Tuesday, December 25, 2012

PERCAYALAH SAYANG : Bab 20



Bab 20
DI BILIK ATAS, Maisara sedang termenung di beranda biliknya. Di situ, dia hanya dapat melihat sedikit sahaja bahagian laut, selebihnya beranda itu menghadap jalan raya. Dia sedikit kecewa. Sedang dia termenung menikmati keindahan yang terbentang, dia terdengar bunyi air seperti dipam di bilik tandas.
Eh! Dia berasa hairan. Lalu dia melangkah ke bilik air untuk memeriksa. Sebaik sahaja dia menolak pintu bilik air itu, dia terjerit kecil. Bilik air itu sungguh kotor dan buruk rupanya. Di lantai dan pada dinding, dipenuhi dengan kesan tanah yang hitam dan berbau busuk. Ulat melentik-lentik di atas lantai. Dia segera berlari keluar dari bilik untuk mencari Damien.
“Damien!” Dia menjerit.
Damien dan Anis yang kebetulan sedang menaiki tangga, tersentak.
“Damien tolong!” jerit Maisara lagi.
“Kenapa?” Damien tercengang. Rasa marah mula timbul apabila melihat kelakuan Maisara yang kelam-kabut itu. Belum lagi lama, Maisara sudah menunjukkan belang mengada-ngada, kata hatinya.
“Masuk sekejap. Kenapa bilik airnya kotor sangat? Eee… jijik!”
“Kotor?” Damien pandang muka Anis. Daripada cara Anis memandangnya, dia tahu Anis juga tidak percaya dengan apa yang didengar. Mungkin Maisara sudah mula buat hal. “Mana ada kotor? Rumah ni dah dibersihkan.”
“Marilah tengok dulu,” ajak Maisara.
“Tak apalah, bang. Abang pergilah tengok. Kalau betul kotor, suruh Maya bersihkan. Anis nak… masuk bilik dulu.”
“Biar abang hantar Anis ke bilik dulu,” jawab Damien. Dia tahu Anis beralah dengan sikap Maisara.
Anis geleng. Dia melangkah tenang ke bilik tidurnya.
Melihatkan Anis sudah masuk ke dalam bilik, Damien segera mengikut Maisara memeriksa bilik air di bilik yang lagi satu.
“Tak ada apa-apa pun? Bersih saja,” katanya setelah memeriksa. Memang dasar Maisara yang suka buat kecoh.
“Ha?” Maisara tercengang. Dia menarik Damien keluar dan menerpa masuk. Seperti yang dikatakan oleh Damien tadi, bilik air itu memang bersih sebersihnya. Aneh. “Aik? Tadi kotor tau? Betul… aku tak tipu.”
Damien hanya menghempas nafas. Rasa geramnya kepada Maisara makin bertambah. “Jangan buat kecohlah. Kecil hati Anis tu nanti.”
“Aku bukan sengaja nak buat kecoh,” bantah Maisara. Geram rasanya kerana Damien tidak mempercayai ceritanya tadi. “Memang betul bilik air tu tadi kotor, busuk. Lantai dia pula penuh dengan tanah hitam. Berulat.”
Damien hanya menggeleng. Dia tetap tidak dapat menerima cerita Maisara. Baginya Maisara hanya membuat cerita untuk mengecohkan keadaan dan menyakitkan hati Anis. “Habis tu? Macam mana kau nak jelaskan sekarang?”
Maisara diam. Memang dia tidak ada satu pun penjelasan yang boleh diberikan kepada Damien. Dia sendiri rasa malu dan bingung.
“Damien… kau tak rasa rumah ni… sort of creepy?” Sehabis berkata-kata bulu romanya menegak.
“Jangan mengada-ngadalah,” balas Damien lalu melangkah menuju ke pintu. “Kalau kau nak tinggal di sini tolong jangan menyusahkan hati Anis. Jangan nak buat cerita mengarut tu.”
Maisara kehilangan kata-kata. Cuma bulu romanya terus meremang hingga ke pangkal tengkuk.
