Friday, August 31, 2012

GLAS--Z : Bab 10



BAB 10
SELEPAS kereta yang dipandu Nella bergerak meninggalkan kawasan rumah, Rita pula bergegas ke IPB. Setelah empat hari bercuti, dia merasakan tempat itu telah jauh berubah. Walau pada pandangan mata, segalanya tetap sama namun di jiwanya rasa berbeza. Tanpa Ari dan Jeffri, Institut itu hanya jadi sebuah pusat penyelidikan yang beku dan kaku.
Dia menuju ke makmal 77, di mana tempatnya bertugas. Semasa dia tiba, empat orang pemuda yang menjadi bahan ujikaji di dalam makmal 80 malam itu, baru sahaja terjaga. Mereka dijaga dan dibantu oleh beberapa orang pembantu makmal yang bertugas pada pagi itu. Itu rutin biasa.
Selepas menyarung kot makmal ke tubuhnya, dia segera memerhati data-data di skrin monitor di situ. Seperti biasa, dia akan mencetak dan mengumpulkan semua data itu ke dalam beberapa buah fail. Fail yang dikumpulkan itu perlu diserahkan kepada Dr. Sid.
“Semangat nampaknya,” tegur Faruk yang baru tiba di situ bersama sebuah fail di tangannya.
Rita tersenyum. Melihat wajah Faruk, hatinya tenang sedikit. Entah kenapa sejak pagi tadi, hatinya asyik berdebar sejak masuk ke situ. Mungkin kerana kedatangannya kali ini mempunyai tujuan yang lain selain menjalankan tugas.
“Dah dapat bukti tu?” tanyanya lagi.
Faruk segera mengerutkan dahi. Dia memberikan isyarat agar Rita mengikutnya keluar dari situ.
Rita tersentak tetapi tidak membantah. Kini dia meninggalkan makmal 77 lalu mengekori Faruk ke suatu arah. Setibanya di taman di luar makmal, Faruk mengajaknya duduk. Dia menurut tanpa bertanya.
“Pukul berapa mereka bertolak tadi?” Faruk terus membuka mulut.
“Dekat pukul tujuh.”
“Nella masih tak cakap dia nak ke mana?”
Rita menggeleng.
Faruk menyerahkan fail yang dipegangnya kepada Rita. “Ni aku jumpa di bilik ayah aku. Aku rasa fail ni ada kaitan dengan hal itu.”
Fail yang diserahkan Faruk segera dibelek oleh Rita. Matanya sempat melihat data-data yang tertera di situ sebelum fail itu ditutup oleh Faruk.
“Jangan di sini. Kau kena hati-hati sikit. Aku takut Dr. Sid atau sesiapa syak apa-apa.”
“Ni salinan asal ke? Bagaimana kalau ayah kau sedar fail ni hilang?” balas Rita. Dia sudah teruja untuk meneliti data-data itu, gerak hatinya kuat mengatakan dia akan dapat mengesan sesuatu.
“Takkan aku sebodoh itu? Ini salinan pendua.”
Rita angguk perlahan.
“Kau tak pernah tengok data Ari, kan?”
“Tak pernah. Ari berbeza. Selalunya hanya Dr. Sid dan ayah kau yang uruskan dia. Aku cuma jaga bahan ujikaji makmal 80.”
“Kau tak pernah masuk ke dalam makmal 91?”
Rita menggeleng.
“Aku rasa kau kena ke sana.”
“Bagaimana?”
“Carilah jalan. Dr. Sid dan ayah aku bukan selalu berada di situ,” balas Faruk.
“Tapi kunci makmal tu hanya dipegang oleh mereka berdua. Macam mana aku nak masuk?”
Faruk terus menyeluk poketnya. Sekeping kad plastik dikeluarkan.
“Nah! Kau masuk dan cari apa saja yang kau rasa boleh membantu siasatan kau.”
Rita tercengang apabila melihat kunci makmal 91 di tangan Faruk.
“Bagaimana kau dapat kunci ni?”
“Ni kunci pendua. Aku upah orang buat salinan kunci ayah aku.”
“Kenapa kau tak masuk sendiri?”
“Kalau aku yang masuk, apa aku nak cari? Aku bukan tahu apa-apa pasal kajian ni?”
“Di dalam tu ada CCTV tak?”
Faruk menggeleng. “Aku dah pastikan tak ada CCTV atau apa-apa pengesan. Dr. Sid dan ayah aku yakin betul yang makmal itu tidak akan dicerobohi sesiapa.”
Mata Rita terkelip-kelip.
“Apa yang mereka simpan dalam tu?”
“Itu… kau kena tengok sendiri,” balas Faruk.
Rita termenung panjang.
*******
   Sementara itu di sebuah jalan raya menuju ke arah Barat, kereta yang dipandu Nella meluncur laju.
“Kita tak boleh terus macam ni.” Ari berkata. Sudah hampir sejam berada di dalam kereta, tidak sepatah pun perkataan keluar dari mulut Nella. Tahap kesabarannya sudah sampai paras maksima tetapi Nella terus buat tidak peduli saja. “Berhentikan kereta!”
Nella hanya menjeling tajam, dia tetap meneruskan pemanduannya dengan tenang.
“Aku kata berhentikan kereta!” Ari semakin bengang dengan sikap Nella.
“Kau siapa nak perintah aku pula?” balas Nella.
“Boleh pun bercakap.”
Nella kembali diam.
“Turunkan aku di sini. Kau… baliklah ke rumah,” sambung Ari. Dia sudah nekad. Perasaan bersalah dalam dirinya sudah bertukar kepada perasaan marah kepada dirinya sendiri.
Nella menggeleng. “Aku dah janji dengan Rita dan Faruk. Jadi aku kena hantar kau ke sana juga.”
“Tak payah. Turunkan saja aku di mana-mana. Cukuplah aku menyusahkan kau orang semua.”
“Kalau nak turun juga, terjunlah. Kalau nak aku berhentikan kereta ni… minta maaf. Aku akan buat apa yang aku kata. Janji aku bukan janji main-main,” balas Nella sama tegas. Sama keras.
Ari mengeluh. Nampaknya segala yang dia harapkan tidak akan menjadi kenyataan. “Aku tahu kau marah pada aku. Sebab tu aku minta kau turunkan aku di tepi jalan saja. Kau baliklah.”
 “Memang aku marah pada kau. Dalam ramai orang di dunia ni, kenapa kau libatkan kakak aku pula? Sekarang, tak pasal-pasal aku pula yang terlibat sama.”
“Kau fikir aku sengaja pilih kakak kau? Aku sengaja buat supaya aku dituduh membunuh, macam tu?” balas Ari.
“Manalah aku tahu?” Nella angkat bahu.
Hati Ari semakin panas.
“Berhentikan kereta! Kenapa degil sangat?” katanya.
“Kau nak buat supaya aku pula yang nampak teruk, kan?” bentak Nella. “Kau ni memang manusia paling teruk aku pernah jumpa.”
Ari tarik nafas panjang-panjang. Perangai Nella membuatnya semakin bengang. Dia cuma mahu menyelesaikan masalah itu secepat mungkin itu sahaja. Tidak guna jika Nella menemaninya jika Nella bersikap begitu. Hatinya yang tersiksa setiap saat.
“Tolonglah jangan rumitkan lagi keadaan. Aku minta dengan baik, kau turunkanlah aku di tepi jalan. Kau baliklah ke rumah kau. Aku tak akan salahkan kau. Aku akan terangkan kepada Rita dan Faruk nanti.”
“Okey… kalau kau nak turun sangat, kau turun!” Nella akhirnya menekan brek, keretanya meluncur hingga ke tepi semak.
Ari pandang wajah Nella yang kemerah-merahan menahan marah. Tanpa sepatah kata, dia mencapai beg sandangnya lalu keluar dari kereta Nella.
Sebaik sahaja pintu kereta ditutup, kereta Nella terus mendecit laju masuk semula ke jalan raya.
Ari hanya memandang sahaja kereta Nella bergerak pergi. Sekurang-kurangnya Nella tidak akan rasa terbeban lagi dengan dirinya walaupun dia sendiri tidak tahu di mana dia sedang berada.

