Friday, February 3, 2012

Bab 1 : Aku Tak Pernah Jauh




“Little Moon Kopitiam….” Zaffri menyebut tanpa sedar. Langkah kaki yang tadinya mati di hadapan pintu, kini diteruskan semula masuk ke dalam kedai yang baru pertama kali dijenguknya. Sewaktu kakinya melangkah mencari meja, sempat dia mengerling logo HALAL di tepi pintu masuk. Kini, dia tidak waswas lagi.

Sebaik sahaja dia duduk, menu diletakkan di hadapannya oleh seorang pelayan lelaki yang berpakaian bersih. Dia tersenyum sambil memerhati senarai menu yang teratur dan gambar-gambar makanan yang menaikkan selera. Apa yang Merlina tulis semalam ya? Oh ya!

“Saya nak satu teh tiga lapis dan roti bakar dua.” Akhirnya dia bersuara dan pelayan tadi segera menulis pesanan yang diminta sebelum menghilang menghantar pesanan. Zaffri terus menunggu sambil matanya melirik ke arah kedai yang dirasakan sedikit aneh.

Dindingnya berlapikkan gambar matahari sedang terbenam di setiap sudut. Cantik memang cantik. Seolah-olah dia sedang berada di tepi laut pada waktu senja sahaja. Bumbung pula bercat hitam gelap, jika tidak disebabkan lampu bulat yang bergantungan, kedai itu pasti gelap gelita. Meja-meja dan kerusi juga berwarna hitam, mujur diserikan pelbagai objek kuning dan merah di mana-mana. Keseluruhannya kopitiam itu gelap, suram namun tenang. Ah! Bertambah aneh rasanya. Seolah dia berada di sebuah dunia lain namun tidak pula berasa takut.

“Ini pesanan, encik. Silakan,” kata pelayan lelaki tadi yang kali ini datang bersama segelas panjang teh tiga lapis dan sepiring roti bakar.

Zaffri tidak lagi memerhati. Tali lehernya dilonggarkan lalu dicabut dan diletakkan di dalam poket. Dia melipat lengan panjang kemejanya lalu mula menikmati teh tiga lapis yang dipesan. Sejuk tekaknya, apabila air itu mengalir melalui kerongkongnya. Hilang sebentar dahaganya.

Pandangan matanya beralih lagi ke sekeliling kedai. Sesekali singgah dari meja ke meja memerhati pelanggan di situ namun orang yang diharapkan untuk berada di situ nampaknya tidak ada. Yang ada hanyalah enam orang lelaki yang sedang makan tidak jauh dari mejanya dan seorang gadis yang berkerusi roda di meja belakang sekali. Apabila gadis itu mengangkat muka dan melemparkan senyuman ke arahnya, dia membalasnya dengan sopan sebelum mengalihkan perhatian pula ke arah roti bakar di hadapannya. Terasa bersalah kerana matanya meliar begitu. Tentu gadis itu salah sangka.

Di mana dia? Katanya selalu ke sini? Aku salah kedai ke? Rasanya sudah betul…. Dia jadi bersoal jawab sendiri. Keliru seketika fikirannya mengenangkan cerita Merlina selama ini. Merlina kata, dia selalu ke situ. Ah! Mungkin Merlina berkata benar cuma gadis itu tidak datang ke situ petang itu. Salah dia juga kerana tidak menetapkan waktu. Fikirnya hanya untuk memeranjatkan Merlina, akhirnya dia yang kecewa.

~Lina, tahu abang di mana sekarang? Dia menaip pada kotak chat pada telefonnya. Dia tahu Merlina sedang online.
~Di mana? Jawab Merlina.
~Little Moon Kopitiam!
~Abang buat apa kat situ?
~Nak jumpa Lina. Ingat nak ajak minum teh tiga lapis sama-sama. Kan Lina cakap, teh tiga lapis kat sini sedap?
~Lina tak pergi sana petang ni. Sorry
~Lain kali kita jumpa, okey?
~Insya-Allah.

