Friday, July 27, 2012

Cerpen: Empat Patah Terakhir



“Tok jual air,” kata anakku yang bongsu. Pandangan matanya bagaikan melekap ke wajah seorang lelaki tua yang sedang menjual air di seberang jalan di bawah sebuah pondok yang beratapkan tikar getah.
Aku menoleh sebentar. Benar kata anakku.
“Tok Ayi pun nak cari duit raya juga,” balasku sambil memutar stereng masuk ke jalan besar.
Pondok jualan Tok Ayi makin jauh tertinggal di belakang tapi wajah Tok Ayi masih tertayang di ruang ingatan. Wajah yang letih dan sugul. Kenapa Tok Ayi perlu jual air pula pada bulan puasa ni? Pertanyaan itu bergema dalam kepalaku. Rasanya Tok Ayi tak perlu buat itu semua, anak-anak Tok Ayi semuanya sudah bekerja tetap di bandar-bandar besar. Seorang di KL, seorang di JB dan seorang di Pulau Pinang. Tok Ayi sepatutnya tidak payah bersusah-payah mencari duit lagi. Itu bukan kerja Tok Ayi lagi.
“Esok kita beli air tok, nak?” Suara anak bongsuku meletakkan noktah kepada semua persoalan yang tidak ada jawapannya.
“Yalah, esok mak singgah sekejap di gerai Tok Ayi. Tapi janji jangan membazir. Kalau mak dah beli air tu jangan tak minum pula. Tuhan marah kalau kita membazirkan makanan pada bulan puasa.”
“Tapi air apa yang Tok Ayi tu jual? Merah semacam saja,” katanya anakku lagi.
Aku ketawa kecil. “Air buah naga.”
“Sedap tak. Mak?”
“Kalau suka, sedaplah. Kalau tak suka, tak sedap. Itu saja,” jawabku.
Perbualan kami pun tamat hingga ke situ. Namun ingatanku terhadap Zizah seperti dipanggil-panggil.
*****
“Hujung minggu ni aku nak balik kampung, kau tak balik ke?” Aku bertanya sewaktu terserempak dengan Zizah anak bongsu Tok Ayi di sebuah majlis berbuka puasa yang diadakan di sebuah hotel. Zizah datang berpasangan dengan suaminya. Aku juga.
“Malaslah aku. Bukan ada sesiapa pun di rumah tu. Ayah aku seorang saja.”
Aku rasa hairan. “Kenapa pula kau cakap macam tu? Dia kan ayah kau? Lagipun, sebab dia tinggal seorang dekat kampung itulah kau kena balik jenguk dia selalu.”
“Ita, kau cakap senanglah. Bukan aku saja yang tak balik ke situ. Tu, abang-abang aku tu kenapa pula tak balik? Takkan semua nak harapkan aku buat kut?”
Aku terdiam seketika. Ingin sahaja aku menegur dan memberikan pendapat aku tetapi mengenangkan aku di majlis orang, aku bersabar sahaja. “Raya nanti kau balik?”
Zizah angkat bahu. “Raya pertama aku balik ke rumah mak mertua. Lepas tu nak bercuti pula ke Kelantan. Kalau aku balik ke Melaka tu, kena patah balik semula nanti dah rugi satu hari.”
“Kalau macam tu, baliklah sebelum raya. Boleh bawa ayah kau buka puasa di hotel ke…” Aku cuba mengusik Zizah.
“Tak kuasa aku, lagipun ayah aku tu mana biasa makan di tempat-tempat macam ni? Nanti buat malu aku saja. Ambil makanan pun tak reti.”
Aku langsung terdiam.
******
Keesokkan petangnya, aku bertekad untuk singgah juga ke gerai Tok Ayi. Selagi aku tidak tahu perkara yang sebenar, hatiku seperti tidak tenang.
“Apa khabar, Tok Ayi?” Aku menegur sambil menghadiahkan dia seulas senyuman. Dari renungan Tok Ayi, aku tahu Tok Ayi tidak mengenali aku lagi. “Tok Ayi tak ingat Ita ya?”
Tok Ayi tersenyum dan kemudian menggeleng.
“Ni Ita kawan sekolah Zizah, anak Tok Ayi dulu,” tambahku walaupun aku tidak pasti Tok Ayi akan ingat ataupun tidak. Aku pun jarang-jarang balik ke kampung sejak arwah mak dan ayah meninggal. Kalau tidak silap aku, Tok Ayi lebih kurang sebaya sahaja dengan arwah ibu bapa aku cuma nampaknya usia Tok Ayi masih panjang.