Wednesday, August 29, 2012

GLAS--Z : Bab 9



Bab 9
ARI tersedar kira-kira pukul 6.00 pagi. Seperti hari semalam, tidurnya diganggu oleh kokokan ayam dan juga kejutan oleh salah seorang daripada adik Rita. Satu perkara yang dia sedar adalah sejak meninggalkan institut, tidurnya terlalu nyenyak dan tubuhnya tidak lagi lesu apabila bangun pagi.
Setelah mandi dan bersiap, dia hanya duduk di dalam bilik. Keriuhan di luar bilik menimbulkan rasa segan untuk dia berada di sana. Dia percaya Rita pasti sedang sibuk menyiapkan adik-adiknya untuk ke sekolah. Jadi, biarlah dia hanya menunggu di situ.
Ketukan di pintu membuat dia tersentak. Belum sempat menjawab, sudah terjengul wajah Rita di celah pintu.
“Dah bangun? Kalau dah… kemaskan baju kau.”
Ari terpinga-pinga. Darahnya terasa menyerbu ke muka.
“Selepas minum, Nella nak bawa kau ke tempat lain,” terang Rita apabila menyedari yang Ari terkejut.
“Hari ni?”
Rita angguk. Kemudian dia menutup pintu bilik Ari semula.
Ari termangu seketika. Dia tidak sangka secepat itu, rancangan yang dibincangkan malam tadi dilaksanakan. Tanpa berlengah lagi, dia segera mencapai pakaiannya dan juga tuala. Semuanya disumbat sahaja ke dalam beg sandang yang dibawa dahulu. Dipastikan juga beg dompet dan duit pemberian Faruk malam tadi dibawa bersama. Setelah memastikan tidak ada barang yang tertinggal, dia melangkah keluar dari situ.
******
RUANG TAMU rumah Rita sudah kosong sewaktu dia tiba di situ. Dia pun meletakkan beg sandangnya di atas kerusi sementara menanti dipanggil Rita. Entah kenapa hatinya rasa sayu pula untuk meninggalkan rumah itu.
“Dah siap?” Rita menegur sebaik sahaja keluar dari bilik makan.
Ari angguk. Apa yang hendak dikemaskan pun? Baju hanya ada dua tiga helai.
“Kalau macam tu, mari kita makan dulu.” Rita berpatah balik ke bilik makan.
“Adik-adik dah ke sekolah?” Ari bertanya sambil mengekori Rita.
Rita menoleh.
“Hari ni sekolah cuti. Jadi aku hantar mereka balik ke rumah masing-masing.”
Ari tersenyum tawar. Adakah tindakan Rita itu kerana adik-adiknya bercuti ataupun sebagai langkah keselamatan kerana dia berada di situ? Dia biarkan sahaja hatinya tertanya-tanya. Kerana apa pun sebabnya Rita berhak melindungi mereka.
“Duduklah, kenapa tercegat lagi?” Rita bertanya apabila Ari tercegat sahaja di muka pintu. Dia menoleh sekilas ke arah Nella yang sudah berada di meja makan.
Ari memandang ke arah Nella yang hanya tunduk menikmati mi goreng dalam pinggannya. Sejak bertemu dengan gadis itu, dia dapat merasakan yang Nella jauh berbeza daripada Rita. Rita seorang yang peramah namun Nella sebaliknya.
Sepinggan mi goreng yang masih panas diletakkan di hadapannya oleh Rita. Begitu juga secawan teh. Namun kesemuanya tidak disentuh oleh Ari, dia masih menanti satu penjelasan.
“Jadi… sekejap lagi kita berpisah,” kata Rita. Dia memandang Ari dan Nella silih berganti. “Aku harap kau tolong jaga adik aku. Kau pun tahu bukan senang aku nak lepaskan dia.”
“Kau jangan bimbang. Aku berjanji akan lindungi dia dengan nyawa aku. Aku berjanji akan bawa dia balik ke rumah ni semula,” kata Ari.
Nella masih tidak bersuara.
“Mahu tak mahu, hanya janji kau yang aku ada,” balas Rita. Kemudian dia menoleh ke arah Nella pula, “Nella, jangan lupa telefon kakak setiap hari. Jangan tukar nombor telefon tanpa memberitahu kakak. Sekurang-kurangnya hantar mesej.”
Nella angguk. Wajahnya tetap muram.
“Tapi boleh aku tahu kami akan ke mana?” tanya Ari.
 “Kalau aku sebut pun, kau tak tahu  tempat tu di mana. Jadi ikut sahaja ke mana yang Nella bawa. Sebelum keluar dari negeri ini, pastikan kau sentiasa memakai cermin mata hitam dan topi.”
Tanpa sempat Ari memahami arahan Rita, sebuah topi biru dan sepasang cermin mata hitam diletakkan di hadapannya. Dia pandang Rita.
“Aku punya. Sementara kau beli, pakailah dulu,” kata Rita.
Ari tidak membantah namun wajah muram Nella membuatkan dia berasa tidak sedap hati.
******
SELEPAS bersarapan, Ari hanya duduk di ruang tamu. Sesungguhnya dia masih terkejut dengan rancangan Rita dan Nella. Namun dia tidak mahu mendesak.
“Kakak nak pergi dah?” Nella menegur Rita yang sudah berganti pakaian. Dia juga sudah keluar dari bilik tidurnya bersama beg pakaian yang dibawa semalam.
“Belum lagi. Kakak tunggu Nella dan Ari pergi dulu.”
Nella tarik nafas. Dia dan Rita sekarang saling berdiri berhadapan. Tidak lama kemudian Nella memeluk Rita erat-erat.
Rita membalas pelukan adiknya dengan mesra. Belakang Nella diusap-usap. “Everything will be fine,” bisiknya. “Just keep in touch.”
Tiada balasan dari Nella. Dia sekadar angguk sambil menahan air matanya dari gugur.
Rita hanya tersenyum tawar.
Ari yang melihat adegan itu makin rasa bersalah. Belum sempat dia memujuk hatinya sendiri, Nella sudah mengangkat beg pakaiannya keluar dari situ. Ari segera tahu masanya sudah tiba untuk dia meninggalkan rumah Rita.
“Aku ucapkan terima kasih pada kau sebab sudi tolong aku dua tiga hari ni,” katanya seraya mendekati Rita di muka pintu. Tidak ada apa yang dapat diberikan untuk membalas budi baik Rita sekeluarga.
“Tolong jaga adik aku,” balas Rita. “Tolonglah.”
Ari sekadar dapat mengangguk. Dia tahu tiada kata-kata yang dapat melegakan hati Rita pada saat itu. Rita nampaknya terlalu susah hati untuk melepaskan Nella pergi bersama dia. Dia tahu Rita dan Nella juga rasa terpaksa.
“Aku akan hantar dia balik dengan selamat.”
Dia sudah memutuskan untuk menyuruh Nella pulang sebaik sahaja tiba di tempat yang baru. Cukuplah setakat ini dia menyusahkan keluarga itu. Dia rasa benar-benar bersalah.

