Wednesday, February 8, 2012

Bab 2 : Aku Tak Pernah Jauh


KEESOKKAN harinya, Zaffri kembali ke pejabatnya seperti biasa. Sebagai seorang pengurus pemasaran di sebuah kilang besar, tugasnya sangat banyak. Setiap waktu, dia berurusan dengan pelanggan daripada pelbagai pihak termasuklah dengan kerajaan negeri. Kesibukan itulah yang seringkali membuatkan dia lupa akan segala masalah peribadinya kecuali diingatkan.

“Zaffri! Boleh pak long cakap sekejap?” Meluncur sahaja suara Pak Long Arip di hujung telefon sebaik sahaja habis menghulurkan salam.

“Ya,” Sepatah jawapan Zaffri. Dia sudah tahu apa yang hendak diperkatakan oleh Pak Long Arip, abang kepada ibunya.

“Mak kamu ada cakap apa-apa semalam?”

“Pasal balik kampung hujung minggu ni ke, pak long?”

“Haah. Baliklah tau. Buah rambutan banyak di belakang tu. Rambai pun dah masak.”

Zaffri menelan air liur. Dia tidak tahu mahu menjawab apa. Ingin sahaja dijawabnya bahawa rambutan dan rambai berlambak di pasar malam belakang rumahnya tetapi nanti kecil pula hati orang tua tu….

“Tengoklah, pak long. Kalau saya tak dapat balik pun, mak dan ayah mungkin balik.”

“Kamu baliklah… Nora ada di rumah pak long sekarang. Kalau nak kenal-kenal tu… eloklah balik sekejap.”

Kepala Zaffri mula berdenyut-denyut. Dia menggosok matanya yang tiba-tiba menjadi kabur. Macam manalah dia dapat menerangkan kepada Pak Long Arip bahawa dia tidak suka diatur-aturkan jodoh begitu? Baik dengan Nora atau mana-mana gadis di dalam dunia ini. Namun untuk bersuara, dia bimbang tindakannya akan memecah-belahkan keluarga pula. Maklumlah ibunya sangat menyayangi abang sulungnya itu.

“Saya tak boleh janji, pak long,” jawabnya perlahan.

“Yalah… cubalah balik ya,” pesan Pak Long Arip lagi sebelum memutuskan panggilan.

Dada Zaffri mula rasa sesak. Dengan tiba-tiba sahaja dia teringatkan Merlina. Macam mana ni? Merlina masih jauh, Nora makin dekat.
*****
JAM di dinding Kafe Yuna sudah menunjukkan pukul 2.00 petang. Zaffri baru sahaja selesai makan tengah hari. Kini dia duduk bersantai di sofa yang disediakan kafe itu sambil membelek telefon bimbitnya…  mencari Merlina.
~Lina dah makan?
~Dah. Abang?
~Abang pun dah. Lina makan di mana? Di ofis?
~Haah. Nasi bungkus.
~Kesiannya.Kenapa tak makan di luar? Banyak kerja?
~Malas.
~Kenapa malas? Malas bergerak nanti gemuk.
~Abang yang gemuk.
~Abang memang gemuk pun. Sebab tu abang tak mahu Lina jadi macam abang.
~Lina pun tak mahu abang jadi macam Lina.
Zaffri ketawa sendiri. Kalaulah dia boleh kurus ramping macam Merlina, kan bagus? Barulah sepadan bila….
~Petang ni Lina ke Little Moon? Angan-angan indah itu segera dipadamkan. Dia mahu bertemu Merlina. Dia mahu melihat Merlina depan-depan. Dia juga mahu Merlina melihat dia depan-depan. Jika Merlina tidak sukakan dia, dia faham. Dia akan mengalah. Dia akan berundur tetapi sebelum itu dia mahu jumpa Merlina supaya dia boleh berterus-terang.
~Tak. Lina lambat balik petang ni tapi abang pergilah sana. Cuba makan mee kari dia. Sedap tau, percayalah.
~Kalau macam ni hari-hari, macam mana abang nak kurus? Semalam suruh abang try roti bakar dengan teh tiga lapis, hari ni pula mee kari, esok entah apa pula. Rasa hampanya meresap di dinding hati namun dia pantas menolak rasa itu ke tepi. Ada sahaja alasan Merlina.
~Tak sedap ke apa yang abang makan semalam?
~Sedap. Memang sedap. Pandai Lina beri pendapat.
~Kalau macam tu, pergilah lagi petang ni.
~Bunyi macam Lina dapat komisen saja?
~Mungkin. Hihi.

