Tuesday, February 14, 2012

Bab 4 : Aku Tak Pernah Jauh


SUDAH dua hari, Zaffri tidak menghubungi Merlina. Baik di kotak chat, mahupun di Facebook. Dia hanya memandang kotak chat yang terbuka tanpa mahu menyentuhnya. Walau hatinya merayu-rayu untuk menegur gadis itu, dia tetap berkeras untuk berdiam diri. Dia ingin sekali tahu sejauh mana kekuatan hatinya sendiri. Dia sengaja menyiksa dirinya sendiri.

Dia membuka blog Merlina pula. Ternyata, dugaannya tepat. Di blog Merlina yang berlatarbelakangkan gambar Air terjun Niagara, terdapat entri baru. Kali ini mengisahkan pengalaman Merlina semasa berada di Bali, Indonesia.

Lima keping gambar diletakkan gadis itu. Pelbagai aksi, pelbagai latar dan pelbagai emosi. Sesekali dia tersenyum, Merlina tampak sangat gembira, riang dan bebas dalam dunianya tanpa keterlaluan. Gadis itu sentiasa bersama ibu bapanya yang tampak juga sangat bahagia. Kesimpulannya Merlina seorang gadis cantik yang sangat beruntung. Apakah kehadirannya dalam gadis itu menambahkan bahagia yang sedia ada ataupun akan menambahkan duka? Zaffri tidak pasti kerana Merlina tidak pernah memberi kesempatan untuknya membuktikan apa-apa.

“Tunggu apa? Marilah kita bergerak, nanti lambat pula sampai ke kampung,” tegur Puan Khamisah di celah pintu bilik tidur Zaffri.

Zaffri tersentak. Hatinya mula berbelah bahagi semula. Rasa rindunya kepada Merlina menggebu-gebu. Rasa terpaksa menemui Nora seolah makin kuat. Hampir sahaja dia membatalkan rancangan pagi itu, jika tidak kerana terpandang wajah ibunya yang masih menunggu di tepi pintu.

“Sekejap lagi saya datang. Biar saya tutup komputer dulu,” katanya sekadar memberikan alasan untuk mengumpulkan kekuatan.

Setelah ibunya menutup pintu biliknya semula, dia menghela nafas panjang. Dia tahu hatinya akan terus memberontak jika sesuatu tidak dilakukan segera. Lalu pada dinding Facebook Merlina, dia titipkan sesuatu sebelum beredar.

~Rindu. Akhirnya dia mengalah juga.
******
DARI Ayer Keroh, dia memandu keretanya menuju ke arah Jasin. Dari situ, dia akan mengikut jalan pintas menuju terus ke Air Kuning dan seterusnya ke Gemas.

“Kenapalah bawa kereta perlahan benar ni, Zaffri?” tegur Puan Khamisah yang duduk di belakang suaminya.

“Perlahan apanya, mak? Kita bukannya di highway,” balas Zaffri. Hai… tak sabar betul mak nak balik ke kampung, keluh Zaffri dalam hati. Dia menjeling meter, sudah 90km/jam kelajuan kereta yang dipandu. Jika di jalan kecil seperti itu, itu sudah sangat laju. Mujur pagi Ahad itu tidak banyak kereta di jalan raya. Mungkin kerana masih awal.

“Mak kamu ni dah tak sabar-sabar nak menengok bakal menantu,” perli Haji Badri sambil ketawa kecil. “Bawa laju-laju, nanti menantu ke mana, kita tersangkut atas pokok.”

Zaffri hanya ketawa kecil mendengar celoteh ayahnya.

“Haih… saya seorang saja ke yang tak sabar? Menantu saya menantu awak juga, pak haji.”

Haji Badri tersenyum saja.

“Zaid telefon malam tadi,” sambung Puan Khamisah lagi.

“Apa dia cerita?” tanya Haji Badri pula apabila mendengar nama anak keduaya disebut.

“Dia bagitahu, Ita dah mengandung lagi. Dah empat bulan.”