Tuesday, August 28, 2012

Catatan Temu bual Nasi Lemak Kopi O (TV9) dan penjelasan mengenai novel ERTI CINTA.

Di studio NLKO, sebelum rancangan bermula.

Pada hari Jumaat (24 Ogos 2012) yang, saya telah ditemu bual dalam segmen Kaki Buku di TV9 dalam rancangan  siaran langsung Nasi Lemak Kopi O yang disiarkan setiap pagi Jumaat.

Oleh kerana saya tinggal di Melaka, saya dan suami meninggalkan rumah sekitar pukul 5.00 pagi dan berhenti untuk sarapan dan bersolat di R&R Seremban. Selepas itu kami bergegas ke KL, sayangnya kami terlepas simpang yang sepatutnya membawa kami terus ke Damansara. Oleh itu terpaksalah kami meneruskan perjalanan dan berpusing semula mencari jalan ke Sri Pentas. Dan alhamdulillah, kami sampai di TV9 pada pukul 7.27 pagi. Hanya 3 minit sebelum pukul 7.30 pagi , waktu yang telah ditetapkan oleh Cik Norhakimi.

Sewaktu saya tiba, saya disambut oleh seorang crew di situ dan terus dibawa ke bilik make up untuk touch up. Lalu muka tua ni pun ditepek-tepek bedak, dipakaikan blusher (sudah berpuluh tahu tak pakai) kemudian selesai. Sementara menanti pukul 8.30 pagi tu, saya dan suami lepak sajalah di sebuah tempat menunggu di luar studio sambil melayan FB dan berbual.

Masanya pun tiba, saya dipanggil masuk ke dalam studio dan dipasangkan mikrofon di bawah tudung. Sempat jugalah mikrofon tu terhempas ke lantai sekali. Kemudian dibawa duduk di set Kaki Buku yang saban minggu saya lihat di kaca TV dan bertemu dengan Hunny Madu, pengacara pagi itu.

Sebelum bermula, ada sedikit praktis dan diberi 'amaran' oleh Hunny. Katanya, "Akak jangan terperanjat tau. Nanti Hunny serius." Saya senyum saja. kalau serius, memang saya balas serius. Kalau lawak, memang saya balas lawak, maklumlah saya ni dah tua... Mujurlah temu bual itu tidaklah terasa berat sangat walaupun semua soalan adalah secara spontan. Bagaimanapun sebagai penonton setia Kaki Buku, saya sudah terbiasa juga dengan bentuk-bentuk soalan segmen itu.

Cuma ada satu ketika, jika penonton perasan saya ada tertunduk dan terdiam seketika. Sebenarnya ada sesuatu 'berlaku' pada waktu itu bagaimanapun, saya menerima bahawa bukan semua orang penulis novel dan memahami diri seorang penulis. Saya maafkan dan anggap itu asam garam.

Selepas habis rancangan, saya berbual sebentar dengan Hunny dan Hunny bertanya adakah soalannya macam 'orang marah', saya jawab tidak. Cuma secara peribadi saya melihat pengacara agak kepenatan. Kasihan pada dia.

Setelah selesai semuanya, saya dan suami makan minum sebentar sebelum meneruskan perjalanan balik semula ke Melaka. Itulah sahaja perkara yang berlaku pada hari itu. Tidaklah 'happening' macam orang lain, dapat berjumpa artis-artis ke dan sebagainya. Semuanya berlaku sangat formal dan pantas.

Di sini saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Karyaseni dan TV9, Hunny Madu, Cik Norhakimi, produser, krew-krew yang terlibat kerana telah membantu sehingga novel ERTI CINTA terpilih ke segmen Kaki Buku NLKO. Semoga Allah SWT membalas segala budi baik anda semua dengan balasan yang baik.

Tidak lupa juga terima kasih kepada MKFC, rakan-rakan penulis, kaum keluarga dan sesiapa sahaja yang sudi menonton rancangan tersebut. Saya mohon maaf seandainya hujah dan penerangan saya pada pagi tersebut tidaklah seperti yang diharapkan. 

*************************
Penjelasan mengenai novel ERTI CINTA


Pada mulanya saya tidak mahu memberikan apa-apa penjelasan mengenai novel ini. Nanti dikatakan suka buat isu pula. Tetapi setelah berbulan-bulan diasak dengan pelbagai kata dan nista, saya rasa saya perlu menjelaskan mengenai beberapa perkara di sini, untuk kali pertama dan terakhir. 

1. Kenapa letak tajuk ERTI CINTA padahal cerita dalamnya cerita hantu? (Seram)

Soalan ini lebih kurang sama dengan pertanyaan yang dibuat oleh pengacara NLKO. Dan nampaknya tajuk novel ini memang menjadi isu besar kepada banyak pihak. Sehinggakan ada kalanya saya sendiri bingung, kenapa tajuk ini dipertikaikan sehingga kelihatan seperti sangat pelik, hina malah seperti tak layak dipakai.

Yang lucunya, baru sahaja saya habis bercakap di NLKO, saya dihadapkan lagi pertanyaan yang sama oleh seseorang yang berada di studio. Katanya, "Dengarnya cerita seram tapi kenapa tajuknya macam ni?"

Saya termenung. Saya menyedari bahawa, orang tidak mendengar penerangan saya tetapi lebih kepada mahu mendengar apa yang dia mahu dengar. Jika mahu membuat keputusan sendiri, lebih baik jangan tanya. Kalau saya jawab pun, tetap tidak didengari sesiapa.

