Friday, August 24, 2012

Cerpen: Kuih Goyang, Biskut Almond London.

“Ya ke?” Mata Ayu sudah sebesar sebiji guli apabila mendengar apa yang aku khabarkan tadi.
“Yang Ayu terlebih excited tu kenapa?” Aku ketawa kecil melihat adik perempuanku yang baru berusia 18 tahun. Lagi dua minggu akan mendaftar di IPTA sebagai pelajar tahun 1.
Ayu sudah tersengih lebar. Biskut cornflakes dalam mulutnya bagaikan cair tanpa dikunyah lagi.
“Yalah… Ayu dengan mak sebenarnya dah tak sabar tunggu along tu kahwin. Ni sampai dua orang pula yang nak datang merisik. Haish!” Ayu menggeleng.
Belum sempat aku menampar Ayu, ibuku pula sudah masuk ke dapur. “Telinga mak salah dengar ke tadi?”
Aku dan Ayu saling memandang. Itulah cakap pakai sedap mulut sahaja. Dadaku mula berdebar kerana hal itu belum aku khabarkan kepada ibu. Aku fikir hendak menunggu pagi esok, rupa-rupanya tidak sempat.
 “Bukan salah dengarlah mak walaupun mak curi-curi dengar,” jawab Ayu.
“Siapa nak merisik kamu tu Ayu? Kamu tu belajar pun tak habis  lagi.” Mulut ibu mula riuh.
Aku sudah tergelak melihatkan muka Ayu yang berubah merah padam. Padan muka Ayu. Sibuk lagi hal orang, kan sudah dapat ceramah percuma?
“Siapalah lelaki malang yang nak merisik Ayu kan, mak? Ish! Ish! Ish!” Ayu menggeleng lagi.
“Memang malang. Kalau berani datang, mak tahulah nak mengejarnya dengan apa,” balas ibuku. Wajahnya masih lagi tegang, dek salah faham itu.
Aku memandang tajam ke arah Ayu. Ayu segera faham untuk menghentikan salah faham itu sebelum tekanan darah ibu mencanak naik. Nanti tidak fasal-fasal, kami semua kena menghantar ibu masuk wad pula malam itu. Kuih ke mana, raya ke mana.
“Orang tu datang bukan nak merisik Ayulah, mak. Tapi along ni ha…” Ayu pandang muka ibu.
Ibu terdiam. Perlahan-lahan ibu mengangkat muka dan merenung wajahku pula. Lama ibu begitu sehingga aku rasa seperti seorang pesakit jiwa yang cuba difahami masalah mentalnya.
“Betul ke?” Ibu bertanya. Nadanya lembut dan lemah sahaja.
Aku angguk walaupun tenungan ibu masih tidak sanggup aku balas. Terasa juga setiap sel kulit mukaku panas dan tebal.
“Siapa?”
“Sorang tu kawan sepejabat, sorang lagi tu kawan lama,” terangku sejujur-jujurnya.
“Dua orang?” Nada suara ibu mula meninggi.
Aku sendiri terkejut lalu terpandang wajah ibu yang seolah-olah tergamam. Aku jeling Ayu yang juga masih kelu.
“Ila kan perempuan? Mana boleh perempuan kahwin dua?” Ibu bertanya dengan kerutan di dahi.
Aku tersenyum. “Ila bukan nak kahwin dualah, mak.”
“Along kena pilih sorang saja. Ataupun mak saja yang pilihkan nanti,” sampuk Ayu pula. Tangannya yang sedang mengambil sebiji lagi biskut cornflakes sempat aku tepis.
Mujurlah ibu tersenyum.
“Bila mereka nak datang merisik?”
“Mereka kata nak datang beraya ke rumah kita raya ni. Ila cuma nak mak jumpa mereka nanti. Manalah tahu kalau mak dan Ayu tak berkenan ke… Ila tak akan buat keputusan sorang diri. Selepas tu barulah kita berbincang soal merisik dan bertunang. Boleh, mak?”
