“TADI Pak Long Arip telefon lagi,” kata Puan Khamisah sambil menepuk peha Zaffri. Waktu itu mereka sama-sama sedang berada di ruang tamu, menonton siaran berita pukul 8.00 malam.
Zaffri melepaskan nafasnya perlahan. Seolah-olah dia takut untuk menunjukkan yang dia masih bernyawa di situ. Perutnya pun berombak sedikit sahaja. Sesungguhnya topik itu membuat urat perutnya terasa beku. Serta-merta juga dia teringat panggilan telefon daripada Pak Long Arip di ofisnya pagi tadi. Hancur hasratnya untuk merehatkan fikiran di situ dan mengurangkan denyutan di kepalanya. “Dia ada telefon pagi tadi.”
“Kamu kata apa?”
“Kata apa lagi? Tengoklah Ahad nanti macam mana,” balas Zaffri selamba.
Matanya masih tidak berkalih dari skrin televisyen leper di hujung bilik itu. Pada dia keputusannya masih belum berganjak. Dia belum pasti mahu ke rumah Pak Long Arip ataupun tidak. Masih berbelah bahagi. Tetapi kalau dia pergi sekalipun, dia pergi bukanlah kerana ingin sangat berkenalan dengan Nora. Dia hanya pergi supaya ibunya tidak merajuk hati. Kalau ibunya menangis lagi… tak tertanggung rasa bersalah dalam dadanya.
“Kenapa pula kata macam tu? Baliklah sekejap,” balas ibunya pula.
“Mak….” Kata-katanya terhenti. Dalam pada itu bukan mudah pula dia menekan rasa egonya dalam hati. Kalau dia balik, samalah dengan mengakui kepada seisi dunia dia seorang yang gagal mencari calon isteri hingga perlu dibantu ibunya. Sanggupkah? Rasanya mahu memandang tangga rumah Pak Long Arip pun dia tidak sanggup, inikan mahu memandang wajah Nora?
“Kamu kan lelaki? Apa yang nak ditakutkan? Bukan kamu yang kena pinang, kita yang nak meminang. Kalau kamu tak suka, tak ada siapa yang akan memaksa kamu,” kata ibunya lagi. Wajahnya mula masam mencuka.
“Apa hal yang bising-bising ni? Dari luar dah dengar,” sampuk Haji Badri, ayah Zaffri dari muka pintu. Kopiah di kepalanya dicabut dan dipegang. Dia melangkah masuk dan melabuhkan punggung di sebelah isterinya.
“Ni ha… anak awak ni,” jawab Puan Khamisah.
“Kenapanya?”
“Hujung minggu ni kan abang long ajak balik kampung? Dia tak nak. Banyak pula fikirnya.”
Haji Badri mengeluh. “Dah dia tak nak, biarlah. Yang abang long sibuk sangat tu, kenapa?”
“Eh, awak ni! Abang long kata si Nora anak saudara kak long ada di rumah dia sekarang, jadi… dia naklah ajak Zaffri balik kenal-kenal dengan budak tu. Bukannya susah sangat….”
Haji Badri menjeling ke arah Zaffri yang membisu sejak tadi.
“Elok juga tu, Zaffri. Bukannya ajak balik kahwin, baru ajak tengok. Itu pun takut? Patutlah tak kahwin sampai sekarang.” Dia tersenyum dan menjeling pula ke arah isterinya di sebelah.
Puan Khamisah ikut tersenyum.
Zaffri menarik nafas lalu mengangkat punggung dan beredar dari situ. Denyut di kepalanya semakin kuat.
******
DI DALAM bilik, Zaffri merenung kotak chat yang dibiarkan sentiasa terbuka. Dia sentiasa menanti Merlina menegurnya jika online tetapi seperti biasa, Merlina lebih suka berdiam diri sahaja. Itu yang membuat dia selalu ragu-ragu dengan langkahnya sendiri. Tetapi dia juga tahu, jika dia tidak bertindak… tidak ada siapa yang akan membantunya. Lalu, dia mula menaip.
~Lina dah tidur ke?
~Belum.
~Lina buat apa?
~Baca blog abang.
Walaupun agak terkejut, Zaffri tersenyum. Lina baca blog dia? Mungkinkah Lina dapat menangkap makna puisi yang dititipkan di situ? Kemudian dia menaip lagi.