Jadi, di ruang yang sempit ini ingin saya menjelaskan sekali lagi kepada sesiapa yang mahu meminjamkan telinga dan hati buat beberapa saat bahawa CORE GENRE novel ini adalah genre CINTA. Oleh itu Erti Cinta tidak layak dimasukkan ke dalam rak novel Seram seperti novel Seram yang berada di pasaran.

Apa itu core genre? Kenapa saya mengatakan EC tidak layak dipasarkan sebagai novel Seram?

Dalam NLKO yang lepas, jika anda perasan saya menggunakan perkataan 'novel 3 lapis'. saya gunakan perkataan yang saya rasa boleh difahami konsepnya berbanding novel HIBRID (anak murid saya biasa dengar saya sebut tapi mungkin penonton lagi tak faham).

Sebenarnya sesebuah novel boleh dibagaikan kepada novel yang PURE ataupun novel HIBRID. Novel pure ini adalah novel yang 1 lapis sahaja. Kalau novel Cinta, kisahnya hanya mengisahkan kisah Cinta semata-mata. Begitu juga kalau novel Seram, Misteri, Thriller dll. Novel Hibrid (berlapis) merupakan novel yang mempunyai beberapa genre dalamnya dan mempunyai 1 genre utama yang disebut CORE GENRE. Core genre inilah yang akan menentukan sesebuah novel itu tergolong dalam golongan mana.

Contohnya:
Novel Thriller yang diselitkan unsur cinta. Adakah novel ini sudah boleh dikatakan novel Cinta dan bersaing dengan novel-novel Cinta di pasaran? Jawapannya, tidak selagi Core Genrenya adalah genre Thriller. 

Begitulah dengan novel Erti Cinta. Novel Erti Cinta tak sebaris dengan novel-novel seram seperti yang ditulis oleh penulis-penulis besar novel seram seperti Tamar Jalis, Rosli Mohd. Sah, Saifuzaman, Zyra Safiya, Ebriza, Noorsiah dll. Seandainya diletakkan bersebelahan, sah-sah novel EC kena gelak. 

Macam itulah kira-kiranya kerana EC tidak menepati ciri-ciri atau elemen seram yang mencukupi untuk dikatakan sebuah novel Seram 'pure'. 

Okey, apa pula novel Seram yang 'pure'. 
Apabila kita membeli novel Cinta, perkara pertama yang kita nak tahu ialah 'apa masalah cinta yang dihadapi pasangan/watak' dalam novel itu. Apa masalahnya dan apa halangannya dll. Tetapi jika kita memegang novel Seram (pure), perkara pertama yang kita fikri adalah 'apa jenis hantu yang menimbulkan masalah dalam cerita ini, apa hantu tu buat, apa watak pula buat untuk melawannya' dll.

Jadi yang jelas dalam novel seram ialah 'hantu ataupun entiti' itu adalah watak ANTAGONIST (watak lawan) kepada watak utama.

Dalam EC, 'hantu' bukanlah watak antagonist. Hantu-hantu ataupun entiti yang diselitkan dalam novel tersebut bukanlah bersifat antagonist kepada watak tetapi ia hanya membentuk satu setting yang sangat mustahak untuk dimasukkan ke dalam cerita tersebut. Seandainya cerita-cerita hantu ini dibuang. Apa agaknya yang tinggal? Adakah watak Danny itu hidup seperti yang anda dapati sekarang? Adakah anda dapat merasai perubahan emosi, dan memahami watak Danny?

Kesimpulannya, ini cerita saya. Saya telah melakukan apa yang saya fikirkan terbaik untuk menghidupkan kisah cinta Anis dan Danny. Itu sahaja.

Bagaimanapun mungkin........ belum ada (mungkin ada tapi tak dibaca) sebuah kisah cinta yang diselitkan elemen Seram maka Erti Cinta telah menimbulkan kejutan dan isu yang membuat saya sendiri terkejut!

Jika novel Cinta diselitkan elemen Islamik dan Humor itu biasa. Jika Cinta diselitkan elemen Seram, mungkin ramai yang tak pernah baca atau jumpa. Begitu juga dengan novel Thriller dan Seram yang diselitkan elemen Cinta, itu juga biasa. Maka mungkin disebabkan itu EC menimbulkan isu kepada yang terkejut.

Jadi saya harap pembaca dapat membezakan EC daripada novel Seram yang pure. Kerana secara peribadi saya malu untuk mengakui EC adalah novel Seram (pure) kerana EC tidak layak dimasukkan ke dalam kategori tersebut. 

Kesimpulannya:
Core Genre: Cinta
Sub genre : Seram
Sub genre : Isu masyarakat (kisah Wati dan kisah Seha)

Sebagai penutup, terimalah EC seadanya saja. Saya faham, kalau orang sudah tak suka apa kita kata pun tak memberi makna. Bagaimanapun, kepada yang suka saya mengucapkan berbanyak terima kasih.

2. Kenapa guna nama 'Camellia' untuk novel ini dan bukan Maria Kajiwa.

Ini pun satu perkara yang telah menimbulkan isu sehingga pernah hangat di Facebook. Sekali fikir, memang saya tergelak. Pasal nama pun jadi isu. Untuk yang nak tahu sebabnya biarlah saya jelaskan di sini kenapa saya guna nama lain.

Mungkin ada yang tahu dan ada yang tidak tahu bahawa nama pena seseorang penulis adalah melambangkan genre, gaya dan syarikat penerbitan. Pertukaran nama pena bukan dimulakan oleh SAYA dalam dunia ini dan saya bukanlah orang yang PERTAMA menggunakan lebih daripada 1 nama pena. Bukalah mata luas-luas, di luar sana ada penulis yang menggunakan sehingga 4-5 nama pena. Kenapa tak jadi ISU pun? Kenapa saya yang dihentam? Sehingga kini saya tak tahu apa sebabnya.

Kenapa saya tukar nama?
Sebab utamanya ialah kerana saya ingin menyediakan 1 nama yang khas untuk syarikat Karyaseni. Selepas EC terbit, ada pembaca yang bertanya 'mana buku Camellia yang lain'. Maknanya mereka kenal saya sebagai Camellia dan itu merujuk kepada 1 penerbit sahaja, Di Fb saya juga buka akaun untuk Camellia kerana ada pembaca mencari Camellia dan bukan MK. Jadi, 'Camellia' hanya untuk KS. Dan sekiranya selepas ini saya tidak menerbitkan lagi novel di bawah KS, nama Camellia akan berkubur.

Jangan terkejut jika saya akan keluar dengan nama lain selepas ini. Dan itu  akan merujuk kepada 1 syarikat lain pula. Bagaimanapun, apa pun nama yang saya pakai, saya tetap akan muncul di mana-mana sebagai MK. Jadi tidak ada soal 'mahu menyorok' atau 'mahu menipu' seperti tuduhan yang pernah dilemparkan kepada saya. 