******
DAMIEN kembali ke biliknya. Dilihatnya Anis sedang berselimut di atas katil. Dia segera mendekati Anis.
Semena-mena, Anis berpaling. Dia memandang Damien.
“Kenapa tadi tu?”
Damien membelai rambut Anis yang dilihatnya seperti sedikit kering. Dia tersenyum lembut.
“Ah! Minah kecoh tu,” kata Damien. “Entah apa-apa. Elok saja bilik air tu.”
“Tak baik abang kata dia macam tu,” balas Anis tetapi jauh di sudut hatinya lega. Risau juga fikirannya jika benar bilik air di rumah tu kotor. Tentu nanti menjadi bahan umpatan pula. 
“Anis jangan fikir apa-apa. Tidur sampai keluar peluh,” balas Damien pula apabila menyedari Anis masih termenung. Dia kemudiannya duduk menyandar pada kepala katil sambil membelek telefon bimbitnya.
Anis tarik selimut sampai ke leher. Sebelum dia memejamkan mata, dia berkata, “Abang pergilah mandi dulu. Baju abang kotor.”
“Kotor?” Damien yang sedang leka memadamkan semua ‘history’ panggilan yang dibuat dalam buku telefonnya, terkejut.
“Belakang abang kotor. Macam ada kesan tanah.”
Damien terasa darahnya bergemuruh. Mungkin tanah terkena pada bajunya sewaktu dia mendukung gadis tadi ke dalam keretanya.
 “Tak apalah, biar abang mandi sekejap.” Dia terus bangkit meninggalkan katil dan mencapai tuala. Baju kotornya dicampak sahaja ke dalam bakul kain sebelum melangkah masuk ke dalam bilik air.
Sementara Damien mandi, Anis mencapai telefon bimbit Damien lalu memeriksanya. Semua sejarah panggilan yang diterima ataupun yang telah dibuat oleh Damien telah dipadamkan. Kotak mesej juga kosong.
Anis termenung seketika.
******
 SUDAH pukul 3.00 petang, Anis masih tidur. Sesekali Damien memeriksa suhu badan Anis yang semakin menurun. Leher Anis juga sudah berpeluh. Ubat demam itu berkesan, mungkin Anis hanya demam biasa. Demam berubah tempat. Perasaan risaunya juga mula menyurut.
Setelah penat berbaring di sisi Anis, Damien turun ke tingkat bawah. Hajat di hati mahu menonton TV sementara Anis bangun semula. Sebaik sahaja, dia tiba di tingkat bawah, suasana dirasakan sangat sunyi dan dingin walaupun di luar rumah nampak terang-benderang .
Dia menukar saluran TV beberapa kali. Hinggalah tiba ke saluran ‘LIFE inspired’ dia berhenti dan duduk dengan selesa. Baru sahaja hendak menumpukan perhatian, dia ditegur.
“Saya dah siapkan nasi, tuan. Jemputlah makan.”
Damien terkejut. Dia lantas menekan butang kawalan volum suara, lalu menggeleng. Sesungguhnya dia sudah terlupa tentang kehadiran Maya di rumah itu. Debar di dadanya mula kencang semula.
“Dah dekat pukul 3.00 petang ni, tuan. Makanlah sikit. Untuk puan, saya dah masakkan bubur nasi.”
“Saya masih kenyang. Awak makanlah,” balas Damien.
Dia tidak mahu melayan Maya. Dia tidak mahu melayan jiwanya yang kacau-bilau apabila Maya ada di sisinya. Entah kenapa setiap kali Maya ada berdekatan, bulu romanya meremang. Gadis itu sememangnya mempunyai aura yang kuat tetapi tidak menyenangkan.
“Nasi dan lauk, saya sediakan di atas meja makan. Kalau tuan nak makan nanti, silalah ke sana. Bubur puan macam mana? Nak saya bawakan ke bilik?” tanya Maya lagi.