~Abang tak tahu apa nak tulis.
~Tulislah apa sahaja yang nak dikongsikan.
~Macam Lina tulis di blog tu? Banyak pengalaman Lina di luar negara ya? Macam-macam negara Lina pergi dengan keluarga.
~Pengalaman lama. Lina nak catatkan sebagai kenangan.
~Lina nak berkongsi dengan siapa tu?
~Sesiapa sahaja yang suka baca blog Lina.
~Blog Lina ramai pembaca tetapi kenapa tak boleh tinggalkan komen di bawahnya? Kotak chat pun tak ada.
~Lina tak suka orang tanya apa-apa.
Zaffri termangu sebentar.
~Abang tanya pun tak boleh?
~Kecuali abang.
Zaffri tersenyum semula.
~Tadi abang pergi Little Moon dengan kawan abang. Kami makan mee kari.
~Sedap?
~Sedap sangat. Apa lagi yang sedap di sana?
~Semua sedap. Cubalah.
~Bila Lina nak datang sana?
Tiada jawapan. Zaffri terus menunggu dan menunggu namun warna hijau di kotak chat terus hilang. Dia tahu Merlina sudah offline lagi. Dari kotak chat dia membuka profail Facebook Merlina. Dia memeriksa jika Merlina ada menuliskan sesuatu di dinding profailnya. Mungkin berita, mungkin isi hati ataupun keresahan namun tetap tiada.
Akhirnya dia melepaskan keluhan panjang. Dia hanya perlukan satu kesempatan untuk berterus-terang kepada Merlina. Hanya satu. Kenapa itu pun amat sukar untuk diberikan gadis itu? Perlahan-lahan rasa hampa menyelubungi dirinya. Mungkin juga dia harus melupakan gadis itu dan menerima Nora atau sesiapa sahaja. Mungkin benar, dia seorang yang gagal.
*****
KOKOKAN ayam bersahut-sahutan. Satu irama, satu nada nyaring yang berulang-ulang memecahkan keheningan pagi. Zaffri tersentak dari sebuah tidur yang lena tetapi serta-merta merasakan sekujur tubuhnya kaku dan sakit akibat tertidur di meja tulis.
Kenapa pula dia boleh tertidur di situ? Apabila dia mengangkat muka, yang pertama dipandang adalah profail skrin Facebook Merlina. Adakah dia tertidur setelah penat berfikir sambil menatap profail itu? Ada kemungkinan.
Dengan rasa malas, dia memadam bunyi penggera di telefonnya. Bunyi kokokan ayam terus sahaja berhenti. Dia menguap besar sebelum matanya terpaku di hadapan skrin, menyaksikan status Merlina yang baru ditulis dua minit yang lalu.
~Assalamualaikum. Solat itu lebih baik daripada tidur.
Paginya dia bangun? Zaffri menelek jam di telefonnya. Baru pukul 6. 15 pagi. Dia tersenyum, ternyata Merlina seorang gadis yang tidak meninggalkan solat Subuh. Ada perasaan senang menyentuh hatinya. Lalu dia sedar, dia belum dapat melupakan Merlina, mungkin juga tidak akan berhenti berharap begitu sahaja.
“Tak minum dulu, Zaffri?” tegur Puan Khamisah apabila terlihat Zaffri meninggalkan biliknya satu jam selepas itu dengan siap berpakaian dan terus memakai kasut di muka pintu.
“Saya minum di ofis saja, mak,” jawabnya sebelum menghulurkan salam dan mengucup tangan ibunya. Jika boleh, dia ingin cepat pergi dari situ, entah kenapa ada perasaan bersalah dalam hatinya. Dia tahu, pendirian hatinya kini bertentangan dengan pendirian hati ibunya.
“Zaffri….” Puan Khamisah mengeluh. Ditatapnya wajah Zaffri lama-lama. “Mak tak paksa kalau kamu tak nak. Tapi kalau boleh….”
Zaffri tersenyum pahit. Sekali lagi hatinya dilanda perasaan yang serba-salah. “Ahad ni, saya bawa mak dan ayah balik kampung. Tapi tak dapatlah nak bermalam di sana sebab Isnin tu, saya kerja.”
