Friday, July 20, 2012

Cerpen: Tunjukkan aku arah kiblat


“Apa yang menarik sangat tu?”
Zira cuba mengintai apa yang sedang menarik perhatian Umi sehinggakan tidak turut serta dalam perbualan mereka berempat di situ. Sikap Umi bagaikan sedang tenggelam dalam keasyikan yang jauh berbeza. Bukan lagi diulit irama dangdut yang sedang berlagu asyik dan dikhayalkan oleh arak yang memenuhi meja. Bahkan sejak Umi tiba di situ bersama seorang lelaki yang tidak dikenalinya, dia perasan Umi menolak minuman keras yang disajikan oleh pelayan.
“Aku buka Facebook,” balas Umi. Masih lagi membelek halaman Facebook di skrin telefonnya.
“Cari apa?” tanya Zira. “Kau nak upload gambar ke? Kau jaga-jaga sikit, nanti teruk kita kena kutuk macam dulu tu.” 
Umi geleng. “Aku nak tengok, esok puasa ke tak.”
Zira terdiam seketika.Kemudian ketawa pula. “Engkau nak puasa ke? Aku mana pernah tengok kau berpuasa.”
“Aku puasalah.”
“Kau jangan nak tipu aku. Kau cuma puasa depan orang saja. Depan aku, kau mana ada sorok-sorok lagi?” balas Zira sambil bersulam tawa. Entah kenapa, dia terasa sikap Umi amat melucukan pada malam itu. Dengan tiba-tiba sahaja kawannya itu sibuk hendak tahu pasal puasa. Selama ini, puasa atau tidak hanyalah putaran takwim bagi mereka berdua.
Umi tersenyum.
“Aku pernah puasa macam orang lain juga. Cuma dalam beberapa tahun ni saja, aku cuai. Aku abaikan.” Makin lama suara Umi makin tenggelam dek bunyi lagu dangdut yang sedang diputarkan.
“Habis tu? Sekarang engkau nak puasa semula? Solat semula?”
“Selama mana kita nak berpura-pura, Zira? Sejauh-jauh kita pergi pun, dosa-dosa kita tetap bak bayang-bayang. Di mana ada kita, di situ ada dosa. Kau tak rasa ke dosa kau makin banyak? Kau tak rasa ke bayang-bayang kau makin hitam?”
Zira angkat bahu. Pertanyaan demi pertanyaan yang dilontarkan oleh Umi membuatkan dia rasa terpukul. Apa kenanya dengan Umi malam ini? Buang tabiat?
“Ikut engkaulah Umi. Kubur lain-lain,” balasnya kemudian. Dia tidak mahu menghalang Umi dari berubah. Mungkin sudah sampai masanya untuk Umi berubah dan meninggalkan dia dalam situasi itu. Sedikit sebanyak dia berasa gembira untuk Umi. Dia?
“Marilah kita sama-sama berubah. Sekurang-kurangnya kita berubah perlahan-lahan. Sikit-sikit.” Umi senggol tubuh Zira. “Kita tinggalkan cara hidup yang sudah jauh terpesong ni. Kita tinggalkan yang haram, kita buat yang wajib.”
Zira tersenyum pahit, mungkin lebih pahit daripada jadam. Umi ingat senang ke untuk dia berubah? Umi mungkin boleh, tapi dia?
“Marilah, Zira. Tak pernah terlambat untuk kita berpatah balik selagi belum ajal menjemput. Kalau ajal sudah sampai ke kerongkong… aku kira kita sudah terlambat.”
“Tapi… aku….”
“Kita sama-sama tahu Tuhan itu Maha Pengampun, bukan? Kenapa susah sangat untuk kita bertaubat dan meminta ampun? Kenapa lebih senang untuk kita bergelumang dengan arak dan maksiat ini?”
“Tapi mahukah Tuhan menerima aku semula?”
“Aku bukan ustazah yang layak menjawab soalan kau tapi aku yakin selagi kau mengaku Allah SWT itu Tuhan, dan Nabi Muhammad SAW itu rasul… itu sudah cukup menjadi satu titik mula untuk memandu kau ke pangkal jalan. Ikutlah titik itu, Zira. Peganglah kuat-kuat. Insya-Allah, Tuhan akan bantu kau.”
Lama Zira terdiam. Arak dalam genggamannya terasa semakin panas lalu diletakkan gelas itu di atas meja. Tubuhnya menggigil. Sesaat dia rasa seperti hendak pengsan, nafasnya tersekat di batang leher. Apa yang terjadi ni? Ya, Allah! Dia menyebut dalam hati. Satu nama yang sudah terlalu asing di bibirnya. Kini dia sedar, dia tidak pernah terputus dari yang satu itu. Mungkin benar kata Umi… dia patut ikut cahaya itu.
“Macam mana kau boleh terbuka hati untuk berubah, Umi?” Dia bertanya setelah nafasnya lancar semula.
“Aku pun tak tahu. Sejak beberapa hari ini, aku asyik terbaca apa yang kawan-kawan di Facebook tulis pasal puasa. Aku teringat bagaimana seronoknya aku berpuasa semasa aku kecil dulu, berbuka puasa di masjid, bertarawikh, bertadarus… Bukan aku tak pernah buat itu semua tapi aku sendiri tidak tahu apa yang telah berlaku pada aku beberapa tahun ini, ” jawab Umi bersungguh-sungguh.
