SEMENTARA itu di rumah Pak Long Arip, perbincangan juga sedang berlangsung di anjung rumah. Sambil dibelai angin petang yang bertiup sesekali, mereka berempat duduk-duduk berbincang melegakan perut yang sengkak. Tujuannya cuma satu, hal itu perlu dijelaskan dengan lebih terperinci.
“Macam mana agak-agaknya, Sah? Zaffri ada cakap apa-apa?” tanya Mak Long Yati.
“Belum ada lagi, kak. Tengoklah dulu macam mana balik nanti,” balas Puan Khamisah pula. Dia sendiri sudah naik bingung memikirkan soal Zaffri yang terlalu sukar untuk berkongsi isi hati kebelakangan ini. Entah apalah yang ada di dalam kepala anak sulungnya itu, dia sukar untuk menduga.
“Kami bukan apa… kalau berbesan dengan orang kenal ni, senang sikit kita nak berunding dan berpakat-pakat. Lagipun, kami kesian sangat dengan nasib si Nora tu. Muda-muda lagi dah yatim piatu sejak mak ayah dia meninggal dalam kemalangan. Mujurlah dia tamat juga belajar di universiti tu, dapatlah dia kerja elok. Dapatlah dia sara hidup dia sekarang. Tu sebab… kak long berat hati nak melepaskan dia dengan orang yang kami tak kenal.” Mak Long Yati mula membuka cerita panjang.
Semua yang ada di situ terangguk-angguk.
“Tapi kami tak paksa, kalau Zaffri dah ada pilihan dia sendiri tak apalah,” sampuk Pak Long Arif pula.
“Pilihan sendiri? Kalau dah ada, dah lama kami ni dapat cucu, abang long. Tak adalah tu… entah perempuan yang macam mana dia nak pun, tak tahulah,” jawab Puan Khamisah laju. Memang itulah yang dia risaukan. Dia risau kalau Zaffri terlalu cerewet memilih hinggakan semua perempuan tidak kena di hatinya.
“Hati dia belum terbuka untuk berkahwin kut?” tanya Pak Long Arip lagi. Asap rokok dihembuskan ke luar rumah. Sekejap sahaja hilang dibawa angin.
“Nak kata macam tu, rasanya tidak juga. Dia dah beli rumah, dah beli kereta… kalau bukan sebab nak kahwin, sebab apa pula, kan?” Puan Khamisah menjawab.
“Belum jumpalah agaknya tu,” sampuk Mak Long Yati pula. Haji Badri diam sahaja mendengar perbulan itu.
“Kalau dia nak terima Nora, kan senang kerja kita ya, bang?” Puan Khamisah tersenyum. Pada matanya, Nora sudah cukup sempurna. Orangnya cantik, lemah lembut, elok budi bahasa, pandai pula buat kerja dapur. Kalau Zaffri setuju memang dia sangat gembira. Berkenan sungguh dia dengan Nora.
“Haah, aku tak minta pun duit hantaran. Asalkan ada mas kahwin dan bahan hantaran mengikut adat, cukuplah. Soal kenduri kendara, aku boleh tanggung sendiri. Zaffri tak payah risau. Yang pentingnya dia sanggup jaga Nora elok-elok.” Bersemangat sungguh Pak Long Arip bercerita.
Puan Khamisah hanya tersenyum. Harapan di hatinya makin berbunga,
******
MATAHARI mula condong sedikit ke barat. Suasana di kebun itu bertambah redup kerana cahaya matahari sudah bersembunyi di sebalik rimbunan daun-daun pokok rambutan yang saling bertaut mesra. Namun pada Zaffri, redup tempat itu belum dapat melegakan keresahan jiwanya. Dia belum tahu apa keputusan yang harus diberi dan bagaimana harus diberi. Namun demi ego, dia tetap berlagak tenang. Berlagak kuat.
“Nora kerja di mana?”
“Bank,” balas Nora, Langkahnya teratur dan bersahaja, tanda dia biasa dengan kebun itu.
“Dah lama?”
“Dah dekat dua tahun juga.”
Zaffri diam. Mati akal lagi untuk berbual dengan Nora. Mujur Nora juga begitu tenang dan tidak cuba mendesak.
“Nora faham,” kata Nora pula.
“Apa yang Nora faham?”
