Friday, December 10, 2010

Mencari Damai Abadi : Bab 1




Pulau Damai

Orang kata dia bertuah. Orang kata dia bernasib baik. Benar atau tidak, dia menerimanya sebagai doa yang baik-baik. Sememangnya dia berasa amat bertuah sekali kerana takdir Tuhan melontarkan dia ke Pulau Damai. Pulau yang terpencil, indah dan menghidangkan kedamaian yang diperlukan dalam hidupnya. Walau sesekali dalam setahun kedamaian itu hilang juga.

Di bawah sebatang pokok kelapa yang condong ke laut, dia duduk menaip sesuatu. Dengan beralaskan sebatang pokok kelapa yang tumbang sejak sebulan yang lalu, dia amat khusyuk. Cuma sesekali dia berhenti dan mengangkat muka memandang laut lepas yang membiru. Dia mencari ilham.

Angin petang yang berpuput lembut, melengkapkan keasyikannya mengarang cerita. Nasibnya baik apabila komputer riba buruknya masih boleh berfungsi. Dia sememangnya tak memerlukan apa-apa lagi waktu itu, selain ilham dan ketenangan. Namun nampaknya, keasyikannya terganggu apabila ada suara yang menegurnya dengan tiba-tiba.

“Azmi, kamu belum balik?” tanya satu suara yang datang dari arah belakang. Derap tapaknya yang terbenam sedikit di dalam pasir kering mengiringi kehadirannya di bawah pokok kelapa itu.

“Belum, bang. Nak siapkan lagi sikit ni,” jawabnya tanpa mengalihkan muka walau sedikit. Dia sedang cuba menaip selaju mungkin agar ilham yang datang tadi tidak hilang dibawa angin.

“Dah banyak tulis?”

“Baru masuk mukasurat 97, bang. Banyak lagi ni,” jawab Azmi sambil menggeleng.

“Perlahan-lahanlah, bukannya nak disiapkan dalam satu hari.” Abang Osman memanjangkan langkah dan duduk di sebelahnya.

Azmi cuma mengangguk. Memang benar kata-kata Abang Osman, sepupunya itu. Tetapi dia tak mahu berlengah lagi setelah sekian lama menghimpun keberanian untuk menulis sebuah manuskrip. Dan dia tak mahu tewas lagi oleh seribu satu keraguan.

“Mi tulis cerita tentang apa?”

Serta-merta muka Azmi yang sawo matang itu bertukar merah. Dia menggeleng, terasa darahnya menderu naik ke muka. Niatnya hanya mencuba nasib sebagai pengarang novel walau dia sedar halangannya menggunung. Jadi, selagi dia belum berjaya biarlah cerita itu akan tetap menjadi rahsia.

Abang Osman hanya ketawa melihatkan tindakbalas Azmi. Dia segera tahu Azmi malu untuk berkongsi. “Abang nak ke tanah besar, esok. Kamu nak kirim apa-apa?” Abang Osman yang duduk bersebelahan merenungnya lama-lama. “Atau kamu boleh ikut saja, abang. Kamu pun dah lama tak ke tanah besar.”

Azmi mengerling sekilas. Dia faham apa maksudnya kata-kata Abang Osman itu. Cuma dia selalu berasa berat hati mahu ke sana. Kalau bukan sekadar untuk menziarahi pusara kedua ibubapanya dan abang-abangnya, lebih baiklah dia di situ. Di sana hanya ada kesedihan. “Tak apalah, bang. Abang pergi sajalah. Kalau kita dua-dua pergi, siapa pula yang nak jaga kedai?”

“Kak Senah kan ada. Sesekali kamu patut berubah tempat, Mi. Sejak kamu balik semula ke sini, abang tengok kamu jarang sangat keluar ke mana-mana. Ke Pulau Mayang pun kamu jarang pergi.”

“Tak ada keperluan, bang,” jawabnya pendek. Dia tunduk semula menghayati ayat-ayat yang telah ditaip.

Memang tak ada keperluan langsung untuk dia ke Pulau Mayang yang terletak hanya setengah jam dengan menaiki bot. Berbanding Pulau Mayang, Pulau Damai lebih kecil dan terpencil. Luasnya hanya lebih kurang 50 hektar. Pulau Mayang pula lebih luas dan lebih terkenal sebagai pulau peranginan. Pulau Damai pula hanya terkenal di kalangan para penyelam dan pelancong yang tahu tentang kewujudan pulau itu. Sayangnya Pulau Damai terletak lebih ke depan daripada Pulau Mayang, menghala ke Laut China Selatan, maka jika berlaku ribut taufan, Pulau Damai yang akan dilanda dahulu.

“Kamu patut menikmati masa muda kau, Mi,”pujuk Abang Osman lagi. Bagai ada kekesalan yang terdampar di hatinya.

Azmi mengeluh. Fail manuskripnya disimpan ke dalam sebuah folder. Ilhamnya sudah entah ke mana. Hanyut bersama fikirannya yang terganggu. “Dengan berpoya-poya di parti-parti tepi laut?” tanyanya balik. Terbayang-bayang di matanya pergaulan bebas yang berleluasa di resort-resort yang terletak di Pulau Mayang. Arak tak ubah seperti air sejuk, dihidang dan diteguk tanpa segan silu. Dan dia jauh dari rasa mahu ikut serta.

“Tak semestinya macam tu, Mi. Tapi sekurang-kurangnya…”

“Apa yang abang risaukan sangat ni? Cuba cakap.” Dia tersenyum. Dia tahu Abang Osman tak pernah berniat serong kepada dia. Dia dan Abang Osman walau hanya sepupu tetapi dibesarkan bersama-sama sejak kecil. Ikan masak singgang yang Abang Osman makan hari-hari, itulah juga yang membesarkan dia. Bau hanyir ikan kering yang Abang Osman hidu setiap hari, itulah juga yang memenuhi relung dadanya sekian lama.

“Kamu tak pernah fikir ke soal kahwin? Kamu tak ada kawan perempuan?”

“Kalau ada, mengapa?”

Abang Osman tersengih. “Bolehlah abang dan Kak Senah pinangkan.” Dia menyenggol bahu Azmi.

“Tak ada, bang. Siapalah yang nakkan saya ni? Harta tak ada, pelajaran kurang.”

“Kalau ada, macam mana?”

Azmi tersenyum. Matanya merenung Laut China Selatan yang tak jemu-jemu dipandang. Kali ini dia tidak mencari ilham, dia mencari kekuatan. Kekuatan untuk mempercayai bahawa dia sebertuah itu untuk mendapat seorang gadis yang sanggup menerima dirinya seadanya. Mungkinkah benar kata orang, dia memang bertuah?

