Sunday, July 1, 2012

Cerpen: Cinta Sekali Pandang


SEKALI pandang sahaja, pandangan mata saya sudah melekat ke arah dia. Untuk beberapa saat, saya tidak dapat mengalihkan perhatian ke arah lain. Leher bagaikan dipaku untuk menoleh ke arah situ juga.  Baru berpindah agaknya, bisik hati saya apabila terlihat dia mengangkat kotak ke arah lif. Serta-merta kaki saya jadi laju menuju ke situ juga.
Sedang dia terkial-kial mahu menekan butang lif, saya muncul sebagai penyelamat. Butang lif  saya tekan dengan wajah selamba.
Dia menoleh ke arah saya bersama seulas senyuman yang tampak ikhlas. “Terima kasih,” katanya.
Saya melebarkan senyuman. Membantu lelaki sekacak dia, dua tiga kali pun boleh. Tidak ada masalah langsung. “Baru pindah?” tanya saya.
Dia angguk. “Awak tinggal di blok ini juga?”
“Tingkat 7.” Pendek jawapan saya.
“Saya pun tinggal di tingkat 7 juga.”
Kening saya terangkat. Senyuman saya sudah sampai had maksima. Kembang hati saya, berbunga-bunga taman hati saya, redup rimbun angan-angan saya mendengarkan pengakuan itu.
“Baguslah,” jawab saya. Pendek juga, padahal dalam hati seperti mahu bersorak-sorak riang. Jika ada rezeki, dapatlah kami bertembung selalu.
Setibanya di tingkat 7, pintu lif terbuka semula.
“Keluarlah dulu,” kata saya sambil menekan butang agar pintu lif tidak tertutup dan dia dapat mengangkat kotaknya dahulu.
Dia pun keluar tetapi menunggu saya di luar.
Saya sudah mula terasa malu, walaupun mahu tetapi tidaklah mahu terlalu nampak pula perangai tidak malu saya. Lalu saya pun berkata, “Jumpa lagi.” Dan terus beredar tanpa memandang ke wajahnya lagi.
“Terima kasih ya.” Dia membalas sebelum mengambil arah yang bertentangan.
Sewaktu saya berjalan menyusuri koridor menuju ke rumah saya, saya perasan sesuatu. Dia sedang berada di seberang koridor sana, menuju ke arah yang sama. Dan apabila saya berhenti di hadapan rumah saya, dia juga berhenti di hadapan sebuah rumah. Yang mengejutkan saya adalah apabila, rumah kami hanyalah bertentangan. Apabila dia juga menyedari perkara itu, dia menoleh ke arah saya lalu melayangkan seulas senyuman.  Saya gugup.
******
“Fida, awak tahu tak, rumah di depan tu dah ada penyewa baru?” tanya saya sebaik sahaja masuk ke dapur dan meletakkan bungkusan nasi yang baru dibeli di atas meja. Wajah lelaki yang baru saya temui tadi, masih jelas terbayang di ruang mata saya malah seperti melekat kuat di situ.
“Baguslah. Rumah tu dah lama kosong, kan?” Fida menarik kerusi lalu duduk. Dia sudah bersedia untuk menjamah nasi bungkus yang saya beli.
“Tapi, kan… kali ni lelaki bujang yang duduk situ.” Saya pandang Fida. Saya mahu lihat apa reaksi Fida seterusnya.
“Orang bujang? Mana awak tahu penghuninya orang bujang?”
“Sebab saya baru saja tolong dia tadi. Tak sangka pula dia berpindah ke rumah depan tu,” jawab saya yang masih menanti apa reaksi Fida.
“Tak suka betul!”
Ya, saya memang sudah menduganya kerana Fida memang tidak suka jika jiran tetangga kami terdiri daripada lelaki-lelaki bujang. Dia sudah serik diganggu semasa pergi dan balik kerja semasa rumah di sebelah rumah kami dahulu dihuni oleh tiga orang lelaki bujang yang suka menganggu kami. Saya pun tidak suka, mujurlah mereka tidak tinggal lama di situ kerana ada penghuni yang mengadu kepada tuan rumah.