“Abang ada masalah nak terima Nora, kan?”
Pertanyaan Nora membuatkan langkah Zaffri terhenti. Apa maksud Nora? Namun dia tidak pula bertanya, dia hanya menyambung langkahnya semula. Dia tidak mahu bergaduh dengan seorang gadis yang baru dikenalinya beberapa jam. Biarlah apa Nora hendak fikir sekalipun.
“Kalau abang tak ada masalah, tidaklah abang bingung begini,” tambah Nora.
Bingung? Dia nampak seperti orang sedang bingung ke? “Kalau Nora dah tahu, kenapa Nora masih tak menolak abang? Katakan saja pada pak long dan mak long, Nora tak nak kahwin dengan abang. Habis cerita.”
“Kenapa mesti Nora? Abang yang kena buat keputusan. Kalau Nora yang cakap, abang juga yang akan nampak buruk.”
Ya juga, kata hati kecilnya. Tapi itu akan melepaskan dia daripada masalah ini. Paling teruk pun, dia akan kena leter selama sebulan, selepas itu pasti ibunya akan mengalah dan membisu. Tapi kalau dia yang menolak… leteran mungkin lebih teruk daripada itu. Pak Long Arip dan Mak Long Yati mungkin tidak akan mengajaknya datang ke rumah lagi. Hubungan persaudaraan akan retak.
“Biarlah abang nampak buruk,” katanya tanpa sedar.
Kali ini Nora pula yang berhenti melangkah.Dia menoleh ke arah Zaffri lalu bertanya, “jadi betullah… abang ada masalah untuk menerima Nora?”
Mulut Zaffri separuh melopong. Walaupun dia lelaki, jiwanya tetap halus dan ada rasa kasihan yang tinggi. Pertanyaan Nora, berserta raut wajah yang luka… membuatkan Zaffri bertambah-tambah serba-salah. Jika diikutkan akal yang waras, mahu sahaja dia menafikan itu semua dan berkata sebaliknya. Namun hatinya seolah seperti batu. Wajah Merlina juga yang bermain di fikirannya ketika menatap wajah sendu Nora.
“Nora tak apa-apa ke?” Ada sedikit perasaan cemas menggeluti hatinya. Menjadi seorang yang dibenci dan dimusuhi bukanlah satu perkara yang indah. Bukan sesuatu yang dicari-cari.
Nora menggeleng.
“Kenapa Nora….” Dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu mengucapkannya. Nora tampak begitu sedih.
“Nora terhutang budi pada pak long dan mak long. Sejak emak dan ayah Nora meninggal, merekalah yang banyak mengambil berat pasal Nora dan adik-adik Nora.”
“Jadi semua ni… kerana Nora nak balas budilah?” tanya Zaffri lagi. Dia masih cuba menyelami isi hati gadis itu. Pada dia, perkara itu boleh dibawa berbincang. Nora tidak harus dijadikan mangsa.
“Mak long kata mereka berniat baik pada Nora. Mereka cuma nak seseorang yang mereka sudah kenal dan percaya, menjaga Nora. Mereka takut nak lepaskan Nora kepada orang lain,” terang Nora.
Zaffri semakin faham. Entah kenapa, sekarang dia pula yang terasa seperti menjadi mangsa. Anak yatim seperti Nora harus dibela nasibnya. Perasaan serba-salahnya makin bertambah-tambah.
“Apa pun sebabnya, ini bukan perkara yang boleh diambil ringan. Ini soal membina sebuah kehidupan baru bersama-sama. Ini bukan soal balas budi atau makan budi.” Zaffri cuba membuka mata Nora. Hakikatnya, perkahwinan itu bukan sesuatu yang jelas seperti buku teks, ia kompleks.
Mata Nora mula berkaca. “Sekompleks manapun perkahwinan itu, sesukar mana pun gambarannya… kalau hati sudah rela, ia tak lagi menakutkan,” balasnya satu-persatu.
Mulut Zaffri terus terkunci.
******
OLEH kerana tidak tahu apa lagi yang harus dibualkan dengan Nora, Zaffri mengambil pendekatan untuk mendiamkan diri sahaja. Kata-kata Nora tadi membuatkan dia rasa terpukul. Ternyata Nora lebih matang daripada dirinya dalam menangani masalah itu. Jika Nora rela untuk menempuh apa yang disebut gerbang perkahwinan bersamanya, apa masalahnya lagi? Jika lelaki lain berada di tempatnya, mungkin sudah melompat sepuluh kaki tingginya tetapi dia? Kenapa dia tidak gembira?