Ibu tersenyum panjang. Mungkin ibu gembira kerana akhirnya aku terbuka hati untuk berumahtangga. Namun sebagai anak, aku perlukan restu orang tua, aku tidak mahu mengikut perasaan aku semata-mata. Aku percaya mata orang tua lebih jauh pandangannya daripada mata aku.
“Kalau macam tu… buat kuih lebih sikit,” kata ibu sebelum meninggalkan dapur.
“Teruklah along kena buat kuih,” usik Ayu. Sebiji lagi biskut cornflakes masuk ke mulutnya.
Aku cuma menggeleng melihat telatah Ayu. Sambil menyusun kuih ke dalam loyang pembakar, aku teringatkan permintaan Haikal dan Mukhriz. Seorang hendak merasa Biskut Almond London yang aku buat dan seorang lagi hendak merasa Kuih Goyang. Yang pasti teruknya, aku.
******
Seminggu sebelum raya…
“Apa yang monyok ni, along?” tegur Ayu sewaktu aku menonton televisyen berseorangan. “Teringat dua orang tu ke?”
Aku letak kusyen kecil yang aku peluk tadi ke tepi. Aku pandang Ayu lalu bertanya, “Kalau Ayu… mana yang Ayu suka? Kuih Almond London ke atau Kuih Goyang?”
“Ayu tak suka dua-dua. Ayu suka Biskut Conrflakes.”
Aku tarik nafas. Ayu tidak habis-habis dengan Biskut Cornflakesnya. Langsung tidak membantu.
“Kenapa along tanya? Along nak buat Biskut Almond London ke tahun ni? Kuih Goyang tu kuih orang dulu-dulu… ada ke orang muda sekarang makan kuih tu lagi?”
“Ada. Kalau yang suka tu makanlah,” jawabku.
“Kalau along buat, buat Kuih Goyang Ros macam mak selalu buat tu ya? Dah lama tak makan sejak arwah ayah tak ada.”
Aku diam sejenak. Memang benar kata Ayu, sejak ayah meninggal dunia, ibuku tidak menyediakan Kuih Goyang Ros lagi apabila hari raya menjelma. Mungkin ibu tidak mahu hatinya sedih tetapi kali ini aku terpaksa buat juga untuk Mukhriz.
“Tapi tahun ni along kena buat juga kuih tu.”
“Kenapa?”
“Sebab… Mukhriz suruh along buat.”
Mulut Ayu terlopong. Kemudian dia tersengih.
“Alah… kacang saja kuih tu. Emak mesti boleh ajar along.”
Aku angguk. Aku tidak terasa bimbang pun.
“Habis tu yang lagi sorang nak makan apa pula?” Belum sempat aku menjawab, Ayu sudah menyambung, “Haaa… Ayu tahu. Mesti lagi sorang nak makan Biskut Almond London, kan?”
Aku angguk lagi sambil tersenyum nipis.
“Yang itu pun bukan susah sangat. Along pandai buat biskut mesti kacang saja tu.”
“Memanglah tak susah tapi…”
Ayu merenung wajahku lama-lama.
“Tapi… itu pun tak dapat tolong along buat keputusan, kan?” sambung Ayu lagi.
Perlahan-lahan aku angguk. Aku perlukan bantuan untuk memilih, Haikal ataupun Mukhriz.
*****
“Mak, Ila nak cakap sikit,” kataku sewaktu memasak puding tembikai susu di dapur.
Ibu yang sedang memotong daging untuk dibuat juadah berbuka puasa hanya mengangguk.
“Mak boleh ajar Ila buat Kuih Goyang?”
Ibu angkat muka. Mujur jari tidak terhiris pisau pemotong daging. “Kenapa? Kalau buat siapa nak makan nanti? Ayu dan Ila bukannya suka makan kuih tu.”
