Friday, July 6, 2012

Cerpen: Bahasa Air Mata



“Semua novel awak saya baca. Cerita-cerita awak dalam blog pun.”
Aku sedikit gementar. Ini bukan kali pertama lelaki itu menelefon aku. Sudah beberapa kali termasuk yang ini dalam masa tiga minggu kebelakangan ini. Kalau dia menelefon pun selalunya hampir ke tengah malam. Dia memperkenalkan namanya sebagai Hadi. Nama penuhnya aku tak pernah tanya.
“Terima kasih sebab beli novel saya. Baca blog saya,” jawabku.
Entah berapa kali dia luahkan perkara yang sama dan entah berapa kali juga aku ucapkan perkataan ‘terima kasih’ itu. Adakalanya aku terfikir, dia seorang lelaki yang psiko, seorang peminat yang fanatik. Aku mula terasa gerun.
Kerja menulisku malam itu, terus terhenti dek panggilan itu. Segala idea lesap begitu sahaja. Skrin tinggal kosong. Sejujurnya aku benar-benar berharap agar dia memutuskan panggilan, jika aku memutuskannya mungkin aku akan kehilangan seorang peminat. Dituduh sombong dan seangkatan dengannya. Aku serba-salah walaupun bukan pada setiap malam dia menelefon aku.
“Novel awaklah peneman saya siang malam.”
Terdiam aku sejenak. Masa pun seakan terjeda. Tengah malam berubah hening. Dia memang begitu… macam-macam diceritakan tentang novelku malah, dia dapat mengupas setiap babak cerita yang kutulis dengan tepat bagaikan dia benar-benar mendalaminya.
“Novel awak semuanya sedih-sedih… awak sedang bersedih?” tanya Hadi.
“Tak adalah. Cerita saja tu, saya … okey.”
“Awak tak perlu berbohong pada saya. Saya tahu ada kesedihan yang terpendam dalam hati awak. Awak juga menyimpan rasa marah dengan kehidupan awak. Awak rasa tak puas hati dengan sesuatu. Mungkin dengan pencapaian awak, mungkin dengan rupa awak atau hidup yang awak telah awak lalui. Awak tak gembira. Banyak perkara sedih telah berlaku dalam hidup awak. Tapi awak tak ada sesiapa untuk berkongsi kesedihan itu….”
Mataku terus bergenang. Air mataku seolah-olah berlari menghimpun segala perasaan yang telah lama terpendam di dasar hati. Yang tidak tergali oleh sesiapa selama ini. Bagaimana dia tahu?
“Tak adalah, awak silap,” balasku.
Ingin sahaja aku memutuskan panggilan itu dan mencampakkan telefon itu ke tepi tapi sebaliknya tapak tanganku menekan telefon bimbit itu semakin rapat ke cuping telinga, sambil tangan kiriku mencapai sehelai tisu untuk menyapu air mataku yang telah gugur ke pipi.
“Kalau awak sudi berkongsi masalah awak dengan saya, saya sedia mendengar.”
Suara Hadi kedengaran amat bersahaja di telinga aku, sayangnya itu masih gagal memujuk hatiku daripada membuka rahsia yang telah kusimpan sejak dahulu. Aku sendiri telah lupa sejak bila segala kesedihan itu mula terhimpun di hatiku kerana terlalu banyak peristiwa menyedihkan berlaku dalam hidupku. Tepat seperti kata Hadi.
“Saya dah mengantuk ni… lain kalilah kita berbual ya?” Aku sudah sampai ke tahap yang maksima. Aku bimbang emosiku yang terganggu akan meruntuhkan pertahanan jiwa yang kupasak selama ini.
“Saya berhenti dulu.” Hadi membalas.
Aku tarik nafas lega. Mujur dia mahu berhenti bercakap.
“Manja Fathia… awak seorang yang cantik, sensitif, sangat memahami… awak jangan rasa rendah diri sangat. Semua orang ada tempat di hati seseorang.”
Sejujurnya, aku amat terkejut dengan komen terakhir yang diberikan. Aku cantik? Dia silap orang ni….
******

