janji yang boleh dilewatkan tu, lewatkan sehari dua.” Tan Sri Dzairil sudah tidak kisah lagi. Makin difikirkan soal Damien, makin kalut rasa hatinya. Jika tidak betul-betul susah, tentu Damien tidak meminta dia pergi ke sana. Mesti ada sesuatu yang telah terjadi, fikirnya.
“Ada apa-apa yang perlu saya tahu, Tan Sri?” tanya Khairul pula. Dia masih kelihatan bingung.
“Damien langgar orang,” jawab Tan Sri Dzairil.
“Langgar orang?”
Tan Sri Dzairil angguk. Walaupun Damien kata orang yang dilanggar tidak minta ganti rugi atau mahu menyaman, dia percaya kes itu tidak akan selesai begitu sahaja. Sekurang-kurangnya  sebagai sesama manusia, mereka patut berasa simpati di atas segala kesakitan yang ditanggung orang itu dan keluarganya. Dan dia tidak akan teragak-agak untuk menghulur beberapa ribu duit perbelanjaan. Pada dia, itu pun belum tentu dapat menghilangkan kesan trauma dan kesakitan yang dialami mangsa tersebut.
“Mati?”
Tan Sri Dzaril mengeluh sebelum menjeling ke arah Khairul. “Tak. Tapi saya rasa saya nak ke sana tengok keadaannya. Lagipun Damien mahu sangat saya ke sana. Tentu ada apa-apa.”
“Kalau macam tu, saya akan uruskan secepat mungkin,” kata Khairul sebelum Qira menghampiri mereka berdua.
“Datuk Mustapha di talian, Tan Sri.” Qira hulurkan telefon bimbitnya.
Tan Sri Dzairil angguk. Debaran di dadanya makin kuat.
“Assalamualaikum, Tan Sri. Apa khabar?” Suara Datuk Mustapha kedengaran riang.
“Tak berapa baiklah, Datuk,” balas Tan Sri Dzairil setelah menjawab salam Datuk Mustapha. Mereka sudah kenal lama dalam dunia bisnes. Sekarang firma guaman Datuk Mustapha yang menguruskan semua hal-hal perundangan syarikat-syarikatnya. Malah menjadi peguam keluarganya juga.
“Lain macam bunyinya tu?” Datuk Mustapha ketawa.
“Sediakan seorang peguam untuk Damien.”
“Damien? Kenapa?” Ketawa Datuk Mustapha terus hilang.
“Dia terlanggar orang. Dah jadi kes polis,” terang Tan Sri Dzairil.
“Okey, no problem. Dia di mana sekarang?”
“Di Melaka. Datuk ada nombor telefon dia, kan?”
“Saya akan hantar peguam terbaik saya ke sana. Tan Sri jangan bimbang apa-apa,” balas Datuk Mustapha lagi.
Tan Sri Dzairil mengangguk perlahan. Dia tahu Datuk Mustapha dan barisan peguamnya boleh dipercayai. Apa yang penting hanyalah duit. Ada duit, banyak perkara boleh diuruskan.
“Uruskan dengan baik. Jangan sampai ada pula yang teraniaya.”
“Tan Sri jangan bimbang. Saya bukan tak kenal cara Tan Sri. Tan Sri anggap saja perkara ni dah selesai. Kalau Damien telefon, katakan pada dia jangan susah hati. Kami akan buat apa saja supaya dia dibebaskan daripada sebarang masalah.”
Tan Sri Dzairil menarik nafas panjang. Panggilan Datuk Mustapha ditamatkan. Dia tahu Datuk Mustapha akan berusaha apa saja untuk menyelamatkan Damien tetapi dia tetap berasa tidak sedap hati.
“Esok saya nak ke Melaka,” katanya kepada Qira.
 “Esok Tan Sri tak boleh ke Melaka,” kata Qira sambil membuka PDA di tangannya. Dia meneliti catatannya di situ satu-persatu.
“Kenapa? Ada mesyuarat penting ke?”