Aku faham perasaan ibu. Seboleh-bolehnya ibu tidak mahu kuih itu wujud lagi di rumah itu selepas pemergian ayah. Kini baru aku faham, ibu sebenarnya bukanlah seorang yang terlalu kuat.
“Macam ni, mak. Orang tu… suruh Ila buat Kuih Goyang.” Aku harap ibu akan berlembut sedikit.
Ibu menyambung semula kerjanya. Namun mulut ibu bagaikan terkunci. Lama ibu mendiamkan diri sehinggakan aku rasa seperti tidak ada harapan untuk menunaikan permintaan Mukhriz kali ini.
“Dua-dua nak makan kuih goyang?” Ibu bertanya tanpa mengangkat muka.
“Sorang saja, mak. Sorang lagi nak makan Biskut Almond London. Tapi yang itu, Ila tahu buat.”
Ibu diam kembali.
Puding yang aku masak sudah pun siap. Perlahan-lahan aku tuangkan ke dalam acuan. Sedang aku mengangkat periuk kosong ke dalam sinki, ibu berkata sesuatu yang tidak aku sangka.
“Buatlah. Dua hari sebelum raya, mak ajar.”
Aku tersenyum lega.
*****
SEPERTI yang ibu janjikan, malam ke 28 Ramadan selepas balik dari surau ibu terus masuk ke dapur. Tanpa berlengah ibu mula membancuh bancuhan Kuih Goyang Ros dan aku hanya duduk memerhati dengan teliti.
Aku biarkan sahaja ibu melakukannya tanpa gangguan. Aku faham, bancuhan itu amat istimewa bagi ibu. Ternyata, ingatan ibu masih utuh. Dia membancuh tanpa menyukat atau membaca resepi bagaikan segala-galanya sudah sebati dalam dirinya seperti sebatinya kasih dia dan arwah ayah.
Hampir pukul 1.00 pagi, semua bancuhan siap aku goreng. Kuih Goyang Ros sudah ada dua bekas plastik yang besar di tepi dinding. Aku lega kerana ibu sedikit pun tidak kelihatan sedih ataupun bersungut semasa menyediakannya.
“Dah siap ke?” tanya Ayu yang baru masuk ke dapur.
“Dah siap baru nak ke dapur?”
“Ayu nak minum airlah.” Ayu buka peti ais lalu mengeluarkan sebotol air sejuk. Botol itu dibawa ke meja makan, lalu dia duduk. “Nak pula mak buat kuih ni ya?”
“Shh…” Aku jeling ke pintu dapur. Mujur ibu tidak ada di situ, aku rasa ibu sudah pun masuk ke biliknya berehat.
“Ooops!” Ayu tutup mulut.
“Jangan cakap macam tu, nanti mak sedih,” kataku. Aku juga sudah duduk di sisi Ayu melepaskan lelah berdiri beberapa jam kerana menggoreng Kuih  Goyang.
“Kalau Ayu tanya along, along nak jawab tak?”
“Tengoklah pada soalannya.” Aku sendiri mula mengunyah Kuih Goyang perlahan-lahan. Entah kenapa, rasa dan bau kuih itu tidak dapat tidak memanggil ingatanku terhadap arwah abah. Aku mula rasa sedih dan rasa bersalah kepada ibu. Entah bagaimanalah perasaan ibu agaknya….
“Ayu tak fahamlah.”
“Apa yang Ayu tak faham?”
“Along ni bercinta dengan siapa? Atau along bercinta dengan dua orang sekaligus?”
“Fasal itu ke?” Aku faham Ayu tidak memahami situasiku. Aku yakin ibu pun sama cuma ibu tidak pula bertanya.
“Dua-dua along tak cinta,” jawabku sejujurnya. Memang itulah kenyataannya. Baik Haikal, mahupun Mukhriz, kami tidak pernah bercinta seperti pasangan lain. “Kami cuma rapat. Kawan.”
“Kalau setakat berkawan, takkan sampai nak datang  rumah jumpa mak? Takkan nak kahwin dengan along pula?”
