Thursday, July 5, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 21


"KAMI tutup tiga hari sahaja, pak cik. Jangan bimbang.” Hanisa berbual dengan seorang pelanggan yang baru sahaja membeli pelbagai ubat untuk simpanan. Daripada gaya pak cik itu bertanya berulang kali bagaikan takut benar kehabisan ubat padahal stok yang dibeli boleh menampung kegunaan selama sebulan.
“Pak cik nak berjalan jauh lepas raya ni, nak pergi Pulau Pinang ikut anak menantu pak cik beraya di sana.” Suara pak cik itu kedengaran seronok dan bangga.
Hanisa tersenyum, tidak tahu apa yang harus dijawab.
“Anak balik mana raya ni?” Tiba-tiba pak cik tua itu bertanya sambil tersenyum menampakkan sebaris gigi palsunya yang tersusun molek.
“Tak ke mana-mana, pak cik. Di sini saja.”
“Anak ni orang Kuantan?”
Hanisa mengangguk laju. Hatinya berdoa, janganlah ditanya macam-macam perkara lagi.
“Orang tua ada lagi?”
Pipi Hanisa terasa panas. Dia menggeleng. Baliklah pak cik! Dia mula menjerit dalam hati.
“Habis tu raya dengan suamilah ya? Anak dah berapa?”
Hanisa tergamam. Cuma matanya saja yang terkelip-kelip. Kelu lidahnya untuk menjawab apa-apa. Mujur dapat ditahan rasa marahnya yang mula berapi. Dia menyampah betul kalau ditanya soal peribadi, kalau ditanya pasal ubat tak mengapa.
Apabila melihatkan Hanisa terpaku di situ, pak cik itu segera meminta diri. “Pak cik balik dululah ya, nak ke pasar beli daun palas.”
Lega. Hanisa segera mengangguk, kalau boleh mahu dibukakan pintu luas-luas. Setelah pak cik itu pergi, Hanisa melayan beberapa orang pelanggan yang lain. Ada yang mahukan ubat demam, selsema, gastrik, sakit kepala dan pelbagai lagi. Hanisa tidak henti-henti bergerak ke hulu ke hilir sehingga kakinya mula berasa lenguh. Pendek kata hari itu dia benar-benar bekerja kuat untuk menolak rasa sedihnya ke tepi.
Sedang dia berehat sebentar di dalam ofis, pintu ofisnya diketuk.
“Cik Hanisa, ada hadiah untuk cik.” Mei Lin men-jenguk di muka pintu. Pandangan matanya takut-takut.
Hanisa mendongak.
“Hadiah? Hadiah apa pula?” Seingat dia, dia tak pernah menyertai apa-apa pertandingan, jadi macam mana dia boleh dapat hadiah pula? Pelik. Dengan tiba-tiba sahaja, pintu ofisnya dikuak lebih lebar oleh Intan sementara Mei Lin masuk sambil mengheret sebuah bungkusan hamper yang hampir mencecah alang pintu.
“Siapa yang punya?” Matanya masih memerhati hamper itu dengan penuh rasa takjub. Besarnya!
“Cik Hanisalah,” jawab Mei Lin dengan pasti.
“Saya? Siapa hantar?”
Mei Lin mengangkat bahu. Lalu bersiap untuk keluar dari situ.
“Betul ke untuk saya?”
“Itu ada kad,” kata Mei Lin laju sambil jarinya menuding ke arah sekeping kad kecil berwarna merah muda yang terlekat pada bungkusan hamper itu. Setelah itu dia terus menarik pintu ofis dan lari.
Hanisa mengambil kad yang terletak elok di dalam sampulnya. Sambil jarinya menarik kad itu keluar, fikirannya tidak habis-habis dari memikirkan kemungkinan yang menakutkan dia. Dari Abang Ikramkah? Namun air mukanya berubah tatkala matanya menatap apa yang tertulis pada kad itu.
~Selamat Hari Raya. Maaf kerana membuat awak marah tapi awak makin cantik bila marah~Aidil Borhan~
Kad itu diambil lalu diselitkan di dalam diari.
N
KESIBUKAN pengunjung pasar raya di seberang jalan, menarik perhatian Borhan. Matahari pagi yang semakin meninggi, membangkitkan keriangan dan merancakkan suasana sambutan Syawal. Di dalam keletihan berpuasa, dia melihat pengunjung tetap bersemangat tanpa sungutan.