Qira angguk. “Tan Sri ada mesyuarat dengan Menteri esok. Pukul 2.00 petang. Pagi pula, Tan Sri ada upacara perasmian tapak perumahan di Bangi. Dua perkara ni saja yang tak boleh diubah. Yang lain sudah saya aturkan.”
Tan Sri Dzairil terdiam. Dia harap Damien mampu bersabar sehingga dia datang.



Bab 19
“NOT SO BAD….” Maisara memuji sambil melangkah masuk ke dalam Vila Helena. Sejak dia tiba di hadapan Vila Helena tadi lagi, dia sudah rasa tertarik dengan rumah itu. Rupa bentuknya dan permandangan di sekitarnya, benar-benar mempersonakan dia. Dia sedikit kecewa kerana sangkanya vila penuh misteri itu hanyalah sebuah vila yang buruk. Rupa-rupanya secantik dan segah itu.
Anis tidak menjawab, dia hanya mempersilakan Maisara duduk di ruang tamu.
“Maya!” panggilnya dengan suara yang sedikit ketar. “Buatkan air ya?”
“Damien mana? Kereta dia pun tak ada.”
“Dia keluar ke kedai,” jawab Anis. Dia masih tertanya-tanya apa tujuannya Maisara datang ke situ dan dari mana pula Maisara tahu tentang rumah itu?
“Sorry, aku datang tak bagitahu.”
“Ada… mesyuarat di sini ke?” Anis cuba berhelah. Dia benar-benar berharap agar Maisara tidak lama di situ. Melihat muka Maisara sahaja, sudah mengembalikan rasa kecil hatinya.
“Tak adalah. Saja nak bercuti di sini. Tak apa, kan kalau aku bermalam di sini beberapa hari?”
Anis menggeleng. Walaupun dalam hatinya sudah terasa mahu menangis. Mujurlah Maya keluar tepat pada masanya. Dua cawan kopi diletakkan di atas meja di tengah-tengah ruang.
“Siapa tu?” Maisara terus bertanya setelah Maya menghilang di dapur semula.
“Pembantu rumah yang jaga rumah ni.”
“Cantiknya! Macam tu punya cantik pun jadi orang gaji saja?”
Anis diam. Tidak kuasa difikirkan kata-kata Maisara yang selalu diluahkan tanpa berfikir.
“Kau ni kenapa nampak lembik saja? Morning sickness ke?” Maisara menumpukan perhatian kepada Anis pula. Sejak tiba di situ, dilihatnya Anis seperti tidak bermaya sahaja.
“Demam sikit,” balas Anis.
“Kalau demam pergilah klinik.”
Anis angguk. Semakin pening kepalanya apabila terpaksa melayan Maisara yang serba tahu itu. Syukurlah, tidak lama kemudian dia mendengar pintu pagar Vila Helena dibuka seseorang. Dia yakin Damien sudah balik.
*******
“KAU buat apa di sini?” tanya Damien sebaik sahaja masuk ke ruang tamu. Matanya memandang tepat ke arah Maisara yang sedang duduk tidak jauh dari isterinya. Dia tidak terkejut lagi apabila ternampak kereta Maisara di pekarangan Vila Helena. Cuma kalau boleh, dia ingin memberitahu Anis terlebih dahulu supaya Anis lebih bersedia. Sayangnya sudah terlambat.
“Uncle tak beritahu ke?”
“Beritahu apa?” Sengaja dibiarkan Maisara rasa tidak selesa, tidak dialu-alukan.
“Pasal aku nak ke sinilah.”
Damien angguk. “Ya, ada. Tapi kenapa kau datang sini?”
“Bukan kau sorang saja yang tahu bercuti? Isteri kau pun dah benarkan aku tinggal di sini beberapa hari.”
Damien terasa seperti disindir. Dia pandang Anis untuk mendapatkan kepastian namun Anis tunduk sahaja. Dia sedar, Anis sedang beralah untuk tidak mengeruhkan keadaan. Tentu banyak perkara yang bermain dalam fikiran Anis sekarang, itu yang dia tidak suka.
