Tuesday, July 17, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 28


BORHAN menjadi kelu dan kaku. Dia tidak pernah menyangkakan yang Hanisa akan datang ke situ. Richard pun tidak memberitahunya apa-apa mengenai hal itu tetapi apakah tujuan sebenar Hanisa ke situ?
“Jangan pandang saya macam tu. Saya cuma datang nak hantar hamper awak balik,” kata Hanisa sambil menuding jari ke arah hamper yang tegak berdiri di sebelahnya.
Mata Borhan tidak berkalih. Sedikit pun dia tidak memandang ke arah hamper yang ditunjukkan Hanisa. Itu tidak penting langsung kepadanya cuma inilah kali pertama dia berjumpa dengan seorang gadis yang sebegitu keras hatinya.
“Kenapa tak buang saja?”
“Saya tak mahu awak fikir saya menerima pemberian awak.”
Borhan menghempas nafas. Kenapalah susah sangat gadis yang bernama Hanisa ini menerima pemberian orang lain? “Saya tak berniat buruk. Saya cuma ingin membalas budi baik awak dulu kepada saya.”
“Saya tak perlukan balasan awak. Berhentilah hantar pada saya macam-macam. Ni mangkuk tingkat semalam.” Hanisa menghulurkan mangkuk tingkat Mak Yah.
Borhan angguk. Mangkuk tingkat itu diambilnya. “Saya akan berhenti. Awak tak perlu risau lagi.”
Mendengarkan jawapan Borhan, Hanisa terus berpaling pergi tanpa sebarang ucapan selamat tinggal sayangnya sebelum sempat dia menapak jauh ada suara lain menegurnya.
“Eh! Dah nak balik dah? Masuklah dulu.” Tiba-tiba Mak Yah muncul di sebelah Borhan yang masih kaku tidak bergerak.
Teguran itu membuatkan Hanisa menoleh ke belakang. Dalam keterpaksaan dia menghadiahkan seulas senyuman tawar kepada Mak Yah.
“Tak apalah, mak cik. Saya… sekejap saja ni. Datang nak hantar barang,” jawab Hanisa apabila keberaniannya tiba.
Mak Yah bergerak menghampiri Hanisa lalu menarik tangan Hanisa ke dalam. “Masuklah dulu. Panas di luar ni. Mari masuk. Mari!”
Bagaikan kena culik, Hanisa terpinga-pinga. Tanpa sedar kakinya memijak lantai rumah Borhan dan merelakan dirinya diheret oleh perempuan yang dia sendiri tidak pasti lagi siapa.
Melihatkan keadaan itu, Borhan terasa cemas. Mak Yah tidak tahu dengan siapa dia berdepan, malah Mak Yah tidak tahu yang dia sedang mengheret harimau betina! Dia garu kepala.
N
AKHIRNYA Borhan berpaling ke belakang lalu dengan perlahan mengekori Mak Yah dan Hanisa ke ruang dapur rumahnya. Tetapi mulutnya masih terkunci. Dia tidak dapat menghalang atau melakukan apa-apa. Semuanya seolah berlaku terlalu pantas.
“Puasa?” tanya Mak Yah dengan selamba kepada Hanisa.
Hanisa mengangguk cepat.
“Kalau tak puasa, cari-carilah air dalam peti ais tu. Kuih pun ada.”
“Tak apa, makcik. Saya berpuasa,” jawab Hanisa serba kekok. Mahu tidak mahu dia duduk bersimpuh di sebelah Mak Yah.
“Semalam kenapa tak datang?”
Air muka Hanisa berubah merah padam. “Ada kerja,” jawabnya.
Borhan juga berasa cemas. Dia tahu Mak Yah sengaja menguji Hanisa padahal Mak Yah sudah tahu Hanisa tidak dijemput.
“Tuan Borhan! Kata nak belajar anyam ketupat? Mari sini, biar kawan ni ajarkan.” Mak Yah memandai-mandai memberi cadangan. Borhan dan Hanisa sama-sama terlopong.
“Mari sini,” gesa Mak Yah. Tangannya melambai ke arah Borhan yang masih kaku di tepi pintu dapur.
Belajar anyam sarung ketupat? Bila masa pula dia nak belajar menganyam sarung ketupat? Mak Yah ni macam-macam, rungut hatinya. Belajar dengan harimau betina pula tu, pandai ke harimau anyam sarung ketupat? Makan daging bolehlah.