****

Pulau Mayang

Sherry menendang-nendang air laut yang datang mencumbui kakinya yang tidak beralas. Sesekali dia berlari ke laut mengejar ombak yang bergerak jauh. Sesekali juga dia berlari ke pantai, apabila ombak yang datang itu lebih besar dari yang disangkakan. Dia jadi leka di situ, sambil menyusuri pantai yang memutih di pinggiran Resort AngsaMas. Sedar tak sedar, dia sudah semakin jauh dari resort yang ditumpanginya.

“Wei…dah jauh ni. Jom patah balik,” tegur Tina, gadis putih melepak seiras anak gadis berbangsa Cina. Rambutnya yang terlerai dibahu kini dibelai angin lalu bermain-main di mukanya yang bujur sireh.

Langkah Sherry langsung terhenti dek teguran Tina. Jika bukan kerana teguran itu, dia sudah pasti akan terus menyusuri pantai putih itu selama-lamanya. “Dah pukul berapa?” Dia menoleh ke arah Tina yang sedang leka memerhati anak-anak ikan di celah batu. Baru tersedar tangan kanannya hanya terhias seutas gelang mutiara tanpa jam tangan.

“Dah dekat pukul 7.00 malam. Kau nak jalan lagi ke? Aku dah penat ni, badan pun melekit-lekit semacam,” rungut Tina lagi.

“Kita makan dululah, esok pagi dah nak ke sanakan?” tanya Sherry semula. “Kita dah confirm ke dapat bot esok?”

“Aku dah confirmkan dengan pekerja resort tu, esok pagi mereka suruh kita standby di depan resort pukul 9.00 pagi. Ada bot dari Pulau Damai akan ambil kita, ” jawab Tina.

“Berapa jam ke sana?”

“Setengah jam je, resort di sana pun aku dah confirmkan,” sambung Tina lagi sambil berdiri di atas batu. Sememangnya dialah yang mengaturkan percutian itu sejak dua bulan yang lalu. Sudah lama dia mahu ke Pulau Damai yang sering disebut-sebut oleh rakan-rakan lelakinya. Dia nak ikut mereka, tapi mereka tak nak bawa dia. Jadi, terpaksalah dia ajak Sherry. Bukan ajak sebenarnya, tapi paksa.

“Okey, malam ni kita tidur awal sikit. Cuti-cuti juga tapi jangan tak bangun pulak,” sindir Sherry.

Tina yang terasa diperli segera membalas. “Kitakan bercuti? Bagi can lah aku tidur lama sikit. Kalau tak tu, setiap pagi kena bangun awal dan masuk ofis.”

“Kau ni kan, tak habis-habis bersungutlah,” balas Sherry. Dia melangkah semula ke arah Resort AngsaMas yang nampak kecil saja dari tempatnya mula melangkah. Kini mula terasa langkahnya semakin berat, bagaikan terbenam di dalam pasir yang basah. Mungkin kerana sudah mula terasa letih, yang dekat pun, nampak jauh.

Tina tersentak, air mukanya berubah. Dia mengejar dan menarik lengan Sherry. Akhirnya mereka berjalan bergandingan sambil menikmati udara petang yang mula menyambut senja. Sesekali dia tersenyum kepada pemuda-pemuda yang masih asyik bermain bola pantai. Siulan dan sapaan mereka hanya dibalas dengan senyuman manis.

“Aduh!” Tiba-tiba Sherry terjengket-jengket dan akhirnya mengangkat kaki kanannya ke atas. Ibu jarinya merah dan berdarah, kuku ibu jarinya terjongket sedikit, dia jadi ngeri sendiri. Serentak itu juga rasa pedih mula terasa berlari-lari di setiap urat saraf.

“Mata ke mana kak oi?” sindir Tina pula. Puas, kerana dapat membalas sikap Sherry tadi. Kini dia turut berhenti sambil melihat keadaan Sherry yang hampir hendak menangis. “Dia orang pun satulah, kenapa dibiarkan tunggul ni tercongok kat tepi pantai ni?” tanyanya pula walau dia tahu Sherry bukanlah tempat bertanya yang sepatutnya.

Dia turut membongkok melihat ibu jari Sherry yang masih bengkak. Rasa ngeri turut menjalar di hatinya apabila terpandang kuku Sherry yang diselaputi darah. Terbit rasa bimbang. “Boleh jalan tak? Kalau tak boleh, aku panggilkan abang-abang tu untuk dukung kau.”

“Cakap sajalah nak berkenalan dengan mereka tu, tak payahlah jadikan aku alasan,” balas Sherry sambil cuba memakai seliparnya semula. Rasa pedih di hujung jari kakinya ditahan sahaja. Namun tetap terasa kesal, bagaimana dia boleh begitu cuai tidak terpandangkan tunggul kecil yang hampir terbenam di dalam pasir. Mungkin kerana hari yang semakin gelap, tunggul hitam itu difikirkan plastik hanyut semata.

“Boleh tak pergi esok ni? Kalau tak boleh, aku kena batalkan tempahan tu.”

Sherry membisu. Darah yang mengalir dari ibu jarinya kini menitik ke pasir. Terserap perlahan-lahan lalu bersemadi di situ. Ibu jari kakinya yang tadi pedih, kini mula berdenyut-denyut. Seperti hatinya yang tadi riang kini berubah walang. Namun kesedihan yang terpancar di wajah Tina lebih menyakitkan hatinya daripada itu.

****

Pulau Damai

“Ni saja ke barang-barang yang kita kena tambah?”tanya Abang Osman sambil membaca senarai barang yang diberikan Azmi pagi itu. Cuma ada lima jenis barang yang tertulis termasuk, beras, garam dan gula. “Pelampung tak nak tambah?” Abang Osman memerhati pula pelampung pelbagai bentuk dan warna yang sedang digantung oleh Azmi di hadapan kedai mereka.

“Tak payahlah, bang. Yang ada ni pun tak banyak luaknya. Sekarang dah jarang oarang bawa budak-budak ke sini.”

“Kalau macam tu, tak apalah. Tak nak beli banyak sikit ke? Nanti bila musim ombak besar, susah dah kita nak ke seberang.”

“Tak payah. Musim tengkujuh lambat lagi. Sempatlah lagi abang minum teh di seberang beberapa kali.”

Abang Osman tersengih. Sesekali duduk minum teh dan mencicah roti canai di jeti seberang, apa salahnya? “Kamu tak nak ke, kirim baju atau seluar? Baju kamu ni dah lama tak berganti-ganti,” omel Abang Osman sambil menarik baju-T yang sedang dipakai Azmi.

Azmi ketawa. “Dari beli baju saya baik abang fikirkan baju Kak Senah tu. Makin lama perutnya makin besar, bang. Belilah baju baru sehelai dua. Baru anak dalam perut tu gembira.”

“Mak yang pakai, anak yang genbira?” Abang Osman ketawa.

“Kalau mak dia gembira, anak dalam perut pun gembira dan membesar dengan baik. Bila keluar nanti, dia kurang nangis, bang. Ketawaaa…je,” balas Azmi. Dia sendiri pun tak pasti sama ada itu betul atau salah tetapi dia pernah terbaca di dalam majalah bahawa emosi ibu yang mengandung akan sampai kepada anak yang sedang dikandung.