“Sekarang aku nak tinggalkan semua ini, Zira. Aku dah tak sanggup hidup dalam keadaan macam ni. Aku dapat rasa ini semua bukan dunia aku. Bukan cara hidup aku. Aku nak bertaubat, aku nak berubah sebelum aku mati. Aku takut aku mati sebelum sempat aku minta ampun. Aku benar-benar takut.”
Zira termenung lagi. Mendengarkan luahan hati Umi, hatinya turut terasa sayu dan pilu. Betapa kehidupannya sendiri sudah jauh lari dari norma hidup seorang muslim sejak tinggal di kota besar itu. Kalau balik beraya di kampung pun, dia hanya berpura-pura puasa dan mengelakkan solat. Tidak ada siapa perasan yang hidupnya sudah jauh berubah.
“Kita tinggalkan cara hidup ni.” Umi angguk sambil tersenyum.
Zira jeling ke arah Azhar, suaminya yang masih rancak berbual. Kemudian merenung wajah Umi pula.
“Aku doakan kau berjaya. Itu pun… kalau aku masih layak berdoa. Tapi aku tak pasti sama ada aku boleh lakukan ataupun tidak. Engkau sendiri tahu bukan diri aku sahaja yang menjadi halangan.”
“Insya-Allah,” balas Umi. “Dengan berkat Ramadan kali ini… aku juga doakan engkau berjaya kembali ke jalan yang benar. Semoga engkau diberikan kekuatan.”
Air mata Zira menitis. Perkataan ‘Insya-Allah’ tu sudah lama tidak terdengar di telinganya. Namun tadi, perkataan itu seolah-olah bergema dan memantul-mantul dalam hatinya untuk beberapa saat sehinggakan terasa setiap zarah dalam tubuhnya bergetar halus.
“Insya-Allah,” balasnya.
******
“Kenapa tak tidur lagi?” Azhar bertanya apabila menyedari Zira masih berada di dapur walaupun waktu sudah hampir malam. “Tadi kenapa nak balik cepat sangat? Abang belum habis borak lagi dengan Razak pasal projek hotel di Melaka tu.”
“Bang, abang tahu tak … esok orang akan mula berpuasa?”
Azhar angguk. “So?”
“Saya nak berpuasa esok. Abang?” Zira pandang muka suaminya sekilas. Dia tidak berani memandangnya lebih daripada dua saat. Dia takut.
“Puasa? Engkau nak puasa?” Azhar terus ketawa berdekah-dekah sebaik sahaja habis bertanya. “Dah gila ke?”
Dengan takut-takut, Zira mengangguk. Dia dapat rasakan segalanya tidak akan berakhir dengan baik pada malam itu. Bukan dia tidak kenal sikap Azhar.
“Buat apa puasa? Dalam rumah ni dah tak cukup makanan? Kita ni dah miskin sangat sampai dah tak ada duit nak beli makanan?”
“Bukan pasal tu….” Zira tersandar ke kabinet dapur. “Puasa tu bukan hanya untuk orang miskin dan disebabkan kemiskinan.”
“Engkau ingat aku tak tahu?”
Zira mengeluh. “Bukan Zira kata abang tak tahu cuma…”
“Cuma engkau nak mengajar aku? Cuma nak merendah-rendahkan aku? Nak tunjuk konon aku ni bodoh dalam bab agama?” sampuk Azhar lagi.
“Zira cuma tanya sama ada abang nak berpuasa esok atau tak. Itu saja. Zira bukan nak bertengkar pasal hukum-hakam agama. Abang sebagai suami tentu lebih tahu soal itu daripada Zira.”
Pang!
Satu tamparan yang keras hinggap di pipi Zira. Zira terpaling ke kanan.
“Cukup untuk sahur? Kalau tak cukup aku boleh tambah lagi sampai engkau kenyang.”
Zira cuma diam. Bibirnya terasa kesat dek darah yang mengalir. Dia tahu Azhar tidak akan berhenti setakat itu sahaja.
*****
Pukul 4.30 pagi. Zira bangun perlahan-lahan meninggalkan katil. Dia tidak berniat untuk menggerakkan suaminya bangun. Dia juga berdoa agar suaminya tidak sedar yang dia sudah meninggalkan bilik untuk turun ke tingkat bawah. Dia hanya berharap agar dapat bersahur pagi itu dengan aman.
Kabinet dapur dibukanya satu-persatu. Matanya tertancap pada bungkusan-bungkusan mi segera yang pelbagai rasa dan jenama. Terfikir olehnya untuk memasak salah satu mi tersebut tetapi dia segera disedarkan dengan kemungkinan bau mi itu akan terbau oleh hidung suaminya pula. Akhirnya, dia hanya mencapai tin biskut tawar dan membawanya ke meja makan. Bersama segelas susu sejuk dia bersahur.
“Buat apa di bawah ni? Macam pencuri, makan senyap-senyap.”
Suara suaminya hampir membuatkan susu yang sedang diteguk tersembur. Dia tersedak-sedak jadinya.
“Kalau engkau nak puasa sangat, tak payah bersahur. Aku nak tengok sejauh mana engkau dapat bertahan.”
Zira hanya mampu termangu. Dalam keadaan itu, dia benar-benar kelu.
“Naik sekarang! Sebelum aku libas engkau lebih teruk lagi. Naik!!!” bentak Azhar.