Warna hijau sudah bertukar kelabu. Tanda Merlina sudah hilang seperti biasa. Makin lama, Zaffri makin biasa dengan sikap gadis itu. Dia tidak kecil hati lagi walaupun sentiasa mengharapkan Merlina ada di sisinya pada bila-bila masa. Mungkin Merlina sibuk dengan kerjanya. Mungkin.

“Kau dah dengar gossip?” Dengan tiba-tiba, Aril rakan sepejabatnya duduk di sisinya di atas sofa. Wajahnya begitu serius.

Zaffri keliru seketika. Sedang sibuk memikirkan soal Merlina, tiba-tiba sahaja Aril menyergah dengan satu soalan yang agak retorik. Gossip apa? Di kilang itu banyak gossip. Macam-macam gossip. Daripada hal naik pangkat hingga siapa jadi girlfriend siapa. Semua ada.

“Apa dia?” Zaffri bertanya sambil memerhati skrin telefonnya jika Merlina muncul lagi, tetapi tiada.

Aril menundukkan kepalanya dekat telinga Zaffri. “Kawan aku dekat bahagian financial kata, kilang kita dah nak bankrap.” 

“Haish! Kau…” Zaffri tersandar. “Aku officer juga… takkan aku tak tahu? Penat aku kerja siang malam tau?”

“Bukan kau sorang kerja kuat. Aku pun buat kerja juga,” balas Aril dengan wajah yang tidak puas hati. Mungkin geram dengan tindak balas Zaffri. Mungkin mengharapkan Zaffri terus percaya bulat-bulat apa yang dia kata.

“Kita tunggu apa kata Datuk dulu. Jangan cepat melatah.”

“Azrin yang beritahu masa main futsal malam tadi. Dia kata kilang ada problem,” balas Aril.

“Azrin? Kalau kilang ada financial problem…dialah punya pasal.” Zaffri menghela nafas. Dia kenal Azrin. Azrin adalah akauntan kilang itu. Hal-hal kewangan semua dalam unit Azrin tetapi dia tidaklah rapat dengan Azrin seperti Aril.

Aril menggeleng. “Bukan kilang kita punya pasal. Tapi Azrin tak mahu cakap apa pasal pula.”

Zaffri sudah termenung. Betulkah kilang itu akan ditutup? Di matanya mula terbayang  rupa bangunan-bangunan kilang yang banyak terbiar di tepi jalan selama ini. Mungkinkah kilang itu juga akan mengalami nasib yang sama? Ditutup dan dibiarkan reput dimakan anai-anai? Sedar-sedar sahaja bahunya sudah dipaut Aril.

 “Cari kerja lain sajalah, nampaknya kita.”Aril mengeluh. Kini dia termenung jauh.

Cari kerja lain? Berat tu… dalam usia yang sudah begitu, perlu bersaing dengan mereka yang baru keluar universiti lagi, yang berpengalaman lagi. Tanpa sedar dia ikut melepaskan keluhan berat. Bagaikan terbayang-bayang… awan hitam mula berkelompok datang ke arahnya. Wajah Merlina semakin kelam.

****
PETANG itu selepas waktu kerja, Zaffri mengajak Aril singgah di Little Moon. Memang jika boleh, dia ingin sangat bertemu Merlina kali ini tetapi oleh kerana Merlina telah mengatakan yang tidak akan datang ke situ petang itu, dia terfikir untuk mengajak Aril ke situ. Ada juga kawan untuk berbual samabil makan-makan.

“Pernah datang sini?” tanya Zaffri sebaik sahaja mereka duduk di sebuah tempat di sebelah kanan kedai itu. Hidungnya terus sahaja tercium bau makanan yang enak di situ. Berkocak seleranya.

Petang itu juga kedai itu tidak penuh. Masih banyak meja yang kosong kecuali di meja belakang. Gadis berkerusi roda semalam tetap ada di situ, mungkin itu tempat tetapnya, fikir Zaffri. Dia hanya dapat mengecam kerusi roda elektrik yang dipakai gadis itu. Jika tidak, dia juga tidak perasan. Cuma pada petang itu, gadis itu tidak keseorangan. Ada dua orang lelaki sedang duduk di hadapannya.

“Manalah aku pernah? Ni tempat makan orang banyak duit macam kau, aku ni sesekali minum kopi kat kedai mamak pun dah bagus sangat,” balas Aril sambil melipat lengan bajunya. Tali leher yang dipakai sejak pagi tadi sudah lama dicampakkan ke dalam kereta.