“Cepatnya balik? Kenapa tak ambil banyak lagi?” tegur Pak Long Arip. Wajahnya begitu ceria.
Baru Zaffri tersedar, yang dia dan Nora sudah pun tiba berdekatan dengan rumah. Dari tempatnya berdiri, dia dapat melihat wajah Pak Long Arip, Mak Long Yati, ibu dan bapanya. Kesemuanya merenung dia dengan pandangan yang penuh tanda tanya. Apabila tersedar yang dia sudah tercegat di tengah halaman beberapa ketika, baru dia menapak ke hadapan dan meletakkan raga di tepi tangga naik ke anjung. “Cukuplah ni,” balasnya pendek.
“Nora, pergi ambil besen dengan air. Boleh kita makan buah-buahan ni sama-sama,” kata Mak Long Yati pula. Buah rambutan itu dileraikan daripada tangkainya satu persatu.
Nora segera mengangguk dan berlalu ke belakang, Zaffri juga begitu.
“Kamu nak ke mana pula tu Zaffri?” tegur Puan Khamisah. Lagi sekali keempat-empat pasang mata merenung tajam ke wajah Zaffri.
Zaffri tunjuk ke arah dapur. “Nak cuci tangan. Kenapa, mak?”
Puan Khamisah menggeleng namun menarik senyum panjang.
Oleh kerana ibunya tidak menjawab, Zaffri meneruskan hayunan kakinya ke arah pintu belakang rumah itu. Berhampiran pintu dapur, dia berselisih dengan Nora yang telah keluar semula bersama sebuah besen dan semangkuk air.
“Sabar sajalah, Abang Zaffri. Nanti mereka fahamlah tu,” kata Nora dengan tenang.
Zaffri menghela nafas panjang. Kenapa dia tidak setenang Nora menerima segalanya? Setiap senyuman, setiap renungan yang dilemparkan kepadanya bagaikan membebankan perasaannya. Adakah kerana hatinya belum terbuka untuk menerima Nora?
“Kalau mereka tanya Nora, apa Nora nak jawab?” Dia pandang muka Nora. Walaupun Nora kelihatan tenang, apa yang berada di dalam hati gadis itu tidak dapat diselaminya. Adakah benar Nora sepasrah itu?
“Nora nak kata apa? Nora diam sajalah,” jawab Nora sebelum meneruskan langkahnya semula.
Zaffri tidak bertanya lagi. Dia terasa seolah-olah semua orang berada di pihak yang sama hanya dia seorang yang terkontang-kanting tidak berteman. Kuatkah dia untuk menentang mereka? Kuatkah dia untuk menurut kata hati yang tidak sedar diri? Sesungguhnya dia sangat memerlukan sokongan. Dia takut rebah.
******
PERJALANAN pulang ke Melaka terasa hangat. Mereka bertiga bertolak balik setelah selesai menunaikan solat Asar di rumah Pak Long Arip. Juga setelah kenyang dijamukan minum petang yang menyelerakan, bubur kacang berperisa durian. Tetapi Zaffri tetap tahu, sebaik sahaja mereka bertiga duduk di dalam kereta, persoalan itu pasti akan meletup pada bila-bila masa.
“Hah? Macam mana, Zaffri?” Suara Puan Khamisah memecah kebisuan kereta yang cuba dipertahankan Zaffri sejak memulakan perjalanan tadi tetapi jelas gagal.
Zaffri menjeling cermin pandang belakang sekali lalu. Dia tahu hal apa yang ditanyakan oleh ibunya. Aduhai… tak boleh ke tunggu sampai di rumah? Macamlah Nora tu nak lari ke mana, macamlah kena kahwin esok, rungut hatinya. Perlahan-lahan dia melepaskan nafas tanpa sebarang jawapan.
“Mengeluh pula?” tegur ibunya lagi. “Kamu nak cari yang macam mana lagi? Apa yang kurangnya dengan Nora tu? Tadi mak tengok kamu dengan Nora tu elok saja berbual?”