Aku tersengih. Memang bagi Ayu, kalau mahu berkahwin mestilah bercinta dan berpasangan dahulu seperti pasangan lain. Bagaimana boleh terus berkahwin tanpa bercinta dahulu?
“Dah mereka ajak kahwin,” balasku. “Dan along tak ada sebab untuk menolak mereka. Dua-dua along sayang sebagai kawan. Dua-dua baik dari segi agama dan akhlak. Dua-dua layak jadi suami dan masih bujang.”
“Tapi kan… yang mana satu along rasa along nak buat suami?”
Aku angkat bahu. “Biar mak pilih. Along rasa mak pun mesti tak boleh pilih.”
Ayu tidak menyoal lagi. Aku yakin Ayu masih tidak boleh memahami apa yang aku buat. Aku tidak percaya kepada cinta yang beria-ia sebelum berkahwin kerana aku yakin perkahwinan itu bukan semata-mata kerana cinta. Ia satu perjalanan dan aku perlukan seorang yang aku selesa untuk bersama di sepanjang perjalanan hidup itu….
******
Hari raya pertama….
PUKUL 3.00 petang, Haikal sampai ke rumahku bersama seorang adiknya. Wajahnya begitu tenang, apatah lagi kacak bergaya berbaju melayu ungu dan bersongkok. Untuk penampilan aku beri markah 10/10.
“Yang ni… Almond London atau Kuih Goyang?” Ayu berbisik di dapur sewaktu kami berdua membancuh air.
“Yang ni Almond London,” jawabku sambil tersenyum gelihati. Ternya Ayu masih keliru yang mana satu Haikal dan yang mana satu Mukhriz.
Ayu angguk. Lantas dia mencapai biskut Almond London yang masih tersimpan kemas dalam bekas kuih.
“Jangan keluarkan,” kataku.
“Kenapa?”
“Keluarkan Kuih Goyang,” jawabku bersahaja.
“Tadi kata yang ni nak biskut Almond London?” Muka Ayu sudah berkerut, mungkin kepalanya sudah pening.
“Ikut sajalah.” Aku terus menolak dulang yang berisi air buah naga dan empat biji gelas ke arah Ayu. “Ayu angkat air, along angkat kuih.”
Ayu tidak membantah lagi. Nampak jelas pada wajahnya dia sedang keliru dengan tindakanku. Aku biarkan sahaja. Yang pentingnya aku tidak sabar mahu mendengar apa komen ibu mengenai Haikal.
Setibanya di ruang tamu, Haikal hanya memandang sahaja Kuih Goyang Ros yang aku letakkan di hadapannya. Sedikit pun dia tidak menyentuh kuih itu tetapi masih tetap menyentuh lemang dan rendang masakan ibu.
Aku pandang sahaja.
Setelah hampir sejam Haikal dan adiknya di rumahku, mereka meminta diri untuk beredar selepas menjemput kami tiga beranak beraya pula di rumahnya nanti. Permintaan Haikal kami sambut dengan senyuman dan sebekas Kuih Almond London aku serahkan sebagai bekal perjalanan pulang.
Haikal tersenyum gembira kerana permintaannya aku tunaikan.
******
“MACAM MANA, mak?” Ayu terus bertanya sebaik sahaja kereta Haikal masuk ke jalan raya di hadapan rumah.
“Ish! Macam dia pula yang kena risik,” balas ibu.
Ayu ketawa sahaja apabila segetus cubitan ibu singgah di pinggangnya. “Yalah, kami dah tak sabar ni.”
Ibu melangkah perlahan ke arah kerusi di ruang tamu. Dia duduk termenung.
“Ah! Sudah. Mak termenung ni along… gagallah nampaknya.” Ayu menggelengkan kepala sambil merenung wajah ibu.
Dadaku berdebar-debar. Mungkinkah Haikal tidak disukai ibu? Tetapi tadi, kelihatan ibu elok sahaja melayan Haikal dan adiknya. Aku bingung.