Ada yang mengheret beberapa orang anak kecil serentak dan ada yang berbondong-bondong datang bersama keluarga. Yang tua dan yang muda, semuanya kelihatan begitu teruja membeli-belah bersempena hari raya yang bakal menjelang. Suasana yang tidak pernah dilihatnya di Melbourne selama ini. Namun yang lebih aneh, dia teringin untuk menjadi sesibuk itu. Dia ketawa kecil sebelum dia tersentak dek sergahan Mei Lin.
“Aiya, Encik Borhan… Apa yang encik tulis dalam kad tu?” 
“Selamat Hari Raya. Kenapa?” jawabnya separuh jujur. Riak wajah Mei Lin sudah cukup membayangkan sesuatu yang buruk telah berlaku. Dan dia sudah dapat menjangkakan apa dia.
Mei Lin menggeleng beberapa kali.
“Marah lagi? Biar saya jumpa dia.” Borhan melangkah sambil menarik pintu kedai. Bimbang juga kerana kedegilannya, Intan dan orang lain pula yang dibaling botol vitamin.
“Jangan! Kalau encik jumpa dia sekarang, dia akan jadi semakin marah. Esok-esok sajalah, bila dia sudah sejuk semula.” Mei Lin beria-ia memberi nasihat.
Borhan tidak jadi membuka pintu. Riak wajah Mei Lin yang cemas itu membuat dia berasa serba salah. “Baiklah, biarkan saja dulu.”
“Encik Borhan… hamper dia banyak besar. Hamper kami kecil saja. Ada apa-apa ke?” Mei Lin tersenyum.
“Supaya susah sikit dia nak baling…,” jawabnya sebelum meminta diri dan beredar pergi dengan ketawa kecil. Dia bukan sengaja mahu menyakitkan hati Hanisa dia cuma mahu Hanisa tahu dia juga bukan seorang yang mudah mengalah.
N
BARU hendak menghidupkan enjin kereta, telefon bimbitnya berbunyi. Dia segera menjawab.
“Tak apalah, biarkan saja dia,” jawabnya kepada Richard.
“Saya dah nasihatkan dia tadi, tak tahulah boleh jalan ke tak. Harimau sudah tua memang susah mahu dijinakkan,” kata Richard pula.
Spontan Borhan ketawa kecil. Richard tak habis-habis dengan harimau. Selepas menggelarkan Hanisa harimau betina sekarang bertukar menjadi harimau tua pula. Kalaulah Hanisa dengar mungkin runtuh kedai farmasi itu diamuknya.
“Jangan lupa jemputan saya semalam,” katanya dengan senang hati.
“Mana boleh lupa? Pukul 7.00 malam saya sampai sana. Dia tak mahu ajak ke?”
“Kita mahu makan nasi. Kalau dia ada, dia kasi kita makan pinggan, semua dibalingnya,” usik Borhan sambil ketawa. Makin lama soal kebengisan Hanisa tidak lagi menggerunkan dia. Dia sedar, kalau dia tidak berputus asa, satu hari nanti hati Hanisa akan terbuka juga untuk dia.
“Okeylah tapi soal tadi tu… sejak bila pula awak mahu beli share kedai tu? Nasib baik saya pandai cover.”
Kali ini Borhan tergelak besar. Dia sendiri terkejut dengan idea spontan itu. Yang bagusnya idea itu membuatkan Hanisa terus terdiam. “Kalau ikut rasa marah, bukan saja saya beli share kedai tu, bangunan kedai tu pun saya beli tapi… saya tahu dia pun acah saja. Kalau betullah dia marah saya, kenapa dia tak baling botol tu ke muka saya?”
“Betul tu,” jawab Richard.
“Tapi tadi saya baru hantar hamper pada dia. Harap dia tak baling sesiapa pula.”
“Ya ke? Kalau macam tu, saya balik kedai tengok dia. Makin dekat raya, dia makin bengis.”
“Awak tahu kenapa?”
“Waktu-waktu macam ni, tentulah dia sedih.”
“Sedih?”
“Dia tak ada family mahu raya sama-sama,” sendu sahaja Richard menjawab sebelum memutuskan panggilan.
Borhan menarik nafas panjang. Hanisa sedang bersedih? Dia juga….

4 comments:

  1. Baca sikit-sikit macam ni...lagi buat tk sabar nk pegang buku.

    ReplyDelete
  2. Suka abg Borhan.. Jadi penjinak harimau betina..
    Jgn2 diaorg ni sepupu tak?..

    -ina-

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih, Ina. Jauh lagi perjalanan mereka berdua ni...

      Delete

Note: Only a member of this blog may post a comment.