“Kawan Zizah?” Senyuman di wajah Tok Ayi makin lebar.
“Ya, Tok Ayi. Tok Ayi jual air bulan puasa ni?” Aku cuba mengalihkan topik. Aku tahu Tok Ayi masih tidak mengingati aku lagi. Tidak apalah, bukan itu tujuan aku ke situ petang itu.
“Sebelum puasa lagi,” balas Tok Ayi. Dia masih merenungku seperti menantikan sesuatu.
“Saya nak dua bungkus,” kataku. Rasanya itulah yang Tok Ayi nanti-nantikan sejak tadi. Sementara Tok Ayi sibuk membungkus air buah naga, aku membelek-belek kuih-muih yang dijual di situ. “Siapa buat kuih-kuih ni, tok? Tok buat sendiri ke?”
“Ada orang kampung yang tumpang. Tok cuma dapat upah saja,” jawab Tok Ayi dengan jujur.
Aku diam sahaja tetapi aku beli juga beberapa biji kuih koci untuk dibawa pulang berbuka puasa.
 “Zizah tak balik puasa ni, tok?” Aku jeling muka Tok Ayi.
Tok Ayi cuma menggeleng.
“Abang Man? Abang Din? Tak balik juga?” Aku terus memandang wajah Tok Ayi untuk mencari riak di wajah tua itu.
Tok Ayi geleng lagi.
Melihatkan wajah Tok Ayi yang sugul, aku tarik sebuah kerusi plastik yang ada di situ lalu duduk. Aku nekad untuk tahu.
“Dah lama ke mereka tak balik?”
Kali ini Tok Ayi menoleh ke arahku. Sambil terketar-ketar melangkah, Tok Ayi tarik sebuah kerusi dan melabuhkan punggung lambat-lambat di situ. Kemudian Tok Ayi geleng lagi.
“Dah lama mereka tak balik,” jawabnya seperti berbisik.
“Mungkin mereka balik raya nanti agaknya.” Aku tidak sampai hati pula untuk bertanya lebih lanjut. Terasa aku seorang manusia yang sangat kejam, yang sanggup menghiriskan hati seorang tua hanya semata-mata untuk memuaskan hati aku sendiri.
“Dah tiga kali raya… tak sorang pun balik.”
Lama aku terlopong. Tiga kali raya? Betul ke ataupun Tok Ayi yang sudah lupa bagaimana hendak mengira?
“Mereka beraya rumah mertua agaknya… tahun ni harap-harap mereka balik pula ke sini.” Aku cuba membetulkan keadaan yang aku rasa makin menghimpit perasaan.
Tapi Tok Ayi menggeleng. “Tak apalah… kalau mereka tak balik pun tak apa. Tok dah biasa beraya sorang-sorang.”
Aku tahu, walaupun Tok Ayi kata ‘tak apa’ tapi hati Tok Ayi terasa sangat dengan sikap anak-anak dia. Mungkin kerana kasih, kerana sayang maka Tok Ayi bersikap seperti itu. Walhal, Tok Ayi sedang berjauh hati.
“Kita doakan sajalah semoga mereka semua nak balik ke sini tahun ni, kan Tok Ayi?” Air mata aku pula yang berlinang. Puas kuusir bayangan pilu yang cuba singgah di fikiranku. Tidak sampai hati untuk aku membayangkan bagaimana Tok Ayi menyambut Syawal bersendirian tanpa isteri dan anak-anak di pondok usangnya.
Tok Ayi angguk sambil tersenyum pahit.
Aku yakin Tok Ayi sudah jenuh berdoa cuma belum sampai masanya sahaja doanya dimakbulkan.
******
“Banyak ke laku air buah naga ni, tok?” Akhirnya aku sendiri tidak sampai hati untuk bertanya lebih lanjut hal keluarga Tok Ayi. Mungkin, jika aku berjumpa dengan Zizah nanti, aku akan khabarkan perihal ayahnya di sini. Terpulanglah kepada Zizah untuk mengambil tindakan susulan. Hendak aku marahkan, aku bukan kakak Zizah.
Lagipun Zizah bukan anak gadis yang tidak tahu apa-apa. Zizah sudah menjadi seorang ibu beranak tiga. Lambat laun Zizah akan jadi tua juga. Apa dia buat kepada ayahnya akan dibalas balik kepada dia. Aku yakin.
“Adalah sikit,” balas Tok Ayi.