“Kalau Ayu yang kena buat pilihan, bagaimana?” tanya ibu.
Ayu terus tersengih lebar. “Macam tu punya smart? Rugi melepas kat orang, mak. Nanti mak juga yang tak dapat cucu comel-comel.”
Ibu hanya menggeleng. Kemudian ibu memandang aku pula. “Terpulanglah pada along kamu ni. Mak tak ada halangan. Haikal tadi tu elok saja pada pandangan mata mak. Cukup serba-serbi kalau nak dibuat menantu.”
“Yes! Yes!” Ayu melonjak riang.
“Untuk along bukan untuk Ayu,” kata ibu dengan cepatnya.
“Yalah untuk along.” Muka Ayu merah padam, mungkin malu kerana terlebih teruja berbanding dengan aku sendiri.
“Nantilah dulu, mak. Esok, yang sorang lagi tu akan datang. Mak tengoklah yang tu dulu,” kataku.
“Yang mana lebih smart? Yang hari ni yang hari esok?” Ayu bertanya lagi.
Aku cuma mampu menggeleng. Tunggu sajalah hari esok, kata hatiku.
******
Pada hari raya kedua…
KIRA-KIRA pukul 4.00 petang, baru Mukhriz tiba di rumah aku. Jika Haikal datang dengan adik lelakinya, Mukhriz pula datang dengan adik perempuannya. Walaupun sudah hari raya kedua, Mukhriz tetap tiba dengan berbaju Melayu kuning air, bersampin dan bersongkok. Markah penampilan juga 10/10.
“Yang ni…Kuih Goyang, kan?” Ayu bertanya di dapur.
Aku angguk.
“Jangan keluarkan Kuih Goyang.” Aku melarang apabila Ayu mencapai bekas Kuih Goyang.
“Along nak beri dia Biskut Almond London ke?”
Aku angguk seraya menyusun biskut itu di atas piring kuih yang berlapikkan doili.
Ayu menggeleng. “Peninglah tengok along ni. Apa yang orang tu nak, dia tak beri. Habis tu buat apa buat kuih semua  ni? Siapa yang nak makan?”
Tidak dapat tidak, rungutan Ayu membuatkan aku tersenyum. Aku tahu Ayu tidak faham. Nantilah aku terangkan semuanya.
“Jemputlah makan. Ila buat sendiri biskut ni,” kataku sambil meletakkan piring kuih itu di hadapan Mukhriz.
Aku lihat air muka Mukhriz berubah. Dia memandang wajahku sejenak sebelum mencapai sebiji biskut. Tanpa bantahan, dia menjamah semua biskut yang kubuat dengan tenang. Aku biarkan sahaja dia menjamah hidangan dan berbual dengan ibu sepuas-puasnya. Ayu pula sudah hilang entah ke mana bersama adik Mukhriz.
Setelah hampir sejam di rumahku, Mukhriz meminta diri untuk balik. Segala buah tangan yang dibawa tadi kini berbalas sebekas Kuih Goyang Ros dan sebakul buah mangga.
Aku melepaskan kepulangan Mukhriz dengan tenang.
******
SEPERTI hari semalam juga, Ayu terus mengheret lengan ibu ke ruang tamu apabila kereta Mukhriz beredar dari halaman rumah.
Ibu yang sudah tahu apa yang bakal ditanya berkata, “Kalau masa dia esok, mungkin mak ni tak sempat duduk pun.”
“Cepatlah mak. Yang mana satu mak nak ni?”
Ibu menggeleng lagi. “Along kamu pun tak gelojoh macam kamulah.”
“Alah… diam-diam along tu, dalam hati menjerit-jerit nak tahu tu, mak. Cepatlah…”
“Mak tak tahu nak buat pilihan. Dua-dua lawa, dua-dua elok budi pekerti… dua-dua boleh jadi menantu mak,” balas ibu.