Zaffri menarik nafas. Tanda hijau pada nama Merlina bertukar kelabu, tanda Merlina tidak lagi online waktu itu. Entah kenapa, kebelakangan ini setiap kali Merlina offline, dia rasa sangat kehilangan. Dia rasa kesunyian. Mungkinkah itu tanda… dia sudah mula menyukai gadis itu walaupun baru kenal tiga bulan?

Teh tiga lapis segera dihabiskan. Begitu juga roti bakar di hadapannya. Perutnya terasa sedikit beralas namun hatinya tetap hampa. Tanpa Merlina, kehadirannya di situ tidak bermakna.
*****
 SELEPAS singgah di kedai membeli sabun basuh, sabun mandi berserta beberapa paket biskut kering, Zaffri memandu keretanya balik ke rumah ibu bapanya di Taman Ayer Keroh Height. Waktu itu, sudah hampir pukul 7.00 malam namun bahang matahari pada sebelah siangnya masih terasa.

“Beli apa tu?” Ibunya yang kebetulan berada di luar rumah menegur. Matanya ralit memerhati bungkusan plastik yang bercop Jaya Jusco di tangan Zaffri.

“Beli sabun. Saya tengok sabun di dapur tu dah nak habis,” balas Zaffri sambil tersenyum. Dia tahu ibunya akan berleter, tetapi dia juga tidak kisah membeli.

“Mak dah beli dah. Tulah kamu, pandai-pandai saja membeli tanpa bertanya.” Ibunya menjeling manja.

“Kalau dah beli pun, mak… bukannya sabun ni boleh basi. Bulan depan boleh pakai juga.”

“Kalau pasal menjawab, kamu memang nombor satu. Kenapalah tak jadi peguam saja hari tu?”

Zaffri tergelak besar. Dia arif benar dengan sikap ibunya. Sebelum ibunya berleter lebih panjang, dia cepat-cepat menangggalkan kasut. “Masuk dulu, mak. Nak mandilah, badan panas.”

Ibunya, Puan Khamisah hanya tersenyum. “Eh! Nanti sekejap. Ada Pak Long Arip telefon?”

Zaffri tidak jadi melangkah. Dia memandang wajah ibunya lama-lama dan lantas menggeleng. “Kenapa? Dia ada telefon mak? Dia nak apa?”

“Mak yang suruh dia telefon kamu tadi. Mungkin dia lupa.”

“Yalah… tapi pasal apa?”

“Dia nak ajak kita balik ke kampung hujung minggu ni… dia kata Nora cuti sekarang. Kalau kamu nak jumpa, nak kenal-kenal baliklah sana.”

Zaffri menggumam. Rasa tercekik di kerongkongnya. “Tengoklah, mak. Rasanya hujung minggu ni, ada jemputan kenduri kahwin kawan saya di Shah Alam. Seganlah kalau saya tak pergi pula.”

Puan Khamisah mengeluh. “Itulah kamu. Kawan kahwin kamu paling sibuk, pasal kahwin kamu, bila kamu nak sibuk pula? Orang saja kahwin? Kamu? Nak bujang sampai ke tua? Sedar sikit…umur kamu tu dah 35 tahun, bukan 25 lagi….”

Zaffri garu kepala. Walaupun hati kecilnya terhiris, kata-kata ibunya dibiarkan sahaja tidak berjawab. Dia tidak mahu berdosa.
*****
BARU sahaja dia menarik kerusi di meja makan, mulut ibunya sudah riuh rendah semula. Dia hanya memasang telinga. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Entah di mananya fahamnya, dia malas hendak ambil peduli. Dia sudah hafal segala skrip leteran ibunya itu. Semuanya pasal kahwin.

“Seorang perempuan tidak lengkap sebagai seorang perempuan tanpa suami dan anak-anak. Begitu jugalah lelaki, Zaffri.” Itu sahaja yang terdengar di telinganya pada waktu itu. Entah di mana mula dan entah di mana pula akhirnya. Cuma apa dia rasa, kipas di atas kepalanya seolah bergerak terlalu perlahan. Panas!

“Ayah belum balik dari masjid ke, mak?” Dia bertanya, apabila mulut ibunya diam sekejap.