“Kalau begitu cakap kamu, nantilah abang tengok-tengokkan dekat bandar. Betul ni kau tak nak kirim apa-apa?” Abang Osman tak berganjak lagi dari situ.

Akhirnya Azmi mengalah, kalau dia tak mengirim sesuatu, macam berat benar Abang Osman hendak meninggalkan mereka. “Nah! Duit ni, abang belikan saya novel ya.” Dua keping not merah dihulurkan ke tangan Abang Osman.

Dahi Abang Osman berkerut. “Tajuk apa?” Duit yang dihulur ditolak baik-baik. “Abang, kalau masuk ke kedai buku, naik rambang mata jadinya. Beribu-ribu buku, entah mana satu yang nak dibeli.”

“Senang saja, bang. Abang tanya kat pekedai tu, yang mana satu novel keluaran terbaru, yang itulah abang beli. Tapi beli sebuah sajalah, jangan borong pulak.”

Abang Osman mengangguk, kali ini baru dia melangkah pergi dengan senang hati.

Azmi ikut sama untuk menghantar Abang Osman ke jeti. Di pulau itu, itulah satu-satunya jeti tempat bot nelayan dan bot pelancong mendarat. Seingat dia, sejak kecil lagi jeti itu sudah beberapa kali dibina semula dan kini jeti itu semakin panjang dan semakin cantik binaannya sejak ditaja oleh pihak pengurusan Resort Abadi, satu-satunya resort persendirian yang ada di pulau itu.

“Dulu, kita selalu terjun kat sini kan?” tanya Abang Osman. Semakin jauh dia melangkah menyusuri jeti, semakin terimbau kenangan semasa dia dan Azmi masih kecil.

“Dulu jeti ni tak sepanjang ni, bang,” tegur Azmi sambil matanya menjeling ke arah air laut di bawah jeti. Kelihatan anak-anak ikan masih senang bermain di situ seperti waktu dulu.

“Ha’ah, jeti ni makin jauh ke tengah. Makin lama, makin semput nak sampai ke hujung tu,” komen Abang Osman lagi.

“Bot mereka besar-besar, mungkin tak boleh rapat sangat ke pantai,” kata Azmi sambil memandang ke arah sebuah bot milik Resort Abadi yang baru tiba di hujung jeti. Air laut di sekitarnya jadi berombak hingga bot kecil milik Abang Osman dan penduduk kampung teroleng-oleng.

Mereka dan pendudk kampung yang mahu keluar ke laut terpaksa menunggu di situ sementara bot milik Resort Abadi itu merapat ke jeti dan menurunkan penumpang. Memang begitulah selalunya kerana jeti itu bukanlah besar sangat. Dan mereka tak pernah merungut, jeti yang cantik itu sudah seribu rahmat buat mereka di situ.

Kelihatan sekumpulan pelancong asing turun dari bot dan menaiki jeti. Riuh-rendah suara mereka hinggakan jeti itu menjadi hingar. Azmi dan Abang Osman tersenyum manis menyambut ketibaan mereka. Pelancong adalah rezeki, kerana kedai mereka adalah satu-satunya kedai di pulau itu.

Akhirnya, muncul dua orang gadis dari perut bot besar itu. Seorang bertopi lebar dan seorang bertocang dua. Abang Osman segera menyenggol tubuh Azmi.

Azmi hanya menghela nafas, dia cuba tak memandang ke arah dua orang gadis itu. Dia sedar apa yang maksudkan oleh Abang Osman. Dia hanya tak mahu melayan. Wajahnya berkerut menahan senyum dan Abang Osman tergelak kecil sambil menuruni tangga jeti naik ke botnya pula.

Setelah berpuas hati, Abang Osman meninggalkan jeti bersama beberapa orang penduduk pulau itu yang juga ada urusan di tanah besar.

Bot Abang Osman makin jauh ke tengah laut. Azmi berpaling dan mula melangkah balik ke pantai namun gelagat dua orang gadis yang masih tak bergerak dari situ membuat dia berasa hairan. “Kenapa? Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” tanyanya dengan ikhlas. “Resort di depan sana, bangunan berwarna coklat muda tu.” Jarinya menunjuk ke arah bangunan paling besar di pulau itu. Tak susah mencarinya, hanya terletak berdekatan dengan pintu jeti.

“Tolong panggilkan pekerja resort tu boleh tak? Kawan aku ni tak larat jalan,” kata gadis yang bertopi lebar. Wajahnya terlindung dek topinya yang selebar pinggan makan.

Kawannya yang bertocang dua hanya bermasam muka. Tanpa menghiraukan Azmi, dia cuba menghayun langkah. Namun setiap kali kakinya mencecah lantai jeti, dia terjengket dan hampir jatuh. Dia berdecit dan berpaut pada tiang jeti.

“Kenapa dengan dia?”tanya Azmi kehairanan. Mula cemas dengan situasi yang tidak diduga.

“Kuku ibu jari kaki dia tercabut semalam,”jawab gadis di sebelahnya.

Mulut Azmi terlopong. Baru dia perasan ibu jari gadis itu berbalut dengan plaster. “Nak ke resort kan?” tanyanya pula. Sambil memikirkan cara menyelesaikan kemelut itu. Jarak dari situ ke hujung jeti, lebih kurang 400 meter juga. Mampukah gadis itu berjalan ke sana? Kalau setapak-tapak macam tu, tak mustahil sampai ke hujung sudah pukul 3.00 petang.

Gadis di sebelahnya mengangguk. “Kau pekerja resort ke? Kalau begitu boleh tak, kau bawak beg-beg kami ni?” Dua buah beg pakaian diletakkan dihadapan Azmi sebelum sempat Azmi menjawab.

Azmi serba-salah. Beg pakaian itu diambil dan dibawa tanpa sepatah kata. Gadis yang bercakap dengannya tadi langsung mengekor dan apabila dia tiba di sebelah gadis bertocang dua itu dia berhenti. “Boleh jalan tak? Kalau tak boleh…” Dahinya berkerut, peluhnya merenek.

“Tolonglah dukung aku,” Air mata gadis yang bertocang dua itu bergenang.

Azmi menghela nafas, dia memandang ke sekeling. Pantai agak lengang, pekerja resort sendiri belum sampai ke situ. Yang ada hanya di bahagian pengurusan, dia tahu benar.

“Cepatlah, panas ni…” rengek gadis itu lagi.

Mendengarkan permintaan gadis itu, Azmi semakin kalut. Pertama kali di dalam hidupnya dia merasakan bahawa kedamaian di pulau itu telah benar-benar hilang. Kini dia bukan berdepan dengan ribut taufan yang dibawa dari Laut China Selatan tetapi ribut yang dibawa oleh sepasang bibir yang menawan. Dan sejujurnya dia tidak tahu apa yang harus dibuat kerana jantungnya berdegup terlalu kencang.