“Macam ada problem saja? Writer’s Block?” tegur Fadil sambil  menarik kerusi dan duduk di sebelahku tanpa aku pelawa. Tetapi sememangnya itulah sikap Fadil sejak dahulu. Buat apa-apa tak pernah mahu minta izin. Kadang-kadang makanan aku pun disapunya sekali.
Aku geleng tetapi bibirku masih terkunci rapat. Walaupun malam sudah bertukar siang namun, kata-kata yang dilontarkan Hadi pada malam tadi masih terngiang-ngiang di telingaku. Ingin aku usir, ingin aku lupakan tetapi tidak berjaya. Kata-kata itu seperti langit gelap yang memayungi setiap langkahku.Lalu siangku terasa segelap malam.
“Tak cukup tidur sebab menulis sampai tak sedar pagi?” Fadil terus meneka.
Aku biarkan sahaja Fadil berceloteh sepuas hati dia. Segala panca inderaku seakan tidak dapat melupakan apa yang telah disebut oleh Hadi malam tadi. Yang lain seakan tidak penting lagi.
“Siapa Hadi?”
Fadil terus saja menoleh ke arahku. Dia seakan tidak percaya dengan apa yang aku tanyakan.
“Siapa Hadi? Bagaimana kau kenal dia?”
Riak di wajah Fadil terus berubah keruh. Kulit mukanya seakan bertukar pucat. “Kenapa? Dia ganggu kau?” tanya Fadil pula. “Kalau dia ganggu kau… aku akan tegur dia.”
“Tak adalah ganggu cuma…” Ah! Bagaimana dapat aku dapat menerangkan kepada Fadil soal itu? Sedangkan aku dan dia pun baru berkawan selama tiga tahun di kampus itu. Fadil belum cukup kenal aku tetapi bagaimana pula Hadi boleh kenal? Aneh.
“Aku minta maaf kalau kau rasa terganggu dengan dia. Selalu ke dia contact kau?” Fadil masih merenung wajah aku.
“Beberapa kali.”
“Aku tak tahu akan jadi macam ni… kalau aku tahu dia ganggu kau, aku tak beri nombor telefon kau pada dia.”
“Aku tak salahkan kau. Dia tak ganggu aku cuma aku … nak sangat kenal dia siapa,” jawabku. Ya, aku mahu kenal sangat siapa lelaki yang bernama Hadi itu selain status dia sebagai peminat novel-novel yang aku tulis selama ini. Bagaimana dia boleh tahu apa yang orang lain tidak pernah tahu tentang diri aku?
“Dia kawan aku…,” balas Fadil sambil menyandarkan tubuhnya ke kerusi  dengan selesanya. Kini Fadil sudah kembali tenang, mungkin kerana aku juga sudah tidak setegang tadi.
“Lagi?”
“Itu saja yang aku boleh beritahu kau,” balas Fadil.
Ingin sahaja aku memukul Fadil dengan buku yang aku pegang. Mujur aku sedar di mana aku berada pada saat itu. Di sebuah kafe, di mana ramai pensyarah dan pelajar sedang mejamu selera. Kalau tidak, sudah aku hambat Fadil sampai ke sekeliling kampus.
“Itu tak adil. Dia kenal aku tapi aku tak kenal dia,” jawabku. Aku pandang Fadil dengan wajah yang geram. Terasa di sudut hatiku bagikan ada rahsia di antara Fadil dan lelaki bernama Hadi itu.
“Please, Manja. Dia… cuma nak jadi peminat kau. Dia tak mahu dikenali lebih daripada itu.”
Untuk beberapa saat, mataku terkelip-kelip di hadapan Fadil. Aku lihat ada kesungguhan dan kejujuran di sebalik setiap patah kata yang baru dilafazkan tadi.
“Kalau macam tu… aku juga ada satu permintaan untuk dia. Boleh kau sampaikan?’
Fadil terus mengangguk laju.
“Katakan pada dia… jangan telefon aku lagi. Jangan baca novel-novel aku lagi. Blog aku pun jangan dibuka.” Aku pandang Fadil tanpa berkelip.
Fadil tergamam. Nampak jelas, dia tidak gembira dengan permintaanku itu.
“Tapi kenapa?” Dahi Fadil berkerut rapat.
Aku geleng. “Kau tak perlu tahu sebabnya…”
*****
Pada malam itu, semasa aku sedang tekun menulis manuskripku seperti biasa, telefon bimbitku berbunyi. Aku hanya menjeling skrin telefon yang berkelip-kelip.  Nama Hadi tertera jelas di situ namun aku biarkan sahaja sehingga bunyi deringan telefon itu senyap begitu sahaja. Akhirnya dia mengalah juga.
Baru menaip beberapa patah perkataan, bunyi mesej masuk pula menerjah pendengaranku. Hadikah yang menghantar mesej? Perlukah aku baca? Ah! Tanganku pantas mencapai telefon, lebih cepat daripada akalku membuat keputusan.  
~Kenapa tak benarkan saya telefon lagi?~
 Aku mengeluh perlahan. Kenapa? Aku sendiri tidak pasti kenapa tindakan itu yang aku ambil. Adakah kerana aku takut berdepan dengan dia yang seperti cermin yang boleh bercakap? Mungkin.