Zaffri ketawa kecil. Aril kalau pasal duit, cukup sensitif macam ada anak sepuluh, padahal anak baru seorang. Itu pun baru berumur dua tahun.

“Orderlah apa saja yang kau nak makan. Aku belanja.”

“Hai… orang semua sedang susah hati, kau pula rileks-rileks belanja aku makan? Dah dapat kerja baru ke?”
Ketawa Zaffri makin besar. “Minta pun belum, nak dapat apa?”

“Manalah tahu kalau kau ada lubang.”

“Lupakanlah dulu soal tu. Aku tanya Suzana tapi dia kata dia tak tahu.” Zaffri buka menu. Bukan kerana mahu memilih makanan tetapi kerana tidak ada perkara lain untuk dibuat.

“Kau tanya Suzana? Serupalah kau tanya papan kenyataan tu. Selagi tak diletakkan notis selagi tu kita tak tahu. Suzana takkan buka mulut punya,” laju sekali Aril membalas namun matanya ralit membaca menu.

“Kau nak makan apa? Aku nak cuba mee kari,” kata Zaffri. Dia malas melayan pendapat Aril tentang Suzana. Di antara dia dengan Aril, dia lebih mengenali Suzana, setiausaha Datuk Ramli. Setahu dia, kalau Suzana tidak mahu memberikan apa-apa maklumat maknanya cerita itu belum sahih.

“Bolehlah,” jawab Aril. Menu diserahkan kembali kepada pelayan.

“Kau pula macam mana?” Zaffri sekadar mahu menduga. Dari pemerhatiannya, Aril agak gelisah sejak tengah hari tadi. Dia faham Aril sedang susah hati. Mungkin lebih susah hati daripada dia sendiri.

Aril mengeluh. Dia memandang Zaffri dengan pandangan yang kosong.

“Aku dah hantar resume tadi. Tapi entahlah. Kalau ada rezeki aku tu, adalah. Tapi kau tahu sajalah masalah aku. Tanggungan aku besar.”

Dahi Zaffri berkerut. Matanya terkelip-kelip. Tanggungan besar? “Anak kau kan baru sorang? Baru dua tahun umurnya.”

“Ya, tu betul. Rumah, kereta… semua tu aku bayar. Belanja rumah lagi. Isteri aku bayar kereta dia, tanggung adik-beradik dia lagi. Kalau aku tak kerja memang… memang susahlah.” Aril menggeleng beberapa kali.

Zaffri diam. Baru kali ini, Aril membuka cerita yang sebenarnya. Selama ini, Aril sentiasa suka bercakap besar tentang kereta mewah dan rumah besarnya. Bahkan kereta Proton Saga miliknya memang selalu dijadikan bahan usikan sahaja oleh Aril. Dia selalu rasa ketinggalan serba-serbi termasuklah dalam soal beristeri dan berkeluarga. Aril sentiasa mendahuluinya.

“Esok lusa, adalah tu. Berdoalah,” katanya. Mee kari yang tiba di mejanya segera dijamah. Memang sedap, memang betul kata Merlina.

“Kau selalu ke datang sini?” tanya Aril pula. Baru saat itu, dia mengangkat muka dan memerhati ke sekitar kopitiam itu.

“Baru dua kali.”

“Dengan siapa?”

“Sorang,” jawab Aril.

“Bila nak berdua ni?” Aril tersenyum.

Zaffri tidak menjawab walaupun ingin sahaja hatinya berkata… macam mana nak kahwin kalau kerja tak ada? Nak beri Merlina makan apa?

“Tunggu punya tunggu… sekarang siapa nak ambil kau jadi menantu? Kilang dah nak tutup, kerja dah tak ada,” sambung Aril lagi. “Orang sekarang pilih menantu. Lagi besar kereta, lagi mereka berkenan.”

Ada yang menyesal ajak dia makan tadi ni, kata hati Zaffri. Tetapi, di sebalik rasa jengkel yang mula beraja di hati, dia juga dapat merasakan kebenaran kata-kata Aril itu.

Jika dia tidak ada pekerjaan, mahukah Merlina menerima dirinya? Seorang penganggur tua? Sanggupkah ibu bapa Merlina yang kaya tu menerima dia sebagai menantu? Seorang yang tidak ada apa untuk menyakinkan mereka hatta sebuah kereta besar? Bahkan tegarkah dia untuk berterus-terang kepada Merlina hajat hatinya? Rasanya dia sendiri tidak sanggup. 

2 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.