Friday, January 27, 2012

Cerpen: Pergilah, kasih...


PADANG itu sesak. Di sana, dipenuhi gerai. Di sini dipenuhi pembeli. Di tengah-tengah pula, berduyun-duyun orang ramai yang lalu-lalang. Pendek kata sekali pandang, padang konvo yang hijau itu tidak lagi hijau. Namun yang aku tunggu-tunggu belum juga kelihatan.

     Matahari memancar terang. Menambahkan lagi kehangatan pesta konvo yang masuk hari kedua pada hari itu. Lagu dendangan band jemputan di hujung padang berselang-seli dengan lagu yang keluar dari corong pembesar suara menjadikan suasana hiruk-pikuk. Namun jauh di dasar hatiku tetap terasa dingin dan sunyi.

     “Am, hulurkan saya plastik tu,” tegur Annur sambil mencuit lenganku.

    Aku tersentak apabila terasa kulit lenganku disentuh sesuatu yang sesejuk air batu. Lantas kuhulurkan bungkusan plastik yang diminta.

    “Awak dah makan? Kalau belum pergilah makan dulu.” Aku pandang Annur yang sejak tadi tidak putus-putus melayani pembeli yang singgah membeli asam dan minuman di geraiku. Aku mula risau sekiranya Annur terlupa untuk makan minum. Walaupun Annur bekerja sementara di gerai yang kubuka untuk pesta konvo itu, tetapi aku bukanlah seorang majikan yang zalim sehingga sanggup mendera Annur begitu sekali.

     Annur berhenti bergerak, dia memandang jam di pergelangan tangannya.

    “Dah dekat pukul 2.00 petang?” Annur separuh menjerit dengan mata yang membulat.

    “Yalah, awak ingat pukul berapa sekarang? Kalau awak nak berhenti solat sekalipun dah boleh,” jawabku.  Sambil menjawab, aku pula yang tidak cukup tangan melayan pelanggan. Selain aku dan Annur ada seorang lagi pekerjaku yang juga bagaikan lipas kudung. Pengunjung pesta konvo tahun itu sungguh ramai.

     “Boleh ke ni? Orang sedang ramai ni….” Annur berkerut dahi di sebelahku.

    “Pergi sajalah… kalau ditunggu sampai bila pun orang takkan habis. Pergilah rehat satu jam. Lepas tu, saya pula nak rehat.” Aku tersenyum. Aku cuba yakinkan Annur yang sedang diserbu bimbang. Ternyata Annur seorang pekerja yang bertimbang rasa.

     Annur tarik nafas. Dia termenung.

    “Apa rasa tengok orang konvo? Awak bila nak konvo?” tanyaku mengusik walaupun aku tahu masalah yang menimpa Annur sehingga menyebabkan dia melanjutkan pengajiannya lagi satu tahun berbanding kawan-kawannya yang lain. Sebab itu juga Annur terpaksa bekerja mencari duit saku kerana biasiswanya sudah habis. Aku sekadar membantu.

     Annur tarik muka masam. Mungkin hatinya terhiris dengan usikanku itu.

    “Gurau sajalah. Tahun depan, saya kena ambil pekerja lainlah nampaknya,” usikku lagi. Sebagai kawan, walaupun aku sendiri tidak pernah menuntut ilmu setinggi itu namun aku tetap mahu melihat Annur berjaya menggenggam ijazahnya.

     “Awak ada nampak Lina?” tanya Annur pula. Kali ini Annur tertinjau-tinjau seperti mencari seseorang.

    “Lina?”

    “Haah, Lina? Takkan dah lupa kut?” Annur tersengih.

   “Dia… dia kata nak datang sini ke? Dia tahu saya berniaga di sini?” tanyaku pula bersela nafas yang tercungap-cungap. Mendengarkan nama Lina disebut Annur, hampir terhenti denyut nafasku.

     Annur angguk. “Saya beritahu dia minggu lepas. Dia kata nak singgah sini lepas konvo dia pagi tadi.”