Buk! Punggung gadis itu mencecah lantai setelah kepalanya terhuyung-hayang. Kini, tubuhnya tersandar lesu ke tiang jeti dengan mata yang terpejam.

Dan Azmi segera tahu ribut di hatinya makin menggila. Entah bagaimana mahu didamaikan.

Thursday, December 9, 2010

Sedikit tentang Mencari Damai Abadi


Mungkin satu kebetulan, dengan lahirnya sebuah kisah baru iaitu 'Mencari Damai Abadi', saya betul-betul perlu mencari damai buat seketika waktu.

Baru saja hati nak sejuk, sekarang panas balik. Mungkin betul, saya patut tutup saja blog ini tetapi dek mengenangkan ada pembaca setia yang telah bersama saya sejak tahun 2007 lagi, saya rasa tak adil bagi mereka.

Saya mula rasa tertekan dan tak gembira lagi menulis di sini macam dulu. Semuanya kerana persepsi yang tak mahu memahami atau buat bodoh.

Semua kisah yang tersiar di sini adalah dalam bentuk/ versi enovel sahaja dan bukan dalam versi draf mahupun manuskrip. Saya sebagai seorang penulis novel takkan menyiarkan manuskrip saya yang betul di sini sebagai langkah keselamatan (penulis dan editor tentu amat faham apa isu keselamatan yang saya maksudkan).

Draf hanya saya siarkan di dalam sebuah lagi blog khas iaitu blog INKUBATOR. Di sana, pembacanya adalah rakan penulis dan pembaca yang saya anggap sebagai kumpulan sokongan karier saya. Segala kritikan mahupun komen mereka saya teliti dan ambil berat.

Apa yang saya siarkan di sini adalah sebagai perkongsian kisah sahaja, bukannya tempat untuk anda belajar apa-apa atau menilai apa-apa kerana majoriti pembaca di sini adalah pembaca yang sejati dan mereka membaca dengan hati yang terbuka.

Saya lebih senang menghadiahkan kepada pembaca saya versi enovel berbanding versi manuskrip kerana versi manuskrip mempunyai subplot yang banyak dan panjang. Dengan 'update' yang seminggu sekali, saya jamin, sebelum mainplot bersambung...habis semua pembaca lupa di mana kita berhenti tadi! jadi, saya cut off..eh short cut supaya mainplot tetap fokus sebab ini enovel! Kalau novel, ia berbeza sama sekali. Kita boleh selak cepat-cepat, jadi subplotnya kalau panjang pun tak apa. 

Saya sebenarnya juga tak mahu menerangkan ini semua kepada pembaca blog ini kerana saya rasa mereka yang sudah bertahun-tahun bersama saya, mereka yang mengenali saya di luar dan di blog ini, mereka yang menyokong dan mengkritik di blog Inkubator sudah amat memahami gaya kerja saya. Mereka tahu bila masa saya bermain dan bila masa saya bekerja.

Tapi kalau itulah isu yang mahu dibangkitkan, saya rasa saya tak mampu menunaikan permintaan anda kerana risikonya sangat tinggi. Hasil kerja saya pernah diciplak, cukuplah setakat itu.

Saya rasa majoriti pembaca setia di blog ini memahami tindakan saya. 

Berkaitan dengan kisah baru yang saya mahu kongsikan nanti.

Ingin saya terangkan sebelum kita semua 'hangin' lagi sekali, kisah ini kisah CINTA bukan thriller yang hendak dimulakan dengan 'bang'.

Pulak tu..(dah keluar lagii pulak), MDA adalah kisah cinta yang 'Old-fashioned'. kenapa saya sebut macam tu adalah kerana ia akan dibuat dalam gaya 'old-fashioned' dan menggunakan struktur naratif dan bukannya struktur -3- Act yang saya selalu gunakan. Jadi jangan tanya kenapa ceritanya slow, di mana konfliknya dll. Nanti jumpalah dalam tu kalau anda sudi mengikuti cerita ini kelak.

Dan kali ini juga buat kali pertamanya, saya akan siarkan dalam bentuk versi draf. jadi, jangan tanya lagi kenapa ceritanya slow, kenapa banyak sangat subplot,kenapa panjang sangat ceritanya dll. Just sit back, beli popcorn, beli air dan baca. (if you wish).

Kalau anda lelaki yang suka SciFi, yang suka Thriller, yang suka misteri, yang hanya keluar duit beli novel-novel hebat barat...cerita ini bukan untuk anda! jadi, kalau tak suka, tak payahlah baca.Anda akan resah gelisah kerana tak tahan, meluat, mual, benci. Saya juga yang kena kutuk.Kesianlah kat saya yang penat ni.

Cerita ini hanya mengisahkan tentang seorang lelaki biasa. Dia bukan anak datuk, anak raja, anak tan sri atau sehensem pelakon Korea. Dia adalah lelaki Melayu, tinggal di sebuah pulau lagi yatim piatu.

Di tengah kehangatan novel-novel humour dan aliran Kpop dan Jpop, saya kelihatannya menyongsang arus. jadi, kepada yang tak suka baca kisah lelaki biasa-biasa, kisah orang kampung, pasal tok imam dan nelayan, diharapkan tak membaca kisah ini kerana anda akan rasa marah.

Kenapa saya buat kerja bodoh ni? Yalah, orang lain berebut tulis kisah cinta 'anjing vs kucing' saya nak tulis tentang lelaki kampung. Orang lain berebut tulis kisah superhero yang menghalang kemusnahan dunia, saya tulis kisah nelayan dan tok imam tua. Orang lain tulis tentang hero sekacak..sapa-sapalah penyanyi Korea tu, saya tulis tentang pemuda-pemuda pulau yang tunggang terbalik dengan arak.

Sebab saya adalah saya.

Dan ini bukan manuskrip yang saya hendak jual kepada penerbit. Ini adalah sebuah kisah yang saya kongsikan dengan pembaca setia saya (kalau ada). dan seperti biasa kepada yang memahami tindakan saya pasti akan mengasah telinga yang mungkin berdesing sekali lagi.

Jadi, kepada anda, pembaca setia Blog Elara. yang pernah berkongsi suka dan duka, Up and Down dalam emosi bersama-sama saya, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada sokongan anda. Tanpa anda yang menjadi kekuatan saya selama ini, dah lama saya tutup blog ini.

tetapi dengan kehadiran anda ke sini setiap hari, anda telah memberi semangat untuk saya terus berkongsi kisah cinta manusia di dunia ini. Kisah cinta yang takkan pernah habis, saya juga mempunyai sebuah lagi kisah cinta yang menanti iaitu bertajuk 'Hikayat Ella-Sinderella' selepas MDA ditamatkan kelak.

Yang lucunya...saya sebenarnya bukanlah penulis novel CINTA, saya penulis novel hibrid. Tapi, untuk anda, saya cubalah buat yang terbaik sambil-sambil meredakan ketegangan akibat manuskrip hibrid saya yang 'keras dan serius'.