“Ikut kaulah. Rumah ni pun banyak bilik kosong. Taklah kami sunyi sangat bila malam-malam,” jawabnya.
“Sebut pasal bilik, boleh tak aku naik ke atas? Nak mandilah, rimas.” Maisara mencapai beg tangannya.
“Naiklah. Bilik nombor dua di sebelah kanan tangga tu, bilik kami. Yang lain tu semua kosong. Pilihlah saja yang mana satu nak.”
Maisara tersenyum. Tanpa berlengah, dia memanjat tangga naik ke tingkat dua.
Damien mengeluh panjang. Entah kenapa dirasakan, segala usahanya dan ayahnya sia-sia sahaja. Tapi tentu ada sebab kenapa Maisara sibuk mengikutnya datang ke situ, fikirnya pula.
*****
“ABANG ke mana tadi?” Anis bertanya setelah Maisara tidak kelihatan lagi. Sudah puas dia menahan rasa sakit kepalanya sementara menanti suaminya melayan kerenah Maisara.
“Abang cari ubat untuk Anis. Anis dah makan?” tanya Damien pula.
Anis geleng. Seingat dia hanya ada air sejuk dalam perutnya sejak terbangun dari tidur tadi.
Damien bingkas bangun.
“Abang nak ke mana lagi?”
“Tunggu sekejap, abang ambilkan air dan sudu,” kata Damien sambil melangkah ke dapur. Tidak lama kemudian dia keluar semula ke ruang tamu sambil membawa segelas air kosong. “Abang ada beli nasi lemak untuk Anis. Anis makan sikit, lepas tu baru telan ubat.”
Anis tidak membantah. Badannya terasa makin lemah.
Damien bukakan bungkusan nasi lemak yang dibawa pulang. Nasi lemak itu disuapkan ke mulut Anis namun Anis mengelak.
“Biar Anis makan sendiri,” kata Anis. Sudu di tangan Damien dicapainya.
“Maafkan, abang. Abang pun baru tahu tadi. Abah kata dia dah cuba halang, tapi tak berjaya.”
“Bukan salah abang, sampai abang kena minta maaf pada Anis.” Anis suap nasi lemak perlahan-lahan. Serentak itu terdengar perutnya berbunyi.
“Memang bukan salah abang, tapi dia sepupu abang,” balas Damien. Rasa jengkel di hatinya masih terasa. “Nanti abang suruh abah pujuk dia balik ke KL. Kalau tak pun tinggal di tempat lain.”
“Tak payahlah, bang,” kata Anis. “Anis tak nak abah fikir, Anis ni tak sukakan saudara-mara abang.”
Damien merenung wajah Anis lama-lama. Dia tahu di sebalik getaran suara itu, Anis memendam perasaan tidak suka. Perasaan tidak selesa. Maklumlah dalam keadaan bercuti, Anis pula sakit-sakit. Kini mereka terpaksa menerima tetamu yang pasti akan menuntut untuk dilayan itu ini. Dia yakin Anis susah hati dengan kedatangan Maisara di situ.
“Abang janji, abang akan buat apa yang boleh,” katanya. “Kita jangan fikirkan dia. Kita buat tak tahu saja, okey?”
Anis angguk. Dia tahu, Damien sedang cuba menguruskan keadaan di situ dengan sebaik-baiknya. Selepas dirasakan perutnya beralas, dia menelan dua biji ubat demam yang dihulurkan suaminya. Kemudian dia teringatkan sesuatu.
“Bang,” tegurnya. “Abang keluar rumah awal pagi tadi, kan?”
Damien angguk.
“Kenapa sampai tengah hari abang baru balik? Jauh betul abang cari nasi lemak?”
Air muka Damien berubah keruh. Berderau darahnya. “Kereta abang rosak. Tu yang lambat.”
“Kereta abang rosak?” Anis tergamam.