“Mak tak tahu?” tanya Ayu lagi.
Aku ketawa kecil. “Kalau Ayu pula? Yang mana satu Ayu pilih?”
Ayu terdiam. Lama dia termenung. “Haahlah… susah nak pilih. Dua-dua smart. Dua-dua Ayu suka.”
“Tahu pun apa masalah along,” balasku. Sememangnya aku sangat bertuah kerana mengenali dua orang lelaki yang baik.
“Kalau sudah dua-dua baik, cubalah along timbang dari segi agamanya. Kerana apa pun kelebihan dalam dunia ini, ilmu agamalah panduan yang sebenar.” Ibu bersuara.
“Masalahnya, mak. Dua-duanya bagus dari segi ilmu agamanya. Yang seorang tu belajar  jurusan agama di Jordan. Yang sorang lagi tu tak kurang juga. Malah ayahnya imam besar.Ibunya ustazah.”
“Pening… pening…” kata Ayu sambil tersandar ke kerusi.
“Macamlah… kita nak pilih untuk dia pula,” sindir ibu.
Ayu tersengih.
“Kalau Ayu… Ayu pilih yang mana Ayu paling cinta. Yang mana Ayu tak boleh hidup tanpa dia.”
Buk! Sebiji kusyen hinggap ke kepala Ayu. Bukan dibaling oleh aku tetapi oleh ibu.
“Buatlah macam tu. Kalau kamu saja tak boleh hidup tanpa dia, dia boleh hidup tanpa kamu… alamatnya baru anak satu, dia dah cari orang lain,” balas ibu.
Ketawa Ayu memudar. Wajahnya bingung. Mungkin kata-kata ibu tidak dapat dicerna oleh fikirannya yang dipenuhi oleh bayangan romantika.
“Macam nilah, along. Mak dah jumpa kedua-duanya, mak dah tengok apa yang mak patut tengok. Jadi, pada mak dua-dua mak setuju. Sekarang terpulanglah pada along semula. Yang mana along pilih, itulah mak akan terima.”
Aku angguk. Walaupun jawapan ibu tidak banyak membantu namun nampaknya ibu sudah merestui siapapun yang aku akan pilih nanti. Sedikit-sebanyak aku berasa lega. “Along akan pilih Mukhriz,” jawabku.
Ibu dan Ayu sama-sama terdiam. Ruang tamu rumahku bertukar hening.
“Kenapa?” Ayu bertanya setelah puas mendiamkan diri.
“Walaupun along tak hidangkan Kuih Goyang tadi, dia masih sudi menjamah Almond London. Tapi Haikal… tak jamah Kuih Goyang.”
Ayu garu kepala. “Sebab tu saja?”
“Along percaya, dia seorang yang boleh bertolak-ansur jika hidup bersama along nanti. Along bukanlah gadis yang sempurna, yang dapat menyediakan segala-gala yang diminta. Jika dia sudi menjamah apa yang ada tanpa banyak soal, maknanya dia boleh menyesuaikan diri dengan sekeliling. Along rasa dia boleh menerima along seadanya.”
Itulah yang sebenarnya. Aku senang sekali melihat sikap Mukhriz tadi. Sesungguhnya aku telah menerima petunjuk setelah menunaikan solat sunat istikharah beberapa malam yang lalu.
Ibu tersenyum seraya mengangguk perlahan.
“Bertolak-ansur tu sangat penting dalam rumah tangga. Selagi ada tolak-ansur, adalah tulang belakang sesuatu perkahwinan.”
“Nampaknya… selepas ni, tiap-tiap tahunlah mak kena buat Kuih Goyang,” usik Ayu.
“Tak apa, untuk menantu.”
“Dan cucu-cucu, mak pula,” sambung Ayu.
Aku diam sahaja. Satu keputusan telah dibuat. Di antara Biskut Almond London dan Kuih Goyang sudah jelas mana yang akan kupilih…

7 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.