~Maafkan saya di atas kata-kata saya semalam. Awak tersinggung?~
Mesej daripada Hadi tiba lagi. Aku jangkakan, dia pasti akan terus menghantar mesej demi mesej untuk memujuk aku supaya bercakap semula dengan dia. Aku sepatutnya block nombor dia sejak tadi lagi tetapi itu hanya terlintas dalam fikiran bukan terzahir pada perbuatan. Entah kenapa, tidak sampai hati untuk aku melakukannya. Dia bagaikan cermin yang telah hilang… yang menzahirkan apa yang telah aku cuba selindungkan bertahun-tahun. Diakah yang bersalah?
“Hadi,” Aku panggil dia.
“Syukurlah,” jawabnya dengan suara yang riang. “Saya benar-benar fikir awak tak mahu lagi bercakap dengan saya.”
“Saya akan bercakap dengan awak tapi… ini kali terakhir,” jawabku. Ya, itulah keputusanku yang telah aku putuskan beberapa saat yang lalu. Semua itu perlu dihentikan supaya aku dapat meneruskan hidup dengan aman dan menulis dengan tenang.
“Kali terakhir?”
“Ya, kali terakhir.”
“Tapi kenapa? Awak tak suka bercakap dengan saya? Awak marah saya?”
“Saya tak marah awak tapi saya tak mahu bercakap dengan awak lagi. Saya harap awak boleh hormati kemahuan saya.”
“Awak memang seorang gadis yang tahu apa yang awak mahu dalam hidup awak.”
“Awak puji atau awak sindir?” tanyaku pula.
“Saya cuma menyatakan yang sebenarnya tapi… kalau ini kali terakhir kita boleh bercakap, saya nak tanya awak satu soalan,” balas Hadi.
Aku tarik nafas panjang. Aku tutup komputer yang terpasang sejak pukul 10.00 malam tadi, aku tutup lampu bilik, aku pasang lampu meja. Lalu aku keluar ke beranda bilikku dan duduk di atas sebuah kerusi di situ. Mujur juga teman sebilikku entah ke mana hilangnya. Mudahlah untuk aku membuat perhitungan terakhir dengan Hadi pada malam itu.
“Tanyalah. Apa dia?” Aku sudah bersedia.
“Kenapa awak tak berani luahkan perasaan awak pada sesiapapun?”
Aku terdiam. Kepalaku terus jadi buntu.
******
Keesokkan harinya aku bertemu lagi dengan Fadil di kampus. Waktu itu aku sedang menunggu kawan-kawanku yang lain untuk satu sesi diskusi mengenai satu tugasan berkumpulan.
“Macam mana?” Fadil terus duduk di sebelahku di atas bangku panjang di luar perpustakaan. Sempat juga dia tersenyum kepada pelajar-pelajar yang lalu-lalang di situ.
“Dah tamat,” balasku. Ya, segalanya sudah tamat malam tadi tepat pada pukul 1.00 pagi sewaktu aku memutuskan panggilan. Kini aku telah kehilangan seorang peminat setia.
“Lega?”
Aku tidak dapat menjawab dengan segera. Adakah aku lega atau adakah aku rasa kehilangan, aku sendiri tidak pasti. Sungguh sukar mengasingkan pelbagai perasaan yang berkecamuk dalam fikiranku sekarang. Apa yang penting, malam nanti dan malam-malam seterusnya tidak akan ada lagi panggilan daripada lelaki yang bernama Hadi itu.
“Entah,” balasku.
Fadil angguk. Riak wajahnya sedikit muram tetapi tidak mungkin disebabkan oleh masalah itu pula. Aku yakin.
“Tapi lain kali jangan nak memandai-mandai beri nombor telefon aku pada orang tau. Kalau kau beri lagi,siaplah. Aku publish nombor telefon kau kat blog aku.”
Fadil ketawa besar.
“Ugutan daripada seorang novelist dan seorang blogger. Alang-alang macam tu lebih baik kau cetak sekali nombor telefon aku dalam novel kau. Glamour sikit aku,” katanya setelah ketawanya mula surut.
Sindiran Fadil buat aku tersenyum. Tidak mungkin aku melakukannya, aku tidak sekejam itu.
“Kau tahu aku takkan buat, kan? Tapi tolonglah jangan beri nombor aku lagi pada sesiapa.” Suaraku mula mengendur. Aku berharap sangat agar Fadil memahaminya.
“Aku janji,” balas Fadil. “Tapi  hari tu kau ada tanya aku siapa Hadi, kan? Kau nak kenal dia? Kau nak jumpa dia?”
Aku tergamam. Jumpa Hadi?
“Kalau kau nak jumpa dia, aku boleh bawa,” sambung Fadil dengan tenang. “Itu pun kalau kau naklah. Aku tak paksa.”
Sekali lagi, aku tak boleh buat keputusan dengan cepat. Sekali lagi perasaanku bagaikan berperang hebat.
“Aku tahu kau nak sangat jumpa dia, kan?” Fadil terus mengusik perasaanku.
Aku angkat bahu. Ya, aku tak pasti. Bukankah malam tadi aku sudah kata itu kali terakhir kami akan bercakap? Tapi…