     “Ya ke….” Nafasku makin sesak. Belum sempat aku menjawab, Annur sudah pun menjerit kegirangan.

    “Tu pun dia!”

   Aku hampir terjatuh ke belakang. Sungguh aku terkejut dengan jeritan itu, Annur pula terlompat-lompat seperti orang yang lupa diri. Tidak lama kemudian, aku melihat seorang gadis bertudung ungu muda mencelah di tengah-tengah orang ramai lalu berdiri di hadapan geraiku. Menyusul di sisinya adalah seorang lelaki tampan bersama jubah di tangan kirinya. Aku tergamam.

******
Hampir enam bulan yang lalu…

     “Makanlah, jangan malu-malu,” kataku sambil mencedukkan kuah tomyam ke dalam sebuah mangkuk kecil lalu kuserahkan kepada Lina yang duduk di sebelah kananku. Tergigil-gigil tanganku waktu itu. Urat perutku sejuk.

     “Tak malulah…,” balas Annur yang duduk di sebelah kiriku. Ligat tangannya menceduk sayur kailan ikan masin ke dalam pinggannya. Laju suapannya.

    Aku tersenyum. Malam itu, hajatku kesampaian. Sudah seminggu aku merancang makan malam itu bersama Annur. Sudah kupesan berulang kali agar Annur mengajak Lina datang sekali di majlis sambutan hari jadi yang istimewa itu. Sekurang-kurangnya ia istimewa bagi aku walaupun kami hanya makan bertiga di tepi laut itu dan hidangannya cuma makanan laut yang biasa.

     “Lina tak suka makan tomyam ke? Lina nak makan yang lain? Saya boleh order,” kataku apabila Lina kulihat agak malu-malu menjamah hidangan yang hampir penuh semeja.

      Lina menggeleng sambil membetulkan tudungnya yang londeh dipukul angin laut. Pada malam itu, angin laut begitu kuat sehinggakan aku mula berasa bimbang jika hujan turun dan meranapkan rancanganku malam itu.

     “Kalau nak makan apa-apa, jangan malu-malu. Minta saja. Malam ni saya belanja.” Aku cuba memujuk Lina. Sesekali aku menjeling, mencuri pandang wajah Lina yang bujur sireh. Gadis itu memang pendiam namun tetap juga berjaya mencuri hatiku sejak kali pertama kami bersua muka beberapa bulan yang lalu ketika Annur dan dia singgah di geraiku di pasar malam berdekatan kampus. Sejak itu aku berkenalan dengan Annur yang terlebih peramah dan Lina yang pemalu.

     “Haah, Lina. Kan malam ni, malam hari jadi kau orang berdua? Bukan senang nak sambut hari jadi dengan orang yang lahir pada tarikh yang sama tau,” kata Annur pula.

     Lina senyum sahaja.

    Aku ikut tersenyum. Itulah kenyataan yang membuatkan aku berasa sangat dekat dengan Lina. Sejak aku tahu bahawa tarikh lahir kami sama, aku dapat merasakan bahawa di antara aku dan Lina ada hubungan istimewa yang tidak dapat dilihat oleh mata. Cuma aku tidak pasti adakah Lina merasakan begitu juga.

    “Yang ni untuk Lina.” Aku hulurkan sebuah kotak kecil berbalut kertas dan bereben merah hati untuk Lina.

    Lina terkejut. Aku lihat dia tergamam sehinggakan terkaku di tempat duduknya.

    Aku angguk, cuba meyakinkan Lina untuk mengambilnya. “Untuk Lina.” Kotak itu kuhulurkan sekali lagi.

    “Terima kasih,” ucap Lina. Masih teragak-agak untuk mengambilnya.

    “Selamat hari jadi….,” ucapku sambil tersenyum. Aku harap ia akan menjadi kenangan yang terindah buat Lina dan aku. Sehari suntuk, aku meninggalkan gerai untuk mencari hadiah yang sesuai, akhirnya aku membelikan Lina seutas gelang emas yang aku harap akan membuka hati Lina untuk menerima keikhlasan hatiku.