Untuk pengetahuan anda juga, saya sedang menyunting (edit)* bukan sunting bunga, dua buah manuskrip iaitu sebuah manuskrip hibrid Cinta-Paranormal dan sebuah manuskrip Fantasi-Pengembaraan.

Bermula pada bulan January saya akan menumpukan kerja penulisan kepada sebuah manuskrip berat iaitu manuskrip hibrid SciFi-Thriller.

Doakan jantung dan paru-paru saya terus berfungsi dan dapat menghabiskan apa yang telah saya mulakan di sini dan berilah ruang untuk saya 'bersantai' dengan kisah MDA. I need a break and I need a space dan lari daripada kebiasaan yang memenatkan.

Saya ingin menulis di sini seperti masa saya menulis ELARA versi enovel dahulu. Its' fun and relaxing tanpa mata-mata yang menilai dan sibuk mencari kesalahan. penatlah..

Sudah pukul 1.57 pagi. Kenapa saya tak tidur? Kerana Azmi sangat menganggu.

Bolehkah Azmi diterima? Bolehkah apa yang dilaluinya difahami? dan adakah pembaca yang akan jatuh cinta kepadanya di akhir cerita? (Ini lagi susah)

Cuma saya ingin mengingatkan sekali lagi..cerita ini tak sama gaya dengan SMH atau KBK. jadi..ia betul-betul 'kekampungan' dalam banyak sudut. kepada yang suka cerita berwajah 'kampung melayu' mungkin cerita ini sesuai untuk anda. Kepada yang tak suka, jijik tu...pandai-pandailah ya.

Kepada yang bertanya dan menanti kisah SBSC...saya minta sedikit waktu kerana cerita itu memerlukan kekuatan emosi untuk menyambungnya kerana ia berdasarkan kisah benar yang menyentuh hati saya. Mungkin jika panjang umur, saya sambung ya. Buat masa ni, saya tak terdaya.

Sedar tak sedar, dah panjang saya berceloteh. Kisah Azmi membuat saya gementar mungkin kerana isu yang mahu dibangkitkan nanti agak sensitif..but that's me.

Selamat malam...Assalamualaikum.

Damailah di sana.

MK



Friday, June 4, 2010

SBSC : Bab 3


Bunyi angin dari kipas dinding itu mendesing-desing. Namun sedikitpun tidak menganggu menungan Azira yang jauh. Hutan itu masih terbiar dan bau hanyir longkang besar di luar itu masih hapak. Dia mengeluh.Sampai bila dia harus di situ?

“Kenapa kau termenung saja ni? Dah banyak siap?” tanya Kak Jah yang baru balik dari kedai makan di sebelah.Sebungkus air Nescafe Ais kegemaran Azira disangkutkan ke tepi tingkap.
Azira tunduk semula sambil menyambung jahitannya.

“Kau ada masalah? Tak cukup duit?”tanya Kak Jah lagi.

Azira menggeleng. “Tak kak.Semua cukup,”katanya sambil cuba tersenyum.

“Kenapa ambil tempahan lagi untuk dua minggu depan?Akak kan kata,tempahan kita dah penuh?” tanya Kak Jah pula yang sedang memeriksa buku tempahan.

Jahitan Azira terhenti. Dia berpaling menghadap Kak Jah yang merenungnya. “Kak Jah, itu tempahan mengejut. Saya tak tahu bagaimana nak tolak."

“Masalahnya sekarang, akak takut kita tak sempat siapkan.Nanti mereka marah-marah.Yang ada ni pun,kita dah terpaksa kerja lebih masa.Nak cari pembantu bukannya senang.” Kak Jah mula mengomel.

“Saya tahu,Kak Jah.Jadi saya nak minta tolong pada Kak Jah satu perkara.”

“Apa dia?”Kak Jah terkebil-kebil.

“Saya minta izin untuk jahit baju tu di rumah saya.Insya-Allah sempat siap dalam dua minggu.”

“Boleh ke kau jahit kain ni? Kain ni licin benar,”kata Kak jah sambil merasai kain itu dengan hujung jarinya. “Leceh nak jahit ni.Kau minta upah berapa?”

“Macam biasa,’jawab Azira.

“Ha? Mana boleh macam biasa kalau kain macam ni.Dahlah kena jahit dua lapis.Upahnya kena tinggi sikit.”

Azira terkulat-kulat. Tidak pernah pula Kak Jah mengajar sedemikian sebelum ini.Tapi dia malas untuk menjawab. “Tak apalah,kak. Biar saya siapkan juga.Pelanggan ni memang cerewet sikit.”

“Kau ada masa ke? Dah lah sehari suntuk menjahit.Balik pula kena jahit butang dengan tikam leher. Sekarang tambah lagi sehelai baju yang rumit nak buat ni.Kau tak penat ke?”

Azira terdiam seketika. “Boleh agaknya. Lepas anak-anak tidur.”

“Kalau macam tu kata kau.Kau sajalah yang siapkan.Upah nanti kau ambil,”kata Kak Jah sambil menghulurkan beg kertas itu.

Azira mengangguk kesu. Beg kertas yang mengandungi kain merah itu diletakkan di tepi kaki. Sesekali apabila dia terpandang, dia hanya mampu menggeleng.Mengapakah dia harus memaksa diri?

******
“Uzair, janganlah gaduh dengan adik,”laung Azira dari bilik tengah. Bilik itu dijadikan bilik untuk dia meneruskan kerja-kerja menjahit yang tidak sempat disiapkan di kedai.

“Aira ni,mami.Degil cakap abang.Abang dah kata jangan main tukul besi.Dia degil juga,”laung Uzair balik dari ruang tamu.

Terdengar jeritan Umaira yang semakin kuat, diikuti bunyi kaca yang pecah berderai. Azira mematikan suis mesin jahit.Dia melangkah ke ruang tamu. Dia tergamam sebentar, ruang tamu itu basah dengan air sirap dan kaca bertaburan di segenap sudut. Tak sedar air matanya mengalir. “Umaira,jangan bergerak.”katanya.

Umaira dan Uzair sama-sama terpaku. “Kenapa mami?”Uzair memberanikan diri bertanya.
“Sebab kalau bergerak nanti terpijak kaca. Biar mami kutip kaca-kaca tu dulu,” jawab Azira sambil menahan sesak di dada. Tubuhnya terasa semakin letih.

Satu demi satu kepingan kaca itu dikutip. Dia melangkah mendekati Umaira yang masih terpacak di tengah ruang.Azira mendukung Umaira ke tepi.Karpet itu dibersihkan pula dengan pencuci vakum. Dia masih tidak bersuara.Jiwanya sudah terlalu letih untuk berasa marah.

“Mami….,”panggil Umaira.

Azira mendongak. Wajah mulus Umaira direnung tajam.

“Maafkan,Aira.Aira tak sengaja pecahkan cawan.”