Sebab kedua, jika anda benar-benar pembaca yang mengenali gaya penulisan saya, anda akan perasan bahawa ERTI CINTA tidak ditulis seperti kebiasaan. Gayanya saya ubah. Banyak perkataan singkatan, bahasa pasar dll yang tidak biasa saya gunakan dalam karya saya yang lain. Itulah Camellia.

Bagaimanapun, jika anda pembaca tetap setiap karya saya, anda akan tahu apa pun nama yang saya gunakan, di mana syarikat saya terbitkan.... saya tetap saya. Anda akan tetap 'mendengar' suara saya bercerita.

3. Erti Cinta tak layak diterbitkan oleh KS

Siapa yang tak sedih apabila dikata begitu? Saya faham, EC tak sebagus, tak selaris, tak jadi juara carta bestseller seperti novel-novel KS yang lain. Masuk NLKO pun dikata dek orang macam-macam. EC dilihat sebagai tak layak masuk NLKO dll lagi. Ya, saya faham. Tapi saya juga faham, itu semua rezeki pemberian Allah SWT kepada Erti Cinta. Sudah rezekinya begitu. Kalau anda  mahu mempertikaikannya, anda buatlah. Saya tak mahu masuk campur.

Apabila ditanya, 'kenapa Ec pula yang dapat, kenapa bukan buku tu..buku ini', jawapannya yang saya boleh berikan ialah 'Tak tahu' . Sebab saya betul-betul tak tahu apa-apa. Orang panggil, saya pergilah sahaja kerana itu adalah termasuk dalam tugas seorang penulis.
Kenapa EC diterima dan diterbitkan, itu kena tanya KS sendiri. Saya cuma penulis. Saya hantar manuskrip penuh, selepas setahun baru dapat giliran untuk diterbitkan. Tak ada jalan pintas, bukan sebab saya kenal bos atau apa. Saya pernah pergi pejabat KS pun baru sekali, itu pun sebab dipanggil untuk sign novel EC. Itu sahaja. 

Layak atau tak layak, itu semua keputusan editorial KS. Diterima, saya bersyukur. Kalau tak diterima pun, mungkin sudah diterbitkan di mana-mana pula. Kerana saya percaya pada rezeki Tuhan. Kalau ada rezeki, adalah tempatnya. Siapa kita yang hendak mempertikaikannya?

Jadi, selagi saya tidak dapat arahan daripada pihak KS sendiri supaya tidak menghantar manuskrip kepada pihak mereka, saya akan tetap hantar sekiranya ada manuskrip yang saya rasa sesuai.

4. Adakah Percaya Padaku (PPK) akan diterbitkan oleh KS?

Jawapannya saya tak tahu kerana manuskrip PPK masih di tangan saya. Saya belum menghantarnya untuk penilaian editorial. Jika lulus nanti, diterbitkanlah. Jika KS menolak manuskrip PPK, saya akur.

Jika sesiapa mendengar dengan teliti rancangan NLKO, saya tak sebut PPK akan diterbitkan oleh KS kerana saya tahu belum ada kepastian sama ada PPK akan diluluskan atau tidak. Bagaimanapun, saya akan usahakan supaya PPK tetap diterbitkan juga untuk peminatnya sekiranya KS menolak manuskrip tersebut.

Saya sekarang fikir senang sahaja. saya sudah tak nak fikir susah atau terlalu serius. Diterima, saya bersyukur. Ditolak, saya juga bersyukur.

Bagi saya menulis novel perlu ada rasa 'seronok'. Jika ada rasa tertekan, rasa risau dengan pelbagai isu remeh-temeh, kerja selalu tak menepati jadual dan piawaian.

Dunia penulisan kita juga comel sahaja, tak payahlah dengki-mendengki, pijak-memijak, bodek-membodek semata-mata untuk menjadi penulis novel. Kalau kita penulis novel yang sejati, menulis percuma pun kita sanggup. Apa yang penting, kita dapat terus menulis dengan tenang, seronok dan berkongsi kisah yang baik kepada masyarakat.

Sekian. Terima kasih kerana sudi membaca entri yang panjang lebar ini.  

Friday, August 24, 2012

Cerpen: Kuih Goyang, Biskut Almond London.