    “Saya… saya tak ada hadiah untuk awak,” balas Lina tergagap-gagap.

     Aku menggeleng.

  "Lina sudi makan malam dengan saya malam ni dah cukup. Inilah sambutan harijadi saya yang paling istimewa.”

   “Sebelum ni tak istimewa ke?” perli Annur.

  Aku ketawa kecil. Biarlah ketawaku menjawab segala persoalan. Secara curi-curi, aku mengintai wajah Lina yang tidak segembira Annur. Entah apa yang berlegar di fikiran gadis pendiam itu, aku tidak pasti. Namun aku harap nota kecil yang kusisipkan di dalam kotak hadiah itu akan mendapat balasan seperti yang kuharapkan.
******

     “Awak dah gila ke?” tanya Annur dua hari selepas makan malam itu.

     Aku tersentak. Keliru sebentar fikiranku. Sudahlah aku kecewa apabila Annur hanya datang seorang diri di kedaiku petang itu, sekarang Annur tuduh aku gila pula. Belum sempat rasa rinduku terubat, lain pula rasa yang datang menghambat.

     “Belum. Mungkin awak yang gila,” balasku geram.

     “Dia dah ada teman lelaki tahu?”

     Aku terdiam. Sungguh aku terdiam. Lina sudah ada teman lelaki? Aku meraup rambutku yang basah akibat peluh. Serta-merta aku rasakan sejuk di dalam perut namun panas di dalam hati. Entah yang mana satu patut aku rasakan pada waktu itu. Sedar tidak sedar, aku terperuk di sudut kedai, termenung panjang.

     “Maafkan saya, okey? Patutnya saya beritahu awak awal-awal hari tu,” kata Annur pula. Dia juga duduk terperuk di atas sebuah kerusi rotan yang patah-patah bilahnya.

      Ish! Serta-merta aku melihat duniaku terlalu buruk. Serba buruk, serba teruk dan tidak berguna lagi. Aku malu. Aku malu pada seisi alam hatta pada seekor lalat yang terbang di hadapanku. Kenapalah aku terlalu terburu-buru? Kenapa?

     “Apa kata Lina? Dia marah?” tanyaku teragak-agak setelah puas mendiamkan diri.

   “Dia tak marah tapi… dia pulangkan ni,” jawab Annur. Sebuah kotak plastik empat segi dikeluarkan daripada beg tangannya. Kotak itu diletakkan di atas lantai, di antara aku dan dia.

    Aku tidak menoleh. Tidak payah disebut pun, aku sudah tahu apa isi kotak itu. Aku yang membelinya untuk Lina.

     “Dia boleh simpan gelang tu. Itu untuk dia,” kataku. Kotak itu tetap tidak kusentuh.

     “Dia tak nak… dia kata gelang tu mahal. Nanti teman lelaki dia tanya, apa dia nak jawab? Sudahlah teman lelaki dia tu kuat cemburu,” kata Annur lagi.

    Aku menghempas nafas. Aku tidak bersedia untuk mendengar tentang lelaki lain. Bagiku itu adalah soal aku dengan Lina.

   “Tak apalah. Kalau dia tak sudi, saya tak paksa. Awak tolong katakan pada dia, saya minta maaf… saya tak tahu,” kataku bersulam hiba yang mula berhimpun di rongga dada. Sebagai lelaki aku cuba tersenyum, cuba berlakon seolah-olah perkara itu kecil sebesar hama. Biarlah kehampaan hatiku, ku tanam dalam-dalam. Orang lain tidak perlu tahu.

    Annur angguk. “Gelang tu macam mana?”

   Aku mengerling ke arah kotak yang berisi gelang emas itu. “Annur ambillah. Saya pun bukan ada adik perempuan. Emak pun dah lama tak ada.”

    “Betul?” tanya Annur. Seolah tidak percaya dengan keputusanku itu.