Azira menggeleng. Air matanya meleleh turun. “Tak mengapa kalau tak sengaja.Kalau sengaja,memang mami marah.”

“Habis tu,kenapa mami nangis?”

Azira menggeleng lagi. Pertanyaan itu tidak dijawab. Karpet itu ditarik keluar lalu disidaikan ke pagar.Air paip dipasang lalu kesan tumpahan air sirap itu dibersihkan.Warna merah mengalir laju masuk ke longkang. Alangkah mudahnya kekotoran itu pergi.Dan alangkah baiknya kepedihan hatinya juga pergi semudah itu?

“Dah, pergi tidur,”kata Azira kepada anak-anaknya yang melihat dari muka pintu.

Kedua-duanya melangkah lesu ke bilik masing-masing. Tinggal Azira di situ mengunci pagar dan menutup lampu. Dia langsung melangkah ke bilik jahitannya semula.Malam itu dia perlu memulakan tugas baru.

*****
“Pukul berapa ni,Mi?”tanya ibu Nazmi yang sedang berbaring di atas karpet. Matanya masih leka menonton drama di kaca televisyen.

“Dekat pukul 12, mak.Kenapa tak tidur lagi?”tanya Nazmi pula sambil melunjurkan kaki di atas sofa.

“Wawa belum balik.Entah ke mana perginya budak tu.”

“Belum balik? Mi ingatkan dia dalam bilik.”

“Belum, dia keluar lepas senja tadi terus tak balik-balik.”

“Erm…yang mak biarkan kenapa?”

“Ah! Budak sekarang.Mana nak duduk rumah.”

Nazmi cuma mengeluh. “Anak orang lain boleh duduk rumah.Dia asyik berembun di luar.”

Ibu Nazmi terdiam seketika. “Kau pun sama juga.Malam ni saja melekat di tumah, apahal? Kedai kat luar dah tak ada yang buka ke?”

Nazmi tersengih. “Nak keluarlah ni.Tunggu kawan call.”

“Ha,tengok tu. Apa bezanya dengan Wawa?”

“Bezanya? Mi lelaki, dia perempuan.Mi tak boleh bawa perut kalau silap, mak.”

“Pandainya menjawab,”balas ibu Nazmi.

Nazmi cuma menggeleng.Dia bangun mencapai kunci. Di muka pintu,langkahnya terhenti.“Tahu pun balik,” katanya kepada adiknya yang baru tiba.

“Orang tahu baca jamlah,”jawab Wawa sambil mencampakkan kasutnya ke tepi.

“Tengok tu pakai campak je.Susunlah sikit.”

“Yang abang nak bersyarah malam-malam ni kenapa pula? Nak ke mana tu? Berembun?”

“Ha’ah,tunggu embun turun. Moga-moga kembung perut aku pagi esok.”

“Eleh, nak perli oranglah tu,”kata Wawa sambil melangkah masuk. Terus ke bilik tidurnya.

Ibu Nazmi hanya menggeleng dari jauh. Nazmi melangkah dengan lesu.

Thursday, June 3, 2010

SBSC : Bab 2


Pukul 10 malam. Suara dari kaca televisyen masih jelas kedengaran.Namun fikiran Azira tidak mampu mentafsir apa-apa. Semuanya kelihatan seperti patung-patung bercakap yang tidak tentu ulas butirnya.Bukan juga dia tidak faham Bahasa Inggeris namun fikirannya sudah tepu untuk menghayati soal orang lain.Soalnya sendiri sedang berbelit-belit.

“Mami,bila ayah nak balik?”tanya seorang gadis kecil yang leka mengulit hujung rambutnya.

“Ayah takkan balik lagi,Aira.Berapa kali mami nak ingatkan?”tanya Azira dengan lembut.
Pelukannya dieratkan.Tubuh Umaira yang kurus itu tenggelam dalam rangkulannya.

Mata Umara semakin galak merenung wajah ibunya. Mata itu terkebil-kebil tidak mengerti. “Kenapa ayah takkan balik?Bila kerja ayah nak siap?”

Azira menoleh ke wajah Umaira. Rambut anak gadisnya diusap-usap.Dia mengeluh perlahan. Sarat namun biar tidak terasa oleh Umaira. “Aira, ayah takkan balik ke sini lagi.Walaupun kerja-kerja dia di Johor tu siap.”

“Kenapa?”

“Sebab ayah tak mahu baliklah.”

“Kenapa?”

“Mami tak tahu.Nanti kalau Aira dah besar,Aira tanyalah sendiri pada ayah.”

Umaira mengangguk.Riak wajah gadis kecil berusia 7 tahun itu kelihatan masih keliru.Dia mengalihkan pula pandangannya ke arah televisyen. Dengan perlahan matanya menjadi kuyu.

Azira mengalihkan kepala Umaira yang telah terlelap ke atas bantal.Tangannya masih terasa kebas. Dia tergesa-gesa menyambut panggilan telefon di atas meja. “Ya,Kak Jah,”katanya.

“Esok,kau buka kedai dulu.Kak Jah ada hal nak pergi bank terus.Boleh tak?” Sayup-sayup suara Kak Jah,majikannya kedengaran.

“Baiklah,kak,”jawabnya perlahan.

Azira menutup lampu bilik. Ruang itu serta-merta menjadi gelap. Nafasnya sesak. Begitulah hidupnya kini. Gelap tanpa cahaya,apa yang mampu dibuat adalah untuk terus hidup demi Umaira dan anak sulungnya Uzair. Kepedihan itu dibawa hingga ke mimpi.Air matanya kering sendiri.

******
Pagi datang dengan tenang. Azira membuka kedai seperti biasa setelah menghantar Umaira ke sekolah yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya.Payung biru diletakkan ke tepi dinding kedai.Dia tercari-cari kunci dalam beg tangannya.

“Lambatnya buka kedai,”sungut satu suara dari belakang.

Azira menoleh.Dia tergamam melihat seorang wanita berwajah masam. Tambah terkejut melihat siapa yang berdiri di sebelahnya pula. Dia kelu, tidak tahu untuk menjawap apa kerana setahu dia jam di tangannya belum pun pukul 8 pagi!Akhirnya dia hanya tersenyum serba salah.

Pintu kedai dibuka.Lampu segera dinyalakan. Wanita dan lelaki itu masuk mengekorinya ke dalam. Mata wanita itu memandang ke sekeliling,wajahnya tidak senang sekali. “Biar betul kau,Mi. Siaplah baju mak nanti ni.Tak pasal-pasal,tak dapat mak pergi rumah kenduri anak Datuk tu,”dia terus merungut.

Pemuda itu hanya buat muka selamba. Dia tersenyum ke arah Azira. “Boleh tolong jahitkan baju untuk mak saya? Dia nak guna lagi dua minggu.Ada kenduri kahwin saudara.”

“Apa pula cakap macam tu? Dah kerja dia, kita yang bayar upah dia.Dia kenalah siapkan,” sampuk wanita tua itu dari belakang.