“Tapi yang ini, saya lihat macam… baik saja,” kata saya. Entah kenapa wajah lelaki tadi terbayang semula. Nasi di hadapan mata pun sudah tidak nampak menyelerakan. Saya termenung jadinya, masih cuba mentafsir apa yang terjadi pada saat ini.
“Lain bunyinya ni?” Fida ketawa kecil.
Saya tersenyum. Saya pandang Fida, saya harap Fida faham apa yang bermain di fikiran dan jiwa saya. Dan yang lebih pentingnya saya harap Fida tidak mentertawakan saya dan mahu memberikan sedikit dorongan. Bukan selalu saya begitu, malah sejak  tiga tahun yang lalu hati saya sudah beku setelah dikecewakan oleh insan yang dipanggil lelaki. Tetapi kali ini hati saya mula cair semula.
“Awak yakin ke dia bujang?”
Pertanyaan Fida membuatkan saya termangu seketika. Saya mula tidak yakin dengan apa yang saya pandang. “Entahlah, tadi dia seorang saja. Tak nampak pula isteri dia atau anak-anak dia. Lagipun dia nampak muda lagi.”
“Jangan terburu-buru,” pesan Fida.
Saya angguk faham. Itulah nasihat yang terbaik untuk saya.
******
 KEESOKKAN harinya, sewaktu saya dan Fida tergesa-gesa menuju ke arah lif untuk turun ke bawah. Kami disapa dengan sebuah ucapan salam yang  lembut. Kami segera berpaling. Apabila terlihat dia sedang menghampiri kami berdua, saya menjawab salamnya dengan perlahan, Fida pula tercengang-cengang.
“Nak pergi kerja?” Dia bertanya sambil memandang kami berdua.
Kami berdua serentak mengangguk. Kemudian Fida pandang saya.
Saya faham Fida sedang keliru lalu saya memperkenalkan lelaki itu kepada Fida, “Ini jiran baru kita.”
Itu sahaja yang saya katakan, saya harap Fida faham apa yang ingin saya sampaikan kepada dia. Tidak perlulah saya terangkan bahawa itulah lelaki yang telah mencuri hati saya sejak pertemuan semalam.
“Ooo… yang pindah ke rumah depan rumah kami tu ya?” Fida tersenyum, sempat juga dia menjeling ke arah saya.
Muka saya sudah terasa panas. Saya menoleh ke arah lain. Mujur juga pintu lif terbuka dan saya segera masuk ke dalam lif. Pada mulanya, saya fikirkan saya sudah selamat tetapi rupa-rupanya tidak. Dia juga masuk ke dalam lif dan berdiri di sebelah saya. Pada waktu itu jantung saya berdegup dengan amat laju.
“Nama saya Fazly. Saya baru berpindah dari Johor.” Lelaki itu terus bersuara ramah.
Terasa lengan saya dicubit. Ini mesti kerja si Fida. Saya faham.
“Saya Wani. Kawan saya ni, Fida,” jawab saya terketar-ketar. Saya rasa susah sekali mahu membuka mulut sekarang, mungkin kerana saya sedang bercakap dengan dia.
“Dah lama tinggal di sini?” Fazly bertanya lagi.
“Empat tahun,” balas saya apabila Fida hanya mendiamkan diri sahaja. Mungkin juga Fida sengaja membiarkan kami berbual berdua.
“Tempat ni, okey?”
Saya angguk. “Tak ada masalah.”
“Ni kad nama saya. Ada apa-apa yang nak minta saya tolong, telefon saya.” Fazly hulurkan sekeping kad nama kepada saya.
Saya langsung gugup. Hanya setelah dicubit sekali lagi oleh Fida, baru saya menghulurkan tangan dan menyambutnya. Dan apabila pintu lif terbuka semula di tingkat bawah, kami berpisah lagi. Dari jauh saya hanya memerhati dia menaiki keretanya. Cukuplah pertemuan sesingkat itu untuk menyuburkan apa yang dirasa di hati. Fida sudah berdeham-deham.