    Aku angguk.

   Annur mengambil kotak itu perlahan-lahan. Dia tersenyum. “Terima kasih.”

   “Kalau susah-susah, boleh juga digadaikan…,” balasku sambil cuba bergurau. Padahal dalam hatiku, Tuhan sahaja yang tahu. Aku tidak kisahkan harga gelang itu, duit boleh dicari tetapi jika kegembiraan hati boleh kubeli, akan kubeli.

   “Lina pesan… awak jangan sedih. Nanti awak akan jumpa gadis yang lebih baik daripada dia,” kata Annur sebelum mengangkat punggung dan membetulkan tudung kepalanya yang berlilit-lilit entah berapa kali.

    Aku angguk sahaja. Sehingga kelibat Annur hilang di hujung jalan, aku masih menangis di dalam hati.
*****
   “Apa khabar, Am?”

   Aku tersentak lagi. Terbang jauh segala kenangan dan segala impian yang telah dikuburkan. Walau setelah enam bulan berlalu, nampaknya perasaanku terhadap Lina masih belum hilang sepenuhnya. Buktinya, aku masih terkaku di hadapan dia.

    “B… Baik. Lina dah konvo?”

    Lina angguk sambil tersenyum.

   Aku ikut tersenyum. Petang itu kulihat senyumannya cukup manis. Mungkinkah kerana dia baru sahaja menerima ijazah? Ataupun mungkin kerana sedang ditemani seorang lelaki yang tampan, bergaya dan sepadan dengan dirinya? Jika dibandingkan dengan diriku yang hanya bersalut baju-T yang basah dengan peluh, apalah bandingannya? Aku makin sedar diri.

   “Pergilah makan,” kataku pula kepada Annur. Aku sudah tidak betah direnung oleh sepasang mata lelaki yang seolah-olah meneliti aku dari hujung kaki hingga ke hujung rambut. Lelaki itu seakan sedang menilai dan berfikir bagaimana Lina boleh berkenalan dengan seorang penjual seperti aku.

    “Marilah makan sama.” Dengan tiba-tiba sahaja Lina mengajakku.

    Spontan aku ketawa. “Orang sedang ramai ni… pergilah dulu dengan Annur.”

   Ajakan itu kutolak dengan baik. Tidak mungkin aku dapat menjamah apa-apa di hadapan Lina dan teman di sebelahnya. Lagipun jika aku dan Annur meninggalkan gerai, pasti pekerjaku yang seorang lagi terkapai-kapai.

    “Okey, kami pergi dulu,” kata Lina sambil bergerak pergi.

   “Saya pergi dulu, bos!” kata Annur. Beg tangannya yang terletak di bawah meja, segera ditarik. Tergesa-gesa, Annur berlari mengelilingi gerai-gerai untuk sampai ke tempat Lina berdiri.

   Aku melihat sahaja mereka bertiga bergerak pergi, namun sempat jua aku dan Lina berbalas pandang. Sambil tersenyum, aku kutitipkan harapan dan doa agar Lina bahagia dengan pilihannya. “Pergilah kasih,” bisikku sendiri.

4 comments:

  1. Cinta bukan bererti memiliki. Terharu baca kisah ni sebab Nor sendiri banyak menerima penolakan. :'(

    ReplyDelete
  2. Memang benar, Nor. Dalam perjalanan hidup kita ni, adakalanya kita menerima penolakan dan adakalanya menolak pula.

    ReplyDelete
  3. Sedihnya cerita ni. Mcm nak nangis pun ada.

    ReplyDelete
  4. *HOKIBET
    *BUKATOGEL.COM
    *DAFTAR
    *REFERRAL
    *BUKU MIMPI
    *PREDIKSI

    * Potongan/Discount Bukatogel.com :
    * 2D : 29% = Rp. 70.000
    * 3D : 56% = Rp. 400.000
    * 4D : 65% = Rp. 3.000.000

    * BBM : 7boc7177
    * HP/SMS : +639277025291

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.