“Ya ke?” Mata Ayu sudah sebesar sebiji guli apabila mendengar apa yang aku khabarkan tadi.
“Yang Ayu terlebih excited tu kenapa?” Aku ketawa kecil melihat adik perempuanku yang baru berusia 18 tahun. Lagi dua minggu akan mendaftar di IPTA sebagai pelajar tahun 1.
Ayu sudah tersengih lebar. Biskut cornflakes dalam mulutnya bagaikan cair tanpa dikunyah lagi.
“Yalah… Ayu dengan mak sebenarnya dah tak sabar tunggu along tu kahwin. Ni sampai dua orang pula yang nak datang merisik. Haish!” Ayu menggeleng.
Belum sempat aku menampar Ayu, ibuku pula sudah masuk ke dapur. “Telinga mak salah dengar ke tadi?”
Aku dan Ayu saling memandang. Itulah cakap pakai sedap mulut sahaja. Dadaku mula berdebar kerana hal itu belum aku khabarkan kepada ibu. Aku fikir hendak menunggu pagi esok, rupa-rupanya tidak sempat.
 “Bukan salah dengarlah mak walaupun mak curi-curi dengar,” jawab Ayu.
“Siapa nak merisik kamu tu Ayu? Kamu tu belajar pun tak habis  lagi.” Mulut ibu mula riuh.
Aku sudah tergelak melihatkan muka Ayu yang berubah merah padam. Padan muka Ayu. Sibuk lagi hal orang, kan sudah dapat ceramah percuma?
“Siapalah lelaki malang yang nak merisik Ayu kan, mak? Ish! Ish! Ish!” Ayu menggeleng lagi.
“Memang malang. Kalau berani datang, mak tahulah nak mengejarnya dengan apa,” balas ibuku. Wajahnya masih lagi tegang, dek salah faham itu.
Aku memandang tajam ke arah Ayu. Ayu segera faham untuk menghentikan salah faham itu sebelum tekanan darah ibu mencanak naik. Nanti tidak fasal-fasal, kami semua kena menghantar ibu masuk wad pula malam itu. Kuih ke mana, raya ke mana.
“Orang tu datang bukan nak merisik Ayulah, mak. Tapi along ni ha…” Ayu pandang muka ibu.
Ibu terdiam. Perlahan-lahan ibu mengangkat muka dan merenung wajahku pula. Lama ibu begitu sehingga aku rasa seperti seorang pesakit jiwa yang cuba difahami masalah mentalnya.
“Betul ke?” Ibu bertanya. Nadanya lembut dan lemah sahaja.
Aku angguk walaupun tenungan ibu masih tidak sanggup aku balas. Terasa juga setiap sel kulit mukaku panas dan tebal.
“Siapa?”
“Sorang tu kawan sepejabat, sorang lagi tu kawan lama,” terangku sejujur-jujurnya.
“Dua orang?” Nada suara ibu mula meninggi.
Aku sendiri terkejut lalu terpandang wajah ibu yang seolah-olah tergamam. Aku jeling Ayu yang juga masih kelu.
“Ila kan perempuan? Mana boleh perempuan kahwin dua?” Ibu bertanya dengan kerutan di dahi.
Aku tersenyum. “Ila bukan nak kahwin dualah, mak.”
“Along kena pilih sorang saja. Ataupun mak saja yang pilihkan nanti,” sampuk Ayu pula. Tangannya yang sedang mengambil sebiji lagi biskut cornflakes sempat aku tepis.
Mujurlah ibu tersenyum.
“Bila mereka nak datang merisik?”
“Mereka kata nak datang beraya ke rumah kita raya ni. Ila cuma nak mak jumpa mereka nanti. Manalah tahu kalau mak dan Ayu tak berkenan ke… Ila tak akan buat keputusan sorang diri. Selepas tu barulah kita berbincang soal merisik dan bertunang. Boleh, mak?”
Ibu tersenyum panjang. Mungkin ibu gembira kerana akhirnya aku terbuka hati untuk berumahtangga. Namun sebagai anak, aku perlukan restu orang tua, aku tidak mahu mengikut perasaan aku semata-mata. Aku percaya mata orang tua lebih jauh pandangannya daripada mata aku.
“Kalau macam tu… buat kuih lebih sikit,” kata ibu sebelum meninggalkan dapur.
“Teruklah along kena buat kuih,” usik Ayu. Sebiji lagi biskut cornflakes masuk ke mulutnya.
Aku cuma menggeleng melihat telatah Ayu. Sambil menyusun kuih ke dalam loyang pembakar, aku teringatkan permintaan Haikal dan Mukhriz. Seorang hendak merasa Biskut Almond London yang aku buat dan seorang lagi hendak merasa Kuih Goyang. Yang pasti teruknya, aku.
******
Seminggu sebelum raya…
“Apa yang monyok ni, along?” tegur Ayu sewaktu aku menonton televisyen berseorangan. “Teringat dua orang tu ke?”
Aku letak kusyen kecil yang aku peluk tadi ke tepi. Aku pandang Ayu lalu bertanya, “Kalau Ayu… mana yang Ayu suka? Kuih Almond London ke atau Kuih Goyang?”
“Ayu tak suka dua-dua. Ayu suka Biskut Conrflakes.”
Aku tarik nafas. Ayu tidak habis-habis dengan Biskut Cornflakesnya. Langsung tidak membantu.
“Kenapa along tanya? Along nak buat Biskut Almond London ke tahun ni? Kuih Goyang tu kuih orang dulu-dulu… ada ke orang muda sekarang makan kuih tu lagi?”
“Ada. Kalau yang suka tu makanlah,” jawabku.
“Kalau along buat, buat Kuih Goyang Ros macam mak selalu buat tu ya? Dah lama tak makan sejak arwah ayah tak ada.”
Aku diam sejenak. Memang benar kata Ayu, sejak ayah meninggal dunia, ibuku tidak menyediakan Kuih Goyang Ros lagi apabila hari raya menjelma. Mungkin ibu tidak mahu hatinya sedih tetapi kali ini aku terpaksa buat juga untuk Mukhriz.
“Tapi tahun ni along kena buat juga kuih tu.”
“Kenapa?”
“Sebab… Mukhriz suruh along buat.”
Mulut Ayu terlopong. Kemudian dia tersengih.
“Alah… kacang saja kuih tu. Emak mesti boleh ajar along.”
Aku angguk. Aku tidak terasa bimbang pun.
“Habis tu yang lagi sorang nak makan apa pula?” Belum sempat aku menjawab, Ayu sudah menyambung, “Haaa… Ayu tahu. Mesti lagi sorang nak makan Biskut Almond London, kan?”
Aku angguk lagi sambil tersenyum nipis.
“Yang itu pun bukan susah sangat. Along pandai buat biskut mesti kacang saja tu.”
“Memanglah tak susah tapi…”
Ayu merenung wajahku lama-lama.
“Tapi… itu pun tak dapat tolong along buat keputusan, kan?” sambung Ayu lagi.
Perlahan-lahan aku angguk. Aku perlukan bantuan untuk memilih, Haikal ataupun Mukhriz.
*****
“Mak, Ila nak cakap sikit,” kataku sewaktu memasak puding tembikai susu di dapur.
Ibu yang sedang memotong daging untuk dibuat juadah berbuka puasa hanya mengangguk.
“Mak boleh ajar Ila buat Kuih Goyang?”
Ibu angkat muka. Mujur jari tidak terhiris pisau pemotong daging. “Kenapa? Kalau buat siapa nak makan nanti? Ayu dan Ila bukannya suka makan kuih tu.”
Aku faham perasaan ibu. Seboleh-bolehnya ibu tidak mahu kuih itu wujud lagi di rumah itu selepas pemergian ayah. Kini baru aku faham, ibu sebenarnya bukanlah seorang yang terlalu kuat.