Mata Puan Khamisah bercahaya. “Tak jadilah Zaffri nak pergi kenduri kawan tu?”
Zaffri tunduk memandang lantai. “Tak apalah, nanti… saya beritahu dia saya ada hal.”
Puan Khamisah terangguk-angguk. Senyumannya secerah matahari pagi. Hanya Zaffri yang menghela nafas sewaktu menghayun langkah ke kereta.
*****
SETIBANYA di perkarangan kilang, Zaffri terus ditegur Aril yang juga kebetulan baru tiba di situ. “Cepat sampai? Dah minum?”
“Jom ke kafe,” balas Zaffri. Sememangnya ke situlah tujuannya datang awal pagi itu. Beberapa minit selepas itu, bersama sebungkus nasi lemak dan secawan kopi, dia duduk di meja berdekatan pintu. Aril segera menyertainya dengan sepiring kuih.
“Tak order air ke?” tegur Zaffri.
“Air aku ada bawa.” Ari mengeluarkan thermos kecil yang dibawanya dari beg sandang.
Zaffri terdiam, dia cuba menikmati nasi lemak di hadapannya. Walaupun tekaknya sudah mula jemu dengan makanan di kafe itu, namun dia bersabar sahaja. Tujuh tahun bekerja di situ, bukan masa yang sekejap. Rasa sambal ikan bilis itu pun sudah boleh dihafal lidahnya.
“Mak kau tak sihat ke?” tanya Aril sambil mengunyahkan kuih lompang. Matanya terkebil-kebil memandang wajah Zaffri yang agak muram.
“Kenapa kau tanya macam tu? Mak aku sihat wal-afiatlah,” balas Zaffri. Dia agak terkejut. Mimpi apa pula Aril bertanyakan ibunya?
Aril ketawa. “Dah tu? Selalunya kau kata, mak kau yang siapkan makan pagi setiap hari. Pagi ni kenapa makan di kafe?”
Zaffri tersenyum nipis.
“Gaduh dengan mak kau ya?” Aril ketawa lagi.
“Kau pula? Gaduh dengan orang rumah kau?” Zaffri pandang tepat ke dalam mata Aril.
Kali ini Aril tergelak besar. “Mana ada? Aku hari-hari macam ni. Orang rumah aku sempat buat kopi saja pagi-pagi, lepas tu masing-masing minum di ofis. Kau tahu sajalah rumah aku ke sini dah berapa lama nak sampai. Nak kena hantar anak ke rumah mak mertua lagi.”
Zaffri angguk. Dia bukannya hendak tahu sangat masalah Aril, dia cuma sekadar mengusik, cuba mengalihkan perhatian Aril daripada masalah peribadinya.
“Apa masalahnya pula kali ni?”
Ha? Zaffri terkelip-kelip di hadapan Aril. “Masalah apa?”
“Masalah dengan mak kaulah… .”
Zaffri menggumam dalam hati. Ingat pula Aril ni tentang hal tadi. Dia menghela nafas, kopi diteguk perlahan-lahan. Ligat fikirannya berfikir, menyusun jawapan yang paling selamat.
“Hujung minggu ni mak aku ajak balik kampung.”
“Kampung kau bukannya jauh sangat, dua jam dah sampai,” balas Aril pula. “Apa pula masalahnya?”
Zaffri diam. Berat sungguh mulutnya untuk bercerita walaupun kepada Aril. Malu.
“Berat betul tu….” Aril tersengih. “Pergi sajalah, mana tahu sesuai?”
Zaffri spontan memandang Aril. Aril tahu?
Aril ketawa lagi. Dia menepuk bahu Zaffri. “Biasalah orang tua… kalau mereka boleh tolong, mereka akan tolong sampai dah tak ada benda yang nak ditolong. Itulah kasih ibu bapa namanya. Tapi kalau jadi, jangan lupa jemput aku.”
Zaffri tersenyum pahit. Aril tidak faham perasaannya. Aril tidak mengalami apa yang dia alami sekarang. Dia benar-benar rasa tersepit, di antara permintaan ibunya dan kata hati yang memberontak. Makin cuba dipujuk, makin kuat pula hatinya mahukan Merlina. Hanya Merlina.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.