Zira tidak menunggu lagi. Secepat yang mungkin dia menuju ke arah tangga. Belum tiba di tingkat atas, dia terdengar bunyi kaca dihempas ke lantai.
*****
Tengah hari keesokkannya, Zira dihubungi Umi.
“Puasa tak hari ni?” Suara Umi kedengaran riang.
Air mata Zira terus sahaja berlinang. “Puasa,” jawabnya setenang yang mungkin.
“Alhamdulillah, baguslah. Nanti kita buka puasa sama-sama, nak? Minggu kedua ke…”
Zira diam sahaja. Sesungguhnya tiada janji yang dapat diberikan. “Entahlah, Umi. Aku tak boleh janji.”
“Lain macam saja bunyi ni? Jangan kata Azhar….”
“Umi….” Zira terus menangis tersedu-sedu.
“Azhar tak kasi kau puasa ke? Isy!”
“Aku takut aku tak kuat, Umi.” Air mata Zira makin laju. Hanya Umi yang faham sikap Azhar bagaimana.
“Apa dia buat?”
“Dia… tampar aku. Dia libas aku dengan tali pinggang. Dia seperti tak siuman bila tahu aku nak puasa.”
“Sepatutnya… dia yang menangis. Sepatutnya, dia yang malu. Kerana sebagai seorang suami, dia gagal mendidik kau jadi muslimah. Malah dia yang rosakkan kau dengan gaya hidup yang kebaratan tu.”
Zira hanya menggeleng. Sejak bercakap dengan Umi semalam, mata hatinya bagaikan terbuka untuk melihat apa yang ada di sekelilingnya selama ini. Rumah yang besar tapi dipenuhi botol-botol arak pelbagai jenama dan harga. Patung-patung antik yang beribu-ribu harganya. Anjing-anjing yang comel dan diimport khas. Dunia apa yang ada di sekelilingnya? Dia sendiri menjadi ngeri.
“Tolong aku, Umi.” Dia merayu bersama esak tangis yang mengharukan. Dia buntu dan hampir pasrah.
“Berdoalah kepada Tuhan, Zira. Mengadulah kepada Dia. Minta Tuhan buka mata hati suami engkau tu untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Angkat tangan dan berdoalah, Zira. Air mata engkau tak dapat mencuci segala dosa dan najis dalam rumah engkau tu. Tapi dengan kekuatan hati, engkau akan berjaya nanti.”
 Zira hanya mampu menangis.
******
“Apa kau buat tadi?” Azhar terus membentak semasa balik ke rumah pukul 6.00  petang. Pada waktu itu Zira sedang memasak hidangan untuk berbuka puasa.
“Tak ada apa,” balas Zira dengan perasaan yang kalut. Suaminya sudah tahu? Sudah perasan?
“Di mana Johnny? Di mana Loise?” wajah Azhar semakin bengis. Tali leher yang dipakai direntap kasar.
Zira menelan air liur.
“Cakap! Kenapa Johnny dan Loise tak ada dalam sangkar?”
Air mata Zira menitik lagi. Apa yang harus dijawabnya? “Saya … saya dah serahkan kepada kedai haiwan.”
“Apa? Kau dah gila ke?’
Zira menggeleng. “Buat apa kita bela sedangkan kita orang Islam, bang? Bukannya anjing-anjing tu kita pelihara untuk jaga ladang.”
Azhar terkedu seketika. Kemudian dengan perlahan-lahan kulit mukanya memerah. Dia merapati Zira lalu merenggut rambut Zira sekuat hati.
“Sekurang-kurangnya pandang muka anjing-anjing tu lebih menyenangkan daripada pandang muka engkau!” Azhar menolak muka Zira hingga mencium dinding. Kemudian dia berlalu dari situ. Bagaimanapun beberapa saat kemudian suaranya bergema semula.
“Zira!!!”
Zira perlahan-lahan menjenguk dari pintu dapur. Dia segera tahu kenapa suaminya menjerit sebegitu lantang.
“Jangan kata engkau dah buang semua botol-botol aku tu!” Azhar bercekak pinggang berdekatan mini bar yang dibina berdekatan tangga. Berbanding hari semalam, kini mini bar itu telah kosong.
Zira cuma mendiamkan diri.
Namun sedar-sedar sahaja kepalanya sudah terhantuk ke bucu meja makan. Sakitnya bukan kepalang. Gelap pandangan matanya sebentar.
“Engkau betul-betul mencabar aku kan? Kau nak tunjuk kau alim. Kau nak tunjuk kau pandai.” Azhar mundar-mandir bagaikan orang yang hilang akal. Sambil itu dia menanggalkan tali pinggang yang dipakai.
“Kenapa kau buat aku macam ni? Kenapa?” Dua sebatan hinggap di tubuh Zira yang masih terjelepuk di atas lantai. Sebatan ke tiga hinggap bersama pekikan yang lebih kuat. “Kau nak tengok aku mati ya?”
Zira cuma dapat menggeleng lemah. Dia hanya pasrah jika juadah berbuka puasanya petang itu hanyalah air mata dan darah yang mengalir di bibir dan dahinya. Dia sedar dia banyak dosa. Semoga dengan segala kesakitan yang ditanggung, dosanya terlerai satu persatu. Dia hanya ingatkan Tuhan. Jika di mati sekali pun senja itu, dia hanya mahu mati dalam keadaan beriman dan insaf dari segala dosa-dosanya.