******
 “BOLEH tahan, Patutlah awak tersangkut.” Fida terus memberikan pendapatnya tanpa saya pinta sewaktu kami berdua sudah berada di dalam kereta.
“Bukan rupa yang jadi ukuran,” balas saya. “Kalau rupa dia yang jadi ukuran, mungkin saya sudah jauh ketinggalan. Rasanya, sudah ramai gadis lain yang jatuh hati pada dia dan saya tidak ada harapan untuk dipilih.”
“Mungkin juga awak silap.”
“Silap?”
“Tengoklah pada diri awak sendiri. Awak ada rupa, ada pelajaran dan ada kemahiran. Berapa ramai lelaki yang cuba dekati awak di tempat kerja? Semua awak tolak. Jadi tak semestinya dia juga tak ada harapan untuk memiliki awak,” balas Fida.
Saya tertawa. Fida sudah memuji saya sepertinya saya ini cantiknya bak bidadari sehinggakan semua lelaki terkejar-kejar akan saya. Sebenarnya bukanlah begitu walaupun memang ada beberapa orang lelaki yang cuba mendekati saya sebelum ini. Saya kira, Fida yang berlebih-lebih dalam memberikan pendapatnya. “Saya sentiasa sedar diri, Fida.”
“Sedar diri atau rendah diri?” balas Fida dengan cepat.
Saya biarkan sahaja Fida dengan pendapatnya. Untuk saya berangan lebih jauh atau memulakan langkah yang lebih drastik, saya tidak bersedia. Saya sekadar mahu menyimpan perasaan indah itu di hati saya. Rasanya itu tidak salah.
*****
SEMINGGU telah berlalu, saya dan Fida acap kali juga bertemu dengan Fazly, baik di lif mahupun semasa memarkir kereta. Tidak pernah sekali pun saya menelefon dia atau menegur dia dahulu. Saya hanya berani memandang dia setelah dia membelakangi saya… rasanya itu sahaja yang berani saya lakukan.
Yang bagusnya, dia hanyalah seorang lelaki biasa yang tahu pergi kerja dan balik kerja. Belum pernah sekalipun kami melihat dia menganggu gadis-gadis atau jiran terangga yang lain. Sehinggalah malam ini…
“Eh! Ada perempuanlah di rumah dia.” Fida yang baru masuk ke dalam rumah tergesa-gesa memberitahu aku.
“Perempuan?” Untuk sesaat, fikiran saya jadi buntu. Betulkah apa yang saya dengar tadi? Atau angin yang memesongkan kata?
Fida angguk.
Serentak itu, saya tertunduk. Bagaikan berat benar untuk saya angkat kepala saya memandang Fida yang kini duduk bersimpuh di sebelah saya yang sedang membaca majalah sejak tadi.
“Saya nampak dia bawa seorang perempuan muda masuk ke dalam rumah dia. Mereka berdua… gelak-gelak saja.”
Saya diam. Apa yang saya boleh katakan lagi? Tetapi sejujurnya pada waktu itu, saya mahu menangis. Baru saya sedar, sedikit demi sedikit saya telah membina harapan walaupun tiada dasarnya untuk harapan itu menjadi kukuh. Bodohkah saya? Pada waktu saya merasakan saya adalah orang yang paling bodoh. Menyimpan perasaan kepada seorang lelaki yang ternyata sudah pun berpunya. Akhirnya menitik juga air mata saya dek kebodohan saya sendiri.
“Rilekslah… ramai lelaki lain dalam dunia ni.”
Saya tahu Fida cuba memujuk saya, sayangnya hati saya tidak terpujuk. Saya tahu ramai lelaki lain yang jauh lebih lawa sekiranya kecantikan wajah itu yang saya cari. Ramai lelaki lain yang lebih baik akhlaknya jika keindahan akhlak yang saya cari tetapi soal hati bukanlah seperti soal sekeping kertas. Boleh ditulis, setelah penuh, direnyuk, dibuang dan dilupakan. Apa yang telah tertulis di hati akan berbekas sampai bila-bila…