“Alhamdulillah. Bertambah cucu kita lagi sorang raya tahun ni ya?” balas Haji Badri.

“Haah. Itulah… kalau boleh, naklah tengok ada menantu baru sekali, kan bang?”

Zaffri hampir tersedak air liur.

“Eloklah tu. Adik-adik kamu semua dah beranak-pinak, kamu saja yang belum. Kalau raya ni kamu dah berdua pun dah cukup.” Haji Badri mula bersuara sambil leka memandang jalan.

“Bergantung kepada keadaanlah, ayah. Saya tak dapat nak janji apa-apa,” balas Zaffri pula. Dia mula risau, mula rasa seperti terpaksa sahaja menerima cadangan keluarganya dan keluarga Pak Long Arip untuk dijodohkan dengan Nora. Semalam kata lain, hari ini sudah lain pula bunyinya. Rasa percayanya mula goyah.

“Kamu dah ada calon? Kalau ada buat apa tunggu lama-lama lagi? Cakap saja siapa, biar ayah dan mak pergi pinangkan.”

Zaffri melepaskan nafas panjang. Dia mula teringatkan Merlina. Hanya Merlina.

“Mana adanya, bang. Kalau dah ada, tak adalah tunggu sampai ke tua macam ni,” sampuk Puan Khamisah bersulam tawa.

“Kenapalah awak cakap macam tu pada dia? Awak ingat anak saya ni tak lawa ke? Pelajaran ada, harta ada, kerja ada… apa yang kurang?” balas Haji Badri pula.

Zaffri garu kepala yang semakin berserabut. Dia bimbang, kerana dia ibu bapanya bertengkar pula.

“Kalau anak awak tu lawa sangat, pandai sangat… kenapa tak laku-laku? Anak orang lain tu elok aje.”

“Itu anak orang, ini anak kita. Dia tak pakai sambar saja mana-mana perempuan, ya tak, Zaffri?”

Zaffri tersenyum. Dia terasa menang walaupun entah menang apa. Sekurang-kurangnya, ada seseorang yang memahami perasaannya waktu itu.

“Cakap sajalah memilih, cerewet… mana ada perempuan yang sempurna dalam dunia ni, Zaffri? Nak tunggu bidadari turun? Tak tahulah kalau kamu layak dapat bidadari.”

Zaffri mengerling cermin pandang belakang. Wajah masam ibunya kelihatan jelas. Dia faham, ibunya sedang merajuk dengan kata-kata ayahnya tadi.

“Kahwin ni bukan perkara main-main. Biar lambat kahwin tapi kahwin dengan orang yang betul. Dari kelam-kabut kahwin cepat kemudian bercerai-berai sebab tak pilih betul-betul. Awak suka yang mana?” tanya Haji Badri lagi.

Puan Khamisah hanya berdiam diri.

“Ayah tak kisah. Kalau kamu suka Nora tu nanti, ayah terima. Kalau tak suka pun, ayah tak marah. Ayah faham, mana ada lelaki yang sihat fizikal dan mental yang tak mahu kahwin? Kalau tak mahu kahwin tu mestilah ada masalah. Betul tak?”

Zaffri tersenyum. Kata-kata ayahnya diiyakan sahaja dengan sekali anggukan. Sempat juga dia menjeling ke cermin pandang belakang memerhatikan gelagat ibunya yang masih lagi menarik muka.

“Lagipun ayah percaya, selagi jodoh tu belum sampai, belum sampailah jodohnya. Apa yang nak dirisaukan sangat? Kita berdoa dan berusaha sahajalah supaya jodoh itu menjadi rezeki kepada kamu. Insya-Allah, siapa pun jodoh kamu, dia akan jadi jodoh kamu,” sambung Haji Badri lagi.

“Tu dia, bang.” Dengan tiba-tiba Puan Khamisah bersuara. Waktu itu kereta yang dipandu oleh Zaffri susah bergerak perlahan di perkarangan rumah Pak Long Arip. Kelihatan tidak jauh dari situ, seorang gadis manis bertudung putih sedang sibuk menjemur kain di ampaian.