*****
Beberapa jam kemudian, Zira dengan tiba-tiba sahaja terjaga dalam suasana yang gelap gelita. Untuk beberapa saat, dia bingung dan termangu dalam kegelapan malam. Pukul berapa ni? Dia hela tubuhnya yang terperosok di bawah meja makan untuk bangun dan menyalakan lampu. Cuma dia yakin, hari telah pun larut malam dan Azhar tidak ada di rumah.
“Pukul 1.00 pagi?”
Dia berbisik sendiri apabila lampu dinyalakan dan matanya terpandang jam pada dinding dapur. Dengan sisa-sisa tenaga yang masih ada, diheret tubuhnya ke peti ais untuk mencari air sejuk. Bersama bacaan Basmallah, dia membasahkan tekaknya yang kehausan. Terasa betapa manisnya apa yang diminum walau hakikatnya hanyalah air sejuk semata-mata. Untuk seketika, dia terduduk di lantai di sisi peti ais. Dia termenung memikirkan bagaimana dia harus meneruskan hidupnya lagi.
Sedang termenung jauh, telefon bimbitnya yang terletak di atas kabinet dapur berbunyi. Apabila diperiksa sememangnya terdapat tujuh panggilan tidak berjawab di situ.
“Umi…” Dia terus memanggil dengan bibir yang bergetar.
“Engkau ke mana tadi? Puas dah aku telefon kau.”
“Aku… aku…”
“Buka pintu cepat! Aku ada dekat luar rumah kau ni,” sampuk Umi.
“Kau ada dekat luar?”
“Cepatlah buka!”
“Sekejap….” Zira memaksa dirinya untuk melangkah ke pintu hadapan. Setiap kali dia melangkah terasa urat-urat di kakinya tersentap. Ternyata libasan tali pinggang Azhar masih berbisa.
“Kau….” Umi terdiam apabila menyedari keadaan Zira yang kusut masai dan berpalit darah di sana-sini. Kemudian tanpa suara Umi terus menerpa dan memeluk tubuh Zira. Umi menangis tersedu-sedu.
Zira tolak sedikit tubuh Umi. Pelukan Umi hanya menjadikan tubuhnya bertambah sakit. “Kenapa kau datang rumah aku malam-malam macam ni…”
Umi melepaskan pelukannya. Dia menyapu air matanya yang gugur.
“Aku datang ni sebab nak bawa kau pergi hospital.”
Zira menggeleng.
“Tak naklah…aku…” Bagaimana dia harus ke hospital dalam keadaan yang macam itu? Apa kata orang yang melihatnya nanti? Dan dia sendiri tidak larat untuk berjalan jauh. Dia tidak ada tenaga.
“Azhar kemalangan, Zira…” Umi pandang muka Zira lama-lama.
Zira tersentak. Semuanya berubah gelap. Seketika kemudian dia terjelepuk pengsan.
*******
 Dua jam selepas itu…
“Umi….” Zira terus memanggil apabila tersedar semula di ruang tamu.
“Aku dekat sini.” Umi pegang tangan Zira kemas-kemas.
“Betul ke….”
Umi angguk.
“Dia kemalangan semasa ke kelab malam dengan Razak. Razak luka sikit saja, tapi dia… masih tak sedarkan diri. Sebab tu aku cuba telefon kau berkali-kali tapi kau tak angkat. Sebab tu juga aku datang ke sini tengok kau.” Umi hulurkan air susu kepada Zira.
Zira ambil dan teguk sedikit susu yang sudah dicampurkan gula. Fikirannya masih bingung. Dia tidak sedar sejak bila Azhar meninggalkan rumah.
“Aku tak sedar, Umi. Selepas dia pukul aku tadi, aku pengsan. Aku baru saja tersedar sebelum kau telefon aku tadi.”
“Kau belum makan apa-apa, kan?” tanya Umi.
Zira geleng.
Umi buka beg tangannya. “Cuba makan ni dulu.” Sebiji buah kurma dihulurkan kepada Zira.
Zira pandang muka Umi dengan air mata yang berlinang. Buah kurma itu disuapkan ke mulutnya.
“Umi… kau tahu di mana arah kiblat?” tanyanya perlahan.
“Kita akan cari….,” balas Umi.
*******
Dua hari selepas itu…
Jenazah Azhar telah selamat disemadikan di tapak perkuburan. Zira memilih untuk menaiki kereta bersama Umi berbanding memandu sendiri. Entah kenapa, dia berasa amat lemah sekali sehingga terpaksa meminta bantuan Umi dalam serba-serbi. Dia berasa seperti bayi yang baru belajar merangkak dan bertatih. Setiap apa yang dipandang kini tidak kelihatan sama lagi.
“Petang ni kita berbuka puasa bersama-sama ya? Kita solat sama-sama,” kata Umi.
“Di rumah kau,” balas  Zira.
Umi menggeleng. “Di rumah kau.”
“Tapi….”
“Kita cari arah kiblat rumah kau tu sama-sama. Kita boleh,” kata Umi. “Kalau kita tak pasti, kita panggil ustaz. Tak payah malu kalau kita tak tahu.”
Zira angguk perlahan-lahan. Walaupun Azhar sudah tiada, dia tidak akan membiarkan rumah itu terus gelap dari cahaya iman. Sesungguhnya Ramadan tahun ini telah menyinari jalan untuk mereka berdua pulang ke pangkal jalan…. Alhamdulillah.