“Macam ni, mak. Orang tu… suruh Ila buat Kuih Goyang.” Aku harap ibu akan berlembut sedikit.
Ibu menyambung semula kerjanya. Namun mulut ibu bagaikan terkunci. Lama ibu mendiamkan diri sehinggakan aku rasa seperti tidak ada harapan untuk menunaikan permintaan Mukhriz kali ini.
“Dua-dua nak makan kuih goyang?” Ibu bertanya tanpa mengangkat muka.
“Sorang saja, mak. Sorang lagi nak makan Biskut Almond London. Tapi yang itu, Ila tahu buat.”
Ibu diam kembali.
Puding yang aku masak sudah pun siap. Perlahan-lahan aku tuangkan ke dalam acuan. Sedang aku mengangkat periuk kosong ke dalam sinki, ibu berkata sesuatu yang tidak aku sangka.
“Buatlah. Dua hari sebelum raya, mak ajar.”
Aku tersenyum lega.
*****
SEPERTI yang ibu janjikan, malam ke 28 Ramadan selepas balik dari surau ibu terus masuk ke dapur. Tanpa berlengah ibu mula membancuh bancuhan Kuih Goyang Ros dan aku hanya duduk memerhati dengan teliti.
Aku biarkan sahaja ibu melakukannya tanpa gangguan. Aku faham, bancuhan itu amat istimewa bagi ibu. Ternyata, ingatan ibu masih utuh. Dia membancuh tanpa menyukat atau membaca resepi bagaikan segala-galanya sudah sebati dalam dirinya seperti sebatinya kasih dia dan arwah ayah.
Hampir pukul 1.00 pagi, semua bancuhan siap aku goreng. Kuih Goyang Ros sudah ada dua bekas plastik yang besar di tepi dinding. Aku lega kerana ibu sedikit pun tidak kelihatan sedih ataupun bersungut semasa menyediakannya.
“Dah siap ke?” tanya Ayu yang baru masuk ke dapur.
“Dah siap baru nak ke dapur?”
“Ayu nak minum airlah.” Ayu buka peti ais lalu mengeluarkan sebotol air sejuk. Botol itu dibawa ke meja makan, lalu dia duduk. “Nak pula mak buat kuih ni ya?”
“Shh…” Aku jeling ke pintu dapur. Mujur ibu tidak ada di situ, aku rasa ibu sudah pun masuk ke biliknya berehat.
“Ooops!” Ayu tutup mulut.
“Jangan cakap macam tu, nanti mak sedih,” kataku. Aku juga sudah duduk di sisi Ayu melepaskan lelah berdiri beberapa jam kerana menggoreng Kuih  Goyang.
“Kalau Ayu tanya along, along nak jawab tak?”
“Tengoklah pada soalannya.” Aku sendiri mula mengunyah Kuih Goyang perlahan-lahan. Entah kenapa, rasa dan bau kuih itu tidak dapat tidak memanggil ingatanku terhadap arwah abah. Aku mula rasa sedih dan rasa bersalah kepada ibu. Entah bagaimanalah perasaan ibu agaknya….
“Ayu tak fahamlah.”
“Apa yang Ayu tak faham?”
“Along ni bercinta dengan siapa? Atau along bercinta dengan dua orang sekaligus?”
“Fasal itu ke?” Aku faham Ayu tidak memahami situasiku. Aku yakin ibu pun sama cuma ibu tidak pula bertanya.
“Dua-dua along tak cinta,” jawabku sejujurnya. Memang itulah kenyataannya. Baik Haikal, mahupun Mukhriz, kami tidak pernah bercinta seperti pasangan lain. “Kami cuma rapat. Kawan.”
“Kalau setakat berkawan, takkan sampai nak datang  rumah jumpa mak? Takkan nak kahwin dengan along pula?”
Aku tersengih. Memang bagi Ayu, kalau mahu berkahwin mestilah bercinta dan berpasangan dahulu seperti pasangan lain. Bagaimana boleh terus berkahwin tanpa bercinta dahulu?
“Dah mereka ajak kahwin,” balasku. “Dan along tak ada sebab untuk menolak mereka. Dua-dua along sayang sebagai kawan. Dua-dua baik dari segi agama dan akhlak. Dua-dua layak jadi suami dan masih bujang.”
“Tapi kan… yang mana satu along rasa along nak buat suami?”
Aku angkat bahu. “Biar mak pilih. Along rasa mak pun mesti tak boleh pilih.”
Ayu tidak menyoal lagi. Aku yakin Ayu masih tidak boleh memahami apa yang aku buat. Aku tidak percaya kepada cinta yang beria-ia sebelum berkahwin kerana aku yakin perkahwinan itu bukan semata-mata kerana cinta. Ia satu perjalanan dan aku perlukan seorang yang aku selesa untuk bersama di sepanjang perjalanan hidup itu….
******
Hari raya pertama….
PUKUL 3.00 petang, Haikal sampai ke rumahku bersama seorang adiknya. Wajahnya begitu tenang, apatah lagi kacak bergaya berbaju melayu ungu dan bersongkok. Untuk penampilan aku beri markah 10/10.
“Yang ni… Almond London atau Kuih Goyang?” Ayu berbisik di dapur sewaktu kami berdua membancuh air.
“Yang ni Almond London,” jawabku sambil tersenyum gelihati. Ternya Ayu masih keliru yang mana satu Haikal dan yang mana satu Mukhriz.
Ayu angguk. Lantas dia mencapai biskut Almond London yang masih tersimpan kemas dalam bekas kuih.
“Jangan keluarkan,” kataku.
“Kenapa?”
“Keluarkan Kuih Goyang,” jawabku bersahaja.
“Tadi kata yang ni nak biskut Almond London?” Muka Ayu sudah berkerut, mungkin kepalanya sudah pening.
“Ikut sajalah.” Aku terus menolak dulang yang berisi air buah naga dan empat biji gelas ke arah Ayu. “Ayu angkat air, along angkat kuih.”
Ayu tidak membantah lagi. Nampak jelas pada wajahnya dia sedang keliru dengan tindakanku. Aku biarkan sahaja. Yang pentingnya aku tidak sabar mahu mendengar apa komen ibu mengenai Haikal.
Setibanya di ruang tamu, Haikal hanya memandang sahaja Kuih Goyang Ros yang aku letakkan di hadapannya. Sedikit pun dia tidak menyentuh kuih itu tetapi masih tetap menyentuh lemang dan rendang masakan ibu.
Aku pandang sahaja.
Setelah hampir sejam Haikal dan adiknya di rumahku, mereka meminta diri untuk beredar selepas menjemput kami tiga beranak beraya pula di rumahnya nanti. Permintaan Haikal kami sambut dengan senyuman dan sebekas Kuih Almond London aku serahkan sebagai bekal perjalanan pulang.
Haikal tersenyum gembira kerana permintaannya aku tunaikan.
******
“MACAM MANA, mak?” Ayu terus bertanya sebaik sahaja kereta Haikal masuk ke jalan raya di hadapan rumah.
“Ish! Macam dia pula yang kena risik,” balas ibu.
Ayu ketawa sahaja apabila segetus cubitan ibu singgah di pinggangnya. “Yalah, kami dah tak sabar ni.”
Ibu melangkah perlahan ke arah kerusi di ruang tamu. Dia duduk termenung.
“Ah! Sudah. Mak termenung ni along… gagallah nampaknya.” Ayu menggelengkan kepala sambil merenung wajah ibu.