“Saya tak kata Nora tu kurang atau tak elok, mak,” balas Zaffri. Terdetik di hatinya satu dorongan untuk membetulkan keadaan. “Memang Nora tu elok orangnya.”
“Hah! Jadi kamu setujulah ya?” Meletus pula suara Puan Khamisah, bagaikan tidak dapat ditahan-tahan lagi.
“Mak… boleh tak mak jangan tergesa-gesa?”
Senyuman yang terukir di wajah Puan Khamisah memudar sedikit demi sedikit. Yang tinggal hanyalah riak kehairanan.
“Kalau dah elok, kamu nak tunggu apa lagi? Tunggu sampai kamu bertambah tua?”
Semakin sesak nafas Zaffri. Dia tahu mulut ibunya akan menjadi lebih bisa daripada bisa ular tedung apabila sedang marah. Dia harus banyak mengalah. Hanya semasa tenang, seseorang dapat mengawal keadaan dengan lebih waras. Lagipun itu ibunya.
“Bukan macam tu… berilah masa untuk saya dan Nora berfikir masak-masak,” balasnya perlahan namun cukup jelas.
Puan Khamisah diam dan termenung seketika. Kemudian dia bersuara semula.
“Mak long kamu tu bimbang jika Nora dijodohkan dengan orang lain. Dia bimbang hidup Nora akan disia-siakan. Pak long kamu pula kata, dia tak minta sedikit pun duit hantaran, dia cuma minta mas kahwin dengan barang-barang hantaran yang biasa pada adat kita. Kan dah banyak senang tu? Apa yang kamu nak runsingkan lagi? Kalau tak cukup duit, mak ada duit.”
Zaffri menelan air liur. Sudah sampai berbincang soal wang hantaran ke? Makin berat tu, kata hatinya. Bagaimana kalau dia menolak? Bukan satu dua hati yang kecewa malah sudah jadi empat. Makin sesak dadanya.
“Saya tahu. Nora ada cerita tadi.”
“Apa lagi Nora cerita? Dia setuju, kan?” tanya Puan Khamisah.
“Saya suruh dia berfikir dulu,” balas Zaffri sejujurnya.
Sesungguhnya itulah pesanan terakhirnya kepada Nora sebelum meninggalkan rumah Pak Long Arip. Ya, berfikir masak-masak. Walaupun Nora seorang anak yang taat namun dia juga berhak menentukan pilihan hatinya sendiri. Berhak untuk memilih dan berhak untuk menentukan dengan siapa dia mahu menghabiskan sisa-sisa hidupnya. Bukan asal terima sahaja sesiapa yang dicadangkan oleh pak long dan mak long.
“Kenapa pula macam tu? Mak long kamu kata, Nora dah setuju.”
“Memanglah dia dah setuju, mak. Tapi kenapa dia setuju? Sebab terhutang budi dengan pak long dan mak long? Boleh ke dia suka dengan saya, kalau macam tu?” balas Zaffri.
“Tapi yang pentingnya… Nora tak membantah.”
Zaffri angguk sahaja. Itu dia tahu. Dia juga tahu lebih daripada itu. Nora sudah rela menjadi isterinya, Nora sudah menerima cadangan itu dan itu bukannya mudah. Dia percaya, mana-mana gadis yang elok di dalam dunia ini bukanlah mudah merelakan dirinya untuk seorang lelaki yang tidak pernah dikenali. Lainlah kalau Nora sudah tidak elok. Dia lelaki yang bertuah, itu dia akui.
Kali ini Puan Khamisah mengeluh berat. Dia menggeleng sambil menyandarkan tubuhnya ke kerusi semula. “Habis tu? Apa keputusannya?”
“Samalah macam tadi. Beri kami masa. Kalau sudah ada keputusan nanti, saya beritahu,” balas Zaffri. Pendiriannya masih tidak berubah.
“Jangan berlengah sangat, Zaffri. Nanti melepas….” Puan Khamisah berkata sebelum kembali mendiamkan diri.
Zaffri kembali menjeling ke cermin pandang belakang. Kelihatan ibunya sedang termenung di tepi tingkap. Dia tidak pasti berapa lama ibunya boleh mendiamkan diri tetapi dia tahu, wanita yang bernama Puan Khamisah tidak akan mudah mengalah. Jadi dia juga harus lebih kuat.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.