Serentak dengan itu, Zaffri dan Haji Badri memandang ke arah yang dtunjukkan. Hati Zaffri berdebar... cantik! 
******
SUDAH hampir sejam, Zaffri, Haji Badri dan Puan Khamisah berada di rumah Pak Long Arip. Sudah bermacam-macam topik cerita dibuka dan dibicarakan. Sudah habis juga kopi seteko dan kuih sepiring. Namun rasa malu tetap tidak hilang daripada diri Zaffri. Setiap saat, punggungnya terasa panas.

“Borak punya borak, dah nak masuk tengah hari rupanya, Sah. Marilah kita ke dapur tengok si Nora tu pula. Entah apa dimasaknya sorang-sorang,” kata Mak Long Yati, isteri Pak Long Arip. Orangnya gempal namun wajahnya bulat dan manis.

“Haah, kak. Marilah kita ke dapur pula. Zaffri pun dah lapar sangat tu,” balas Puan Khamisah sambil tersenyum sempul. Lalu kedua-duanya berjalan beriringan pula turun ke dapur.

Zaffri mengeluh kecil. Tak pasal-pasal, nama dia pula yang dibabitkan ibunya. Nampaknya, terpaksalah ditebalkan telinga dan dikaburkan matanya sepanjang masa berada di situ. Jika tidak diusik, diperli dan disindir, dia tentunya akan dijeling-jeling penuh makna. Dengan tiba-tiba, dia pula yang rasa seolah mahu dirisik dan pinang. Ini sudah terbalik! Protesnya dalam hati.

Tidak lama kemudian, sedang dia leka melayan Pak Long Arip berbual pasal tanah dan kampung itu, masuk seorang gadis yang ditunjukkan ibunya tadi.

“Pak long, mak jemput makan,” kata Nora tanpa mahu memandang sekalian yang ada di situ.

Pak Long Arip berpaling ke arah suara itu. “Hai… jemput pak long saja? Jemputlah sekali pak ngah dan Zaffri ni.”

Nora tersenyum. “Jemput, pak ngah,” katanya tanpa menyebut nama Zaffri apatah lagi memandangnya.

Haji Badri ketawa kecil. Sambil mencuit peha Zaffri dia mengangkat punggung. Di susuli Pak Long Arip. “Marilah kita makan dulu. Banyak lagi perkara yang nak dibincangkan ni.”

Zaffri mengikut sahaja langkah ayahnya. Dia bukan tidak biasa dengan rumah Pak Long Arip kerana itu juga rumah peninggalan neneknya dahulu, cuma tidak biasa dengan Nora dan situasi seperti itu. Rasa-rasanya, dia akan cepat kenyang.

“Hari ni special,” kata Mak Long Yati sambil tersenyum lebar semasa semuanya sudah berada di meja makan. “Semua ni Nora yang masak.” Dia mula menceduk nasi ke dalam pinggan.

Zaffri mengambil tempat di sebelah ayahnya. Dia biarkan sahaja semuanya berlaku sebagaimana yang semua mahukan. Dia hanya ingin semuanya cepat berakhir dan dia boleh balik semula ke Melaka secepat mungkin. Hatinya sudah dilambai-lambai untuk pulang.

“Ambillah gulai tu banyak sikit, Zaffri. Penat Nora tu memasak tadi kalau kamu tak nak rasa,” kata Mak Long Yati lagi. Gulai daging salai disudukan ke pinggan Zaffri.

Nora yang duduk di sebelah Puan Khamisah berwajah selamba. Sesekali kulit putihnya merona merah apabila diusik atau dipuji masakannya. Selain itu dia hanya membisu.

Zaffri tunduk menikmati apa yang ada di pinggannya. Tidak dinafikan, bahawa masakan yang dihidangkan itu memang sedap tetapi entah mengapa, ia seperti tidak memberi kesan yang besar kepada dirinya. Tidak pula menjadikan dia jatuh hati kepada Nora atau membuatnya terus menerima rancangan itu serta-merta. Semuanya seperti sama sahaja, seperti dia makan di kedai.