Puan Khamisah seakan tersentak. Terkelip-kelip matanya memandang wajah Zaffri. “Yang kamu sibukkan pasal ayah kamu tu buat apa? Kamu bukan tak tahu kebiasaan ayah kamu tu. Selepas solat isyak , baliklah dia.”

Zaffri hanya ketawa kecil. Kuah asam pedas ikan pari, disudukan ke dalam pinggannya berulang kali. Itu memang lauk kegemarannya. Sudahlah panas, bercampur pedas dan masam. Rasanya makin lajulah peluh yang menitik di badannya sekejap lagi. Panas luar dan dalam.

“Ha… makan tu jaga sikit. Nanti perut tu sekaki ke depan, teruslah tak laku,” leter ibunya lagi.

Zaffri memekakkan telinga.

“Kalau kamu tak ada calon, mak nak pinang Nora tu jadi isteri kamu.” Bagaikan kilat, keputusan itu diluahkan oleh Puan Khamisah tanpa memandang muka Zaffri.

“Apa, mak?” Mulut Zaffri terlopong. Mak nak pinang Nora? Dia rasa mahu tercekik ikan pari.

Puan Khamisah angguk. “Dah puas mak tunggu kamu cari calon isteri, kamu buat bodoh saja. Buat pekak. Sekarang biar mak yang carikan. Kamu terima sahaja.”

Zaffri menggeleng. Ini betul-betul tidak masuk akal. Selalunya orang perempuan sahaja yang dipaksa kahwin, ini tidak. Dia lelaki!

“Mana boleh macam tu, mak.” Ingin sahaja dia menambah di belakang ayat itu… ‘malulah saya’ tetapi tidak sanggup.

“Mana boleh kamu kata? Mak tak kisah, kamu setuju ke tak setuju. Kalau kamu sayangkan mak, kamu terima saja sesiapapun yang mak pilih nanti.”

Lauk asam pedas ikan pari tadi sudah terasa pahit di lidahnya. Betul ke apa yang dia dengar ni? Dia tidak bermimpi? “Mak tak sihat ke? Ubat tekanan darah tinggi mak dah habis ke?”

“Kamu fikir mak dah tak waras ya? Kamu nak tahu apa yang menyebabkan tekanan darah mak ni sentiasa tinggi? Tu… kamu tu. Selagi kamu tak kahwin, mak sentiasa susah hati,” balas Puan Khamisah bersungguh-sungguh. Tajam renungan matanya menikam ke wajah Zaffri.

Nafas Zaffri langsung tertahan. Sedih hatinya dituduh begitu. Bukankah selama ini, dia cuba sedaya-upaya untuk menjadi seorang anak yang baik dan taat? Adakah itu juga tidak cukup?

“Saya bukannya budak kecil lagi, mak. Mak tak payahlah susah hati pasal saya. Kalau mak susah hati pasal pakaian saya, saya boleh hantar dobi. Kalau mak susah hati pasal makan-minum saya, saya boleh makan di kedai. Kalau saya sakit, saya boleh ke klinik.”

“Kamu takkan faham kerisauan hati seorang ibu. Mak tak risaukan itu semua. Mak cuma nak kamu kahwin, baru hati mak senang,” balas Puan Khamisah. Air mata yang tumpah ke pipi diseka dengan jari kiri. “Kamu… kamu takkan faham.”

“Mak juga yang kata… tak baik nangis depan nasi,” tegur Zaffri. Tidak ada kata-kata lain yang dapat difikirkan untuk memujuk ibunya. Air matanya sendiri sudah ingin menyerbu keluar namun ditahan sekuat hati. Namun jauh di sudut hatinya juga terasa sedih kerana menyedari hakikat bahawa disebabkan dialah ibunya menitiskan air mata. Berdosanya dia…

Puan Khamisah mendiamkan diri. Hanya jari-jemarinya sahaja yang meramas-ramas butiran nasi di dalam pinggannya. Belum sesuap pun yang masuk ke mulut. “Zaffri ada masalah ke?” tanyanya pula.

Mata Zaffri terkebil-kebil. Lama dia berfikir. Masalah? Apa masalah yang ibunya maksudkan?