******
“TERUK ke rosaknya, bang? Tapi sebelum kita datang ke sini semalam, kan kereta tu dah diservis?” Sambil bertanya Anis menahan ketar yang terasa. Dengan tiba-tiba dia dihurung rasa sejuk yang teramat sejuk. Mungkin kerana terperanjat atau kerana suhu badannya yang kian memuncak.
Damien tersenyum nipis. “Kalau dah nak jadi tu… apa-apa pun boleh terjadi, kan?”
Ya, Anis menyetujuinya dalam hati. Kalau sudah mahu berlaku, akan berlaku jua seperti demamnya yang kini terasa semakin kuat.
“Teruk ke?”
“Taklah teruk sangat. Dah okey pun. Kenapa Anis tak angkat telefon tadi? Berkali-kali abang telefon.”
Mata Anis membulat. “Abang ada telefon Anis? Anis tak dengar apa-apa pun, bang. Mungkin telefon Anis masih dalam beg tangan. Balik daripada makan semalam, Anis terlupa langsung nak keluarkan.”
“Tak apalah. Abang risaukan, Anis saja. Nanti kita pasang telefon lain dalam rumah ni.”
Terbit rasa kesal di hati Anis kerana tidak memeriksa telefon bimbitnya sebaik sahaja bangun tadi. Pada fikirannya, Damien hanya berada di tingkat bawah. Dia terlupa yang Damien keluar mencari ubat untuknya.
 “Siapa tolong abang tadi?”
“Tolong? Tolong apa?” Damien pandang muka Anis.
“Tolong abang repair keretalah. Senang ke cari bengkel pagi-pagi tadi? Hari Ahad pula tu.”
Damien terkulat-kulat seketika. Macam mana dia boleh lupa? Cepat-cepat dia menjawab, “Kawan abang, si Faiz.”
Anis angguk perlahan.
“Kenapa tak ajak dia ke sini?”
Damien yang sedang mengunyah nasi lemak tersedak. Cepat-cepat dia mencapai air kosong dan meneguknya.
“Dia ada hal tadi,” jawab Damien selepas berdeham beberapa kali.
“Abang ajaklah dia ke sini, kita pun bukan ada kawan-kawan di tempat ni,” balas Anis. Dalam diam, dia rasa bersyukur kerana sekurang-kurangnya ada Faiz yang boleh membantu mereka jika terjadi apa-apa. Setahu dia, Faiz adalah salah seorang daripada kawan baik Damien. Pernah juga dia bertemu dengan Faiz beberapa kali di Kuala Lumpur walaupun dia tahu Faiz menetap di Melaka bersama orang tuanya.
“Nantilah… tunggu Anis sihat dulu.”
“Petang ni sihatlah. Demam sikit saja ni,” balas Anis.
“Demam sikit? Panas macam ni, apa yang sikitnya?” Damien sentuh tapak tangannya ke dahi Anis. Hatinya mula terasa bimbang apabila dahi Anis panas berapi semula.
Anis tersenyum tawar. “Abang janganlah risau sangat… demam beralih tempat saja ni,” jawab Anis.
“Abang pun tak nak Anis demam macam ni. Tapi kalau tak baik juga, petang nanti abang bawa Anis pergi klinik, okey?”
Mendengarkan perkataan klinik disebut, Anis terus sahaja menggeleng. Perkataan itu tidak jauh bezanya dengan perkataan hospital. Dia ngeri. Segala kesakitan yang ditempuhnya sebelum ini bagaikan terasa semula di sekujur tubuhnya.
“Kalau Anis tak nak, abang dukung Anis,” kata Damien lagi sambil menarik tangan Anis supaya bangun. “Sekarang Anis naik atas dan tidur sampai sihat.”
“Sekejap lagi Anis sihat…percayalah,” kata Anis sambil terketar-ketar bangkit dari kerusi. Mahu memanjat tangga pun terasa tidak larat tetapi dia harus kuat, di saat matanya terpandang kotoran di baju suaminya dia berasa kasihan. Entah apalah yang telah ditempuhi Damien seketika tadi….

No comments:

Post a Comment