“Buah naga ni, tok dapat dari mana?”
“Kawan tok yang bagi. Dia ada buka kebun buah naga ni, dia ada buat jus. Jadi dia yang cadangkan tok jual air buah naga di tepi jalan ni. Nak buat kerja lain, tok dah tak larat.” Wajah Tok Ayi aku lihat berseri-seri. Tok Ayi kelihatan gembira dan bangga dengan usahanya mencari rezeki.
“Kenapa tak rehat saja, tok? Pergi ke rumah anak menantu ke, tengok cucu.” Aku rasa seperti hendak menampar mulutku sendiri. Ke situ juga hala pertanyaan yang terkeluar. Sudah jelas, hatiku belum puas.
Tok Ayi mendengus.
“Tak usah kan nak tengok cucu, nak tengok muka mak ayah mereka pun payah,” balas Tok Ayi. “Kalau adalah duit yang mereka kirim, tak payahlah tok berpanas berhujan menjual air buah naga ni. Ini… sesen pun tak ada.”
“Zizah tak kirim duit kat tok?” Aku mula berasa sebak.
“Kamu ada jumpa dia di Kuala Lumpur? Kalau ada, tolong pesan sikit dekat dia, ayah dia ni dah nak mati dah. Kalau rasa dia tu anak manusia yang lahir dari mak ayah, baliklah sebelum ayah dia ni menutup mata. Umur tok  bukan lama sangat dah. Kamu pesan sekali dekat Man dan Din tu sekali Pergi berjalan ke luar negara boleh, balik kampung tak boleh.”
Aku terangguk-angguk. Aku dapatkan rasakan kali ini Tok Ayi begitu beremosi. Semuanya salah aku, kalau aku tidak bertanya tadi, tentu Tok Ayi tidak marah-marah. Ah! Menyesal. Sekarang di pundak aku, terbeban pula satu amanah. Padanlah dengan muka aku. Sendiri cari masalah.
Setelah membayar air dan kuih aku beli, aku meminta diri untuk beredar. Aku hulurkan juga sejumlah duit untuk Tok Ayi sebagai belanja bulan puasa, kataku.
Tok Ayi sambut dengan wajah terharu. Aku balik dengan rasa bergumpal di hati.
******
Malam kian hening. Tinggal aku sendiri di beranda rumah pusaka. Suami dan anak-anak semua sudah berdengkur sejurus balik dari berterawikh di masjid dua jam yang lalu. Aku sahaja yang masih termenung memikirkan kenapa semuanya harus berakhir begini.
Aku dan Tok Ayi bukanlah saudara rapat. Cuma semasa aku kecil dahulu, rumah Tok Ayi adalah tempat aku belajar mengaji setiap petang. Isteri Tok Ayi guru mengaji aku. Zizah, Man dan Din adalah rakan-rakan sekolah aku. Masih aku ingat rumah Tok Ayi sentiasa dipenuhi budak-budak yang datang silih berganti, tapi kini rumah itu sunyi sepi mungkin sesunyi hati Tok Ayi sendiri.
“Zizah.” Aku memanggil selepas salam yang kuhulur berjawab. Nampaknya selagi pesanan Tok Ayi tidak aku sampaikan, mata aku tidak akan mahu pejam.
“Kau kat mana ni? Tadi masa berbuka aku tercari-cari juga kau. Ada hal aku nak bincang dengan kau.” Laju sahaja suara Zizah berceloteh.
“Hal apa?” Sengaja aku tidak memberitahu Zizah di mana aku berada. Aku harap Zizah ingat apa yang telah aku beritahu dia beberapa hari yang lalu.
“Ni ada trip melancong ke Korea selepas raya ni… kau nak ikut tak? Semua kawan-kawan aku arrange kan, kita tinggal pergi bawa badan saja.”
“Suami dan anak-nak kau ikut ke?”
“Hisy! Takkan nak bawa suami dan segala askar pula? Sekali-sekala kita sajalah pergi enjoy. Suami aku tu pun selalu pergi Hadyai dengan kawan-kawan dia, aku tak pernah pun ikut.”
“Kalau macam tu, tak naklah,” balasku. Aku mula terasa gaya hidupku tidak sama langsung dengan gaya hidup yang diamalkan oleh Zizah. Aku tidaklah kata gaya hidupnya salah atau sonsang tetapi cuma tidak sehaluan dengan gaya hidup aku. Itu sahaja dan aku tidak selesa.
“Kau tak nak?”