“Kenapa tercegat di situ? Marilah sini.” Mak Yah menepuk tikar di sebelahnya.
Dengan perasaan yang sarat, Borhan melangkah. Dia tidak tahu bagaimana mahu bereaksi dan berdepan dengan Hanisa dalam situasi seperti itu. Mungkinkah mereka akan bertengkar di hadapan Mak Yah?
“Tahu anyam ketupat?” Mak Yah memandang tepat ke mata Hanisa setelah Borhan duduk di sebelahnya.
“Boleh. Sikit-sikit,” jawab Hanisa.
“Ha, ajar Tuan Borhan ni. Dia ni sejak lahir tinggal di Australia. Dahlah tak tahu anyam ketupat, tak tahu itu, tak tahu ini,” celoteh Mak Yah sambil melonggokkan setimbun daun kelapa muda di hadapan Hanisa.
Bagaikan hendak terhenti terus detak jantungnya. Matanya hampir terbeliak melihat daun yang banyak itu. “A.. ajar? Ajar dia?” tanya Hanisa sambil mengerling ke arah Borhan.
“Haah, tolong ajar dia sampai pandai. Mak Yah sibuk ni, nak potong ayam, nak potong daging. Nak harap Pak Harun, dia lagi sibuk di luar tu. Boleh?” jawab Mak Yah sambil duduk meneruskan kerja-kerjanya memotong ayam.
“Kalau ramai yang membuatnya, cepatlah siap. Lagipun itulah cara orang-orang dulu merapatkan persaudaraan yang renggang. Maklumlah raya setahun sekali, bertemu pun mungkin setahun sekali,” tambah Mak Yah lagi.
Wajah Hanisa nampak seperti bingung tetapi dia tidak pula membantah. Perlahan-lahan daun kelapa muda itu diambil dan dililit di jari-jemarinya.
Untuk sesaat, Borhan terpana menyaksikan detik itu. Berbeza dengan wajah Hanisa yang selalu tampak garang dan keras, waktu itu gadis itu kelihatan bak gadis pemalu dan lemah lembut orangnya.
“Dalam sibuk-sibuk buat kerja ni, Mak Yah terlupa nak tanya nama cik.” Mak Yah tersengih.
“Hanisa,” jawab Hanisa pendek. Dia masih lagi menekuni usahanya untuk menganyam sarung ketupat.
“Sedap nama tu. Memang asal sini?” Mak Yah terus mengorek cerita sambil tangannya tangkas memotong dan menyiang.
Hanisa menggeleng.
Selepas itu Mak Yah terus bertanya satu demi satu pertanyaan kepada Hanisa dan anehnya Hanisa menjawab semua pertanyaan itu dengan baik sekali sehinggakan Borhan bertambah hairan. Boleh pula harimau ni bercakap baik-baik?
“Boleh?” Mak Yah melirikkan matanya ke arah Hanisa yang masih terkial-kial menyiapkan sarung ketupat yang pertama.
“Erm….”
“Marilah sini, Mak Yah tunjukkan.” Mak Yah menolak ke tepi besen yang sudah dipenuhi potongan ayam. Memanjangkan lengannya menjangkau daun-daun kelapa muda lalu dibawa ke atas riba. Pantas sahaja jari-jari tuanya memutar dan memilin daun-daun itu menjadi sarung ketupat yang comel.
Hanisa terkulat-kulat pada mulanya kemudian dengan pantas dapat melakukannya.
“Boleh pun! Yalah… setahun sekali saja kita menganyam ni, kalau tak disimpan dalam hati mesti terlupa,” kata Mak Yah lagi. “Bolehlah ajar Tuan Borhan tu. Terkial-kial. Terbelit-belit.”
Baik Hanisa mahupun Borhan sama-sama tidak memberikan respons kepada kata-kata Mak Yah tadi, masing-masing sibuk bermain dengan daun kelapa muda tanpa bersuara.
“Rumah mak ayah cik, di mana?” Soalan dari Mak Yah membuat Hanisa termangu.
“Di Kuala Lumpur.”
“Tak balik raya ni?”
Hanisa menggeleng.