Dadaku berdebar-debar. Mungkinkah Haikal tidak disukai ibu? Tetapi tadi, kelihatan ibu elok sahaja melayan Haikal dan adiknya. Aku bingung.
“Kalau Ayu yang kena buat pilihan, bagaimana?” tanya ibu.
Ayu terus tersengih lebar. “Macam tu punya smart? Rugi melepas kat orang, mak. Nanti mak juga yang tak dapat cucu comel-comel.”
Ibu hanya menggeleng. Kemudian ibu memandang aku pula. “Terpulanglah pada along kamu ni. Mak tak ada halangan. Haikal tadi tu elok saja pada pandangan mata mak. Cukup serba-serbi kalau nak dibuat menantu.”
“Yes! Yes!” Ayu melonjak riang.
“Untuk along bukan untuk Ayu,” kata ibu dengan cepatnya.
“Yalah untuk along.” Muka Ayu merah padam, mungkin malu kerana terlebih teruja berbanding dengan aku sendiri.
“Nantilah dulu, mak. Esok, yang sorang lagi tu akan datang. Mak tengoklah yang tu dulu,” kataku.
“Yang mana lebih smart? Yang hari ni yang hari esok?” Ayu bertanya lagi.
Aku cuma mampu menggeleng. Tunggu sajalah hari esok, kata hatiku.
******
Pada hari raya kedua…
KIRA-KIRA pukul 4.00 petang, baru Mukhriz tiba di rumah aku. Jika Haikal datang dengan adik lelakinya, Mukhriz pula datang dengan adik perempuannya. Walaupun sudah hari raya kedua, Mukhriz tetap tiba dengan berbaju Melayu kuning air, bersampin dan bersongkok. Markah penampilan juga 10/10.
“Yang ni…Kuih Goyang, kan?” Ayu bertanya di dapur.
Aku angguk.
“Jangan keluarkan Kuih Goyang.” Aku melarang apabila Ayu mencapai bekas Kuih Goyang.
“Along nak beri dia Biskut Almond London ke?”
Aku angguk seraya menyusun biskut itu di atas piring kuih yang berlapikkan doili.
Ayu menggeleng. “Peninglah tengok along ni. Apa yang orang tu nak, dia tak beri. Habis tu buat apa buat kuih semua  ni? Siapa yang nak makan?”
Tidak dapat tidak, rungutan Ayu membuatkan aku tersenyum. Aku tahu Ayu tidak faham. Nantilah aku terangkan semuanya.
“Jemputlah makan. Ila buat sendiri biskut ni,” kataku sambil meletakkan piring kuih itu di hadapan Mukhriz.
Aku lihat air muka Mukhriz berubah. Dia memandang wajahku sejenak sebelum mencapai sebiji biskut. Tanpa bantahan, dia menjamah semua biskut yang kubuat dengan tenang. Aku biarkan sahaja dia menjamah hidangan dan berbual dengan ibu sepuas-puasnya. Ayu pula sudah hilang entah ke mana bersama adik Mukhriz.
Setelah hampir sejam di rumahku, Mukhriz meminta diri untuk balik. Segala buah tangan yang dibawa tadi kini berbalas sebekas Kuih Goyang Ros dan sebakul buah mangga.
Aku melepaskan kepulangan Mukhriz dengan tenang.
******
SEPERTI hari semalam juga, Ayu terus mengheret lengan ibu ke ruang tamu apabila kereta Mukhriz beredar dari halaman rumah.
Ibu yang sudah tahu apa yang bakal ditanya berkata, “Kalau masa dia esok, mungkin mak ni tak sempat duduk pun.”
“Cepatlah mak. Yang mana satu mak nak ni?”
Ibu menggeleng lagi. “Along kamu pun tak gelojoh macam kamulah.”
“Alah… diam-diam along tu, dalam hati menjerit-jerit nak tahu tu, mak. Cepatlah…”
“Mak tak tahu nak buat pilihan. Dua-dua lawa, dua-dua elok budi pekerti… dua-dua boleh jadi menantu mak,” balas ibu.
“Mak tak tahu?” tanya Ayu lagi.
Aku ketawa kecil. “Kalau Ayu pula? Yang mana satu Ayu pilih?”
Ayu terdiam. Lama dia termenung. “Haahlah… susah nak pilih. Dua-dua smart. Dua-dua Ayu suka.”
“Tahu pun apa masalah along,” balasku. Sememangnya aku sangat bertuah kerana mengenali dua orang lelaki yang baik.
“Kalau sudah dua-dua baik, cubalah along timbang dari segi agamanya. Kerana apa pun kelebihan dalam dunia ini, ilmu agamalah panduan yang sebenar.” Ibu bersuara.
“Masalahnya, mak. Dua-duanya bagus dari segi ilmu agamanya. Yang seorang tu belajar  jurusan agama di Jordan. Yang sorang lagi tu tak kurang juga. Malah ayahnya imam besar.Ibunya ustazah.”
“Pening… pening…” kata Ayu sambil tersandar ke kerusi.
“Macamlah… kita nak pilih untuk dia pula,” sindir ibu.
Ayu tersengih.
“Kalau Ayu… Ayu pilih yang mana Ayu paling cinta. Yang mana Ayu tak boleh hidup tanpa dia.”
Buk! Sebiji kusyen hinggap ke kepala Ayu. Bukan dibaling oleh aku tetapi oleh ibu.
“Buatlah macam tu. Kalau kamu saja tak boleh hidup tanpa dia, dia boleh hidup tanpa kamu… alamatnya baru anak satu, dia dah cari orang lain,” balas ibu.
Ketawa Ayu memudar. Wajahnya bingung. Mungkin kata-kata ibu tidak dapat dicerna oleh fikirannya yang dipenuhi oleh bayangan romantika.
“Macam nilah, along. Mak dah jumpa kedua-duanya, mak dah tengok apa yang mak patut tengok. Jadi, pada mak dua-dua mak setuju. Sekarang terpulanglah pada along semula. Yang mana along pilih, itulah mak akan terima.”
Aku angguk. Walaupun jawapan ibu tidak banyak membantu namun nampaknya ibu sudah merestui siapapun yang aku akan pilih nanti. Sedikit-sebanyak aku berasa lega. “Along akan pilih Mukhriz,” jawabku.
Ibu dan Ayu sama-sama terdiam. Ruang tamu rumahku bertukar hening.
“Kenapa?” Ayu bertanya setelah puas mendiamkan diri.
“Walaupun along tak hidangkan Kuih Goyang tadi, dia masih sudi menjamah Almond London. Tapi Haikal… tak jamah Kuih Goyang.”
Ayu garu kepala. “Sebab tu saja?”
“Along percaya, dia seorang yang boleh bertolak-ansur jika hidup bersama along nanti. Along bukanlah gadis yang sempurna, yang dapat menyediakan segala-gala yang diminta. Jika dia sudi menjamah apa yang ada tanpa banyak soal, maknanya dia boleh menyesuaikan diri dengan sekeliling. Along rasa dia boleh menerima along seadanya.”
Itulah yang sebenarnya. Aku senang sekali melihat sikap Mukhriz tadi. Sesungguhnya aku telah menerima petunjuk setelah menunaikan solat sunat istikharah beberapa malam yang lalu.
Ibu tersenyum seraya mengangguk perlahan.
“Bertolak-ansur tu sangat penting dalam rumah tangga. Selagi ada tolak-ansur, adalah tulang belakang sesuatu perkahwinan.”
“Nampaknya… selepas ni, tiap-tiap tahunlah mak kena buat Kuih Goyang,” usik Ayu.
“Tak apa, untuk menantu.”
“Dan cucu-cucu, mak pula,” sambung Ayu.
Aku diam sahaja. Satu keputusan telah dibuat. Di antara Biskut Almond London dan Kuih Goyang sudah jelas mana yang akan kupilih…