“Aku beri dia nombor telefon kau bukan sesaja. Dia yang beria-ia minta daripada aku. Dia memang peminat kau nombor satu selama ini. Dia baca buku kau siang dan malam bagaikan sebuah kitab. Dia sanjung kau setiap masa bagaikan kau bidadari dari kayangan. Jadi aku rasa kau patut jumpa dia walaupun sekali.”
“Bawa aku jumpa dia tapi… jangan beri dia nampak aku, boleh? Aku cuma nak tengok dia dari jauh saja. Malah… aku tak nak dia tahu aku nampak dia. Boleh kau aturkan?”
Fadil tersenyum.
“Habis kuliah pukul 3.00 petang nanti, kita pergi.”
Aku angguk walaupun aku sendiri ragu-ragu sama ada keputusan itu wajar ataupun tidak. Aku cuma mahu melihat lelaki yang begitu memahami hati aku … siapakah dia yang sebenarnya?
******
 Kira-kira dua puluh minit perjalanan meninggalkan kampus, kereta Fadil berhenti di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat lot tepi. Rumah itu kelihatan sunyi dari luar. Yang ada hanyalah sebuah kereta, sebuah basikal dan  alat permainan kanak-kanak yang terbiar di halaman.
“Rumah siapa ni?” Aku mula terasa risau. Betulkah tindakan aku mengikut Fadil ke situ? Benarkah di situ aku akan melihat Hadi? Macam tak logik saja, kata hatiku.
“Rumah aku,” balas Fadil.
Langkahku terus terhenti di hadapan pagar.
“Rumah tempat aku menumpang sementara,” sambung Fadil apabila menyedari aku tidak bergerak lagi.
“Fadil… kau jangan main-mainkan aku. Bukankah kita mahu berjumpa dengan Hadi? Kenapa kau bawa aku ke rumah sewa kau pula?”
“Betul kata Hadi,” balas Fadil.
“Apa yang betul?”
“Dia kata kau bijak, selalu berwaspada…kerana kau serik, kau terlalu melindungi diri kau dari dilukai lagi.”
Aku diam. Itu tidak menjawab segala tanda tanya yang berlegar dalam kepalaku. Fadil seolah-olah mengelak daripada berterus-terang. Apa yang cuba Fadil lakukan?
“Apa hubungan kau dengan Hadi?” tanyaku pula. Adakah mereka berdua lebih dari sekadar kawan?
“Kau nak tahu? Kalau kau nak tahu…mari masuk dulu.” Fadil tersenyum.
Aku masih tidak bergerak. Satu tindakan gila untuk masuk ke sebuah rumah kosong dengan seorang lelaki yang bukan muhrim. Adakah ini satu perangkap?
“Rumah ni walaupun nampak sunyi saja dari luar… tapi sebenarnya rumah ini riuh dengan tangisan yang tidak didengari orang,” sambung Fadil sambil merenung rumah dua tingkat itu bagaikan baru kali pertama dia melihatnya.
“Maksud kau?” Sikap Fadil mula menakutkan aku.
Baru sahaja Fadil mahu membuka mulut, pintu rumah itu terbuka lebar. Muncul seorang wanita yang sudah agak berusia di hadapan pintu.
“Kenapa tak masuk? Ajaklah kawan tu masuk, Dil.”
Aku menoleh ke arah Fadil. Siapa wanita itu?
Fadil pula hanya tersenyum. “Itu mak aku. Marilah masuk dulu.”
Dalam keadaan yang terpinga-pinga aku mengikut Fadil masuk ke rumah itu. Mungkin semua jawapan yang aku cari ada di situ.
******
“Dulu… dia bukan macam tu,” kata ibu Fadil sambil merenung ke arah seorang lelaki yang sedang berbaring di atas sebuah kerusi malas di bahagian belakang rumah dua tingkat itu. “Tapi selepas kemalangan tu… dia lumpuh kecuali tangan kanannya saja. Dengan tangan kanannya itu sajalah dia melakukan semua perkara.”
Aku terasa kaku. Bukan sahaja kaki dan tanganku tak dapat digerakkan malah kepala dan mulutku juga. Aku hanya mampu memandang lelaki itu tidak berkelip dari arah belakang. Itukah Hadi?
“Seminggu dua ni, mak cik dengar dia berbual dengan seseorang. Riuh sahaja bunyinya. Dia pun mak cik lihat lebih bersemangat sikit. Tapi pagi ni entah apa yang berlaku… dia masam saja. Makan pun tak mahu,” tambah ibu Fadil.
Aku menelan air liur. Yang lain masih tak mampu aku lakukan. Benarkah itu Hadi? Hatiku bertanya lagi. Lalu aku melirik ke arah meja yang terletak di sisinya, selain daripada sebuah komputer bimbit, terdapat juga beberapa buah novel-novelku yang berselerak di situ. Ya, mungkin betul… dialah Hadi.
“Itu sajalah kerja dia siang malam sekarang. Kalau tak baca buku-buku tu, dia akan buka komputer. Mak cik tengok dia macam cuba menulis sesuatu, bila mak cik tanya… tak nak pula dia beritahu.”
Aku jeling Fadil yang berada di sebelahku. Aku tuntut penjelasan yang sebenarnya. Aku tak berdaya lagi dibebani tanda tanya tanpa kesudahan begitu. Ia sungguh menyiksakan.