 “Mak yang lahirkan saya. Saya ada masalah ke, mak?” Dia tersenyum. Dia sendiri berasa gelihati dengan pertanyaannya itu.

“Jadi kahwinlah ya?” kata Puan Khamisah pula sambil menatap wajah Zaffri.

Zaffri terkedu. Sesungguhnya permintaan itu sungguh berat untuk dilaksanakan walaupun dia sudah lama bersedia.

“Kalau Zaffri dah ada calon, cepatlah beritahu mak. Kalau tak ada, Zaffri terima, Nora. Boleh?” tanya Puan Khamisah lagi.

Mulut Zaffri terus terkunci.
*****
SELESAI bersolat Isyak, dia menelentang di atas katil. Dengan kedua belah tangan mengalas kepalanya, dia mendongak memandang siling. Sampai bila dia harus tinggal di situ? Sampai bila dia harus hidup bersendirian? Sampai bila dia harus ditanya dan ditanya soal jodoh yang belum kesampaian? Semua persoalan mula berputar-putar di kepalanya.

Dia tidak malu menjadi bujang tua. Dia tidak malu masih tinggal serumah dengan ibu bapanya walaupun sudah berusia 35 tahun. Malah dia rasa bahagia, apabila setiap pagi dan petang, dia masih dapat menatap kedua wajah mereka. Bukankah itu juga satu kebahagiaan? Tetapi kenapa pula ibu bapanya seakan malu dengan dirinya? Apakah menjadi bujang tua itu satu perkara yang mengaibkan pada zaman ini?

Ya, dia masih belum berkahwin, bukan kerana dia terlalu memilih atau cerewet cuma hatinya belum menemui pasangan yang dirasakan benar-benar mampu sehidup semati dengannya. Yang sanggup menerimanya seadanya, yang sanggup menempuh apa sahaja yang akan dihadapi di alam rumah tangga. Adakah masih gadis yang sebegitu pada zaman itu? Adakah dia seorang lelaki yang berfikiran kolot? Dia lihat, kawan-kawannya yang lain, mudah sahaja berkahwin cerai. Dia sahaja yang sering teragak-agak.

“Kalau Zaffri dah ada calon, cepatlah beritahu mak. Kalau tak ada, Zaffri terima, Nora. Boleh?”  Kata-kata ibunya terngiang-ngiang di telinganya.

Kalau ada calon, cepat beritahu mak… kalau tak ada calon, dia terpaksa terima Nora. Jadi sekarang bagaimana? Adakah dia harus mengakui bahawa dia belum ada seorang pun calon untuk ditunjukkan kepada ibunya? Adakah dia harus mengakui yang dia terlalu malang sehinggakan tidak ada seorang wanita pun sudi menjadi isterinya sehingga perlu dibantu oleh ibunya? Kedua-duanya sungguh berat untuk diterima… walaupun itu satu kebenaran. Ya, dia tidak ada calon isteri sendiri.

Siapa pula Nora? Sudah berbulan-bulan dia mendengar nama itu dicanang-canang oleh ibunya. Apa yang dia tahu cuma beberapa perkara iaitu Nora anak saudara kepada isteri Pak Long Arip. Umur Nora sudah 27 tahun dan sudah bekerja. Itu sahaja. Bagaimana rupanya, bagaimana sikapnya… dia tidak tahu. Tetapi pada pandangan matanya, ibunya tidak kisah langsung soal itu asalkan ada seorang gadis untuk diperisterikan oleh dia. Adakah dia suka idea itu? Rasanya tidak.

Bagaimana kalau dia tidak berkenan kepada Nora? Bukankah seorang isteri itu sepatutnya menghadirkan rasa tenteram di hati suaminya? Tenteram pada segala sudut? Adakah dia boleh bertahan hidup serumah dan tidur sekatil dengan gadis seperti itu? Bagaimana jika kehadiran Nora nanti, bukan mententeramkan jiwanya malah menghuru-harakan kehidupannya selepas berkahwin? Mungkinkah dia akan menyesal, malah akan timbul pula rasa marah kepada semua yang terlibat dalam mengatur perkahwinannya dengan Nora?