“Saya perlukan masa,” balas saya. Ya, saya perlukan masa untuk memujuk hati saya semula dan merungkai semula semua harapan yang telah terbina diam-diam tanpa saya sedar selama seminggu ini. Marah pula saya pada hati saya kerana terlalu tergesa-gesa membina harapan sebegitu rupa. Tapi apa daya saya? Sudah jelas, ada kalanya saya gagal mengawal hati saya sedangkan sudah diingatkan oleh Fida agar tidak tergesa-gesa.
Satu usapan lembut hinggap di bahu saya. “Sabarlah,” kata Fida.
Saya tahu Fida faham apa yang saya rasa pada saat itu. Saya juga tidak marahkan dia kerana membawa perkhabaran itu tadi. Adalah lebih baik saya tahu segera sebelum saya semakin lupa diri dan saya percaya itu juga niat Fida.
Akhirnya saya angguk sahaja dan terus membelek majalah itu dari satu muka surat ke satu muka surat yang lain. Padahal dalam hati, saya bertungkus-lumus cuba memadamkan wajah dan nama dia yang telah tertulis di situ. Supaya harapan yang terbina selama ini lenyap begitu sahaja dan yang tinggal hanyalah kesan yang pudar dan kurang menyakitkan.
******
PAGI keesokkan harinya, saya mengajak Fida keluar lebih awal daripada biasa. Kalau boleh saya mahu alihkan pintu rumah saya menghadapa ke arah lain. Memandang pintu rumahnya sahaja pun, saya rasa sudah menyakitkan hati, saya bimbang akan terserempak dengan dia lagi pagi itu. Tentu satu hari saya akan terasa sakit jiwa.
“Kenapa?” tanya Fida kepada beberapa orang penghuni flat yang masih beratur menunggu lif. Pagi itu seperti sesak pula di situ.
“Lif rosak, tinggal satu lif sahaja,” balas seorang kakak yang juga mahu cepat ke tempat kerja. Jadi mahu tidak mahu terpaksalah kami turun mengikut giliran kerana lif di flat itu bukanlah besar sangat dan saya rasa anak-anak yang mahu ke sekolah harus diberi keutamaan dahulu berbanding kami berdua namun begitu terdetik juga rasa bimbang jika kelewatan itu menyebabkan kami terserempak dengan dia.
Sedang saya dan Fida menunggu lif seterusnya sampai, kami ditegur oleh satu suara yang kami biasa dengar.
“Cepat hari ni?” Fazly sudah tercegat di sebelah saya.
Saya terus gugup. Saya berdoa agar diberikan kekuatan untuk bersikap tenang dan berlagak seperti biasa sahaja. Saya tidak mahu dia tahu apa yang saya rasa pada waktu itu apatah lagi dengan kehadiran seorang gadis manis di sisinya sekarang.
“Bangun awal tadi,” balas Fida apabila menyedari mulut saya terkunci.
Fazly tersenyum lebar, sambil memandang saya dia berkata, “Kenalkan, ni adik saya Marlina. Baru sampai malam tadi dari Johor. Nanti nak masuk USM.”
Saya langsung terkedu.
“Oh! Adik awak… apa khabar?” Mulut Fida mula riuh sedangkan saya masih termangu-mangu tidak tahu apa yang patut saya rasakan saat itu.  Adik dia?
“Inilah Kakak Wani yang abang ceritakan semalam tu ya? Patutlah…” Marlina pula bersuara sambil merenung wajah saya.
Muka saya spontan berubah riak. Terasa pipi saya panas sampai ke telinga. Kata-kata Marlina membuatkan saya berasa malu dan sekaligus tertanya-tanya. Saya cuma dapat menjeling ke arah Marlina dan sedikit ke arah dia sebelum tertunduk malu.
“Malam nanti… Kak Wani ada masa lapang tak? Kalau boleh…Mar dan abang nak ajak Kak Wani dan Kak Fida keluar makan. Ada perkara yang nak abang cakapkan pada Kak Wani.”