*******************

Harapan Ramadhan Lyrics

by Raihan
Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna
Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula
Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna
Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti
Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Ku mengharapkan Ramadhan 
Kali ini penuh makna
Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna
Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna
Ku memohon pada Tuhan
diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan
diterima amalan
Selangkah demi selangkah
Dengan rahmatMu oh Tuhanku
Ku tempuh jua....

6 comments:

  1. you just have to kill someone, kan kak? :P
    syahdu dibuatnya. semoga kita semua akan sentiasa tahu arah kiblat kita. nice one kak! awat yang cemas sangat nak post tadi? heheheh

    ReplyDelete
    Replies
    1. heheh..tahu saja dia. Selalunya akak simpan saja cerita brutal-brutal macam ni.

      Delete
  2. dah agak akan ada orang yg mati.. sbb saya sndiri doakan dia mati bila baca tadi.. jahatkah saya ini? astaghfirullah...

    ReplyDelete
    Replies
    1. kalau tak matikan watak tu, akan jadi sebuah novel pula. Pendekkan sajalah, asal mesejnya sampai.

      Delete
  3. urgh...boleh plak bini nak puasa dia tampar.penyabar betul...kalu saya dah angkat kaki...

    ReplyDelete
    Replies
    1. saya pun, tapi memang wujud wanita yang tidak tahu bertindak apabila dizalimi atau didera.

      Delete

Note: Only a member of this blog may post a comment.