“Sedap tak, Zaffri?” tanya Pak Long Arip pula.

“Sedap,” jawab Zaffri. Dia tidak berbohong.

“Makan cepat. Lepas ni pergi ikut Nora ambil buah rambutan dekat belakang. Boleh juga kita makan sama-sama lepas ni,” sambung Pak Long Arip lagi.

Hampir tersembur nasi di dalam mulut Zaffri. 
******
HAMPIR setengah jam selepas itu, sedar-sedar sahaja Zaffri sudah berjalan-jalan di dalam kebun buah-buahan Pak Long Arip yang redup lagi nyaman. Di sebelahnya, Nora yang berjalan lambat-lambat. Dia tahu apa tujuan Pak Long Arip menyuruhnya ke kebun itu bersama Nora cuma… dia memang mati akal untuk menegur gadis itu. Namun satu keputusan perlu diambil dan dia berharap sangat agar Nora menjadikan segala-galanya lebih mudah.

“Abang biasa ke sini?” tanya Nora sambil menjeling Zaffri di sebelahnya. Di tangannya ada sebuah raga kosong.

“Biasa. Ni kan kampung abang juga?” balas Zaffri. Sedikit jengkel, adakah Nora tidak mengenali siapa dirinya? Dia yakin, di antara dia dan Nora, dia lebih arif tentang selok belok kebun malah tentang kampung itu.

“Tapi kenapa kita tak pernah jumpa ya? Nora pun kerap juga ke rumah pak long sejak mak ayah Nora meninggal.”

Mata Zaffri terkebil-kebil. Memang betul kata Nora. Selama beberapa tahun kebelakangan ini sahaja dia mendengar nama Nora disebut-sebut Mak Long Yati, sebelum itu tidak ada ataupun dia yang tidak perasan.  “Dulu Nora tinggal di mana?”

“Di Kuantan.”

“Sekarang?”

“Di KL. Abang kerja di Melaka, kan?”

Zaffri angguk lagi. Keramahan Nora mengendurkan sedikit ketengangan yang dirasakan sejak tiba di situ. Makin lama dia makin selesa dengan Nora walaupun hatinya bagaikan merajuk untuk merasai sebarang perasaan. Suka tidak, benci pun tidak. Tetapi dia tahu, dia dan Nora perlu berbincang tentang sesuatu yang penting hari itu.

“Nora tahu kenapa abang balik hari ni?”

Langkah kaki Nora terhenti. Dia mengangguk sekali sebelum meneruskan langkahnya mencari pokok rambutan yang sesuai diambil buahnya. Riak wajahnya selamba sahaja bagaikan perkara itu tidak langsung membebankan fikirannya.

Zaffri yang memerhati, mula terasa hairan. Pada pandangannya, Nora bukanlah gadis sunti yang baru mengenali dunia. Gadis itu nampak bijak dan terbuka. Lagipun, dari cerita-cerita yang keluar daripada mulut Mak Long Yati tadi, dia tahu Nora berpendidikan dari sebuah universiti. Bukan calang-calang juga ijazahnya. Pendek kata, Mak Long Yati berbangga betul dengan anak saudaranya itu.  Jadi sepatutnya Nora juga seperti dia, berasa tidak selesa dengan aturan jodoh sebegitu.

“Apa pendapat Nora?”

Nora tersenyum.

“Cakaplah. Apa pendapat Nora dalam hal ni. Tidak ke Nora rasa pelik?”

 “Pelik? Nora tak kisah tapi pada zaman sekarang ni… ada ke orang yang berkahwin atas aturan keluarga? Bukan ke orang lebih suka cari pasangan sendiri, pilih sendiri, bercinta, baru berkahwin?”

“Itu yang pelik tu. Kenapa Nora boleh kata tak kisah sedangkan Nora tak kenal abang?” balas Zaffri. “Nora tak takut ke kalau abang ni lelaki yang jahat dan sia-siakan hidup Nora nanti? Nora tak menyesal?”

Nora dengan tiba-tiba sahaja ketawa.