“Tak nak. Kau pergilah,” balasku.
“Kenapa? Kau dah pergi Korea ya? Kalau macam tu kalau ada trip ke tempat lain aku contact kau, okey?”
“Okey,” balasku pendek untuk memudahkan semua perkara. Nanti banyak pula soal Zizah padahal bukan sebab itu aku menelefonnya malam itu. “Zah, tadi aku jumpa ayah kau.”
Zizah terus tersenyap.
“Aku singgah di gerai dia. Ayah kau jual air buah naga depan rumah kau,” sambungku lagi.
“Entah apa-apalah orang tua tu,” kata Zizah. “Buat malu orang saja.”
“Zah… ayah kau kata kau dan abang-abang kau dah lama tak balik. Dia suruh kau orang balik tengok dia. Dia dah tak berapa sihat,” kataku.
“Tak sihat? Kalau boleh berjual air tu… maknanya dia sihatlah tu, Ita. Kau jangan dengar sangat cakap ayah aku tu. Bukannya betul sangat.”
“Tapi apa salahnya kalau kau balik sekejap tengok dia? Aku tengok dia betul-betul tak sihat. Bawalah dia ke klinik jumpa doktor.”
“Ita, aku minta kau jangan cakap pasal ayah aku lagi boleh tak? Aku bosanlah cakap pasal dia.”
“Tapi dia ayah kau, Zah. Tak ada dia, tak lahir kau ke dunia ni. Tak sampai kau ke London atau Korea tu. Tak kahwin kau dengan suami kau yang kaya-raya tu.” Aku mula geram.
“Suami aku bukannya suka aku balik ke kampung aku, apatah lagi kalau sibuk-sibuk pasal keluarga aku. Sekarang kami tiga beradik hidup buat hal masing-masing saja,” balas Zah. Suaranya mula mengendur.
“Itu aku tak tahu. Itu soal rumah tangga kau orang berdua tapi kalau perkara lain boleh dibawa berbincang dan bertolak ansur, takkan soal balik kampung jenguk ayah sendiri tak boleh kut? Suami kau sebagai seorang ayah lagilah kena tunjuk contoh yang baik kepada anak-anak kau. Kalau satu hari nanti, anak kau yang tiga orang tu buat perkara yang sama pada dia, macam mana? Dalam dunia ni dah banyak dosa, Tuhan bayar semasa kita hidup lagi.”
Zizah bergumam. “Tengoklah nanti,” balasnya.
Aku matikan panggilan. Walaupun aku tidak pasti apa yang akan dibuat oleh Zizah tetapi sekurang-kurangnya amanah Tok Ayi telah aku sampaikan. Terpulanglah kepada Zizah dan abang-abangnya pula selepas ini. Tetapi seikhlas-ikhlasnya hatiku berdoa di malam Ramadhan itu, agar anak-anak Tok Ayi pulang juga melawat ayah mereka.
******
Keesokkan harinya, aku melintasi gerai air buah naga Tok Ayi lagi. Seperti pada sebelah pagi, gerai Tok Ayi masih belum dibuka. Cuma kali ini aku lihat ramai orang berkumpul di rumah Tok Ayi. Aku lantas memberhentikan kereta di pinggir jalan.
“Kenapa?” Aku bertanya kepada orang kampung.
“Tok Ayi meninggal. Subuh tadi.”
Untuk beberapa saat, aku terkedu. Masih terbayang perbualan terakhirku dengan Tok Ayi petang semalam.
“Zah,” Aku terus menghubungi Zizah.
“Ada apa?”
“Ayah kau.”
“Engkau ni kan… boleh tak jangan cakap pasal ayah aku lagi? Aku tak nak dengar pasal orang tua tu,” balas Zizah. “Boringlah kau….”
“Tapi pagi ni aku kena cakap juga.” Aku sapu air mataku yang sudah turun bak air hujan.
“Okey, empat patah perkataan saja. No more.”
“Ayah kau dah meninggal,” kataku. Itulah empat patah perkataan yang dapat aku fikirkan untuk Zizah. Aku rasa itu sudah cukup untuk menamatkan segala-galanya.
Tiada balasan lagi dari Zizah. Apa yang ada hanyalah raungan yang tidak berkesudahan.
Aku tutup telefon. 
“Mana Tok Ayi, mak? Usu nak minum air buah naga lagi petang ni,” kata anak bongsuku.
Aku hanya mampu mengusap kepala anakku.
"Tok Ayi dah tak ada," balasku.

5 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.