“Mereka banyak tempahan,mak.Musim kahwin ni,”jelas Nazmi.

Azira hanya terkebil-kebil memerhati pertelingkahan dua beranak itu. Dia tidak mahu masuk campur,itu bukan urusan dia. Dia hanya tersenyum tenang.

“Bolehkan? Tolonglah siapkan.Saya bayar extra,”kata pemuda itu lagi.Dia merenung Azira dalam-dalam. “Please.”

Azira menggeleng.

“Ha? Tolonglah.Kami dah cari tempat lain,semuanya tak boleh siapkan sebelum dua minggu,” katanya lagi.

“Huh! Buat apa cakap macam tu.Dia tak nak buat,sudah.Memang dia takkan mampu jahit baju mak tu.Bukan murah kain tu.Butik saja yang layak tau,”sampuk ibu Nazmi lagi.Sudah mula melenggang keluar bersama sebuah beg kertas.

“Tunggulah mak. Dia boleh tolong punya.Nanti kalau tak siap,mak juga yang monyok sampai sebulan tak dapat pergi kenduri tu.”balas Nazmi lagi.Dia kini berdiri di antara Azira dan ibunya. “Bolehkan? Saya bayar double.”Dia berkata kepada Azira pula.

Azira menelan liur.Dia mengeluh.Dan akhirnya mengangguk. “Bila nak? Jangan cepat sangat.” Dahinya pula yang berkerut.

Pemuda itu menoleh ke arah ibunya seketika lalu menoleh pula ke arah Azira. “Kenduri tu hari Ahad minggu ketiga bulan ini.Boleh tak siapkan?”

Azira mengangguk.Dia merenung ke wajah Nazmi pula.

Pemuda itu segera memahami. “Mak, marilah masuk.Dia nak ukur badan mak,”katanya seraya menjenguk ibunya di luar kedai.

Ibunya masuk sambil mengomel sesuatu.Dengan langkah terpaksa dia mendekati Azira yang sudah bersedia dengan tali pengukur.Beg kertas diletakkan di atas kaunter.

Azira meneruskan kerja-kerja tanpa banyak bersuara. Dia sudah faham benar kerenah pelanggan sebegitu.Tak perlu dibantah segala percakapan mereka.Biarlah ianya pudar bersama masa sahaja supaya tidak meninggalkan bekas di hati masing-masing. Setelah siap.Azira mengeluarkan kain yang hendak dijahit. Dia tergamam sebentar.

“Kenapa? Kau tak pernah tengok kain semahal ini?”bentak ibu Nazmi sebaik menyedari perubahan air muka Azira.

Azira serba-salah untuk menjawab,dia berpura-pura tidak mendengar. Kain itu digunting sedikit untuk dibuat contoh.

“Ha? Kau gunting kain aku? Siaplah kau kalau baju aku tak cantik nanti.”

Hampir terlepas pen di tangan Azira.

“Apalah, mak ni. Nak buat baju tentulah kena gunting,”tempelak Nazmi pula dari belakang.Dia tersenyum kepada Azira sambil menggeleng kepala.

“Bila nak siap ni?Kau jangan main-main,aku nak pakai nanti.”Ibu Nazmi masih merusuh di situ.

“Saya akan call anak mak cik bila siap,”jawab Azira dengan nada yang terkawal.

Wanita itu berpaling lalu melangkah keluar.

Nazmi mendekati Azira lalu mengambil resit yang dihulurkan. “Tolonglah siapkan ya.”

Azira cuma mengangguk walau kepalanya berserabut.Warna merah terang kain itu membuat matanya berpinar-pinar. Siapalah yang pilih kain macam ni? Tak sesuai betul.

*****
*Siapa yang belum habiskan Kisah Ainina..tolong cepat ya sebab saya kena padamkan cerita itu

Wednesday, June 2, 2010

SBSC : Bab 1


Sesekali mata Azira merenung ke hadapan.Tidak ada apa yang menarik di situ. Hanya sebuah hutan yang terbiar dan sebuah longkang besar yang hanyir baunya. Kadang-kadang tersekat oleh sampah-sarap dan airnya melimpah apabila hujan lebat turun.Tidak ubah seperti air matanya yang akan tertumpah di pipi apabila dirasakan hidup ini begitu derita.

“Anak kecil kau sekolah hari ni,Zira?” tanya seorang wanita dalam lingkungan umur 50an.Dia berdiri memerhati baju kurung yang sedang dijahit oleh Azira.Tangannya menelek jahitan itu depan belakang.

“Sekolah, Kak Jah. Tengah periksa pertengahan tahun tu,”balas Azira tanpa menoleh.

“Bila kau nak bercuti? Kata nak ambil anak sulung kau di Seremban.”

“Hari Jumaat depanlah. Lepas tu mereka cuti sekolah dua minggu.”

Kak Jah mengangguk perlahan. “Kalau macam tu, biar Kak Jah ke bandarlah petang ni. Nak beli stok benang dengan renda.Dah habis pula. Eh! Baju kemeja tu dah siap tangannya?”

“Dah Kak Jah. Ada dalam beg plastik bawah meja.”

Kak Jah bangkit menuju ke arah sebuah meja besar tempat memotong kain.“Eloklah. Budak ni kata nak pakai cepat.Yang peliknya,kenapa tak beli saja yang di kedai? Ha,lagi cepat.Lepas bayar terus boleh pakai. Ni tempah kat kita,siap suruh cepat-cepat.Dia ingat baju dia seorang saja yang kita jahit?” Kak Jah terus mengomel sambil membuka beg plastik. Sehelai kemeja berwarna biru muda dikeluarkan.Dia lantas memilih beberapa butang kecil untuk dijahit di lengan dan baju.

“Bila dia nak ambil,Kak Jah?”tanya Azira pula. Matanya tidak lekang dari memerhati baju kurung yang sedang disiapkan itu. Sesekali dia terbatuk-batuk. Debu benang-benag di situ selalu membuat kerongkongnya gatal.

“Petang ni. Kalau Kak Jah tak ada,kau tolong beri dia ya.Upah dia kau masukkan dalam laci macam biasa.Tulis pada buku,”pesan Kak Jah lagi.Dia makin leka menjahit butang-butang itu.

Azira cuma mengangguk.Dia mengerling jam tua di tepi dinding. Baru pukul 11 pagi. Jarum mesin jahit terus meluncur laju. Dia tersenyum puas.Sehelai lagi baju kurung siap dijahit untuk pelanggan Kak Jah.Kainnya halus.Bunganya cantik.Walau jahitannya rumit namun dia berjaya juga menyiapkan tempahan itu.Sewaktu tangannya mengusapi baju itu,hatinya berdetik juga. Mengapa baju itu bukan miliknya?