Bulu tengkuk Damien pula meremang. Daripada getaran suara Maya, dia dapat merasakan betapa dekatnya Maya berdiri di belakangnya. Bagaikan terasa hembusan nafas Maya di lehernya. Dia segera mengangkat punggung dan menoleh. Memang Sah, Maya berdiri di belakang kerusinya tadi sambil tersenyum manis.
“Biar saya bawa bubur tu ke atas,” katanya dalam situasi yang dirasakan amat kekok itu.
“Tuan makanlah dulu. Lepas tu bawa bubur untuk puan.”
Damien menggeleng untuk ke sekian kalinya. Entah kenapa, berat benar hatinya untuk menyentuh masakan Maya. Seperti ada sesuatu yang menghalang dan mematikan seleranya.
“Awak ambilkan bubur untuk puan saja.”
Kali ini Maya mengalah. Dia angguk sekali dan lantas ke dapur. Tidak lama kemudian terdengar bunyi pinggan pecah.
Pranggg!!! Dan disusuli jeritan Maya. “Aduh!”
Damien yang masih berdiri sejak tadi di ruang tamu, segera berlari ke dapur. Jeritan Maya membuatnya cemas.
“Macam mana boleh jatuh ni?” Dia tergamam di muka pintu apabila terlihat Maya terkelepok di atas lantai sambil bersimbah bubur nasi. Cebisan kaca pula merata-rata.
“Tolong, tuan,” Maya berkerut dahi sambil menggosok buku lali dan betisnya perlahan-lahan.
“Tolong? Nak tolong apa? Awak tak boleh bangun ke?” Damien terkelip-kelip memandang. Kasihan juga hatinya melihat keadaan Maya begitu tetapi untuk menolong… dia ragu-ragu.
Maya segera menggeleng. Wajahnya sebak sekali. “Kaki saya sakit, tuan. Maafkan saya sebab pecahkan mangkuk.”
“Awak tak payah kisahkan mangkuk tu, awak pergilah berehat dan tukar pakaian dulu. Biar saya bersihkan bubur ni.”
Maya terangguk-angguk tanpa memandang wajah Damien.
“Saya tak boleh bangun, tuan,” katanya sambil cuma mengangkat tubuhnya berdiri tetapi terjelepok jatuh semula ke lantai.
Damien garu kepala. Nak angkat ke? Akhirnya dia mengeluh panjang. Dalam sehari, sudah dua kali dia mendukung perempuan. Tadi yang di hospital tu, yang ni di dapur pula. Dengan berhati-hati, dia mendekati Maya dan menarik lengan Maya supaya bangun.
Maya tersentak bagaikan keliru. Tanpa memandang Damien, dia mengangkat tubuhnya berdiri semula dengan hanya sebelah kaki. Lalu sambil berjengkit-jengkit… Damien memapahnya ke bilik tidur di sebelah dapur.
Setelah Maya didudukkan di atas katil, Damien segera melepaskan pegangannya dan bergerak pergi.
Maya membongkok-bongkok membelek kaki dan betisnya yang putih melepak.
“Awak rehatlah dulu.”
Perasaannya jadi begitu bercelaru semasa berada di situ. Sepertinya ada sesuatu yang berperang dalam jiwanya. Dia beristighfar… lalu melangkah keluar. Jika Anis nampak… mungkin sukar jadinya.
“Terima kasih, tuan. Tuan baik,” kata Maya sambil menjeling manja.
Kata-kata itu tidak singgah lama di telinganya. Dia tidak menjawab atau menoleh ke belakang lagi. Dia baik? Dia hanya menolong apa yang sepatutnya sahaja. Itu pun sedaya upaya, dia menyentuh Maya seminima yang mungkin. Dia anggap itu situasi darurat. Tidak mungkin pula dia sanggup melihat seorang perempuan yang dalam kesakitan merangkak di atas lantai. Ah! Makin bercelaru perasaannya.
 Selepas membersihkan kesan bubur dan kaca-kaca yang berselerakan, dia membawa semangkuk bubur nasi dan segelas air suam ke bilik Anis. Hilang sudah seleranya untuk menonton TV.

No comments:

Post a Comment