“Kalau macam tu, tak payahlah kita menyibuk, Mar,” sampuk Fida pula.
Terus saya menoleh ke arah Fida dengan dahi yang berkerut, segetus cubitan saya hadiahkan sekali. Tak mungkin saya akan keluar berdua dengan Fazly, saya segan.
“Boleh juga, kalau Kak Wani mahu,” balas Marlina bersulam ketawa kecil.
Kini Fida, Marlina dan Fazly tersenyum memandang saya. Saya tahu kesemuanya mengharapkan keputusan daripada saya. Saya bertambah malu jadinya.
“Nantilah… saya fikir dulu.” Itulah jawapan yang saya berikan pada saat itu. Saya tidak akan tergesa-gesa bersetuju seperti mana saya tergesa-gesa membina harapan yang kini entah apa jadinya.
“Bolehlah, kak…. Abang saya ni dah puas bersabar tunggu saya datang ke sini. Dia segan nak ajak akak sendiri, terpaksalah saya jadi tukang sampai.” Marlina terus memujuk saya walaupun Fazly hanya berdiri di sebelahnya sahaja.
Dalam rasa malu yang makin menggunung, saya hanya mendiamkan diri. Keputusan saya belum berganjak.
“Agaknya Kak Wani nak abang sendiri yang cakap,” kata Marlina pula kepada abangnya.
“Wani sudi keluar makan malam dengan saya?” Fazly terus sahaja bersuara bagaikan menyahut cabaran adiknya.
Oh! Saya rasa sudah terlalu malu. Terutamanya apabila Fida dan Marlina sama-sama mendengar pertanyaan itu dan sama-sama menantikan persetujuan daripada saya.
“Nanti saya telefon,” balas saya.
Mujurlah Fazly tidak mendesak saya lagi. Dia hanya angguk sambil tersenyum. Fida dan Marlina juga tidak berkata apa-apa lagi. Entah kecewa, entah apa yang mereka rasa. Semuanya tak dapat saya selami kerana saya lebih sibuk memujuk degupan jantung yang kembali tidak sekata apabila bertentang mata dengan dia sebentar tadi.
Apabila lif kami tiba, kami berempat masuk ke dalamnya dan seperti biasa kami berpisah di tingkat bawah. Sebaik sahaja saya masuk ke dalam kereta, saya taipkan satu mesej untuk dia.
~Ya, saya sudi~
Saya lihat langkah dia terhenti di pintu keretanya. Dia memandang skrin telefonnya sambil tersenyum sebelum mengangkat muka memandang ke arah kereta saya dan Fida. Saya hanya tersenyum sambil menoleh ke arah lain. Mungkin puing-puing harapaan yang saya rungkaikan semalam boleh saya bina semula….kali ini dengan tapak yang lebih kukuh.
Fida berdeham-deham semula.

9 comments:

  1. ermmm,ayat skema sgtlaa...borink sket..sori! huhu:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang sengaja ditulis begitu. Tak apa, saya tak ambil hati kerana ia memang satu perbuatan yang sengaja dilakukan. Skema dan perlahan, ia juga mengelakkan perkataan BI digunakan.

      Delete
  2. Replies
    1. Terima kasih Naisma kerana suka walaupun ceritanya dibuat begitu.

      Delete
  3. Even tak pernah baca cerita akak dengan gaya yg macam ni..tapi srh suka. Good try.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Akak pun kali pertama menulis menggunakan gaya ini, ia memebrikan satu pengalaman yang berbeza. Terima kasih, Sarah.

      Delete
  4. best gila...rse nak mntak smbungan je...

    ReplyDelete
  5. best2... bile bace cerpen ni, rase macam terserlah kelembutan seORang prmpuan... :D

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.