“Kau rasa tersiksa, kan?” tanya Fadil, apabila ibunya beransur masuk ke dapur menyediakan minuman untuk aku. “Kami lebih tersiksa. Dia apatah lagi. Berat mata kita memandang, berat lagi bahu dia memikul. Dia lumpuh seluruh badan, isteri dan dua orang anaknya maut. Rumah ini dulu bagaikan syurga dunia kini…adalah penjara yang mengurung perasaannya.”
“Aku tak masih tak faham, Fadil,” balasku.
“Sudah dekat tiga tahun dia terlantar macam tu. Kata doktor…dia akan terus lumpuh hingga ke akhir hayat tapi walaupun jasadnya tak akan pulih, sekurang-kurangnya aku sebagai adik mengharapkan jiwanya terus kuat. Tapi aku tak tahu yang akan menjadi sumber kekuatan dia adalah kau.”
“Jangan kata macam tu…”kataku. Aku rasa amat bersalah sekarang. Seolah-olah tindakanku menjauhkan dri daripada Hadi kini menjadi sesuatu yang amat kukesali.
 “Kau mahu tahu kenapa dia mahu berkawan dengan kau?”
Aku geleng.
“Dia mahu belajar tulis novel dengan kau. Itu saja,” jawab Fadil. “Dia kata…kau berjaya luahkan kesedihan kau dalam semua cerita-cerita kau. Jadi dia pun nak jadi macam kau juga. Dia nak tulis kisah hidup dia yang berakhir begitu saja, dia nak kongsikan segala kesedihan yang dia tak dapat kongsikan secara terang-terang kepada orang lain.”
Tak sempat kutahan lagi. Air mataku terus menitik. Hadi nak belajar tulis novel?
“Tapi harapan dia hancur… kau tak nak berkawan dengan dia. Dia pun dah tak nak tulis novel lagi.”
“Dia boleh belajar dengan orang lain,” kataku sambil menyapu air mataku.
“Tapi dia cuma percaya pada kau,” bantah Fadil. “Dia kata hanya kau yang akan faham orang yang memendam kesedihan dalam hati. Hanya novel kau yang buat dia rasa seperti ada orang lain yang memahami dirinya.”
Aku menggeleng lagi. Makin bertimbun rasa bersalah dalam hatiku. Aku tak sangka Hadi itu abang Fadil. Aku tak sangka Hadi mendekati aku dengan niat sebegitu… aku tak sangka. Aku cuma melarikan diri kerana aku takut segala rahsia aku digali semula oleh dia. Ternyata aku tersalah jangka. Hadi cuma memahami aku kerana kami senasib. Hadi memahami bahasa air mataku kerana dia menuturkan bahasa yang sama. Itu sahaja.
“Maafkan aku… aku tak tahu dia abang kau. Kalau aku tahu  aku akan…”
“Kau akan rasa simpati? Kau akan menolong dia, mengajar dia?” sampuk Fadil. “Tapi bukan itu yang dia nak. Dia tak mahukan simpati sesiapa, dia reda dengan ketentuan Tuhan. Dia cuma mahukan satu bantuan, bantuan untuk menyalurkan kesedihan dia supaya dia boleh terus bertahan.”
Aku terdiam lama. Aku pernah berada di tempat Hadi suatu ketika dulu. Aku pernah merasakan yang hidup aku sudah bertemu jalan mati. Aku tidak ada semangat untuk meneruskan hidup aku sehinggalah aku mula memberanikan diri menulis cerpen dan novel. Di situ aku menemui kekuatan aku semula, di situ aku salurkan segala rasa hati yang tak dapat aku luahkan kepada manusia lain. Perlahan-lahan…. aku bangkit.
“Hadi…” Aku panggil nama Hadi. Aku melangkah ke depan dan meninggalkan Fadil di tepi pintu. Apabila aku sampai di hadapan Hadi, aku dapat melihat betapa dia amat terkejut dengan kehadiran aku di situ. Wajah pucatnya bertambah pucat.
Lama kami bertentang mata. Lama aku memandang wajahnya yang kelihatan tidak bermaya. Akhirnya aku berikan dia sebuah senyuman. Aku tarik sebuah kerusi plastik yang ada berdekatan kerusi malasnya.
“Mulai hari ini… saya akan ajar awak menulis novel.”
“Manja Fathia?” Hadi menyebut nama penaku.
“Saya dah tahu semuanya, Hadi. Mulai hari ini kita kan berkongsi kesedihan kita…mungkin hanya yang senasib saja yang memahaminya. Hanya yang senasib sahaja dapat membaca isyarat yang kita tinggalkan dalam setiap baris ayat, dalam setiap pilihan kata. Hanya kita yang faham bahasa air mata.”
Mata Hadi mula bergenang. Dia sudah tidak terkata.
Dan mataku turut sama bergenang. Sekurang-kurangnya, aku sudah temui kawan yang memahami bahasa yang sama. Kawan yang tak pernah aku temui dalam hidupku….. 
******
Kalau sudi, tolong tekan butang SHARE di bawah.
SHARE di Facebook atau di Tweeter anda.
Terima kasih ya!