“Mak ayahnya ada lagi? Adik beradik ada berapa?” Mak Yah seperti  belum berpuas hati.
“Mereka dah tak ada. Dah meninggal. Abang ada seorang. Dah kahwin,” jawab Hanisa perlahan.
“Sama saja nasib kamu berdua. Tuan Borhan pun dah tak ada mak ayah. Semuanya dah meninggal di Australia. Cik ada juga abang tempat bermanja, Tuan Borhan ni harap Mak Yah saja tempat mengada,” celoteh Mak Yah lagi sambil ketawa.
Hanisa tersenyum nipis kemudian tunduk semula menyambung anyamannya.
“Air muka kamu berdua pun, Mak Yah tengok seiras saja. Macam serasi saja orang tua-tua kata,” sambung Mak Yah lagi. Tangannya tetap laju menganyam sebiji demi sebiji sarung ketupat di hadapannya. Sama laju dengan mulutnya.
“Ehem,” Borhan berdeham.
Mak Yah buat-buat tuli. “Esok raya, datanglah ke sini lepas solat sunat tu ya, ajak kawan-kawan sekali datang. Rumah ni memang sunyi, maklumlah Tuan Borhan ni baru pindah ke sini jadi belum ramai kawan. Bandar Kuantan tu pun dia belum habis pusing lagi.”
Borhan menggaru kepala. Makin lama, entah apa-apa Mak Yah berceloteh. Mak Yah bukannya kira orang mahu mendengar ataupun tidak, yang penting dia bercakap apa yang dia mahu cakap. Tetapi elok juga, diharapkan dirinya sendiri, dah lama mati kutu di situ.
“Satu pun tak siap?” Dengan tiba-tiba Mak Yah menyergah Borhan. “Ajarkan dia,” gesa Mak Yah kepada Hanisa sebelum bangkit mengangkat besen ke sinki.
“Mak Yah, saya nak….” Hanisa teragak-agak bersuara, dia sudah memegang beg tangannya.
“Nak bekas sarung ketupat ya, sekejap Mak Yah ambil di stor,” jawab Mak Yah sambil menonong pergi tanpa dapat ditahan Hanisa.
Borhan tergelak dalam hati. Dia tak tahu siapa yang lebih pintar, Hanisa ataupun Mak Yah!
N
“JANGAN salah faham. Saya berada di sini bukan kerana nak sangat tengok muka awak tu, saya cuma hormat pada orang tua.” Tanpa basa-basi, Hanisa bersuara setelah tubuh Mak Yah menghilang.
    “Awak yang salah faham pada saya. Saya buat baik pun, awak layan macam saya buat jahat,” jawab Borhan. Daun kelapa muda yang terbelit di jari-jemarinya makin berbelit.
    “Saya tak salah faham, saya memang tak mahu faham.”   “Tapi kenapa? Sebab saya terhantuk kepala awak jadi awak marah saya sampai sekarang? Kalau kita tak terhantuk malam tu, adakah awak akan layan saya lebih baik?”
    Hanisa terdiam.
    “Saya tak fikir awak layan semua lelaki seperti awak layan saya. Jadi apa bezanya saya pada mata awak? Hina sangat ke saya ni?”
    “Saya…”
“Wah… rancaknya orang ni berbual. Jangan lupa kita ni berpuasa, nanti haus tekak tu,” sampuk Mak Yah yang masuk menghantar besen.
Hanisa sekadar tersenyum tawar. Dia terus bangun mengambil beg tangan dan bersalam dengan Mak Yah.
“Nak balik dah? Janganlah balik dulu.” Mak Yah mencegah.
“Saya dah terlambat ni, mak cik. Patutnya tadi datang sekejap saja,” balas Hanisa.
“Haah, tak boleh balik dulu sebab Pak Harun tengah basuh kereta cik tadi. Tunggulah sekejap lagi ya. Dah siap nanti, Pak Harun beritahu,” sampuk Pak Harun pula yang kebetulan masuk ke situ mengambil baldi.
Hah? Borhan tersentak. Pak Harun basuh kereta Hanisa? Habislah…. Muka Hanisa sudah seperti dilanda angin puting beliung!

2 comments:

  1. Mak yah ngan pak harun mmg panjang akal... Dengan Borhan bolehlah Hanisa nak berkurang ajar...

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.