“Mustahil Nora tak takut. Tapi Nora sentiasa berdoa kepada Allah swt untuk memberikan Nora jodoh yang baik. Jadi jika abang jodoh Nora, tentulah abang baik untuk Nora. Nora terimalah abang sebagai rezeki Nora.”

Jawapan Nora yang panjang itu membuatkan Zaffri terdiam. Ternyata dia tidak punya alasan yang konkrit untuk menolak Nora. Kepalanya semakin pening untuk mencari alasan supaya Nora menolak dirinya.

“Nora… Nora tak ada pilihan sendiri ke? Abang ni dahlah gemuk, tak lawa, tak kaya. Nanti Nora menyesal tak pilih orang lain pula,” balasnya selamba.

Nora menggeleng. “Ayah dan mak dah tanya soal tu. Nora kata tak ada.”

“Betul tak ada ni?” Zaffri sukar untuk mempercayainya kerana jika dilihat secara mata kasar, Nora boleh digolongkan dalam kategori gadis yang cantik, manis dan ayu. Selalunya gadis secantik Nora, cepat sahaja disambar orang. Apa yang tidak kena?

“Buat apa Nora nak bohong pula? Kalau ada, kat mana Nora nak buang boyfriend Nora tu?”

Zaffri angkat bahu. Keliru sekali fikirannya. “Abang ni serba kekurangan, Nora. Abang tak mahu Nora kecewa.”

“Nora yang akan kecewa ataupun abang?”

Zaffri tergamam. Dengan tiba-tiba sahaja dia kehilangan kata-kata untuk membalas serangan Nora.

“Nora pun tak sesempurna mana. Tetapi adakah manusia yang sempurna?” sambung Nora lagi.

Lagi sekali, Zaffri jadi mati akal. Ternyata Nora cekap berhujah.

“Abang pula macam mana?” tanya Nora. “Apa pendapat abang dalam soal ni?”

“Apa?” Zaffri bertanya semula. Leka pula dia mengait buah rambutan yang kuning terang di atas pokok. Sambil mengait, otaknya ligat berfikir mencari hujah untuk menyakinkan Nora bahawa dia bukanlah pilihan terbaik untuk dijadikan suami. Tapi buat apa pula? Bukankah kuasa menolak di tangannya?

“Abang pula macam mana? Dah ada girlfriend ke?” balas Nora. Dia tersenyum sambil menanti Zaffri memberikan jawapan.

“Nora fikir bagaimana?”

Nora angkat bahu tetapi dia tetap tersenyum manis.

“Kenapa senyum?” tanya Zaffri. Entah kenapa, senyuman Nora dirasakan seolah memerlinya. Yalah, jika dia ada kekasih, tentulah dia tidak berada di situ dengan seorang gadis yang dicarikan oleh ibunya.

“Kalau abang terima Nora, Nora terima abang. Kalau abang tak terima Nora, Nora reda.” Lain pula yang dijawab oleh Nora. Tangannya ligat mengutip buah-buah rambutan di atas tanah lalu dimasukkan ke dalam raga.

“Nora tak marah kalau abang tak terima aturan ini?”

Nora menggeleng.

“Kenapa?” Zaffri berasa semakin keliru. Kenapa Nora tak marah? Dan bagaimana pula gadis secantik Nora boleh terus sahaja menerima dirinya dengan mudah? Apa yang sudah diceritakan oleh Pak Long Arip dan Mak Long Yati kepada Nora sehingga Nora menerimanya bulat-bulat?

Nora tersenyum sahaja. “Marilah kita balik, mereka dah tunggu kita tu.”

“Tapi apa keputusannya?” tanya Zaffri. Dia jadi takut nak balik ke rumah Pak Long Arip. Dia takut ditanya apa-apa.

“Terpulang pada Abang Zaffri. Nora ikut sahaja,” jawab Nora sambil melenggang balik.

Zaffri mendengus geram. Jawapan Nora tidak langsung membantu. Raga yang berisi rambutan itu dibawa balik. Namun semakin hampir ke rumah, semakin berat rasanya raga itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.