18 comments:

  1. Entah kenapa, air mata as pun mengalir sama...

    ReplyDelete
  2. terkesan dihati sampai x tau nak kata apa.:( berjaya menyentuh hati

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Nur Fakhariah kerana dapat menghayatinya...

      Delete
  3. Kadangkala menulis boleh melegakan hati. Satu terapi yang bagus untuk jiwa.

    ReplyDelete
  4. kenapakah yana turut mengalirkan air mata?? :'(

    ReplyDelete
  5. Sayu tesentap jiwa. . Halusnya naluri insan bgelar. . .

    ReplyDelete
  6. Cerpen yang biasa,penggunaan bahasa yang mudah tetapi kesannya mendalam...bahasa air mata...tertitis air mataku..tahniah....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih, AnaNurFiras : Saya menggunakan unsur 'clarity' dalam penceritaan.

      Delete
  7. Sakit ngat kat hati ni kenapa ea sebak sampai x blh bernafas blh terangkan x kenapa

    ReplyDelete
  8. Sakit ngat kat hati ni kenapa ea sebak sampai x blh bernafas blh terangkan x kenapa

    ReplyDelete
  9. baru dpt baca hari ni....
    Met juga nk share kst fb.
    Met juga nak jadi penulis hebat macam awak.heee

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.