Dia mula resah. Permintaan ibunya itu seolah-olah satu paksaan. Juga satu ugutan. Jadi cuma satu sahaja jalan keluar dari semua itu. Ya, dia harus mencari calon isteri secepat mungkin. Seorang gadis yang mampu mententeramkan jiwa dan perasaannya, seorang gadis yang mampu melengkapi hidupnya. Seorang gadis yang mampu membuat hatinya rindu apabila berjauhan…. Merlina.

Apabila terlintas nama itu di kepalanya, dia bangkit duduk dan meninggalkan katil besarnya. Komputer dihidupkan, lalu dia duduk memandang skrin, mencari-cari profail Merlina di Facebook. Gambar gadis itu ditatapnya lama-lama… wajah Merlina yang sedang tersenyum manis itu tidak jemu-jemu dipandang. Makin lama makin dia sedar, dia sudah jatuh hati pada gadis itu. Dan kini keinginan hatinya semakin membuak-buak. Tapi mahukah Merlina berkahwin dengannya?

~Lina dah makan? Dia bertanya di kotak chat lantaran terlihat Merlina sedang online di Facebook.
~Sekejap lagi. Abang?
~Baru lepas solat Isyak. Lina dah solat?
~Sudah.

Zaffri bergumam sendiri. Merlina memang begitu. Seperti seorang yang agak pendiam. Jawapannya selalu pendek-pendek dan adakalanya perbualan mereka terus mati dengan tiba-tiba. Dia dapat merasakan bahawa Lina, tidak pernah menganggap serius kehadirannya. Itu satu masalah.

~Lina buat apa malam ni?
~Tak ada buat apa. Mungkin nak tulis entri baru di blog sebelum tidur.
~Okey, nanti abang baca.
~Abang baca semua entri di blog Lina?
~Belum habis lagi tapi abang akan cuba habiskan. Dah lama juga Lina tulis ya? Dah dekat tiga tahun.
~Pendek-pendek saja.
~Pendek-pendek pun, kerap. Dalam seminggu, 2-3 kali Lina tulis. Abang ni, seminggu sekali pun malas.
~Abang pun ada blog?
~Ada. Lina nak baca?
~Nak.

Zaffri pun segera memberikan alamat blog miliknya. Sekejapan, matanya membesar… Wah! Sudah dekat tujuh bulan, blog miliknya tidak dimasukkan entri baru. Bak kata blogger, sudah bersawang….

~Kalau buka, jangan ketawa tau. Abang dah lama tak tulis entri blog yang baru.
~Tulislah sikit. Bukannya perlu tulis panjang-panjang.
~Bukan ada orang nak baca pun.
~Lina nak.
~Okey, sekejap lagi abang tulis. Tunggu tau.
~Okey. Assalamualaikum.

Waalaikumussalam … jawab Zaffri dalam hati. Dia sedikit terkejut apabila Merlina dengan tiba-tiba sahaja signout daripada Facebook. Dia mencari di kotak e-mel, Merlina juga tidak online. Haish, budak ni! Senang-senang sahaja lesap… dia masih belum puas berbicara, seolah-olah ada perkara yang masih terbuku di dadanya.

Sebelum tidur, Zaffri membuka laman blognya. Dia termenung seketika sebelum menitipkan sebuah puisi pendek di situ.
Segelas teh dan sepiring roti bakar
Tiada rasa
tiada warna
pabila kau tiada…
~catatan di Little Moon Kopitiam.
Dan pada malam itu, dia bermimpi indah. Mimpi bersanding dengan Merlina…

4 comments:

  1. menarik cter ni walaupun baru saja bab 1..x sabar nak tggu bab2 seterusnya n ending cter ni..payah jugak kan kalu kena paksa kawen ni kan kak..mudah2an sy x termasuk dalam golongan ni. semoga pasangan saya ikhlas menerima saya nanti..amin..;)

    ReplyDelete
  2. citer ni menarik jugak..hehe..kesian Zaffri kena kahwin dgn orang yang tak dikenalinya..

    ReplyDelete
  3. terima kasih, Hana. Kahwin atau tak tu, belum tahu lagi....

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.