******
Petang itu hujan turun mencurah-curah. Azira terkocoh-kocoh melangkah di bawah payung biru. Kedai Jahit Kak Jah cuma beberapa meter lagi. Dalam rintik hujan dia dapat melihat seseorang yang sedang menunggu di luar kedai. Ah! Pelanggan Kak Jah sudah datang. Dia semakin laju melangkah.Air hujan yang terpercik ke bajunya, tidak dihiraukan.

“Nak ambil baju?”tanyanya kepada pemuda yang sedang berdiri di hadapan pintu kedai.
Pemuda itu mengangguk.

Azira lantas menutup payungnya. Pintu kedai dibuka dengan segugus kunci yang diamanahkan oleh Kak Jah. Lampu kedai segera dinyalakan. “Encik yang tempah baju kemeja biru mudakan?” tanyanya.

Pemuda itu mengangguk lagi.Dia tersenyum.

Azira masuk ke bilik jahitan lalu mengambil baju yang ditempah. “Yang inikan?”tanyanya lagi.Buku tempahan segera dibuka dan diperiksa.

“Ya, betul. Saya nak tempah dua helai lagi.Bolehkan?” kata pemuda itu pula sambil menghulurkan sebuah beg plastik. Di dalamnya terletak dua helai kain kapas berpetak-petak halus.

“Boleh tu memang boleh tapi kalau nak cepat tu mungkin tak dapat.Sebab sekarang banyak tempahan untuk orang kahwin.” Azira menunggu jawapan.

“Tak apalah. Siapkan sahaja macam biasa. Kalau siap,boleh tolong call saya?” Pemuda itu lantas mengeluarkan sekeping kad nama berwarrna krim.Diletakkan di atas kaunter kaca.

“Baiklah. Ukurannya masih samakan? Atau nak ubah fesyen atau cutting?”

Pemuda itu menggeleng. “Ikut sahaja ukuran yang sedia ada. Badan ni tak pernah naik atau turun.Jadi saya tak bimbang.”Dia tersenyum.

“Okey,”balas Azira.Dia mengeluarkan buku tempahan.Segala data ukuran pemuda itu dipindahkan ke ruangan baru. Contoh kain juga dilekatkan di situ. “Saya rasa mungkin dalam masa tiga minggu lagi,boleh siap. Nanti saya call.”

“Nak deposit dulu?”

Azira menggeleng. “Tak payahlah,encik dah biasa di sinikan.”

Pemuda itu mengangguk.Sejumlah wang dihulurkan sebagai bayaran upah baju yang diambil hari itu.

Azira segera mengambil dan mencatatkan dalam buku akaun seperti yang diarahkan Kak Jah sebelum ini.

“Okey,saya pergi dulu.”kata pemuda seraya melangkah keluar. Pintu ditutup semula.

Azira menjeling kad tanda nama di atas kaunter. ‘Nazmi bin Muhammad’

Prolog : Sehelai Benang Seutas Cinta



Tempat itu bukan tempat yang asing.Baik kepada Azira mahupun kepada Nazmi.Cuma apa yang asing adalah keadaan itu. Sama-sama terdiam,sama-sama terpaku. Tidak ada lagi senyum tawa.Tidak ada lagi bual bicara seperti selalu.Yang ada hanyalah sebuah keputusan.

“Kau dah fikir habis-habis, Zira? Tak ada jalan lain?” Nazmi melemparkan pandangan ke arah padang permainan. Sekumpulan kanak-kanak sedang berebut buaian.

Azira spontan mengangguk tanpa mengangkat muka. Wajahnya sebak menahan pilu di dada.Mungkin itulah yang terbaik untuk mereka berdua apalagi untuk Nazmi. Cinta itu tidak semestinya bersatu walaupun perpisahan bukanlah kebahagiaan yang didambakan saat itu.

“Kau pergilah.Anggap sahaja pertemuan kita seperti mimpi indah.Apabila terjaga,kita kembali ke alam realiti.Hidup perlu diteruskan.”

Nazmi mengeluh.Dia menggeleng. “Tidak semudah itu,Zira. Kerana aku bukan bermimpi. Cinta kita satu kenyataan.”

“Tidak mudah juga bagi aku,Nazmi.Tapi kau juga tahu segalanya tidak akan mungkin menjadi lebih baik.”

“Boleh,Zira.Mengapa tidak?”

Azira menggeleng. “Kita sudah puas berbincang tapi tidak ada penyelesaiannya.Buat apa lagi kau membuang masa.”

“Aku tidak pernah merasakan yang aku membuang masa. Malah aku hargai setiap saat setelah aku mengenalimu,Zira. Bagaimana lagi harus aku buktikan yang segala kata-kata aku adalah benar. Tidak dapatkah kau percaya walau sedikit pun?”

“Aku percaya kepada cinta kau.Aku sangat percaya tetapi apa gunanya jika kita tidak dapat bersatu?”

“Azira,mengapa kita tidak boleh bersatu? Aku bersedia tetapi kau yang tidak bersedia.Kau tidak percaya kepada kekuatan cinta aku?”

“Nazmi, hidup ini lebih dari sekadar cinta dan nafsu.”

“Sebab lebihlah aku tidak memikirkan segala kata-kata orang.Aku hanya mahu hidup dengan kau.”

Azira mengeluh panjang. Fikirannya semakin buntu. Perasaannya berkecamuk. Nyalaan cintanya untuk Nazmi tidak pernah padam dan dia yakin ia akan tetap menyala sehingga dia memejamkan mata.Namun untuk hidup bersama Nazmi bukan satu keputusan yang mudah. Bukan gunung yang harus didaki dan bukan lurah yang harus dituruni.Tetapi putaran hidup yang akan terhenti. Dia merenung jauh….keputusan apa yang harus dipilih?



* Jangan marah...prolog ini melintas semasa sedang mengedit manuskrip.Kalau tidak disiarkan dia menganggu fikiran. Ada yang nak baca cerita ini seterusnya? Ia kisah cinta dewasa.

Tuesday, March 23, 2010

Cerpen 'Pulanglah Mimi' dalam Majalah NUR April



Salam adik-adik dan kawan-kawan sekalian,

Mengambil ruang ini sekali lagi untuk berkongsi sedikit berita tentang Cerpen saya yang bertajuk 'Pulanglah, Mimi' telah disiarkan dalam Majalah NUR edisi April 2010 yang sekarang berada di pasaran.

Cerpen ini mengisahkan tentang seekor kucing bernama Mimi yang tidak dapat pulang ke rumah tuannya kerana hujan lebat. Mimi lalu berteduh di luar sebuah rumah.Apakah yang Mimi lihat dan dengar di sana? Dapatkah Mimi pulang semula ke rumah tuannya? Jawapannya ada dalam majalah NUR (majalah kegemaran akak).

Sebenarnya kisah Mimi adalah berdasarkan cerita sebenar yang berlaku kepada kucing akak yang bernama ELMI kembar kepada ELMO (gambar kecil) yang telah mati secara tiba-tiba.
Gambar ELMO (kembar ELMI)